Wednesday, July 20, 2011

ADAB-ADAB BAGI PENUNTUT ILMU BAH 1


1. Mempunyai Niat yang Ikhlas Kerana Allah s.w.t
Pertama sekali penuntut mestilah berniat mencari keredhaan Allah ta’ala, kejayaan hari akhirat, menghilangkan kejahilan dari dirinya, menghidupkan agama dan untuk mengenali tuntutan-tuntutan syariat.

Firman Allah s.w.t
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar.” – al-Baiyinah: 5

Nabi s.a.w bersabda:
“sesungguhnya nilai semua kerja bergantung dengan pada niatnya dan sesungguhnya balasan bagi setiap apa yang dilakukan adalah menurut apa yang diiatkan.”
(Muttafuq ‘alaih)

Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu dengan niat taqarrub kepada Allah ta’ala, dan bukan untuk tujuan lain. Segala gerak-geri, bangun duduk, setiap perkataan dan diamnya adalah hanya kepada Allah semata-mata tanpa dicampuri oleh hawa nafsu dunia.


2. Sentiasa Membersihkan Dirinya dari Segi Zahir dan Batin Daripada Perkara-perkara yang Bertentangan dengan Syariat.
Penuntut ilmu mestilah mempunyai akhlak yang baik, menghiasi dirinya dengan perkara-perkara terpuji dan sentiasa beramal dengan sunnah-sunnah nabi s.a.w dalam setiap keadaan. Bersikap zuhud, tidak tewas dengan tarikan dunia, pemurah, wara’ dan khusyuk, tenang, sopan dan tetap pendirian, sentiasa kemas dan bersih dan berwangian.

Dari al-Rabi’, beliau pernah bercerita tentang Imam al-Syafie, “kalaulah kamu melihat Imam al-Syafie dengan bajunya yang bersih, kemas serta dengan kefasihan tutur katanya nescaya kamu pasti mengaguminya.”

Jangan mengambil ringan akan hal ini, pengabaian akan hal ini akan menghalang dari mendapat keberkatan perkara-perkara sunnah, pengabaian perkara sunnah akan terhalang dari mengamalkan perkara-perkara fardhu.

3. Bersikap Rendah Diri Terhadap Guru.
Hendaklah merendah diri dan beradab dengan guru yang pernah mengajarnya walaupun guru itu lebih muda, tidak terkenal dan serba kekurangan. Ilmu itu mudah diperolehi dengan sikap merendah diri.

Berkata seorang ulamak;
“ilmu itu akan memerangi penuntutnya yang bersikap tinggi diri sepertimana air bah yang dapat memerangi tempat yang tinggi.”


Berkata imam al-Syafie: “patutkan diriku bersikap tidak sepatutnya dengan ulamak sedangkan mereka memuliakan diriku. Ingatlah, sekali-kali tidak akan dimuliakan diri yang sombong.”

Berkata Imam syafie, “jangan kamu harap ilmu itu akan diperolehi dengan watak raja dan jiwa bangga, orang yang Berjaya ialah orang yang menuntut ilmu dengan kerendahan hati dan sabar menghadapi kesempitan hidup serta sudi berkhidmat kepada Ulama.”

4. Pandangan Penuh Penghormatan Terhadap Guru dan Memuliakan Mereka.
Cara memuliakan ilmu adalah dengan memuliakan gurunya. Oleh itu, penuntut ilmu hendaklah melihat guru dengan pandangan penuh penghormatan, meyakini kebolehannya, menjaga haknya dan menghormatinya. Ini membolehkan penuntut ilmu mendapatkan manfaat yang banyak darinya dan memahami apa yang disampaikan.

Terdapat ulamak apabila pergi menuntut ilmu kepada gurunya dia terlebih dahulu bersedekah dan berdoa kepada Allah supaya menutup aib gurunya dari pandangannya dan memohon supaya Allah jangan hilangkan keberkatan ilmu gurunya kepadanya.

Berkata Imam al-Rabi’: Demi Allah, aku aku tidak berani meneguk air sedangkan guruku Imam al-Syafie sedang melihat kepadaku, kerana aku merasa gerun dengannya.”
Berkata Imam al-Syafie: apabila aku membuka helaian-helaian kitabku di hadapan imam Malik, aku membukanya dengan perlahan-perlahan kerana aku gerun kepadanya takut-takut dia mendengar bunyi kertas.”

Dari Imam Abu hanifah: Aku tidak pernah mengunjurkan kakiku kea rah rumah guruku Imam hammad kerana rasa hormatku kepadanya, sedangkan jarak rumahku dengan rumahnya dipisah oleh tujuh lorong.”

Rujukan: Makanat al-‘ilm wal ulama’, wa adab tolab al-‘ilm, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

No comments: