Tuesday, December 27, 2016

HUKUM MENGUCAP ‘MERRY CHRISTMAS’ DAN MERAYAKANNYA


Habib Munzir menjelaskan bahawa mengucapkan selamat hari Krismas adalah tidak haram secara mutlak, tetapi kembali kepada niat seseorang. Jika niat seseorang mengucapkan selamat hari krismas itu adalah selamat hari lahirnya Nabi Isa bin Maryam, dengan keyakinan Nabi Isa adalah sebagai Rasullullah dan bukan dengan keyakinan sebagai anak Tuhan seperti kepercayaan orang Kristian, maka itu dibolehkan. Firman Allah SWT:

“Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali."

Diharamkan mengucapkan selamat hari Krismas jika niat untuk menghormati keyakinan orang Kristian yang berkeyakinan bahawa Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Seseorang yang mengucapkan selamat hari Krismas pada nasrani tidak bererti dia murtad dan kufur, kecuali jika ada pengakuan atas keyakinan triniti atau agama mereka.

Memuliakan agama lain seperti ingin mengeratkan hubungan dengan mereka agar mereka tertarik pada kebaikan agama islam maka hal ini menjadi khilaf para ulama, sebahagian ulama membolehkan dan sebahagian lain tetap mengharamkan.

Menurut Fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI), yang diharamkan adalah ikut bersama dalam upacara Krismas bersama orang nasrani.

Syeikh Wahbah Al Zuhaili pula berpendapat  tidak ada halangan dalam bersopan santun (mujamalah) dengan orang Nasrani, asalkan tidak bermaksud sebagai pengakuan atas (kebenaran) ideologi mereka.

Syeikh Mustafa Ahmad Zarqa’ juga berpendapat bahawa ucapan selamat kepada saudara-saudara Kristian dibolehkan. Beliau menyatakan bahawa ucapan selamat ini harus dibezakan dengan haramnya bersama merayakan secara langsung, seperti dengan menghadiri perayaan-perayaan Krismas.

Seorang muslim yang mengucapkan selamat hari Krismas kepada pemeluk Nasrani hukumnya boleh menurut majoriti ulama. Ucapan selamat ini perlu bagi umat Muslim yang memiliki jiran, teman kuliah/sekolah, rakan kerja, atau rakan perniagaan yang beragama Nasrani.

Para ulama berbeza pendapat atas sesuatu isu atau hokum adalah kerana tiada dalil yang bersifat sorih dan qath’ie. Seandainya ada ayat atau hadits sohih yang secara tegas menyebutkan larangan ucapan selamat seperti hari Krismas, sudah tentu semua ulama akan bersepakat atas pengharamannya. Namun, ia hanya merupakan ijtihad dan penafsiran dari nas yang bersifat mujmal, maka seandainya benar ijtihad itu, mujtahidnya akan mendapat 2 pahala. Dan seandainya salah, maka hanya dapat 1 pahala.

Wallahu a’lam


No comments: