Friday, December 30, 2016

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KIRI


Mentaati Perintah dan Anjuran Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Perintah, anjuran atau larangan dari Rasulullah SAW pasti ada hikmahnya. Kita perlulah menghormati, tunduk dan patuh pada perintah Nabi SAW. Firman Allah Ta’ala: “Barangsiapa yang menta’ati Rasulullah, sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. (An-Nisa’:80)

Larangan Makan dan Minum Dengan Tangan Kiri
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menegah kita dari makan atau minum dengan menggunakan tangan kiri. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, bersabda: "Janganlah kamu makan dengan menggunakan tangan kiri, kerana syaitan makan dengan menggunakan tangan kiri." (HR. Muslim)

Anjuran Makan dan Minum Dengan Tangan kanan
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menganjurkan agar kita menggunakan tangan kanan untuk makan dan minum. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika seseorang diantara kamu makan, hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika dia minum maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dan minum dengan menggunakan  tangan kiri." (HR. Muslim)

Salamah bin umar Al-Aqwa meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki yang sedang makan bersebelahan dengan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dengan menggunakan tangan kirinya. Maka Rasulullah bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab, “Aku tidak boleh.” Baginda bersabda, “Semoga kamu tidak boleh?” padahal tidak ada yang mencegah dia makan dengan tangan kanan kecuali kerana sombong. Setelah itu tangannya tidak boleh diangkat sampai ke mulutnya.” (HR. Muslim)

Tegahan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri adalah supaya kita tidak meniru sifat syaitan, dan kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan anjuran Nabi sollallahu 'alaihi wasallam supaya menggunakan tangan kanan.

Sunnah Mengutamakan Yang Kanan
Dalam kebanyakan perkara Nabi sollallahu 'alaihi wasallam sangat suka dan mengutamakan yang kanan, sepertimana yang diriwayat oleh Sayyidah Aisyah Ra bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka melakukan sesuatu hal dengan memulakan dengan yang kanan. Demikian dalam kehidupan seharian Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dan juga dalam perkara berkaitan ibadat Nabi sollallahu 'alaihi wasallam akan mengutamakan yang kanan. Nabi sollallahu 'alaihi wasallam bersiwak dengan memulakan pada gigi yang sebelah kanan, apabila masuk masjid maka didahului kaki kanan, bersuci, menyisir rambut, bersalaman, mengucapkan salam di dalam solat, angkat tangan ke Hajar Aswad, dan memakai baju, semuanya didahului dengan yang kanan.

Allah Ta’ala Mengutamakan Yang Kanan
Didalam Al-Qur’an Allah ‘azzawajalla mengkhabarkan keutamaan yang kanan. Firman Allah Ta’ala: “(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.” (Al-Israa':71)

Firman Allah Ta’ala: “Maka ketika dia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat..” (Al-Qasas:30)

Firman Allah Ta’ala: “Iaitu goongan kanan; alangkah bahagianya keadaan golongan kanan itu?” (Al-Waaqi'ah:8

Firman Allah Ta’ala: “Maka (akan dikatakan kepadanya):" Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari golongan kanan". (Al-Waaqi'ah:91)

Golongan Kanan Adalah Ahli Syurga
Pihak sebelah kanan itu dinamakan Ashabul Yamin “penghuni tempat yang kanan”, dan pihak yang  kiri dinamakan Ashabussima “penghuni tempat yang kiri”. Penghuni tempat yang kanan itu adalah penghuni syurga dan penghuni tempat yang kiri itu ialah penghuni Neraka. Oleh sebab itu Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka kepada yang kanan kerana yang kanan ialah Ashabul Yamin iaitu penghuni syurga.

Bentuk Larangan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Apa yang aku larang maka jauhilah”. Larangan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam terbahagi kepada dua iaitu yang pertama larangan dengan maksud haram dan berdosa, dan yang kedua larangan dengan maksud makruh.

Contoh larangan yang menjadi haram dan berdosa ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dalam Riwayat Abu Daud: “Jangan kau siksa orang dengan api, kerana siksa dengan api ialah Hak Allah SWT”. Dan contoh larangan yang menjadi makruh adalah seperti dalam riwayat imam Baihaqi: “Jangan makan bawang yang masih mentah”.

Bentuk Suruhan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam pula terbahagi kepada dua iaitu yang pertama adalah dengan maksud Wajib dan yang kedua dengan maksud Sunnah. Contoh suruhan yang membawa maksud wajib ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “Lakukanlah bagi kamu ummatku 6 perkara, aku jamin kamu akan dimasukan ke syurga. Iaitu Solat, Zakat, menjaga amanah, menjaga kemaluan, menjaga perut dari makanan yang haram, menjaga lisan. Saya jamin kamu masuk surga, maka kerjakanlah”.

Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam yang membawa maksud Sunnah, ialah seperti sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “banyakan mengingati mati, maka Allah SWT akan hapuskan dosanya dan Allah SWT jadikan dirinya Ahli Zuhud di dunia”.

Hukum Makan dan Minum Menggunakan Tangan Kiri
Bagi larangan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri, larangan ini tidak sampai kepada hukum haram tetapi ia hanyalah makruh.

Oleh itu, apa yang Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suruh maka berusahalah kita untuk melakukannya. Makan dan minumlah menggunakan tangan kanan dan makan menggunakan tangan adalah lebih afdhol daripada menggunakan sudu atau garfu.

Wallahu’alam

Sumber: Majelisrasulullah.org 

No comments: