بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ
الرَّحِيمِ
: عن عمر رضى الله عنه قال، سَمِعْتُ رَسُوْلُ الله صلّى الله عليه و سلّم يَقُوْلُ
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَ كَّلْونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَعْدُو خِمَا صًا وِتَرُوحُ بِطَانًا - رواه الترمذي و قال حديث
Dari Umar Ibn Khattab Ra berkata, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda “Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal
yang sebenar-benarnya, pasti kamu akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana
seekor burung diberi rezeki, di mana ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan
lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang” (HR. Tirmidzi)
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَ كَّلْونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِه
“Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal
yang sebenar-benarnya”
Sekiranya, kita semua (setiap orang yang beriman) benar-benar
bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap keadaan susah atau senang, di mana
sahaja kita berada sama ada di dalam rumah atau di jalanan pasti Allah SWT akan
memberikan rezeki kepada kita.
لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَعْدُو خِمَا صًا وِتَرُوحُ
بِطَانًا
“Pasti kamu akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana
seekor burung diberi rezeki, di mana ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan
lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang”
Secara pasti akan diberi rezeki oleh Allah sebagaimana seekor
burung yang diberi rezeki oleh Allah SWT bermaksud Allah SWT memberi jaminan rezeki
bagi orang bertawakal kepada-Nya. Hadis ini juga terdapat anjuran agar berusaha
dan bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki dan bagi setiap usaha kita akan
dicatit sebagai pahala ibadah amal soleh. Islam tidak mengajar umatnya hanya
duduk di atas sejadah atau di dalam rumah tanpa berusaha dan mengharapkan
rezeki dari Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda :“Orang yang di waktu petang hari
keletihan kerana bekerja dari usahanya sendiri, keletihan dari usaha tangannya
sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain, maka Allah SWT mengampuni
dosanya”
Rasulullah SAW bersabda :“Tidaklah seseorang makan dari makanan
yang lebih baik dari makanan hasil usaha keringatnya sendiri”
Rasulullah SAW bersabda :“Tidak ada kebaikan sedikit pun orang
yang meninggalkan akhiratnya untuk dunia (tidak sholat, tidak puasa, tidak
mengeluarkan zakat, tidak peduli pada orang tuanya)”.
Tiada kebaikan kerana hanya mementingkan dunia sehingga mengabaikan
akhirat dan sebaliknya tidak ada kebaikan orang yang hanya bangun dan duduk
untuk solat dan berharap kepada makhluk, kerana sabda Nabi SAW “dunia ini merupakan
jambatan menuju kejayaan di hari akhirat.
Firman Allah SWT :
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ
اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan
baginya jalan keluar.” (Ath-Thalaaq:2)
Firman Allah SWT :
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى
اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ
لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.
Dan siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan
(keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang
dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap
sesuatu.” (Ath-Thalaaq:3)
Lazimkanlah diri dengan takwa kepada Allah SWT dan elakkan
dari melakukan perkara yang melalaikan, pasti Allah SWT akan memberikan rezeki
dari jalan yang tidak di duga dan dari jalan yang tidak di sangka-sangka. Rezeki
itu tidak diperoleh dengan kekuatan atau dengan kerja sepanjang hari siang dan
malam. Rezeki tidak diperoleh disebabkan oleh kekuatan, bekerja di pejabat,
atau disebabkan jawatan. Jika kekuatan dan jawatan itu penyebab memperoleh
rezeki maka burung yang kecil tidak akan mempunyai bahagian rezekinya, semua
rezeki diambil oleh burung gagak saja, atau burung-burung yang besar saja, akan
tetapi rezeki Allah SWT diberikan kepada siapa saja.
Kita perlu sentiasa bertawakkal dengan keyakinan yang kuat pada
Allah SWT dan jangan bersikap malas, kita perlu bekerja dan berikhtiar
mencari rezeki yang halal, dengan tujuan Tholabul Rizq (mencari rezeki) seperti
mana burung yang berusaha terbang keluar mencari rezeki, ia tidak duduk di
sarang dan menunggu makanan sampai kepadanya.
Dalam diri Kita perlu ada tawakkal dalam mencari Anugerah
Allah SWT dan dalam memohon perlindungan diri dari Musibah. Terdapat banyak
ayat yang menyebut tentang tawakal di dalam al-Quran, sehingga ulama menjadikan
ia satu syarat bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan di mana tidak akan
sempurna imannya kecuali di dalam dirinya mempunyai sifat tawakkal.
Allah SWT berfirman :
وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ
“Dan hanya kepada Allah SWT hendaknya orang-orang yang beriman
bertawakkal (Berserah Diri)” (Ibrahim:12)
Tawakal merupakan sebahagian dari iman sehingga tidak sempurna iman
seseorang yang tidak bertawakkal. Maka iman seseorang juga boleh diukur
berdasarkan sejauh mana rasa tawakalnya. Al-Imam Sahl bin Abdullah At-tussuri
beliau mengatakan bahawa tanda orang yang tawakkal ada 3:
Pertama: Tidak pernah mengemis
Kedua : Tidak pernah menolak pemberian
Ketiga : Tidak pernah menyimpan harta/makanan untuk hari-hari besok.
Nabi kita Muhammad SAW
adalah ahli tawakal, namun Nabi SAW pernah bersabda “Sebelum kamu tidur
pintu dikunci dan kalau ada api maka dipadamkan”
Ada seorang badawi yang tidak mengikat/tambat untanya dan dia
berkata “saya tawakal wahai Rasulullah”, Rasulullah SAW bersabda “tidak,
ikat dahulu kemudian tawakal”.
ALLAH SWT berfirman:
“Dan apabila kamu (Muhammad) berada di antara mereka (sahabatmu)
lalu kamu hendak mendirikan solat bersama mereka, maka hendaklah segolongan
dari mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata mereka, kemudian
apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud, maka hendaklah mereka pindah dari
belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang sekumpulan yang lain
yang belum solat, lalu mereka solat denganmu, dan hendaklah mereka bersiap
sedia dan menyandang senjata mereka. Orang-orang kafir ingin agar kamu lengah
terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu sekaligus. Dan
tidak mengapa kamu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu
kesusahan kerana hujan atau kerana kamu sakit, dan bersiap sedialah kamu.
Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang
kafir itu” (An-nisa:102)
Waktu melakukan solat siddatul khauf, pedang harus dipegang. Allah
SWT masih menyuruh pegang pedang walau dalam keadaan solat, dalam solat
siddatul khauf mengajar konsep tawakal iaitu adanya usaha dan ikhtiar.
Rasulullah SAW besabda “kalau ada yang sakit maka berubatlah,
kerana Allah menciptakan penyakit pasti ada ubatnya”
حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ
رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
Sumber: Majelis Rasulluah, Habib Alwi Bin Abdurahman AlHabsyi
No comments:
Post a Comment