Monday, February 3, 2014

HUKUM BERZIKIR MENGGUNAKAN BIJI TASBIH



Nabi saw membenarkan berzikir menggunakan biji tasbih
Daripada Ummul Mukminin Sofiah binti Huyai:
Rasulullah saw datang kepadaku dan di tanganku ada empat ribu (4000) biji kurma yang aku bertasbih menggunakannya, lalu baginda bersabda: Apakah benda ini wahai anak perempuan kepada huyai? Lalu aku berkata: Benda ini telah aku gunakan untuk bertasbih. Baginda kemudian bersabda: Sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku meninggalkan kamu tadi lebih daripada ini. Kemudian aku berkata: Ajarkanlah kepada aku Rasulullah. Baginda bersabda: Sebutlah, Maha suci Allah sebanyak bilangan setiap sesuatu yang diciptakan oleh-Nya.”
Hadis Sohih Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan at-Tabrani

Berkata al-Imam al-Hafiz al-Mubarakfuri di dalam Tuhfatul Ahwazi syarah kepada sunan Tirmizi, “telah berkata al-Qari: Hadis ini adalah dalil yang jelas menunjukan hukum harus menggunakan biji tasbih untuk berzikir dengan sebab ikrar(pengakuan) Nabi saw”.

Para Sahabat r.a dan Salafussoleh bertasbih Menggunakan biji tasbih
Ibnu Sa’ad meriwayatkan daripada Hakim bin ad-Dailami bahawa Sa’ad bin Abi Waqas r.a bertasbih menggunakan batu.

Ibnu Abi Syaibah di dalam “al-Musannaf” daripada hamba Sa’ad bahawa beliau bertasbih menggunakan batu atau biji-bijian.

Ibnu Sa’ad menyebutkan dalam at-Tobaqat terdapat seorang perempuan meriwayatkan kepada Jabir bahawa Fatimah binti al-Husain bin Ali bin Abi Talib bertasbih menggunakan benang yang disimpulkan.

Abdullah bin Imam Ahmad dalam “zawaid az-Zuhd” meriwayatkan dari jalur Nu’aim bin Mahraz bin Abi Hurairah r.a bahawa Abu Hurairah r.a memiliki untaian benang yang ada padanya seribu simpulan, beliau tidak akan tidur malam kecuali setelah beliau bertasbih dengannya.

Imam Ahmad dalam az-Zuhd meriwayatkan bahawa Abu ad-Darda r.a memiliki biji-bijian daripada kurma yang berada di dalam bekas, selesai solat subuh beliau akan keluarkan bijian tersebut untuk bertasbih dengannya.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa beliau bertasbih menggunakan biji kurma berwarna hitam dan putih.

Ibnu Abi Syaibah telah meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa Abu Sa’id bertasbih menggunakan batu.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab az-Zuhd bahawa Yunus bin Ubaid meriwayatkan dari ibunya telah berkata: “Aku pernah memerhatikan Abu Sofiah sentiasa berzikir menggunakan batu. Abu Sofiah adalah salah seorang sahabat Nabi saw dan dia tinggal berjiran denganku.”

Penggunaan biji tasbih oleh beberapa orang Sahabat Nabi saw menunjukkan bahawa penggunaan biji tasbih adalah tidak salah dan ia adalah perbuatan yang mulia. Sesungguhnya para Sahabat Nabi saw adalah sangat benar dan adil. Berkata Imam Ibnu as-Solah, “bagi para Sahabat Nabi saw mempunyai keistimewaan iaitu tidak dipersoal akan keadilan, kebenaran dan kebaikan mereka berdasarkan al-Quran, sunnah dan Ijmak Ulamak”.

Kelebihan dan keistimewaan para Sahabat Nabi saw disebutkan banyak dalam al-Quran surah al-Fath ayat 29

Sabda Nabi saw:
“sebaik-baik umatku adalah pada kurun yang aku diutuskan kepada mereka.”

Para Ulamak muktabar menggunakan biji tasbih
Berkata al-Jalal al-Bulqini dalam kitabnya “Tuhfah al-Ibad”: Menghitung tasbih menggunakan jari lebih afdhal daripada menghitung menggunakan biji tasbih berdasarkan hadis Ibnu ‘Amr r.a, beliau meriwayatkan: “Aku melihat Nabi saw menghitung tasbih dengan menggunakan tangan baginda.”

Oleh itu menghitung tasbih menggunakan jari adalah lebih afdhal bagi mereka yang merasa aman daripada kesilapan dan mampu membilang dengan baik, bagi yang bimbang tersalah menggira jumlah tasbih maka lebih afdhal bagi mereka menggunakan biji tasbih terutama untuk bilangan yang banyak.

Al-Qadi Abu al-Abbas Ahmad bin Khilkan menyebutkan dalam wafaqat al-A’yan bahawa dilihat di tangan Abu al-Qasim al-Junaid bin Muhammad r.h.m terdapat seutas tasbih. Abu al-Qasim al-Junaid berkata, “ini adalah salah satu jalan yang menyebabkan aku sampai kepada Tuahanku, aku tidak akan berpisah dengannya”.

* Abu al-Qasim al-Junaid bin Muhammad r.h.m merupakan anak murid kepada Abu Thaur yang merupakan salah seorang anak murid Imam Syafie’, para Ulamak menggelar beliau ketua kepada Tasawuf.

Berkata Imam al-Hasan al-Basri apabila ditanya tentang tasbih: “Ini adalah sesuatu yang telah kami gunakan ketika permulaan(jalan menuju Allah), kami tidak akan meninggalkannya pada pengakhiran, aku suka untuk mengingati Allah dengan hatiku, tangan serta lidahku.”

Menggunakan biji tasbih bukan sahaja termasuk dalam meniru cara ibadat para Ulamak dan mengharapkan keberkatan mereka, tetapi ia adalah perkara penting dan sangat dituntut. Bertasbih adalah cara mengingati Allah swt, manusia apabila melihat biji tasbih mereka akan mengingati Allah dan ini adalah merupakan suatu faedah yang sangat besar.

Biji tasbih menjadi satu sebab untuk berterusan mengingati Allah swt sebagai “tali penyambung” atau “pengikat hati”. Malah tidak pernah diriwayatkan daripada golongan salaf atau khalaf akan larangan menggunakan biji tasbih atau melihatnya sebagai makruh, malah mereka berterusan menggunakannya.

Berkata I’maduddin al-Munawi mengenai tasbih, “biji-bijian disusun menjadi tasbih, apabila seorang yang pintar berkhalwah dengannya nescaya urusannya akan terhimpun(khusyuk), di saat dia mengingati Allah maka akan tercantum nama Allah pada tasbih sehingga dia ketakutan dengan pengaruhnya (pergerakkan tasbih).”

Sumber: Terjemahan kitab Rasail Hamah Wa mahabis Qayyimah, karangan Imam al-Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi



1 comment:

Jay Chen said...

jom blogwalking. pelbagai info menarik tentang kesihatan. kecantikan serta banyak lagi.

suppl3m3nt4u.wix.com/suppl3m3nt4u