Monday, August 22, 2016

PARAMETER PELABURAN EMAS



Rukun Jual Beli
Jual beli emas termasuk barang perhiasan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu:


1. Pihak yang berakad (Penjual dan Pembeli). Pihak yang berakad mestilah orang baligh, berakal, dan rasyid. Tidak sah jual beli dengan orang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya

2. Item pertukaran (Emas)

3. Sighah (Ijab dan Qabul) menurut uruf yang diamalkan. Kedua-dua pihak mestilah saling redha-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan, dan eksploitasi. Sekiranya suatu transaski tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Harga Belian (al-Thaman)
Harga emas diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad / kontrak

Barang Belian (al-Muthman)
Emas  hendaklah wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak penjual. Tidak sah jual beli sesuatu yang tidak wujud dan juga jual beli sesuatu yang tidak dimiliki oleh penjual. Emas itu juga boleh diserahkan kepada pembeli atau wakil pembeli.

Spesifikasi emas diketahui oleh penjual dan pembeli dengan melihat sendiri emas yang hendak dibeli atau melihat contoh atau katalog, ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan/tempahan sebelum akad/kontrak dilaksanakan.

Penentuan/Ukuran Emas
Ukuran emas adalah berdasarkan ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999), jongkong emas boleh didapati dalam unit gram seperti 5g, 10g, 50g, dan 100g. Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya, Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Persamaan Kadar Dua Item yang Sama Jenis
Syarat ini hanya khas bagi pertukaran dua item yang bersamaan jenis, contohnya jual beli atau pertukaran antara emas dengan emas, atau antara perak dengan perak. Di dalam transaksi pertukaran ini, kedua-dua item hendaklah bersamaan kadar dari sudut timbangan dan kualiti.

Sighah (Ijab dan Qabul)
Sighah ialah keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Sighah boleh berlaku melalui pertuturan atau ucapan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah sah. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas
Transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

1.          Syarat Pertama: Taqabudh (Penyerahan)
Mesti berlaku penyerahan harga dan juga barang emas, dan penyerahan hendaklah berlaku sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad. Pembayaran boleh dengan pelbagai cara sama ada secara tunai, cek yang diperakui, kad debit atau akad kredit dan pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Pembayaran melalui kad kredit masih dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak pengeluar kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan dan pembeli.

Penyerahan barang emas hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki seperti penyerahan emas secara fizikal atau berpindah tanggungjawab jaminan daripada penjual kepada pembeli atau kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “(Jual beli atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam, hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan hendaklah beserta penyerahan bersama (oleh kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua pihak)”. (HR. Muslim)

Berkata al-Imam Al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Perkataan ‘yadan bi yadin’ (penyerahan serentak/bersama) adalah hujah bagi seluruh ulama tentang kewajipan berlaku taqabud, walaupun berlainan jenis”.

2.          Syarat Kedua: Tiada Penangguhan
Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani (Spot)dan tidak boleh berlaku sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas. Terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari ini. Namun pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari lebih selamat untuk diikuti. Oleh itu, kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Abu Saied al-Khudri meriwayatkan bahawa Nabi Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “Dan jangan berjual beli item-item tersebut dengan salah satunya tiada (ketika akad) dan yang satu lagi ada (ketika akad)”. (HR. al- Bukhari)

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam melarang jual beli al-Sarf secara hutang, seperti mana hadis berbunyi: “Rasulullah S.A.W. melarang jual beli emas dengan perak secara hutang”. (HR. al- Bukhari)

Majlis Akad (Kontrak)
Majlis akad boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili, video maya dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh(penyerahan) ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah(wakil).

Majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad yang ditandatangani tersebut sampai ke tangan penjual, maka bermulalah majlis akad tersebut pada waktu itu Jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Urusniaga Bebas Dari Unsur Yang Dilarang
Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber:

 1.  International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.

2http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

No comments: