Dunia
makin moden dengan pelbagai teknologi telah melahirkan ramai ilmuan muda yang
bercakap dan gaya lagaknya seakan ulamak tersohor. Ramainya mereka boleh
menenggelamkan suara kebenaran kerana sedikitnya yang dapat istiqomah dalam
menuntut ilmu, menguasai disiplin ilmu dan menilai ilmu secara adil. Kedengaran
makin kerap pihak-pihak yang mempertikaikan keindahan ilmu tasawuf, maka telah
merebak satu cara pandang yang buruk terhadap ilmu tasawuf dan orang-orang yang
terlibat secara aktif dalam ilmu tasawuf. Sehinggakan perkataan sufi itu
didengar dan diperdengarkan secara sinis.
Apa
yang pelik dan menghairankan apabila kita perhatikan terdapat segelintir
golongan yang mencela tasawuf dan jelas menentang malah bermusuh
terhadap pengamalnya dan juga yang sering mengingkari melakukan
perkara yang dilakukan Ahli Tasawuf dan berucap dengan ucapan Ahli Tasawuf,
kemudian tanpa segan silu memetik kalam dan kata-kata tokoh-tokoh sufi
di dalam ucapan dan khutbah mereka di atas mimbar Jumaat serta halakah pengajian.
Salah
Dalam
rentetan sejarah kehidupan ini, siapakah dari kalangan Ulamak besar dunia yang
tidak mengenali al-Fudhail bin Iyadh, al-Junaid, Hasan al-Basri, sahl
at-Tustari, al-Muhasibi, Bishru al-Hafi, Ibnu Athailah al-Sakandari, Abul
Hassan as-Syazili dan lain-lain lagi. Nama-nama mereka meniti di atas bibir
Ulamak dan kalam mereka sentiasa manis di lidah para Ulamak sehinggakan dalam
kitab hadis ada tertulis “dia seorang sufi” bila disebutkan perawi bagi hadis.
Al-Imam Al-Junaid pernah
berkata:
"Semua jalan
(menuju Allah) terhalang terhadap makhluk melainkan mereka yang mengikuti
jejak langkah Rasulullah dan menuruti Sunnahnya serta
tetap berada di jalannya. Ini kerana jalan-jalan kebaikan itu kesemuanya
terbuka kepada baginda dan mereka yang mengikut serta menuruti baginda."
Abu
Yazid al-Busthami pernah suatu ketika berbicara bersama
sahabat-sahabatnya, “Ayuh kalian, bangkitlah supaya kita sama-sama pergi
melihat hal keadaan si fulan yang mengisytiharkan dirinya sebagai
wali.” Beliau berkata lagi, “setelah kami sampai, si fulan tersebut dalam
perjalanan menuju ke masjid lalu meludah ke arah kiblat.” Maka Abu Yazid
pun berpaling dan tidak memberi salam kepadanya lalu berkata:
“Fulan
ini bukanlah manusia yang boleh dipercayai dalam mengamalkan adab-adab yang
diajar oleh Rasulullah, bagaimana dia boleh dipercayai dengan dakwaannya
yang telah mencapai martabat kewalian dan Siddiq?”
Zunnun
al-Misri pernah berkata:
"Topik perbicaraan
Tasawuf ada empat; cintakan Allah, membenci sedikit, mengikut perintah yang
diturunkan
oleh Allah, dan takut dipalingkan daripada hidayah. Antara tanda seorang
yang mencintai Allah itu adalah mengikuti kekasih Allah dari sudut
akhlak, perbuatan, perintah dan cara hidupnya".
As-Siriyy as-Saqathi
berkata:
“Tasawuf
itu kata nama kepada tiga pengertian. Pertama; cahaya makrifatnya
tidak memadamkan cahaya waraknya. Kedua; tidak berbicara dengan ilmu
batin yang menyalahi zahir al-Quran dan as-Sunnah. Ketiga; karamat
yang dikurniakan kepadanya tidak
mendorongnya melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh
Allah."
Abu Nasr Bishr al-Hafi pernah
berdialog bertemu dengan Rasulullah , ujar beliau: Aku pernah
bermimpi
bertemu Rasulullah, lalu baginda bersabda kepadaku; “Wahai Bishr! Tahukah
engkau apakah sebab Allah melebihkanmu daripada sahabat-sahabatmu?” Aku
menjawab: “Tidak wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah pun
bersabda;
“Hal
ini kerana engkau sentiasa mengikuti sunahku, berkhidmat kepada orang-
orang yang soleh, memberi nasihat kepada saudara-saudaramu, serta cintakan para
sahabat dan ahli keluargaku. Inilah yang menyebabkan engkau sampai kepada
martabat orang-orang abrar.”
Abu Yazid bin Thaifur bin ‘Isa al Busthami berkata:
“Aku
pernah terdetik untuk memohon kepada Allah supaya mencabut keinginanku
terhadap makanan dan wanita. Kemudian aku terfikir mana mungkin aku meminta
sesuatu yang tidak pernah dipohon oleh Rasulullah. Lantas aku pun tidak
memohon sedemikian kepada Allah, lalu Allah memelihara keinginan
nafsuku terhadap wanita sehinggakan aku tidak membezakan antara wanita dan
dinding.”
Ujar
beliau lagi: “Jikalau kamu melihat seorang lelaki yang dikurniakan
karamah yang banyak sehingga boleh terbang di udara, jangan kamu
terpedaya. Sehinggalah kamu melihat pendiriannya ketika melaksanakan
perintah dan meninggalkan larangan serta memelihara batasan dan
melaksanakan syariat".
Berkata
Abu Sulaiman Abdurrahman bin ‘Athiyyah ad-Darani:
“Ada
kala aku memperoleh sesuatu yang aneh (berupa hikmah) di dalam
hatiku. Aku tidak akan menerima sesuatu daripadanya kecuali dengan
disertai dua saksi yang adil; al-Kitab dan as-Sunnah". Ucapan beliau: ...menerima
sesuatu daripadanya iaitu daripada hatinya.
Berkata
Abul Hasan Ahmad bin Abil Hawari:
“Sesiapa
yang beramal tanpa mengikuti sunnah Rasulullah maka amalannya salah
(batal amalannya)".
Abu
Hafs Umar bin Salamah Al- Haddad berpesan:
“Sesiapa
yang tidak menimbang amalannya pada setiap waktu dengan al-Kitab dan as-Sunnah
dan tidak menyalahkan lintasan hati, maka janganlah engkau
letakkannya di kalangan Ahli Sufi."
Abul
Qasim al-Junaid bin Muhammad berkata:
“Sesiapa
yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak menulis al-Hadis, maka dia tidak
akan diikuti dalam ilmu kesufian. Ini kerana ilmu kami (tasawuf) terikat
dengan al-Kitab dan as-Sunnah."
Katanya
lagi:
“Jalan
kami ini (jalan sufi) terikat dengan dalil-dalil al-Kitab dan as-Sunnah.
Adapun ilmu
kami (tasawuf) ini terbina daripada hadis-hadis Rasulullah."
Berkata
Abu Osman Said bin Ismail al-Hiri:
Apabila
berubah keadaan Abu Osman lalu si anak tidak berpuas hati. Lalu si anak
mengoyakkan baju, maka Abu Osman membuka matanya. Beliau berkata:
"Sentiasalah
dengan as-Sunnah. Wahai anakku, apa yang di zahir itu merupakan petanda
kesempurnaan batin (jangan menyalahi hukum)."
Katanya
lagi:
“Berdamping
dengan Allah itu dengan adab yang baik dan sentiasa mengagungkan-Nya.
Manakala berdamping dengan Rasulullah pula adalah dengan mengikuti
sunnahnya dan mengamalkan ilmu zahir(hukum syarak). Sementara
mendampingi para wali Allah adalah dengan menghormati dan berkhidmat
kepada mereka. Mendampingi keluarga adalah dengan akhlak yang mulia.
Mendampingi teman-teman pula adalah dengan menggembirakan mereka
selagi mana tidak membawa kepada dosa. Mendampingi golongan jahil pula
adalah dengan
mendoakan serta mengasihi mereka."
Katanya
lagi:
“Sesiapa
yang sunnah memerintah di dalam dirinya sama ada perkataan atau
perbuatan maka dia tidak akan keluar dari lidahnya kecuali hikmah.
Sesiapa yang hawa nafsu memerintah di dalam dirinya sama ada pada
perbicaraan dan perbuatan maka tidak akan keluar dari perbicaraannya
kecuali bid’ah.” Firman
Allah Taala yang bermaksud: “dan jika
kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk.”
Abul
Hasan Ahmad bin Muhammad an-Nuri berkata:
“Barang
siapa yang kamu lihat dia berdoa kepada Allah dalam keadaan
mengeluarkannya dari batas syarak maka janganlah kamu dekatinya.”
Abul
Fawaris shah bin Sujak al-Karmani berkata:
“Sesiapa
yang menundukkan pandangannya daripada perkara-perkara haram, menahan dirinya daripada
syahwat, sentiasa menghiasi batinnya dengan muraqabah dan diikuti
luarannya dengan mengikuti sunnah serta menjaga dirinya dengan makanan
yang halal, nescaya firasat tidak akan tersalah".
Abul
Abbas Ahmad Bin Muhammad Bin Sahl Bin Atho al-Adami berkata:
"Sesiapa
yang sentiasa mengamalkan adab-adab yang ditetapkan oleh syariat, nescaya
Allah akan menerangi hatinya dengan nur makrifat dan mengurniakannya
kemudahan dalam mengikuti sunnah Nabi pada perintah-perintah baginda,
tingkah laku dan keperibadiannya".
Ujar beliau lagi:
"Setiap
kali kamu ditanya dengan sesuatu persoalan, maka jawablah berpandukan
ilmu yang benar. Jika kamu tidak menemui jawapan, maka carilah
penyelesaiannya berdasarkan hikmah. Jika tidak, pertimbangkanlah dengan
tauhid. Jika kamu tidak temukannya pada 3 tempat ini,maka lemparkan masalah
itu ke wajah Syaitan".
Abu
Hamzah al-Baghdadi Al-Bazzar berkata:
"Sesiapa
yang mengetahui jalan Allah, maka Allah akan mudah jalan menuju-Nya. Tiada
petunjuk untuk menuju jalan Allah melainkan mengikuti
Rasulullah dalam segenap keadaan, perbuatan dan
perkataan baginda."
Abu
Ishak Ibrahim bin Daud ar-Roqqi berkata:
"Antara
tanda hakikat kecintaan kepada Allah adalah mengutamakan kepatuhan kepada-Nya
dan mengikuti jejak langkah Nabi"
Mimsyad
Ad-Dinawari berkata:
"Adab seorang
penuntut adalah sentiasa menjaga kehormatan para Ulama, khidmat teman
teman dan mengelakkan diri daripada sebab-sebab keduniaan serta
menjaga adab-adab syarak ke atas dirinya".
Abu
Muhammad Abdullah bin Manazil berkata:
"Tiada seorang pun yang melalaikan
satu kewajipan dari kewajipan-kewajipan melainkan Allah akan timpakan
bala ke atasnya dengan melalaikan Sunnah-sunnah. Tiada seorang pun yang
dibala dengan melalaikan Sunnah melainkan dikhuatiri akan dibala dengan
bida'h."
Sumber : Misi
Ulama Tasawuf ke Arah Beramal dengan Syariat & Hakikat Asya'irah