Emas
Pengganti Wang Kertas
Dahulunya
para pelabur melihat matawang sebagai tempat selamat untuk kegiatan pelaburan,
namun disebabkan kekuatan dan kekukuhan matawang adalah tertakluk kepada
situasi ekonomi dan politik sesebuah kerajaan, para pelabur mula menyedari
risiko yang ada dalam pelaburan matawang, dan mencari beberapa alternatif lain
yang lebih menjamin perlindungan, antaranya ialah beralih kepada pelaburan
emas.
Perlu Patuh
Syarak
Produk-produk
dan teknik-teknik pelaburan emas hendaklah dipastikan ia menepati prinsip dan
hukum Islam, supaya aktiviti kewangan masyarakat Islam tidak terkeluar dari
landasan syarak. Tinjauan terhadap produk pelaburan emas mendapati
sebahagiannya tidak menepati prinsip dan hukum asasi jual beli emas walau ada
sebahagian syarikat perniagaan dan pelaburan emas mengisytiharkan bentuk
pelaburan ‘Islamik’.
Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang
bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memperakukan ‘Parameter Pelaburan Emas’
yang mengandungi sejumlah garis panduan untuk dipatuhi oleh pelabur Muslim
dalam aktiviti pelaburan emas.
Pelaburan
Emas Dari Sudut Maqasid (matlamat) Syarak
Emas dan
perak pada asasnya merupakan dua logam yang diiktiraf oleh syarak sebagai ‘thaman’
(Matawang). Al-Sarakhsi menegaskan:
“Kerana
nilai al-thamaniyyah maka emas dan perak diciptakan, dan dengan nilai
tersebutlah hidupnya segala harta benda lain”.
Dan terbukti
sehingga kini bahawa emas dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya
telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah.
Pelaburan
Emas Adalah Harus
Tidak ada
halangan syarak untuk membeli emas pada harga rendah dengan niat untuk
menjualnya pada harga tinggi, selagi syarat-syarat jual beli emas yang digariskan syarak
dipatuhi. Hal ini berdasarkan hadith Nabi
S.A.W:
“(Jual beli
atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam
dengan garam,hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan
hendaklah beserta penyerahan bersama (oleh
kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara
penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua
pihak)”. (Hadith
Riwayat Muslim)
Juga
berdasarkan prinsip asas dalam hukum hakam muamalat adalah harus selagi tidak
ada dalil yang mengharamkannya, maka aktiviti pelaburan emas adalah dibenarkan
syarak secara umumnya selagi syarat-syarat dan garis panduan bay’ al-sarf
dipenuhi.
Namun jika
terdapat larangan oleh pihak berkuasa atau kerajaan terhadap sesetengah bentuk
pelaburan emas bagi memelihara kemaslahatan umum dan mengelak sebarang kemudaratan
awam, maka ia termasuk dalam ruang lingkup siasah shar’iyyah sebagaimana
ditetapkan dalam kaedah:
“Sesuatu
yang dilakukan pemerintah ke atas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah
(kepentingan umum)”.
Syarat Akad
Jual Beli Emas Yang Bersifat Ribawi
Emas sebagai
item ribawi, dan transaksi jual beli emas menggunakan matawang adalah termasuk
dalam kategori bay’ al-sarf, maka di sana terdapat beberapa syarat bagi
memastikan akad jual beli emas menepati hukum syarak, iaitu mesti berlaku serah
terima (taqabud) kedua-dua item yang dijual beli di dalam majlis akad. Syarat
ini adalah disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama.
Syarat ini
meliputi jual beli dua item yang sama jenis, atau yang berlainan jenis tetapi
bersamaan ‘illah. Pertukaran yang sama jenis ialah seperti jual beli emas
dengan emas, dan jual beli perak dengan perak. Manakala yang berlainan jenis
tetapi bersamaan ‘illah pula ialah seperti pertukaran emas dengan perak. Hukum
ini disepakati oleh ulama, sebagaimana Imam al- Nawawi menyebut:
“Perkataan
‘yadan bi yadin’ (penyerahan serentak/bersama) adalah hujah bagi seluruh ulama
tentang kewajipan berlaku taqabud, walaupun berlainan jenis”.
Pembelian
emas menggunakan matawang adalah termasuk dalam kategori bay’ al-sarf yang
bersamaan ‘illah tetapi berlainan jenis. Oleh itu, akad jual beli al-sarf mesti
bebas daripada pensyaratan penangguhan. Syarat ini mewajibkan dua item
(matawang emas atau perak) yang merupakan subjek bay’ al-sarf hendaklah
diserahkan secara lani (spot), dan mana-mana pihak yang bertransaksi tidak
boleh meletakkan syarat penangguhan serahan.
Abu Sa’id
al-Khudr meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Dan jangan
berjual beli item-item tersebut dengan salah satunya tiada (ketika akad) dan
yang satu lagi ada (ketika akad)”. (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah
S.A.W juga melarang jualbeli al-sarf secara hutang, seperti mana hadis
berbunyi: “Rasulullah
S.A.W. melarang jual beli emas dengan perak secara hutang” (Hadith
Riwayat al-Bukhari)
Akad Jual Beli al-Sarf Mesti Bebas Daripada Khiyar al-Shart
Majoriti
fuqaha berpendapat meletakkan syarat khiyar di dalam jual beli al-sarf adalah
tidak sah, dan ia membatalkan syarat dan akad sekaligus.
Persamaan Kadar Antara Dua Item Yang Ditukar Jika Bersamaan Jenis
Syarat ini
hanya khas bagi pertukaran dua item yang bersamaan jenis, contohnya jual beli
atau pertukaran antara emas dengan emas, atau antara perak dengan perak. Di
dalam transaksi pertukaran ini, kedua-dua item hendaklah bersamaan kadar dari
sudut timbangan.
Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia
No comments:
Post a Comment