Thursday, September 6, 2012

MISI PERTAHANKAN TASAWUF



Dunia makin moden dengan pelbagai teknologi telah melahirkan ramai ilmuan muda yang bercakap dan gaya lagaknya seakan ulamak tersohor. Ramainya mereka boleh menenggelamkan suara kebenaran kerana sedikitnya yang dapat istiqomah dalam menuntut ilmu, menguasai disiplin ilmu dan menilai ilmu secara adil. Kedengaran makin kerap pihak-pihak yang mempertikaikan keindahan ilmu tasawuf, maka telah merebak satu cara pandang yang buruk terhadap ilmu tasawuf dan orang-orang yang terlibat secara aktif dalam ilmu tasawuf. Sehinggakan perkataan sufi itu didengar dan diperdengarkan secara sinis.

Apa yang pelik dan menghairankan apabila kita perhatikan terdapat segelintir golongan yang mencela tasawuf dan jelas menentang malah bermusuh terhadap pengamalnya dan juga yang sering mengingkari melakukan perkara yang dilakukan Ahli Tasawuf dan berucap dengan ucapan Ahli Tasawuf, kemudian tanpa segan silu memetik kalam dan kata-kata tokoh-tokoh sufi di dalam ucapan dan khutbah mereka di atas mimbar Jumaat serta halakah pengajian. Salah  

Dalam rentetan sejarah kehidupan ini, siapakah dari kalangan Ulamak besar dunia yang tidak mengenali al-Fudhail bin Iyadh, al-Junaid, Hasan al-Basri, sahl at-Tustari, al-Muhasibi, Bishru al-Hafi, Ibnu Athailah al-Sakandari, Abul Hassan as-Syazili dan lain-lain lagi. Nama-nama mereka meniti di atas bibir Ulamak dan kalam mereka sentiasa manis di lidah para Ulamak sehinggakan dalam kitab hadis ada tertulis “dia seorang sufi” bila disebutkan perawi bagi hadis.

Al-Imam Al-Junaid pernah berkata:
"Semua jalan (menuju Allah) terhalang terhadap makhluk melainkan mereka yang mengikuti jejak langkah Rasulullah dan menuruti Sunnahnya serta tetap berada di jalannya. Ini kerana jalan-jalan kebaikan itu kesemuanya terbuka kepada baginda dan mereka yang mengikut serta menuruti baginda." 

Abu Yazid al-Busthami pernah suatu ketika berbicara bersama sahabat-sahabatnya, “Ayuh kalian, bangkitlah supaya kita sama-sama pergi melihat hal keadaan si fulan yang mengisytiharkan dirinya sebagai wali.” Beliau berkata lagi, “setelah kami sampai, si fulan tersebut dalam perjalanan menuju ke masjid lalu meludah ke arah kiblat.” Maka Abu Yazid pun berpaling dan tidak memberi salam kepadanya lalu berkata: 

“Fulan ini bukanlah manusia yang boleh dipercayai dalam mengamalkan adab-adab yang diajar oleh  Rasulullah, bagaimana dia boleh dipercayai dengan dakwaannya yang telah mencapai martabat kewalian dan Siddiq?” 

Zunnun al-Misri pernah berkata: 
"Topik perbicaraan Tasawuf ada empat; cintakan Allah, membenci sedikit, mengikut perintah yang diturunkan  oleh Allah, dan takut dipalingkan daripada hidayah. Antara tanda seorang yang mencintai Allah itu adalah mengikuti kekasih Allah dari sudut akhlak, perbuatan, perintah dan cara hidupnya". 

As-Siriyy  as-Saqathi berkata: 
“Tasawuf itu kata nama kepada tiga pengertian. Pertama; cahaya makrifatnya tidak  memadamkan cahaya waraknya. Kedua; tidak berbicara dengan ilmu batin yang menyalahi zahir al-Quran dan as-Sunnah. Ketiga; karamat yang dikurniakan kepadanya tidak
mendorongnya melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah." 

Abu  Nasr  Bishr  al-Hafi pernah berdialog bertemu dengan Rasulullah , ujar beliau: Aku pernah 
bermimpi bertemu Rasulullah, lalu baginda bersabda kepadaku; “Wahai Bishr! Tahukah engkau apakah sebab Allah melebihkanmu daripada sahabat-sahabatmu?” Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah pun bersabda; 

“Hal ini kerana engkau sentiasa mengikuti sunahku, berkhidmat kepada orang-
orang yang soleh, memberi nasihat kepada saudara-saudaramu, serta cintakan para sahabat dan ahli keluargaku. Inilah yang menyebabkan engkau sampai kepada martabat orang-orang abrar
.” 

Abu  Yazid  bin  Thaifur  bin  ‘Isa  al  Busthami berkata:  
“Aku pernah terdetik untuk memohon kepada Allah supaya mencabut keinginanku terhadap makanan dan wanita. Kemudian aku terfikir mana mungkin aku meminta sesuatu yang tidak pernah dipohon oleh Rasulullah. Lantas aku pun tidak memohon sedemikian kepada Allah, lalu Allah memelihara keinginan nafsuku terhadap wanita sehinggakan aku tidak membezakan antara wanita dan dinding.” 

Ujar beliau lagi: “Jikalau kamu melihat seorang lelaki yang dikurniakan karamah yang banyak sehingga boleh terbang di udara, jangan kamu terpedaya. Sehinggalah kamu melihat pendiriannya ketika melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan serta memelihara batasan dan melaksanakan syariat".  

Berkata Abu Sulaiman Abdurrahman bin ‘Athiyyah ad-Darani:  

“Ada kala aku memperoleh sesuatu yang aneh (berupa hikmah) di dalam hatiku. Aku tidak akan menerima sesuatu daripadanya kecuali dengan disertai dua saksi yang adil;  al-Kitab dan as-Sunnah". Ucapan beliau: ...menerima sesuatu daripadanya iaitu daripada hatinya.
 
Berkata Abul Hasan Ahmad bin Abil Hawari: 
“Sesiapa yang beramal tanpa mengikuti sunnah Rasulullah maka amalannya salah (batal amalannya)".
 
Abu Hafs Umar bin Salamah Al- Haddad berpesan:  
“Sesiapa yang tidak menimbang amalannya pada setiap waktu dengan al-Kitab dan as-Sunnah dan tidak menyalahkan lintasan hati, maka janganlah engkau letakkannya di kalangan Ahli Sufi." 
 
Abul Qasim al-Junaid bin Muhammad berkata: 
“Sesiapa yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak menulis al-Hadis, maka dia tidak akan diikuti dalam ilmu kesufian. Ini kerana ilmu kami (tasawuf) terikat dengan al-Kitab dan as-Sunnah." 
 
Katanya lagi: 
“Jalan kami ini (jalan sufi) terikat dengan dalil-dalil al-Kitab dan as-Sunnah. Adapun ilmu
kami (tasawuf) ini terbina daripada hadis-hadis Rasulullah
.

Berkata Abu Osman Said bin Ismail al-Hiri: 
Apabila berubah keadaan Abu Osman lalu si anak tidak berpuas hati. Lalu si anak mengoyakkan baju, maka Abu Osman membuka matanya. Beliau berkata: 

"Sentiasalah dengan as-Sunnah. Wahai anakku, apa yang di zahir itu merupakan petanda kesempurnaan batin (jangan menyalahi hukum)." 

Katanya lagi: 
“Berdamping dengan Allah itu dengan adab yang baik dan sentiasa mengagungkan-Nya. Manakala berdamping dengan Rasulullah pula adalah dengan mengikuti sunnahnya dan mengamalkan ilmu zahir(hukum syarak). Sementara mendampingi para wali Allah adalah dengan menghormati dan berkhidmat kepada mereka. Mendampingi keluarga adalah dengan akhlak yang mulia. Mendampingi teman-teman pula adalah dengan menggembirakan mereka selagi mana tidak membawa kepada dosa. Mendampingi golongan jahil pula adalah dengan
mendoakan serta mengasihi mereka."
 

Katanya lagi: 
“Sesiapa yang sunnah memerintah di dalam dirinya sama ada perkataan atau perbuatan maka dia tidak akan keluar dari lidahnya kecuali hikmah. Sesiapa yang hawa nafsu memerintah di dalam dirinya sama ada pada perbicaraan dan perbuatan maka tidak akan keluar dari perbicaraannya kecuali bid’ah.” Firman Allah Taala yang bermaksud: “dan jika
kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk.”
 {Surah an-Nur: 54}  

Abul Hasan Ahmad bin Muhammad an-Nuri berkata:  
“Barang siapa yang kamu lihat dia berdoa kepada Allah dalam keadaan mengeluarkannya dari batas syarak maka janganlah kamu dekatinya.”

Abul Fawaris shah bin Sujak al-Karmani berkata:
“Sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada perkara-perkara haram, menahan dirinya daripada syahwat, sentiasa menghiasi batinnya dengan muraqabah dan diikuti luarannya dengan mengikuti sunnah serta menjaga dirinya dengan makanan yang halal, nescaya firasat tidak akan tersalah". 

Abul Abbas Ahmad Bin Muhammad Bin Sahl Bin Atho al-Adami berkata: 
"Sesiapa yang sentiasa mengamalkan adab-adab yang ditetapkan oleh syariat, nescaya Allah akan menerangi hatinya dengan nur makrifat dan mengurniakannya kemudahan dalam mengikuti sunnah Nabi pada perintah-perintah baginda, tingkah laku dan keperibadiannya".  

Ujar beliau lagi: 
"Setiap kali kamu ditanya dengan sesuatu persoalan, maka jawablah berpandukan ilmu yang benar. Jika kamu tidak menemui jawapan, maka carilah penyelesaiannya berdasarkan hikmah. Jika tidak, pertimbangkanlah dengan tauhid. Jika kamu tidak temukannya pada 3 tempat ini,maka lemparkan masalah itu ke wajah Syaitan". 

Abu Hamzah al-Baghdadi Al-Bazzar berkata: 
"Sesiapa yang mengetahui jalan Allah, maka Allah akan mudah jalan menuju-Nya. Tiada petunjuk untuk menuju jalan Allah melainkan mengikuti Rasulullah dalam segenap keadaan, perbuatan dan perkataan baginda." 

Abu Ishak Ibrahim bin Daud ar-Roqqi berkata: 
"Antara tanda hakikat kecintaan kepada Allah adalah mengutamakan kepatuhan kepada-Nya dan mengikuti jejak langkah Nabi" 

Mimsyad Ad-Dinawari berkata:
"Adab seorang penuntut adalah sentiasa menjaga kehormatan para Ulama, khidmat teman teman dan mengelakkan diri daripada sebab-sebab keduniaan serta menjaga adab-adab syarak ke atas dirinya".

Abu Muhammad Abdullah bin Manazil berkata:  
"Tiada seorang pun yang melalaikan satu kewajipan dari kewajipan-kewajipan melainkan Allah akan timpakan bala ke atasnya dengan melalaikan Sunnah-sunnah. Tiada seorang pun yang dibala dengan melalaikan Sunnah melainkan dikhuatiri akan dibala dengan bida'h." 

Sumber : Misi Ulama Tasawuf ke Arah Beramal dengan Syariat & Hakikat Asya'irah

No comments: