“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”...(Ali 'Imran:110)
Thursday, July 21, 2011
ADAB-ADAB BAGI PENUNTUT ILMU BAH 2
5. Membersihkan Hati.
Bersihkan hati supaya mudah faham, mudah dihafal seperti pokok yang sihat dan diambil buahnya yang segar.
Berkata Imam al-Ghazali: “Hati itu umpama rumah yang menjadi tempat persinggahan para malaikat, tempat turunnya perkara-perkara baik yang dibawa oleh mereka dan menjadi tempat kediaman mereka. Sedangkan sifat-sifat mazmumah adalah anjing-anjing yang suka menyalak, mana mungkin hati dimasuki malaikat andai hatinya dipenuhi anjing.”
Berkata Imam Ibnu Jamaah: “solat merupakan ibadah zahir, ia sah dengan kesucian yang zahir yakni dari hadas. Demikian juga halnya dengan ilmu, ia merupakan ibadah hati, ia akan sah dengan kesucian hati dari sifat mazmumah.”
Berkata Imam Malik kepada Imam syafie: “aku melihat Allah mencampakkan cahaya ke dalam hatimu, oleh itu janganlah kamu memadamkannya dengan maksiat.”
Berkata Ibnu Mas’ud: “Ilmu itu bukanlah dinilai dari banyaknya riwayatnya, tapi dengan cahaya yang dicampakkan ke dalam hati.
6. Beradab di Dalam Majlis Ilmu.
Berkata Imam al-Khatib: “Hendaklah penuntut ilmu menjauhi dari bermain-main, melakukan sesuatu yang sia-sia, kerap ketawa terbahak-bahak, melakukan sesuatu yang ganjil dan banyak bergurau. Ketawa yang sedikit dibenarkan selagi masih menjaga adab dan tidak melampaui batas.”
Berkata Imam Malik: “satu kemestian bagi penuntut ilmu bersikap sopan dan tetap pendirian, sentiasa tenang dan takut kepada Allah, dan sentiasalah mengikuti jejak langkah para Ulama sebelumnya.”
Berkata Imam Nawawi dalam al-Tibyan: “Seharusnya penuntut ilmu beradab ketika bersama kawan-kawan dan orang lain ketika dalam majlis ilmu syeikhnya. Ini juga bermakna beradab dengan syeikhnya dan memelihara majlisnya. Jangan mengangkat suara, tidak bermain-main dengan sesuatu, tidak sering menoleh ke kiri dank ke kanan serta menumpukan pendengaran.”
7. Menjauhi Perkara-perkara yang Menyibukkan.
Berusahalah hindarkan diri perkara-perkara yang menyibukkan ketika menuntut ilmu. Janganlah sibuk mencari keperluan, tetaplah berasa cukup dengan keperluan yang sedia ada, bersabrlah dengan kesempitan hidup, manfaatkanlah usia muda dengan mendapatkan ilmu sebanyaknya, jangan dilalaikan dengan angan-angan kerana masa yang berlalu tiada gantinya. Sentiasa tetaplah hatinya dengan ilmu sebagai mana firman Allah s.w.t:
“Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya” al-Ahzab: 4
Imam al-Khatib al-Baghdadi berkata dalam kitabnya al-Jamik: “Ilmu ini tidak diperolehi kecuali dengan menjauhi urusan kedainya, membiarkan kebunnya, meninggalkan sahabat handainya, dan tidak juga disibukkan dengan keluargannya.”
Kalam ulama ini bermaksud supaya penuntut ilmu menumpukan hati dan fikiran ketika menuntut ilmu.
Berkata Imam Abu Yusuf: “Ilmu itu tidak diberikan kepadamu kecuali kamu sanggup memberi kepadanya seluruh jiwa raga kamu.”
8. Tabah Menghadapi Kepayahan dan Kesusahan.
Menjadi kelaziman para penuntut ilmu mengalami kepayahan dan kesusahan sepertimana yang dialami oleh Nabi Musa alaihissalam ketika dalam perjalanan baginda menuntut ilmu, beliau berkata: "Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah Dalam perjalanan kita ini", surah al-Kahfi: 62.
Perjalanan menuntut ilmu tidak sunyi dari kepayahan, orang yang sabar menghadapi segala rintangan akan merasai kelazatan dalam menuntut ilmu yang mengatasi kelazatan-kelazatan dunia.
Berkata Muhammad bin al-Hasan apabila beliau Berjaya menyelesaikan kemusykilan agama: “Mana mungkin anak-anak raja akan merasai kelazatan ini.” Beliau berkata lagi,
“sesiapa yang ingin meninggalkan ilmu ini sesaat maka biar tinggalkan sekarang juga, kerana kerja kami ini bermula daripada buaian sampai ke liang lahad.”
Ulamak zaman dahulu sangat mementingkan ilmu sehingga ada yang lewat berkahwin da nada yang tidak sempat berkahwin.
Rujukan: Makanat al-‘ilm wal ulama’, wa adab tolab al-‘ilm, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment