Monday, June 20, 2016

PENGURUSAN MUDAH TUNAI BERASASKAN QARD


Pengurusan mudah tunai berasaskan qard bagi menguruskan mudah tunai dalam sistem kewangan Islam dibenarkan dengan syarat seperti yang berikut:
i.        Perlu menyatakan jumlah yang ingin dipinjam
ii.      Pembayaran balik pinjaman perlu dilakukan sepenuhnya. Hibah (sekiranya ada) boleh diberikan berdasarkan budi bicara tanpa disyaratkan.

Pengurusan mudah tunai berasaskan qard disandarkan kepada keharusan kontrak qard. Produk ini penting bagi memenuhi keperluan untuk menguruskan mudah tunai. Kontrak qard menjadi haram jika ada disyaratkan sebarang manfaat, hibah atau nilai tambahan atas sesuatu hutang. Ini disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang berikut:
“Daripada Ali r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua pinjaman yang membawa manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah satu bentuk riba.”(Ibnu Hajar al-`Asqalani, Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam)

Walau bagaimanapun, jika manfaat, hibah atau nilai tambahan yang diberikan tidak disyaratkan, ia adalah diharuskan. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang berikut:
“Daripada Jabir r.a berkata: aku datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda berada di dalam masjid (Mis`ar menyatakan Jabir datang pada waktu dhuha), Rasulullah SAW menyuruhku solat dua raka`at kemudian dia membayar pinjaman yang dia berhutang denganku, dan memberikan aku tambahan.” (Sahih al-Bukhari, hadis no. 2934.)

Membayar hutang dengan nilai atau manfaat tambahan adalah harus jika ia tidak disyaratkan dan selagi ia tidak menjadi `urf yang nyata. Namun begitu, jika ia menjadi kebiasaan dan dilakukan kerana hutang, maka ia wajar ditinggalkan kerana sesuatu yang menjadi `urf diibaratkan seperti syarat.


SUMBER: Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Edisi kedua; Bank Negara Malaysia

No comments: