Wednesday, August 29, 2012

KEHEBATAN WAJAH MANUSIA


Antara keajaiban ciptaan Allah swt adalah penciptaan riak muka, sama ada manusia atau haiwan berupaya mengubah riak muka atau wajah mengikut emosi apabila rasa marah, sedih, gembira dan lain-lain. Manusia dengan gelaran makhluk paling baik dan sempurnaan penciptaan oleh Allah swt berupaya melakukan pelbagai riak wajah.

Firman Allah dalam surah an-Nuur ayat 35dengan maksudnya “….cahaya di atas cahaya. Allah memimpin sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada Nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal Perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
Dimana keajaiban yang Allah ciptakan mampu mencipta keajaiban yang lain iaitu keajaiban di atas keajaiban. Keajaiban yang saya maksudkan disini ialah kebolehan manusia mempengaruhi orang lain hanya dengan riak wajah.

Bayangkan riak wajah seseorang dalam keadaan marah, siapa yang melihatnya akan menjadi takut, riak wajah orang yang sombong menyebabkan orang rasa meluat dan riak wajah yang ceria menyebabkan orang berasa senang hati, dan begitulah seterusnya.

Maka kita patut menggunakan kelebihan ini sebaiknya dalam melahirkan kebaikkan. Contohnya bagi seorang pendakwah, pelanggannya merupakan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat. Sepatutnya riak wajah seorang pendakwah perlu ceria, sentiasa senyum dan meyakinkan pelanggannya. Bertanyalah kepada siapa sahaja, siapa yang suka kepada orang yang riak wajahnya masam dan garang, walaupun lidahnya mengucapkan Hadis Nabi saw dan Kalamullah, tapi orang tetap menjauhi diri dari pendakwah kerana riak wajahnya yang tidak menyenangkan.

Demikianlah kaedah atau strategi yang digunakan oleh para penjual produk perniagaan. Produknya bukanlah terbaik, tetapi begitu ramai pelanggan yang membeli atau mendengar penerangan promoter tersebut kerana startegi wajah yang digunakan. Apatah lagi bagi seorang pendakwah yang menawarkan barangan yang terbaik di alam semesta ini iaitu beriman kepada Allah.

wajah yang ceria dengan senyuman merupakan pakaian para pendakwah dan orang beriman, malah ia adalah cirri-ciri para penghuni syurga Allah swt. Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis, “Golongan yang pertama sekali masuk syurga, wajahnya adalah seperti bulan purnama. Dan orang yang masuk sesudah itu seperti bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu) tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka” .

Selain itu, riak wajah juga berperanan sebagai merawat hati. Riak wajah yang ceria dan sentiasa senyum akan membuang dan mengikis sifat-sifat mazmumah yang tersembunyi di dalam hati. Senyum akan melemahkan sifat ego dan sombong, memenjara sifat riak dan ujub serta menjadikan hati mudah diresapi dengan zikir iaitu mengingati Allah, ini kerana senyum itu adalah suatu nikmat sepertimana Nabi Sulaiman senyum mendengar kata-kata semut dalam surah an-Naml ayat 19.

Firman Allah swt, “ maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa Dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - Dengan limpah rahmatMu - Dalam kumpulan hamba-hambaMu Yang soleh".

Ia bukan sahaja merawat hati bagi orang yang senyum, malah turut merawat hati sesiapa yang melihat senyuman. Senyuman seseorang mampu menghilangkan tekanan dan kekusutan yang dihadapi, suami merasa bahagia melihat senyuman isteri, seorang ayah tenang hatinya melihat senyuman anak-anaknya dan seorang isteri terasa beban yang dipikul menjadi ringan dengan senyuman suaminya.

Sepertimana zakat dan sedekah menyucikan harta dan jasad dari perkara syubhah, haram dan dosa, begitu juga senyum dapat menyucikan hati dari sifat mazmumah. Maka benarlah sabda Nabi saw dalam sebuah Hadis bahawa senyum itu adalah sedekah.

Cuba hayati bagaimana Baginda Nabi saw mengajar kita dalam sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang ma’ruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” Lihatlah bagaimana keajaiban yang lahir dari keajaiban ciptaan Alla swt.

Sumber : Ilmu dan Pengamatan

No comments: