Urus niaga
yang bercanggah dengan Shariah, hukumnya samada fasid atau batal. Persoalan
yang timbul adalah, bagaimana dengan manfaat atau keuntungan yang diperolehi oleh
pelanggan dan apakah cara melupuskannya?
Haram
Dimanfaatkan
Harta yang
diperolehi dari sumber yang haram atau tidak sah mengikut syarak adalah haram
digunakan untuk manfaat pemiliknya kerana harta itu tidak dimilikinya. Ia termasuklah
manfaat atau keuntungan yang diperolehi dari hasil pinjaman dengan transaksi
riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil
jualan barang curi, dan hasil keuntungan pelaburan haram.
Nabi S.A.W.
pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali
sesuatu yang baik.” (Hadith Riwayat Muslim)
Cara
Pelupusan
Syeikh ‘Atiyyah
saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berpendapat bahawa: “Wajib melupuskan
harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan
kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan
jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan
diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).” (Ahsan
al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam)
Oleh itu,
jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya,
maka hendaklah dilupuskan dengan memulangkan kembali harta yang tidak sah itu
kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian bertaubat. Sekiranya gagal
dipulangkan kepada pemiliknya, maka hendaklah ia dipulangkan kepada warisnya,
jika gagal juga, maka harta itu haruslah disalurkan kepada faqir miskin
(sedeqah).
Al-Imam
al-Ghazali mengatakan bahawa “Kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari
harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian
sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan
harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri
kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan
maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan”. (Ihya’
Ulum al-Din)
Imam Ibn
Qayyim menyatakan bahawa “Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram
itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui
pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu
kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah
swt. Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia
memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu
disalurkan kepada sedeqah”. (Zad al-Ma’ad)
Sheikh Dr
Yusof al-Qardhawi di websitenya di dalam Fatawa wa Ahkam, Infaq al-mal
al-muktasab min haram, mengatakan bahawa kebenarannya adalah bahawa harta
tersebut adalah kotor (haram) dengan dinisbahkan kepada orang yang
memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik (halal)
dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan. Ianya haram ke
atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan
kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana, harta
tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu
tertentu kerana sebab yang tertentu.
Secara
kesimpulannya, menginfakkan harta dari sumber yang haram merupakan kewajipan
untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Ini kerana harta itu tidak
dimiliki secara syarak dan tidak melayakkan seseorang yang mengambilnya sebagai
harta secara milkiyyah.
Sumber:
International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis
Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan
Emas Di Malaysia
No comments:
Post a Comment