Monday, September 19, 2016

PELABURAN EMAS: SUATU PENGENALAN


Emas Pengganti Wang Kertas
Dahulunya para pelabur melihat matawang sebagai tempat selamat untuk kegiatan pelaburan, namun disebabkan kekuatan dan kekukuhan matawang adalah tertakluk kepada situasi ekonomi dan politik sesebuah kerajaan, para pelabur mula menyedari risiko yang ada dalam pelaburan matawang, dan mencari beberapa alternatif lain yang lebih menjamin perlindungan, antaranya ialah beralih kepada pelaburan emas.

Perlu Patuh Syarak
Produk-produk dan teknik-teknik pelaburan emas hendaklah dipastikan ia menepati prinsip dan hukum Islam, supaya aktiviti kewangan masyarakat Islam tidak terkeluar dari landasan syarak. Tinjauan terhadap produk pelaburan emas mendapati sebahagiannya tidak menepati prinsip dan hukum asasi jual beli emas walau ada sebahagian syarikat perniagaan dan pelaburan emas mengisytiharkan bentuk pelaburan ‘Islamik’.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memperakukan ‘Parameter Pelaburan Emas’ yang mengandungi sejumlah garis panduan untuk dipatuhi oleh pelabur Muslim dalam aktiviti pelaburan emas.

Pelaburan Emas Dari Sudut Maqasid (matlamat) Syarak
Emas dan perak pada asasnya merupakan dua logam yang diiktiraf oleh syarak sebagai ‘thaman’ (Matawang). Al-Sarakhsi menegaskan:
“Kerana nilai al-thamaniyyah maka emas dan perak diciptakan, dan dengan nilai tersebutlah hidupnya segala harta benda lain”.

Dan terbukti sehingga kini bahawa emas dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah.

Pelaburan Emas Adalah Harus
Tidak ada halangan syarak untuk membeli emas pada harga rendah dengan niat untuk menjualnya pada harga tinggi, selagi syarat-syarat  jual beli emas yang digariskan syarak dipatuhi.  Hal ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:
“(Jual beli atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam,hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan hendaklah beserta penyerahan bersama (oleh kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua pihak)”. (Hadith Riwayat Muslim)

Juga berdasarkan prinsip asas dalam hukum hakam muamalat adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya, maka aktiviti pelaburan emas adalah dibenarkan syarak secara umumnya selagi syarat-syarat dan garis panduan bay’ al-sarf dipenuhi.

Namun jika terdapat larangan oleh pihak berkuasa atau kerajaan terhadap sesetengah bentuk pelaburan emas bagi memelihara kemaslahatan umum dan mengelak sebarang kemudaratan awam, maka ia termasuk dalam ruang lingkup siasah shar’iyyah sebagaimana ditetapkan dalam kaedah:
“Sesuatu yang dilakukan pemerintah ke atas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (kepentingan umum)”.

Syarat Akad Jual Beli Emas Yang Bersifat Ribawi
Emas sebagai item ribawi, dan transaksi jual beli emas menggunakan matawang adalah termasuk dalam kategori bay’ al-sarf, maka di sana terdapat beberapa syarat bagi memastikan akad jual beli emas menepati hukum syarak, iaitu mesti berlaku serah terima (taqabud) kedua-dua item yang dijual beli di dalam majlis akad. Syarat ini adalah disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama.

Syarat ini meliputi jual beli dua item yang sama jenis, atau yang berlainan jenis tetapi bersamaan ‘illah. Pertukaran yang sama jenis ialah seperti jual beli emas dengan emas, dan jual beli perak dengan perak. Manakala yang berlainan jenis tetapi bersamaan ‘illah pula ialah seperti pertukaran emas dengan perak. Hukum ini disepakati oleh ulama, sebagaimana Imam al- Nawawi menyebut:
“Perkataan ‘yadan bi yadin’ (penyerahan serentak/bersama) adalah hujah bagi seluruh ulama tentang kewajipan berlaku taqabud, walaupun berlainan jenis”.

Pembelian emas menggunakan matawang adalah termasuk dalam kategori bay’ al-sarf yang bersamaan ‘illah tetapi berlainan jenis. Oleh itu, akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada pensyaratan penangguhan. Syarat ini mewajibkan dua item (matawang emas atau perak) yang merupakan subjek bay’ al-sarf hendaklah diserahkan secara lani (spot), dan mana-mana pihak yang bertransaksi tidak boleh meletakkan syarat penangguhan serahan.

Abu Sa’id al-Khudr meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Dan jangan berjual beli item-item tersebut dengan salah satunya tiada (ketika akad) dan yang satu lagi ada (ketika akad)”. (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W juga melarang jualbeli al-sarf secara hutang, seperti mana hadis berbunyi: “Rasulullah S.A.W. melarang jual beli emas dengan perak secara hutang” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Akad Jual Beli al-Sarf Mesti Bebas Daripada Khiyar al-Shart
Majoriti fuqaha berpendapat meletakkan syarat khiyar di dalam jual beli al-sarf adalah tidak sah, dan ia membatalkan syarat dan akad sekaligus.

Persamaan Kadar Antara Dua Item Yang Ditukar Jika Bersamaan Jenis
Syarat ini hanya khas bagi pertukaran dua item yang bersamaan jenis, contohnya jual beli atau pertukaran antara emas dengan emas, atau antara perak dengan perak. Di dalam transaksi pertukaran ini, kedua-dua item hendaklah bersamaan kadar dari sudut timbangan.


Sumber: 
International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

JENIS PELABURAN EMAS DI PASARAN


Pelaburan emas boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama seperti berikut:
  1. Emas Fizikal
  2. Akaun Emas
  3. Emas Maya


Emas Fizikal
Emas fizikal adalah dalam dua bentuk berikut:
  1. Bentuk syiling emas dan jongkong emas
  2. Barang perhiasan.


Akaun Emas
Terdapat produk pelaburan emas berasaskan akaun simpanan emas. Kelebihannya ialah pemegang akaun dapat membuat keuntungan dengan kenaikan harga emas tanpa perlu menyimpan emas yang dibelinya secara fizikal. Dengan membuka akaun ini, pelanggan tidak diberikan emas fizikal, sebaliknya kuantiti emas yang dibeli beserta nilainya direkodkan dalam buku akaun pelanggan.

Emas Maya
Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya adalah menggunakan platform elektronik, seperti yang ditawarkan oleh sesetengah broker forex.

Pastikan Mematuhi Syarak
Terdapat pelbagai kaedah dan produk pelaburan emas dan semakin ramai orang Islam yang terlibat dalam aktiviti ini. Bagi yang terlibat atau baru hendak menceburkan diri dinasihatkan supaya mengambil perhatian dari sudut kepatuhan Syariah. Ini kerana keuntungan dari pelaburan tersebut sekiranya tidak memenuhi tuntutan syarak akan membiakkan sumber pendapatan haram yang dimurkai dan tidak diberkati oleh Allah.

Menjadi peranan kepada para Ustaz, Pendakwah dan pelajar Pengajian Islam untuk sentiasa peka dengan kewujudan pelbagai produk pelaburan emas, agar dapat memberi panduan kepada masyarakat Islam yang ingin melibatkan diri dengan aktiviti ini. Apatah lagi aktiviti pelaburan ini melibatkan item yang bersifat ribawi.

Pengguna Islam perlu berhati-hati dalam memilih produk pelaburan emas dan tidak hanya terpengaruh dengan janji-janji pulangan lumayan yang tidak dipastikan status halalnya.

Syarikat-syarikat perniagaan emas hendaklah peka dengan hukum-hakam syarak berkaitan pelaburan emas. Sewajarnya setiap syarikat pelaburan emas mewujudkan jawatankuasa syariah tersendiri bagi memastikan produk yang ditawarkan tidak menyalahi hukum syarak.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

PELUPUSAN HARTA DARI SUMBER HARAM


Urus niaga yang bercanggah dengan Shariah, hukumnya samada fasid atau batal. Persoalan yang timbul adalah, bagaimana dengan manfaat atau keuntungan yang diperolehi oleh pelanggan dan apakah cara melupuskannya?

Haram Dimanfaatkan
Harta yang diperolehi dari sumber yang haram atau tidak sah mengikut syarak adalah haram digunakan untuk manfaat pemiliknya kerana harta itu tidak dimilikinya. Ia termasuklah manfaat atau keuntungan yang diperolehi dari hasil pinjaman dengan transaksi riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil jualan barang curi, dan hasil keuntungan pelaburan haram.
Nabi S.A.W. pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.” (Hadith Riwayat Muslim)

Cara Pelupusan
Syeikh ‘Atiyyah saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berpendapat bahawa: “Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).” (Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam)

Oleh itu, jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya, maka hendaklah dilupuskan dengan memulangkan kembali harta yang tidak sah itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian bertaubat. Sekiranya gagal dipulangkan kepada pemiliknya, maka hendaklah ia dipulangkan kepada warisnya, jika gagal juga, maka harta itu haruslah disalurkan kepada faqir miskin (sedeqah).

Al-Imam al-Ghazali mengatakan bahawa “Kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan”. (Ihya’ Ulum al-Din)

Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa “Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah swt. Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah”. (Zad al-Ma’ad)

Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi di websitenya di dalam Fatawa wa Ahkam, Infaq al-mal al-muktasab min haram, mengatakan bahawa kebenarannya adalah bahawa harta tersebut adalah kotor (haram) dengan dinisbahkan kepada orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik (halal) dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan. Ianya haram ke atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana, harta tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu tertentu kerana sebab yang tertentu.


Secara kesimpulannya, menginfakkan harta dari sumber yang haram merupakan kewajipan untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Ini kerana harta itu tidak dimiliki secara syarak dan tidak melayakkan seseorang yang mengambilnya sebagai harta secara milkiyyah. 

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

PELABURAN EMAS MAYA


Emas maya ialah emas yang diniagakan menggunakan platform elektronik seperti talian internet. Urus niaga ini dilakukan oleh syarikat-syarikat broker forex dengan menawarkan perdagangan emas dan perak dengan bersandarkan kepada harga semasa emas dan perak, ia tidak melibatkan urus niaga secara fizikal atau secara akaun bank. Pelaburan emas maya menggunakan platform elektronik adalah tidak menepati hukum syarak.

Isu leverage
Sebagaimana dalam forex secara online, operasi pelaburan emas maya juga dijalankan dengan adanya kemudahan leverage. Leverage telah ditakyifkan sebagai pinjaman kewangan (qard), dan dimaklumi bahawa setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat kepada pemberi pinjam adalah riba yang diharamkan. Unsur leverage juga menimbulkan isu pensyaratan akad jual beli di dalam akad qard.

Isu Qabd (Serah Terima)
Dalam operasi pelaburan emas maya menggunakan platform elektronik, isu qabd berlaku apabila emas yang dibeli oleh pelabur ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaunnya, sehingga dia menutup balik posisi dengan menjualnya kepada broker. Ini bermakna, tidak berlaku qabd samada hakiki atau hukmi ketika transaksi pembelian emas dijalankan.

Penjualan Sesuatu Yang Tiada Dalam Pegangan
Dalam konteks pelaburan emas maya, penjualan emas sebelum qabd berlaku dalam dua keadaan, pertama ketika pelabur membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik emas yang dibelinya dari broker, sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap emas tersebut. Kedua, ketika pelabur memulakan transaksi dengan membuka posisi short (menjual emas), dia telah membuat transaksi penjualan emas yang tidak dimilikinya dan tidak ada dalam pegangannya.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.

PELABURAN MELALUI AKAUN EMAS



Tidak Memberikan Kemudahan Withdrawal Emas Fizikal
Terdapat aktiviti pelaburan emas melalui pembukaan akaun emas yang tidak melibatkan qabd (serah terima) terhadap emas fizikal yang dibeli oleh pelabur. Walaupun pihak bank menyatakan bahawa ia berasaskan kepada kewujudan emas fizikal, namun pihak bank tidak memberikan pilihan kepada pelabur untuk mendapatkan emas tersebut secara fizikal.

Jika bank meletakkan syarat bahawa emas tidak akan diserahkan secara fizikal kepada pelabur, sebaliknya akan ditukar kepada nilai dan diserahkan dalam bentuk tunai maka urus niaga ini adalah tidak sah. Ketiadaan penyerahan hakiki atau penyerahan muktabar yang menggantikan penyerahan hakiki ketika proses pembelian emas menyalahi syarak.

Apabila pelabur tidak dapat menuntut emas fizikal daripada belian emas, kemudian membuat pengeluaran ketika harganya telah naik, maka keuntungan yang diperolehi oleh pelabur adalah termasuk dalam larangan syarak berkenaan mengambil keuntungan dari jualan suatu yang belum berada dalam jaminannya.

Akaun Emas Yang Memberikan Kemudahan Withdrawal
Jika bank tidak meletakan sebarang syarat dan memberikan pilihan kepada pelabur samada untuk melakukan pengeluaran dalam bentuk nilai iaitu dengan menjual emas kepada bank pada harga semasa dan dikreditkan ke dalam akaun pelabur, ataupun dengan cara menuntut emas fizikal daripada bank dengan mengambilnya di cawangan tertentu maka transaksi ini dibolehkan.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.