Wednesday, July 6, 2011

ILMU - KEMUSNAHAN ATAU KEMAKMURAN?


Tiadalah cabaran tanpa ujian, tiadalah dunia tanpa fitnah. Perhatikanlah di sekeliling kita, yang mengelilingi kita, dan yang melingkungi kita setiap hari, setiap saat, setiap waktu adalah terdiri daripada ujian dalam pelbagai bentuk dan rupa. Anak dan isteri, rakan sekerja, sahabat handai, masyarakat sekeliling, nikmat kurniaan, kelebihan, bakat, keajaiban, teknologi dan segala harta benda merupakan ujian bagi kita.

Allah memberikan ujian kepada seseorang hamba-Nya adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh setiap hamba-Nya. Ini kerana, ujian Allah itu bersesuaian dengan kesanggupan dan kemampuan seseorang menanggungnya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Oleh itu, makin besar peranan kita, semakin besar juga ujian yang bakal kita hadapi.

Sebagai contoh, jika seseorang itu merupakan ahli ilmu yang mendapat pelbagai gelaran yang hebat seperti Prof, Dr, Dato’, Tuan Guru dan apa sahaja bentuk panggilannya, maka besar dan hebat juga ujian yang bakal dihadapinya. Setiap apa yang dimiliki, yang dianugerahkan seperti bakat, kebolehan dan sebagainya akan disertakan bersamanya dengan ujian dan cabaran yang sebanding dengannya.

Seseorang ahli ilmu agama sebagai contoh, apabila di dipilih oleh Allah menjadi ahli ilmu, dikurniakan kepadanya kefahaman, kekuatan ingatan dan ilmu yang mantap, maka makin bertambah ilmunya makin beratlah beban tanggungjawab baginya dalam menjaga amanah dalam menyampaikan dan menjaga kesucian ilmunya. Bagi menyaimbangkan antara ilmu dan ujiannya, dia memerlukan kekuatan rohani dalam menghadapi pelbagai ujian dan membolehkan dia berani berkata benar pada pemimpin yang zalim, membenarkan hukum walau nyawanya berisiko, dan perlu menahan dirinya dari mendapat habuan dunia dan sebagainya.

Dengan ilmu yang dimiliki, dia mampu memanipulasi hukum untuk kepentingan dirinya, dosa yang dilakukan oleh orang yang berilmu lebih besar dari dosa yang dilakukan oleh orang yang jahil, sesuai dengan akibat dan kesan dari tindakan yang dilakukan. In kerana, orang yang berilmu mempunyai ilmu dan fikiran dalam melakukan kerosakkan yang besar, tapi orang yang jahil tidaklah mempunyai ilmu dan keupayaan untuk melakukan kerosakkan yang lebih besar, orang yang berilmu mungkin melakukan kesalahan dan dosa dalam keadaan dia tahu akan kesalahannya, namun orang yang jahil mungkin melakukan kesalahannya dalam keadaan dia tidak menyedarinya.

“Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit”.
(Riwayat Muslim & Ibn Majah)

Contoh lain ialah seseorang yang mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam penggunaan teknologi computer. Dia mampu mengubah paras rupa orang lain, mengubahsuai gambar menggunakan software tertentu dengan tujuan khianat. Dia boleh mendapatkan bahan lucah dengan mudah melalui internet dan sebarkannya pula kepada orang lain. Antara kes yang telah berlaku ialah ada kes seorang akauntan memindahkan wang dari akaun pelanggan ke dalam akaunnya sehingga dia dapat mencuri dan mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Begitu juga bagi orang yang dipilih oleh Allah menjadi pemimpin yang mentadbir Negara, mempunyai kuasa teratas dalam pentadbiran dan memegang jawatan sebagai perdana menteri. Kuasa yang ada padanya membuatkan dia mampu melakukan apa sahaja yang mampu dia lakukan. Ramai pemimpin pada hari ini dengan kuasanya menjatuhkan musuhnya dengan fitnah, menggunakan media menyebarkan fitnah, mengumpulkan harta dengan cara yang salah, menzalimi rakyat dan pelbagai lagi.

Sesungguhnya tiadalah yang mampu mengatasi semua ini dari berlaku kecuali kita sentiasa menyuburkan hati dan rohani kita dengan iman. Berusahalah menyemai iman supaya ia mampu menjadi benteng yang teguh apabila menghadapi ujian. Bagi membina iman yang kukuh, ia perlu bermula dengan nekad di dalam hati dengan membuang rasa malu dan menghadiri ke majlis zikir/ilmu dan sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh.

Sentiasa melazimi diri dengan perkara-perkara sunat dengan pakaian seperti kopiah/serban dan jubah, perkara sunat dengan perbuatan seperti memberi salam, membaca bismillah pada setiap perbuatan, perkara sunat dengan sikap iaitu menjaga kebersihan, pergaulan yang baik, bercakap perkara yang baik dan berlemah lembut, perkara sunat berbentuk ibadat seperti berpuasa sunat, mengerjakan solat sunat ba’diah dan qobliah, solat sunat dhuha dan lain-lain solat sunat, perkara sunat dengan ucapan seperti beristighfar, berzikir dan bersolawat. Namun, dalam berusaha melakukan perkara-perkara sunat tidak pula sehingga kita mengabaikan perkara yang fardhu.

Membiasakan diri dengan amalan sunat akan menyebabkan kita terasa ringan dalam melakukan perkara yang wajib. Ini kerana ia merupakan sebagai latihan kecerdasan rohani yang membolehkan otot-otot kita memecut melakukan perkara wajib. Seperti orang yang melakukan warm-up sebelum melakukan larian pecut 100 meter.

Setelah kita nekad, kita perlu komited dalam melakukannya, setiap apa yang kita lakukan perlukan istiqomah iaitu melakukannya secara berterusan dengan tekun dan sabar. Jika tiada istiqomah, perubahan yang kita lakukan mungkin menjadi hangat-hangat tahi ayam dimana kita hanya bersemangat melakukannya seberapa ketika sahaja dan kita akan meninggalkannya. Setiap apa yang kita lakukan biarlah sedikit namun istiqomah dalam melakukannya. Istiqomah akan menjadikankan apa sahaja tindakan yang kita lakukan menjadi satu amalan yang dilazimi, menjadi kebiasaan dan menjadi darah daging dalam jasad kita sehingga susah untuk kita tinggalkannya.

Sumber ; Surur Muhkamat

No comments: