Wednesday, August 24, 2016

PELABURAN EMAS MELALUI KAEDAH SKIM PAJAK GADAI



Amalan pajak gadai merupakan kaedah mudah mendapatkan pinjaman wang segera terutama bagi golongan berpendapatan rendah, amalan ini telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Kaedah pajak gadai ini kemudianya digunakan dan diubahsuai oleh para pelabur emas untuk mendapatkan wang tunai tambahan bagi memaksimakan jumlah pelaburan emas mereka.

Keuntungan Melalui Pelaburan Emas
Keuntungan melalui kaedah pajak gadai adalah dengan membandingkan upah simpan emas dengan kadar kenaikan harga emas. Berdasarkan penelitian purata kenaikan harga emas saban tahun, mereka percaya keuntungan daripada kenaikan harga emas adalah jauh lebih tinggi daripada caj upah simpan. Oleh itu pelabur mendapat keuntungan dari pelaburan emas lebih tinggi berbanding dengan caj upah simpan yang ditanggung.

Teknik manipulasi skim pajak gadai dalam pelaburan emas dilakukan dengan beberapa kaedah, antaranya kaedah membeli emas, kemudian memajak emas yang dibeli, diulang dengan membeli emas dan memajak lagi dan diulang beberapa kali bagi mendapatkan emas yang lebih banyak untuk dilaburkan.

Kaedah Pelaburan Emas Skim Pajak Gadai
Kaedah ini bermula dengan pembelian emas fizikal yang boleh dipajak gadai untuk mendapatkan pinjaman. Melalui cara ini, pelabur menggadaikan emas yang dimiliki di pusat pajak gadai untuk mendapatkan pinjaman. Dengan pinjaman itu tadi, pelanggan membeli emas lagi lantas memajakkannya untuk mendapatkan pinjaman sekali lagi dan proses ini diulang-ulang bagi mendapat pemilikan emas semaksima yang boleh. Apabila harga emas meningkat, pelanggan tadi akan menebus kesemua emas yang dipajak tadi dan menjualnya semula di pasaran untuk mendapatkan untung. Langkah-langkah bagi menjalankan kaedah ini adalah seperti contoh berikut:

(i) A membeli emas sebanyak 100gm dengan harga semasa iaitu RM20,000.

(ii) Dia meletakkan emas tersebut di pajak gadai dan mendapat pinjaman sebanyak RM14,000, dengan bayaran upah simpan untuk enam bulan sebanyak RM840. (RM0.70 untuk setiap RM100 nilai emas).

(iii) Wang RM14,000 digunakan untuk membeli emas lagi, dan dipajak lagi untuk mendapat pinjaman sebanyak RM9,800 dengan upah simpan sebanyak RM588, dan digunakan lagi untuk membeli emas.

(iv) Operasi ini diulang-ulang hingga ke gadaian kali keenam.

(v) Selepas enam kali operasi ini diulang-ulang, nilai semasa keseluruhan emas yang A miliki ialah RM58,823. Jumlah pinjamannya ialah sebanyak RM41,176. Keseluruhan upah simpan bagi enam bulan ialah sebanyak RM2,471.

(vi) Setelah tempoh matang (enam bulan), harga emas naik sebanyak 10%. Maka nilai keseluruhan emas pada waktu itu ialah RM64,705. Keuntungan kasarnya ialah sebanyak RM5882. Setelah ditolak upah simpan, keuntungan bersih ialah sebanyak RM3,411.

Jika A tidak menggunakan teknik pajak gadai berganda ini, dia hanya akan mendapat keuntungan sebanyak RM2000 sahaja dengan kenaikan 10% nilai emas.

Hukum: Harus Namun Tidak Digalakkan
Kaedah ini tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak sekiranya pembelian emas dilakukan memenuhi syarat-syaratnya terutama dari sudut pembayaran dan penyerahan emas. Manakala membeli emas menggunakan wang yang dipinjam daripada pihak lain adalah dibenarkan oleh syarak.

Justeru, penggunaan skim pajak gadai boleh dikatakan sebagai isu berasingan yang tidak berkaitan secara langsung dengan hukum pelaburan emas. Aspek yang perlu dilihat ialah produk pembiayaan berasaskan pajak gadai itu sendiri, adakah ia patuh syariah ataupun tidak.

Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk mendapat wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum Syarak. Namun, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

Tuesday, August 23, 2016

HUKUM JUAL BELI EMAS SECARA ANSURAN


Sebahagian penjual emas menamakan kaedah ini sebagai pelan pembayaran mudah, apa sahaja namanya tetap dikira sebagai secara ansuran berdasarkan kaedah jual beli yang dilakukan.
Sebagi contoh pembelian emas dibayar setiap bulan secara ansuran selama empat bulan. Selepas tempoh empat bulan dan bayarannya selesai barulah emas tadi diserahkan kepada pembeli.

Tidak Bertepatan Dengan Syarak
kaedah pembayaran secara ansuran tidak bertepatan dengan syarak kerana wujud penangguhan bayaran dan serahan emas dalam pembelian. Ini kerana akad pembelian telah berlaku ketika pembayaran pertama dibuat dengan harga semasa pada waktu tersebut.

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “(Jual beli atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam, hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan hendaklah beserta penyerahan bersama/serentak (oleh kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua pihak)”. (HR. Muslim)

Kaedah Yang Dibolehkan
Namun jika bayaran yang dilakukan itu adalah merupakan simpanan amanah dan akad dimeterai pada bayaran terakhir dan emas juga diserahkan ketika bayaran terakhir maka urus niaga ini dikira sah. Ini kerana bayaran pada setiap bulan selama tiga bulan itu adalah simpanan bukan pembelian, pembelian berlaku pada bayaran bulan keempat. Dalam hal ini, apabila ‘bayaran’ penuh dibuat, pembeli hendaklah diberikan hak penuh sebagai pembeli samada untuk meneruskannya atau tidak.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.


Monday, August 22, 2016

PARAMETER PELABURAN EMAS



Rukun Jual Beli
Jual beli emas termasuk barang perhiasan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu:


1. Pihak yang berakad (Penjual dan Pembeli). Pihak yang berakad mestilah orang baligh, berakal, dan rasyid. Tidak sah jual beli dengan orang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya

2. Item pertukaran (Emas)

3. Sighah (Ijab dan Qabul) menurut uruf yang diamalkan. Kedua-dua pihak mestilah saling redha-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan, dan eksploitasi. Sekiranya suatu transaski tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Harga Belian (al-Thaman)
Harga emas diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad / kontrak

Barang Belian (al-Muthman)
Emas  hendaklah wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak penjual. Tidak sah jual beli sesuatu yang tidak wujud dan juga jual beli sesuatu yang tidak dimiliki oleh penjual. Emas itu juga boleh diserahkan kepada pembeli atau wakil pembeli.

Spesifikasi emas diketahui oleh penjual dan pembeli dengan melihat sendiri emas yang hendak dibeli atau melihat contoh atau katalog, ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan/tempahan sebelum akad/kontrak dilaksanakan.

Penentuan/Ukuran Emas
Ukuran emas adalah berdasarkan ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999), jongkong emas boleh didapati dalam unit gram seperti 5g, 10g, 50g, dan 100g. Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya, Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Persamaan Kadar Dua Item yang Sama Jenis
Syarat ini hanya khas bagi pertukaran dua item yang bersamaan jenis, contohnya jual beli atau pertukaran antara emas dengan emas, atau antara perak dengan perak. Di dalam transaksi pertukaran ini, kedua-dua item hendaklah bersamaan kadar dari sudut timbangan dan kualiti.

Sighah (Ijab dan Qabul)
Sighah ialah keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Sighah boleh berlaku melalui pertuturan atau ucapan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah sah. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas
Transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

1.          Syarat Pertama: Taqabudh (Penyerahan)
Mesti berlaku penyerahan harga dan juga barang emas, dan penyerahan hendaklah berlaku sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad. Pembayaran boleh dengan pelbagai cara sama ada secara tunai, cek yang diperakui, kad debit atau akad kredit dan pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Pembayaran melalui kad kredit masih dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak pengeluar kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan dan pembeli.

Penyerahan barang emas hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki seperti penyerahan emas secara fizikal atau berpindah tanggungjawab jaminan daripada penjual kepada pembeli atau kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “(Jual beli atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam, hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan hendaklah beserta penyerahan bersama (oleh kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua pihak)”. (HR. Muslim)

Berkata al-Imam Al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Perkataan ‘yadan bi yadin’ (penyerahan serentak/bersama) adalah hujah bagi seluruh ulama tentang kewajipan berlaku taqabud, walaupun berlainan jenis”.

2.          Syarat Kedua: Tiada Penangguhan
Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani (Spot)dan tidak boleh berlaku sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas. Terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari ini. Namun pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari lebih selamat untuk diikuti. Oleh itu, kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Abu Saied al-Khudri meriwayatkan bahawa Nabi Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “Dan jangan berjual beli item-item tersebut dengan salah satunya tiada (ketika akad) dan yang satu lagi ada (ketika akad)”. (HR. al- Bukhari)

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam melarang jual beli al-Sarf secara hutang, seperti mana hadis berbunyi: “Rasulullah S.A.W. melarang jual beli emas dengan perak secara hutang”. (HR. al- Bukhari)

Majlis Akad (Kontrak)
Majlis akad boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili, video maya dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh(penyerahan) ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah(wakil).

Majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad yang ditandatangani tersebut sampai ke tangan penjual, maka bermulalah majlis akad tersebut pada waktu itu Jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Urusniaga Bebas Dari Unsur Yang Dilarang
Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber:

 1.  International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.

2http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Saturday, August 20, 2016

GHIBAH (MENGUMPAT)


Ghibah ialah perbuatan menyebut sesuatu yang buruk tentang orang lain yang apabila orang berkenaan mengetahuinya menyebabkan orang berkenaan marah walau pun apa yang disebut itu suatu kenyataan.

Baginda Sollallahu alaihi wasalam bersabda: “…Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya”. (Riwayat Muslim)           

Memakan Daging Saudara Sendiri
Firman Allah Ta’ala: “…dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat satu sama lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Tubat lagi Maha Penyayang.”  (Al-Hujurat:12)

Azab Di Akhirat Kelak
Rasulullah sollallahu alaihi wasalam bersabda:Ketika aku dinaikkan ke langit, aku melewati suatu kaum yang memiliki kuku-kuku dari tembaga, mereka melukai (mencakari) wajah-wajah mereka dan dada-dada mereka. Maka aku bertanya :”Siapakah mereka ya Jibril?” Jibril berkata :”Mereka adalah orang-orang yang memakan daging-daging manusia dan mereka mencela kehormatan-kehormatan manusia”. (HR. Ahmad)

Keadaan yang tidak dikategorikan sebagai ghibah
  1. Memberi nasihat
  2.  Menerangkan kekeliruan
  3. Menjelaskan kesamaran
  4. Apa yang disebut berkaitan suatu kumpulan dan bukan individu secara khusus
  5. Apa yang disebut itu berkaitan dengan kafir harbi


Keadaan yang membolehkan ghibah
  1. Orang dizalimi menceritakan kepada penguasa atau hakim tentang orang yang zalim ke atasnya.
  2. Bertujuan menghapuskan kemungkaran atau maksiat
  3. Bertujuan meminta fatwa
  4. Bertujuan menjauhkan orang dari orang yang jahat
  5. Bertujuan supaya seseorang mudah dikenali
 Sumber: Tuhfatul Murid; an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah

Thursday, August 18, 2016

NAMIMAH (MENGADU DOMBA)


Namimah ialah tindakan seseorang yang menyampaikan atau menghebahkan berita bertujuan mencetuskan konflik dan fitnah dalam perhubungan. Contoh berita seperti perkara yang mengaibkan, memalukan atau ia merupakan suatu rahsia. Orang yang suka melakukan namimah boleh jatuh fasik.


Apa kita patut lakukan apabila berdepan dengan Namimah?
  1. Jangan membenarkan atau mengiakan berita yang disampaikan
  2. Menafikan atau menolak berita yang disampaikan
  3. Membenci perbuatan namimah
  4. Tutup pintu prasangka dalam hati
  5. Tidak melakukan tajassus (Kaji, selidik)
  6. Tidak hebahkan atau sampaikan berita yang didengar kepada orang lain

Orang yang adu domba dicela oleh Allah Ta’ala

Firman Allah Ta’la: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.” (Al-Humazah: 1)


Larangan daripada Rasulullah sollallahu alaihi wasalam  

Rasulullah sollallahu alaihi wasalam bersabda: “Tidak akan masuk surga orang yang suka berbuat namimah (adu domba)”. (Muttafaq ‘alaihi)


Orang yang mengadu domba adalah seburuk-buruk manusia

Rasulullah sollallahu alaihi wasalam bersabda: “Seburuk-buruk hamba Allah ialah orang-orang yang berjalan kesana-kemari berbuat namimah (mengadu domba), orang-orang yang memecah persatuan dengan mencari-cari cela dan keburukan orang-orang yang bersih”. (HR. Ahmad)

Sumber: Tuhfatul Murid; an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah

Thursday, August 4, 2016

CELAKA TUMIT





Kerap kali melihat orang mengambil wudhuk tanpa menggosok sehingga terabai bahagian tumit. Perlu diperhatikan perkara ini kerana tidak sah solat jika tidak sah wudhuk, wudhuk merupakan syarat sah untuk menunaikan solat.

Dari Abdullah bin 'Amr, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Celakalah tumit-tumit (yang tidak terkena air wudhu, akan terkena oleh) api neraka, hendaklah kalian menyempurnakan wudhu."

Sempurnanya ialah dengan membasuh dan menggosok kaki sehingga 1/2 betis, gosok di bahagian bawah telapak kaki dan selati celahan jari kaki dengan menggunakan jari kelingking tangan.

Wudhuk yang sempurna akan diampunkan dosa-dosa yang lalu. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tidaklah seorang muslim berwudhu dan menyempurnakan wudhunya kemudian mengerjakan solat melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya sejak saat itu sampai solat yang berikutnya.’ (HR. Muslim)