Thursday, September 29, 2016

HUKUM SOLAT DI KAWASAN PERKUBURAN



Makruh Memijak Atau Berjalan Di Atas Kubur
Kubur dihormati dari segi syara’ demi memuliakan si mati. Lantaran itu para fuqaha’ (ahli fiqah) sepakat menghukumkan makruh memijak atau berjalan di atas kubur si mati. Ini disebabkan Nabi SAW melarang memijak kubur.

Mazhab Maliki mengatakan hukumnya makruh jika kubur itu telah didirikan bangunan di atasnya. Mazhab Syafi’e dan Hambali pula mengecualikan memijak kubur jika kerana hajat seperti tidak boleh sampai ke kubur si mati kecuali dengan memijak kubur yang lain.

Makruh Solat kerana Dibimbangi Ada Najis
Mazhab Hanafi menghukumnya sebagai makruh, ini dijelaskan, kerana tempat ini dibimbangi terdapat najis dan ianya juga menyerupai dengan perbuatan orang Yahudi. Kecuali jika sekiranya di perkuburan itu disediakan tempat untuk bersolat, tiada kubur di situ dan tiada najis, maka tidak mengapa solat di situ.

Harus Solat Di Kawasan Perkuburan
Mazhab Maliki pula menghukumkan harus solat di atas kubur sama ada didirikan bangunan di atasnya atau telah lama ditinggalkan atau telah digali semula dan dipindahkan atau tidak, sama ada kubur orang Islam atau orang kafir.

Tidak Sah Solat Jika Tiada Hamparan
Mazhab Syafi’e mengatakan tidak sah solat di atas kubur yang dapat dipastikan telah digali atau dipindahkan tanpa ada hilaf ulama, kerana tanahnya telah bercampur dengan darah dan lendir si mati. Jika tidak dihamparkan sesuatu di bawahnya, tetapi jika di hamparkan sesuatu di bawahnya, maka makruh hukumnya.

Sah Solat Tetapi Makruh
Adapun jika pasti kubur itu tidak digali atau dipindahkan, maka sah solatnya tanpa ada khilaf ulama, kerana bahagian yang digunakan untuk bersolat itu suci, tetapi hukumnya adalah makruh tanzih yang perlu dielakkan, kerana ia tempat menyimpan najis.

Pendapat Paling Asoh
Adapun jika sekiranya diragui kubur itu tidak digali semula atau dipindahkan, maka terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa sah solatnya tetapi makruh, kerana pada asalnya bumi itu suci, maka tidak boleh dihukumkan najis tanah itu dengan kerana kita syak atau tidak yakin dan inilah pendapat paling asoh.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa tidak sah solatnya, kerana pada asalnya kekal hukum haram itu pada tempatnya (kerana tidak sah solat di perkuburan yang telah digali semula), walhal dalam situasi ini dia hanya syak bahawa kubur itu tidak digali semula. dan hukum ini tidak boleh digugurkan dengan syak.

Tidak Sah Solat Di Kawasan Yang Mempunyai Lebih Dari 3 Kubur
Mengikut mazhab Hambali pula menyatakan tidak sah solat di atas kubur sama ada kubur lama atau baru, berulang kali digali semula atau pun tidak. Tidak mengapa solat jika hanya terdapat satu atau dua kubur sahaja kerana ia bukan diistilahkan sebagai kawasan perkuburan, kerana perkuburan itu mempunyai tiga kubur dan lebih daripada itu.

Kubur Di Rumah Adalah Bukan Kawasan Perkuburan
Diriwayatkan daripada ulama mazhab Hambali bahawa kawasan perkuburan itu termasuk kawasan sekitarnya dan tidak boleh dijadikan tempat untuk solat. Mereka mengatakan lagi, tidak mengapa solat di atas tempat yang mayat tersebut disemadikan di dalam rumah sekalipun melebihi tiga mayat, kerana ia bukan dinamakan kawasan perkuburan.

Inilah pendapat ahli fiqah mengenai solat di atas kubur tanpa mengaitkan masalah solat di masjid yang bersebelahan dengan makam.

Sumber: Al-Bayan Lima Yasyghulul Adzhan, Fadhilah Dr. Ali Jum’ah Mufti Besar Mesir, diterbitkan oleh Sekretariat Menangani Isu-Isu Akidah dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor

No comments: