Mendidik itu dengan
kesabaran (berpesan-pesan dengan kesabaran), (Allah bersama dengan orang yang sabar). Mendidik
itu perlu ada ilmu dan akal, (tegurlah dengan hikmah dan bijaksana). Mendidik dengan
menjaga hati madu' (ajaklah mereka dengan cara yang baik). Yang selebihnya serah pada
Allah (hanya Allah yang memberi hidayah dan taufik).
“malas
la aku nak nasihat dia, bukan dia nak dengar, dia buat pekak je..”, kata adi.
“man
tu tak makan saman, ko cakap la apa pun dia macam tu jugak tak berubah langsung
dari dulu..”, bebel alif…
Rasa
sayang kita pada kawan-kawan dengan tidak ingin melihat mereka terus melakukan
perkara buruk atau maksiat atau perkara terlarang. Tapi malangnya kita tak
cukup sabar untuk berterusan menasihati dan membimbing mereka. Kita cepat putus
asa malah tindakan kita memperlekeh mereka menyebabkan mereka terasa hati dan
makin menjauhi kita. Hasil kebaikan yang kita harapkan pada awalnya tetapi
meninggalkan kesan yang negatif.
Kita
merasakan si kawan kita itu bermasalah, sebenarnya kita juga turut mempunyai
masalah. Kita tidak ingat akan firman Allah, kita tidak ingat apa yang Allah
ajar, dan kita tidak tahu apa yang lebih penting. Menasihati itu penting,
tetapi untuk kita bersabar adalah lebih penting. Allah swt berfirman dalam
surah al-Asr:
”…mereka
pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.” [Al-Asr : 3]
Dalam
ayat ini dapat kita lihat bahawa dalam menasihati perlu diiringi dengan
kesabaran, kesabaran itu merupakan kunci berjayanya matlamat menasihati.
Jika
orang yang kita nasihati itu bersikap degil, menolak dan mengabaikan apa yang
kita perkatakan, itu merupakan ujian bagi kita. Sunnah kehidupan kejayaan tidak
diperolehi tanpa halangan, ujian dan cabaran. Oleh itu bersabarlah dalam
menghadapi kesukaran, jangan cepat melenting atau putus asa, sepertimana firman
Allah:
“…..dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal
hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.” [Al-Anfaal:46]
Bersabar merupakan proses yang berpanjangan,
dalam masa yang sama kita perlu memperbaiki cara dan kaedah menasihati. Menasihat
bukan hanya dengan lidah, maksud dakwah adalah luas bukan sahaja menasihati
dengan lidah tapi dengan tindakan dan segala bentuk media yang memungkinkan
kesedaran dan keinsafan berlaku. Firman Allah dalam surah yusuf:
“Kami
beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan Demikianlah Kami
membalas orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.” [Yusuf : 22]
Kita
tidak akan meninggalkan kesan yang positif jika kita hanya menyalahkan mad’u
(orang yang didakwahkan), kesalahan juga dari daie’ (orang yang berdakwah) yang
tidak menggunakan kaedah dan cara yang berkesan dalam menasihati tanpa melihat faktor
penyebab, situasi keadaan, akibat dan terlalu gopoh dalam membuat keputusan dan
menghukum.
Malah
kita lebih suka menegur dengan suara yang keras untuk menampakkan ketegasan
kita, tetapi akibatnya batu yang dibaling dengan kuat ke dinding hanya akan
berkecai atau terlantun kembali kepada kita. Berbeza jika batu itu dibaling
dengan lembut dan dilambung dengan perlahan, batu itu dapat disambut dengan
baik.
Kesilapan
kita adalah kita terlalu memikirkan hatinya dan takdir masa depan berbanding
tindakan kita. Kita sering berkata:
“hati
dia tak ikhlas…”, “budak tu insaf kejap ke tu, ko tengok la..”
Sepatutnya
kita fokuskan tindakan dan peranan kita, soal hati orang yang dinasihati kita
tidak mengetahuinya samaada dia ikhlas atau berpura-pura, biarkan soal hati itu
antara tuan empunya diri dan Allah kerana hanya Allah paling mengetahui soal
hati.
Soal
takdir masa depan juga kita tidak perlu fikirkan sama ada perubahannya hanya “hangat-hangat
tahi ayam”, soal takdir serah pada Allah, ada pun kita tidak dapat
mengetahui soal takdir, takdir dan nasib diri kita sendiri pun kita tak tahu. Malah
belum tentu kita ahli syurga dan belum pasti orang yang melakukan maksiat itu
ahli neraka.
“Serulah
ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu)
Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih
mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih
mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” [An-Nahl : 125]
“Tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka
(yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan
petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi
taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)…”
[Al-Baqarah : 272]
Oleh
itu, sentiasalah kita menghisab diri kita, memikirkan apa yang terbaik patut
kita lakukan.
“bagaimana
dapat aku dapat menyedarkan dia dan apa cara yang terbaik…”
“aku
akan terus memastikan dia tidak menjauhi diriku supaya aku akan terus dapat
mengingatkan dia..”
Mari
kita menginsafi dan mengambil pengajaran dari ayat al-Quran yang sudah pastinya
benar, Allah swt berfirman dalam surah al-Baqarah:
“Patutkah
kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu
sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”. [al-Baqarah : 44]
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment