Wednesday, August 24, 2016

PELABURAN EMAS MELALUI KAEDAH SKIM PAJAK GADAI



Amalan pajak gadai merupakan kaedah mudah mendapatkan pinjaman wang segera terutama bagi golongan berpendapatan rendah, amalan ini telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Kaedah pajak gadai ini kemudianya digunakan dan diubahsuai oleh para pelabur emas untuk mendapatkan wang tunai tambahan bagi memaksimakan jumlah pelaburan emas mereka.

Keuntungan Melalui Pelaburan Emas
Keuntungan melalui kaedah pajak gadai adalah dengan membandingkan upah simpan emas dengan kadar kenaikan harga emas. Berdasarkan penelitian purata kenaikan harga emas saban tahun, mereka percaya keuntungan daripada kenaikan harga emas adalah jauh lebih tinggi daripada caj upah simpan. Oleh itu pelabur mendapat keuntungan dari pelaburan emas lebih tinggi berbanding dengan caj upah simpan yang ditanggung.

Teknik manipulasi skim pajak gadai dalam pelaburan emas dilakukan dengan beberapa kaedah, antaranya kaedah membeli emas, kemudian memajak emas yang dibeli, diulang dengan membeli emas dan memajak lagi dan diulang beberapa kali bagi mendapatkan emas yang lebih banyak untuk dilaburkan.

Kaedah Pelaburan Emas Skim Pajak Gadai
Kaedah ini bermula dengan pembelian emas fizikal yang boleh dipajak gadai untuk mendapatkan pinjaman. Melalui cara ini, pelabur menggadaikan emas yang dimiliki di pusat pajak gadai untuk mendapatkan pinjaman. Dengan pinjaman itu tadi, pelanggan membeli emas lagi lantas memajakkannya untuk mendapatkan pinjaman sekali lagi dan proses ini diulang-ulang bagi mendapat pemilikan emas semaksima yang boleh. Apabila harga emas meningkat, pelanggan tadi akan menebus kesemua emas yang dipajak tadi dan menjualnya semula di pasaran untuk mendapatkan untung. Langkah-langkah bagi menjalankan kaedah ini adalah seperti contoh berikut:

(i) A membeli emas sebanyak 100gm dengan harga semasa iaitu RM20,000.

(ii) Dia meletakkan emas tersebut di pajak gadai dan mendapat pinjaman sebanyak RM14,000, dengan bayaran upah simpan untuk enam bulan sebanyak RM840. (RM0.70 untuk setiap RM100 nilai emas).

(iii) Wang RM14,000 digunakan untuk membeli emas lagi, dan dipajak lagi untuk mendapat pinjaman sebanyak RM9,800 dengan upah simpan sebanyak RM588, dan digunakan lagi untuk membeli emas.

(iv) Operasi ini diulang-ulang hingga ke gadaian kali keenam.

(v) Selepas enam kali operasi ini diulang-ulang, nilai semasa keseluruhan emas yang A miliki ialah RM58,823. Jumlah pinjamannya ialah sebanyak RM41,176. Keseluruhan upah simpan bagi enam bulan ialah sebanyak RM2,471.

(vi) Setelah tempoh matang (enam bulan), harga emas naik sebanyak 10%. Maka nilai keseluruhan emas pada waktu itu ialah RM64,705. Keuntungan kasarnya ialah sebanyak RM5882. Setelah ditolak upah simpan, keuntungan bersih ialah sebanyak RM3,411.

Jika A tidak menggunakan teknik pajak gadai berganda ini, dia hanya akan mendapat keuntungan sebanyak RM2000 sahaja dengan kenaikan 10% nilai emas.

Hukum: Harus Namun Tidak Digalakkan
Kaedah ini tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak sekiranya pembelian emas dilakukan memenuhi syarat-syaratnya terutama dari sudut pembayaran dan penyerahan emas. Manakala membeli emas menggunakan wang yang dipinjam daripada pihak lain adalah dibenarkan oleh syarak.

Justeru, penggunaan skim pajak gadai boleh dikatakan sebagai isu berasingan yang tidak berkaitan secara langsung dengan hukum pelaburan emas. Aspek yang perlu dilihat ialah produk pembiayaan berasaskan pajak gadai itu sendiri, adakah ia patuh syariah ataupun tidak.

Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk mendapat wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum Syarak. Namun, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

No comments: