Solat
sunat Qabliyah Jumaat merupakan amalan yang secara lazimnya dilakukan oleh
masyarakat kita khususnya di Tanah Melayu dan mazhab Syafie’ secara umumnya.
Amalan ibadat ini telah berlaku khilaf antara para Ulamak tentang sabitnya dari
Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam. Ia termasuk masalah ijtihadiyah, walau
bagaimanapun jumhur Ulamak khususnya dalam mazhab Syafie’ menerima amalan
ibadat ini. Berikut merupakan antara dalil dan penerangan Ulamak berkaitan
masalah ini.
Hujah Pendapat yang Membolehkan Solat Sunat Qabliyah Jumaat
Dari
Abdullah bin az-Zubair, Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak
ada satu solat fardhu itu melainkan disunatkan solat sunat qobliyah dua
rakaat.” (Riwayat Ibn Hibban)
Hadis
ini secara umumnya menerangkan adanya solat sunat qobliyah di setiap solat
fardhu termasuklah solat fardhu Jumaat. Hujjatul Islam al-Imam Ibn Hajar
menjelaskan berdasarkan hadis di atas, beliau berkata:
“Yang
terkuat untuk dijadikan dalil bagi solat Qabliyyah jumaat adalah merupakan
hujjah umum sebagaimana hadits yang disohihkan oleh Ibn Hibban dari hadits
Abdullah bin Zubair dengan riwayat Marfu’: “Tiadalah solat fardhu melainkan
sebelumnya terdapat solat sunat Qabliyah.” (Fathul Baari
al-Masyhur Juz 2 hal 426).
Hadith
di atas disokong pula dengan hadith-hadith lain, antaranya ialah hadith
berikut:
Abu
Hurairah Radhiallahu’anhu berkata: “Adalah Rasulullah SallALlahu ‘alaihi
wasallam solat sebelum jumaat empat rakaat dan selepasnya empat rakaat.” (Riwayat
al-Bazzar)
Ibbnu
Abbas berkata:“Adalah Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam solat sebelum jumaat
empat rakaat, tidak dipisahkannya di antara rakaat-rakaatnya dengan sesuatu.”
(Riwayat at-Tabarani)
Imam at-Tarmidzi meriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud RadhiAllahu'anhu solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. Perbuatan sahabat Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam zahirnya
adalah perbuatan yang diikuti daripada Rasulullah SallALlahu ‘alaihu wasallam.
Malah sahabat Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam sehebat Ibnu Mas’ud ini adalah
merupakan ikutan yang paling utama untuk kita ikuti selepas Baginda Nabi SallALlahu
‘alaihi wasallam.
Al-Imam
al-Bukhari berkata dalam Sohihnya mengatakan, "Bab ini menjelaskan solat sunat
Ba'diah dan Qobliyah jumaat...dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah
SallAllahu 'alaihi Wassalam selalu menunaikan solat sunat dua rakaat
sebelum zuhur dan sesudahnya." (Riwayat al-Bukhari)
Dari
Abdullah Radhiallahu’anhu, dia berkata, Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Di antara azan dan Iqamah ada solat bagi sesiapa yang ingin melakukannya.”
Kemudian Baginda SallALlahu ‘alaihi wasallam mengulangi mengatakannya sebanyak
tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Status
Hadith ini adalah sohih, maksud hadis ini adalah umum, merangkumi semua solat
fardhu yang ada padanya azan dan iqamah, termasuk juga solat Jumaat.
Dari
Ummu Habibah Radhiallahu’anha berkata bahawa Rasulullah SallALlahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersembahyang empat rakaat sebelum solat
zohor dan empat rakaat selepasnya, Allah akan haramkan api neraka ke atasnya
(dijauhi daripada api neraka).”
Ulamak
menegaskan bahawa solat Jumaat sama dengan solat zohor kerana solat Jumaat
adalah pengganti kepada solat zohor. Oleh itu disunatkan juga melakukan solat
sunat empat rakaat sebelumnya.
Dari
Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, berkata: Sulaik al-Ghathofani datang (ke Masjid)
ketika Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah, lalu Nabi SallALlahu
‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah kamu sudah solat sebelum datang ke sini?”
Sulaik menjawab: “Belum.” Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Solatlah
dua rakaat dan ringankan (membaca surah yang pendek).” (Sunan Ibnu Majah)
Al-Hafiz
al-Iraqi mengatakan hadis ini Sohih. Manakala Syeikh Syihab ad-Din al-Qalyubi
menyatakan bahawa dari hadis ini jelas menunjukkan bahawa solat yang
dimaksudkan adalah solat sunat Qabliyah Jumaat. Solat ini bukan solat sunat
Tahiyatul Masjid kerana pertanyaan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam ialah “…sebelum
datang kesini (Masjid)?”. Solat sunat Tahiyatul Masjid hanya dilakukan di
Masjid, tidak boleh dilakukan di rumah atau di luar masjid.
Imam
Syaukani dalam kitabnya Nail al-Authar menerangkan berkaitan hadis di atas
mengatakan bahawa sabda Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam, “sebelum kedatanganmu”
menunjukkan bahawa dua rakaat dimaksudkan itu ialah solat sunat sebelum Jumaat
(Qobliyah), bukanlah solat sunat Tahiyyatul Masjid.
Berdasarkan
hadis-hadis di atas, Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkata: “Menerangkan
solat sunat sebelum dan sesudah solat Jumaat. Disunatkan solat sunat sebelum
dan sesudah solat Jumaat. Paling sedikit adalah dua rakaat sebelum dan sesudah
solat Jumaat. Walau bagaimanapun yang paling sempurna ialah solat sunat dengan
empat rakaat sebelum dan sesudah solat Jumaat.”
Berkata
al-Allamah al-Muhaddith Mulla Ali al-Qari, “dan sesungguhnya telah datang
dengan sanad yang bagus sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Iraqi
bahawa sesungguhnya Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat
empat rakaat.”
Rasulullah
SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tidaklah
seseorang mandi pada hari jumaat, lalu wuduk dengan sempurna, memakai
wangi-wangian, lalu keluar menuju Masjid tanpa memisahkan dua orang yang duduk
berdampingan, kemudian mengerjakan solat sunat beberapa rakaat yang dia mampu,
lalu dia diam saat Imam berkhutbah, lalu diampuni dosa-dosanya yang terjadi
antara jumaat itu dan jumaat lainnya.” (Riwayat
al-Bukhari)
Dapat
difahami dari perkataan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam “…kemudian mengerjakan
solat sunat beberapa rakaat yang dia mampu…” membawa maksud terdapat solat
sunat yang dianjurkan untuk kita lakukan sebelum Imam berkhutbah yang dikenali
dengan solat sunat Qobliyah (sebelum) Jumaat. Malah solat sunat Tahiyyatul
Masjid itu juga adalah sunat Qobliyah kerana solat sunat Tahiyyatul Masjid itu
maksudnya ialah solat sunat yang dilakukan sebelum duduk setiap kali apabila
masuk ke dalam Masjid.
Dalam
Fiqhul Manhaji menerangkan bahawa solat sunat Tahiyyatul Masjid terhasil dengan
solat fardhu atau dengan mana-mana solat sunat yang lain kerana maksud daripada
Tahiyyatul Masjid ialah seseorang itu tidak duduk dalam Masjid tanpa menunaikan
solat.
Dalil
Pendapat yang Menolak Solat Sunat Qabliyyah Jumaat
Di
sini dibawakan juga dalil pendapat yang menolat adanya solat sunat Qabliyyah
Jummat, berdasarkan hadith Saib bin Yazid:
“Pada
awalnya azan jumaat dilakukan pada ketika Imam berada di atas mimbar iaitu pada
zaman Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar. Dan setelah zaman
Uthman dan manusia semakin Ramai, maka Uthman menambah azan menjadi tiga kali (memasukan
iqamat).” Dalam riwayat Bukhari “..menambah azan menjadi dua kali (tanpa
memasukkan iqamat).” (Riwayat semua Imam kecuali Imam Muslim)
Dari
hadith ini Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam
keluar dari rumah dan terus naik ke mimbar kemudian bilal mengumandangkan azan.
Setelah azan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam terus berkhutbah tanpa adanya
pemisah antara azan dan khutbah. Oleh itu Ibnu al-Qayyim membuat kesimpulan bahawa Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam dan
para Jemaah tidak melakukan solat sunat Qabliyyah Jumaat.
Juga terdapat penghujahan terhadap hadith-hadith di atas bagi menafikan adanya solat sunat qabliyah. Penghujahan itu juga mempunyai asas dengan pemahaman yang berbeza walaupun berpandukan hadith yang sama. Perbezaan ini melibatkan penilaian martabat hadith, kaedah memahami ayat sama ada bersifat umum atau khusus, perbezaan dalam memahami maksud Imam hadith yang memberi komen pada matan hadith dan lain-lain.
Kesimpulan
Mengenai
solat dua rakaat sebelum jumaat hukumnya adalah sunat, sebagaimana sabit dari
belasan hadits sohih yang menjelaskan bahawa Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam
melakukan solat sunat qabliyyah zuhur dan ba’diyah zuhur, para ulama dan
muhadditsin berpendapat bahawa solat jumaat adalah pengganti solat zuhur.
(Fathul Baari al-masyhur Juz 2 hal 426)
Berkata
al-Muhaddits al-Imam Ibn Majah ra : “mengenai solat Qabliyah Jumat merupakan
hal yang kuat untuk dilakukan (tsabitah), walaupun diingkari oleh sebahagian
Muhadditsin” (Sunan Ibn Majah hadits No.1130 juz 1 hal 79).
Demikian
hal ini merupakan Ikhtilaf para Muhadditsin. Dan disunatkan untuk melakukannya
adalah pendapat Imam Abu Hanifah, mazhab Syafi’ dan sebahagiaan Ulamak mazhab
Hanbali. Manakala di sisi Imam Malik dan sebahagian Ulamak mazhab Hanbali
mengata solat sunat qobliyah tidak disunatkan. Namun demikian tidaklah dikatakan solat sunat qabliyah ini suatu perkara bid'ah dholalah, haram dan si pelakunya melakukan perkara mungkar.
Pendapat
Ulamak tentang sunatnya solat qobliyah sebelum Jumaat adalah lebih sorih (hujah
yang tegas dan jelas) dan rajih (lebih kuat dan unggul). Cukuplah beratus ribu Ulamak yang membolehkan solat sunat qabliyah dilakukan, malah ia dianjurkan tanpa ada larangan oleh ulamak di Tanah Melayu sejak dahulu lagi sama ada dalam masyarakat secara lisan atau dalam kitab-kitab turath, dan juga pihak berkuasa Malaysia seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga membolehkan solat sunat Qabliyah dilakukan.
Sumber:
al-Fiqhu al-manhaji ‘ala mazhabil
Imam as-Syafie’, Khilafiyah:Persolan dan Penjelasan, kenalilah aqidahmu 2.
Mukhtasar Riadh as-Sholikhiin. http://www.idrusramli.com/2013/adakah-shalat-sunnah-qabliyah-jumat/
No comments:
Post a Comment