“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”...(Ali 'Imran:110)
Friday, July 22, 2011
ADAB-ADAB BAGI PENUNTUT ILMU BAH 3
9. Bersikap tamak dalam menuntut ilmu dan sentiasa tekun.
Tamakkan mendapatkan ilmu akan menyebabkan seseorang menjadi tekun mengkajinya siang dan malam pada setiap masa. Jangan sampai masa hilang begitu sahaja tanpa mendapatkan ilmu kecuali untuk memenuhi keperluan sahaja. Akal yang cemerlang itu ialah seseorang yang berkemampuan menjadi pewaris Nabi s.a.w tidak melepaskan peluang yang ada.
Penuntut ilmu perlu sentiasa merasa tidak cukup, tidak puas dalam menuntut ilmu sedangkan dia mampu untuk mendapatkannya sebanyak-banyaknya. Jangan sia-siakan waktu yang ada, manfaatkan dengan sebaiknya waktu malam yang sunyi, kerana waktu untuk menuntut ilmu singkat tetap ilmu itu sangat banyak.
Isilah ilmu ketika masih ada masa lapang, ketika masih muda dan cergas, ketika badan masih kuat, ketika lintasan hati masih murni, ketika masih sedikit masa yang menyibukkan, sebelum tiba rintangan umur dan sebelum mendapat kedudukan yang tinggi.
Berkata saidina Umar al-Khattab, “fahamilah ilmu-ilmu agama sebelum kamu menjadi pemimpin.”
Berkata Imam Syafie,”fahamilah ilmu-ilmu agama sebelum kamu menjadi ketua, kerana jika kamu sudah dilantik menjadi ketua, maka terlalu susah untuk kamu menyibukkan diri dalam menuntut ilmu-ilmu agama.”
Maksud dari perkataan ini ialah supaya kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang ilmu sebelum menjadi ketua dalam bidang tersebut.
Berusahalah menghafal walau sedikit, kerana yang banyak itu bermula dari sedikit dan berkumpul menjadi banyak.
10. Memilih Guru
Berkata Imam Abu Hanifah,”aku telah mendapat guru yang sopan dan tetap pendirian, penyantun dan penyabar. Biarlah tuan guru itu seorang yang sempurna keahliannya, mendalam makrifatnya ilmunya, teguh pegangan agamanya, terkenal kewarakkannya serta kebaikkannya.”
Berkata Imam Malik, “sesungguhnya ilmu ini agama, hendaklah kamu perhatikan terlebih dahulu kepada siapa kamu mengmbil ilmu agamamu.”
Berkata syeikh Ibrahim, “penuntut-penuntut ilmu zaman dahulu apabila mereka datang kepada tuan guru untuk belajar, mereka terlebih dahulu memerhatikan perwatakannya, solatnya dan bagaimana keadaannya. Kemudian barulah mereka mengambil ilmu dari tuan guru.”
Berkata Imam al-Tsauri, “sesiapa yang menimba ilmu dari ahli bid’ah, maka Allah tidak akan memberi manfaat dari ilmunya. Sesiapa yang bersalaman dengannya, sesungguhnya dia telah merungkai satu persatu tali islamnya.”
Tuan guru mestilah seorang yang mahir dan menguasai pelbagai cabang ilmu syariat, bukan hanya mengusai dengan banyaknya ilmu dalam satu bidang sahaja.
11. Memilih sahabat.
Bergaullah dengan orang yang boleh memberi faedah kepada kita atau kita dapat mengambil faedah darinya. Jauhkanlah diri dengan orang yang mensia-siakan umurnya, ini kerana sikapnya akan cepat mempengaruhi orang yang berkawan dengannya. Jika sikapnya mempengaruhi kita, sangat sukar untuk meninggalkan sikap yang melekat pada diri kita.
12. Adab Dengan Kitab
Menghormati ilmu itu adalah dengan menghormati kitab, ini kerana alat bagi ilmu adalah kitab. Para ulamak berusaha mendapatkan kitab dan menjaga kitab mereka sebaik-baiknya. Hendaklah penuntut ilmu mengambil kitab dalam keadaan bersuci. Oleh itu ketika syeikh al-Sarkhasyi sakit perut, beliau sanggup mengambil wudhuk sebanyak tujuh belas kali dalam satu malam untuk mengulangkaji ilmu.
Janganlah meletakkan kitab tafsir di bawah kitab-kitab yang lain, dan jangan meletak objek lain atas kitab seperti pen, cermin mata dan sebagainya. Berusahalah mendapatkan kitab dengan membeli, meminjam atau menyewa.
Beradab ketika menyusun kitab, susunlah mengikut taraf kemuliaannya dan keangungan pengarangnya.
Akhir sekali, banyakkanlah bersolawat ke atas Rasulullah s.a.w, bertasbihlah kepada Allah, sentiasa beramal dengan wirid pagi dan petang, lakukanlah solat dengan kusyuk kerana semua ini akan memudahkan mendapatkan ilmu dan akan melahirkan rasa rajin untuk belajar. Bersyukurlah kepada Allah dengan lidah, hati, anggota badan ataupun dengan membelanjakan harta di jalan Allah.
Rujukan: Makanat al-‘ilm wal ulama’, wa adab tolab al-‘ilm, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment