Monday, December 24, 2012

Tazkirah Subuh Program English Camp - Kepentingan Ilmu



Saat detik-detik terakhir sebelum kita memejamkan mata untuk tidur di malam hari, cubalah kita merenung seketika sejarah yang tercipta sewaktu kita dilahirkan. Bermulanya kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi ini, kehidupan kita penuh dengan pembelajaran untuk kebelangsungan hidup kita sehinggalah sekarang. Bermula dari belajar merangkak, kemudian berdiri, seterusnya berjalan dan sekarang kita mampu untuk berlari dan melompat. 

Tanpa melalui proses belajar mana mungkin kita mampu melakukan pelbagai aktiviti seperti sekarang ini. Ilmu yang kita perolehi telah membentuk diri kita pada hari ini, Alhamdulillah. Renungkan mengapa kita dilahirkan dan diciptakan oleh Allah SWT, Allah berfirman dalam surah Ali-Imran:

kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”  (Ali- Imran,2: 110)

Berusahalah untuk memahami dan mengetahui akan kepentingan ilmu pengetahuan. Untuk mengurus diri perlukan ilmu, untuk menggunakan kenderaan perlukan ilmu, untuk memandu di jalan raya perlukan ilmu, dan segalanya perlukan ilmu. Inilah alasan paling kukuh betapa ilmu itu perlu dituntut. 

Ilmu itu pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang tidak bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang akan memberi kebaikkan kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Dimana ilmu yang tidak bermanfaat itu adalah ilmu yang akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan kepada orang lain. 

Namun, sesuatu ilmu hanya dapat diketahui adakah ia bermanfaat atau tidak adalah selepas ilmu itu diamalkan, iaitu bergantung kepada kearah mana ilmu itu dipandu. Jika ia diarahkan kepada kebaikan maka ia akan menjadi perkara kebaikkan, dan sebaliknya jika ia digunakan kearah keburukan. Ilmu yang bermanfaat atau tidak juga dapat diketahui dengan mengetahui akan apa yang lahir dari tindakan atau perbuatan yang kita lakukan

Untuk mendapatkan ilmu itu perlu ada usaha, mana mungkin kita mendapat sesuatu tanpa ada usaha. Untuk pergi ke suatu tempat perlu ada usaha dari kaki melangkah, malah jika tempatnya jauh kita akan merasa penat dan sakit kaki. Begitu perumpamaan untuk mendapatkan ilmu.

Usaha itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan semangat yang menggunung, namun mungkin saja semangat itu lama-kelamaan akan pudar menghilang dengan ujian yang dihadapi. Ujian itu dalam bentuk ajakan rakan, hiburan, suasana dan lain-lainnya. Kita perlu ada ketegasan dalam menghadapi setiap ujian, bertegas dalam mencapai matlamat dan perancangan yang kita rancangkan.

Jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh keadaan sekeliling, namun biar kita yang menjadi pengaruh pada keadaan sekeliling. Jangan kita terpengaruh dengan keburukan tetapi kita perlu mempengaruhi orang lain melakukan kebaikan. Penuhi masa kita dengan perkara kebaikan dan dekatkan diri kita dengan perkara-perkara kebaikkan.

Dalam menuntut ilmu kita perlu sentiasa pergi ke majlis ilmu, berkawan dengan orang-orang yang berilmu, penuhi masa dengan buku-buku dan melakukan perkara kebaikan secara istiqomah seperti membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Diusia remaja terutamanya proses mengenal diri adalah sangat penting, ini kerana ia akan menjadi tanda aras untuk penetapan matlamat hidup, cita-cita dan membentuk siapa diri kita pada masa depan. Cubalah memahami diri, membina keperibadian diri, mengetahui kelebihan diri, membangunkan diri dengan menambah ilmu dan kemahiran sehingga kelak diri kita menjadi individu yang matang dalam menghadapi arus kehidupan.

No comments: