Wednesday, December 30, 2015

BERLEBIH-LEBIHAN DALAM MEMUJI BAGINDA NABI SALLA ALLAHU A’LAIHI WASALLAM


Nabi Muhammad Salla Allahu a’lahi wasallam bersabda:
Janganlah kalian berlebihan memujiku sebagaimana kaum Nashrani berlebihan memuji Isa ibn Maryam”.

Maksud dari hadits ini ialah sanjungan, dan pujian secara berlebihan, namun jika sanjungan dan pujian dibawah batas berlebihan maka ia adalah merupakan suatu tindakan terpuji. Jika Hadits ini difahami dengan maksud larangan untuk melakukan sanjungan dan memuji secara mutlak maka pandangan ini jelas tidak tepat, tidak munasabah dan tidak akan diucapkan oleh orang Islam paling bodoh sekalipun.

Telah menjadi kewajipan bagi kita memuliakan orang yang dimuliakan Allah kerana kita diperintahkan oleh Allah untuk memuliakannya. Memuliakan Nabi Salla Allahu a’lahi wasallam dengan tidak mensifatkan pada Nabi Salla Allahu a’lahi wasallam dengan sifat-sifat ketuhanan sama sekali tidak boleh dikategorikan sebagai kufur atau musyrik. Malah ia diklasifikasikan sebagai salah satu ketaatan dan ibadah yang besar.

Begitu juga tindakan memuliakan setiap orang yang dimuliakan Allah seperti para Nabi, rasul, malaikat, shiddiqin, syuhada dan orang-orang soleh juga termasuk dalam perkara ketaatan dan ibadah. Allah berfirman:
Demikianlah (perintah Allah), dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya.”
(al-Hajj : 30)

Firman Allah:
Demikianlah (perintah Allah). dan Barangsiapa mengagungkan syi`ar-syi`ar Allah, maka sesungguhnya itu lahir dari ketakwaan hati.”(al-Hajj : 32).

Termasuk juga objek yang wajib dimuliakan adalah Ka’bah, Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim. Ketiga-tiga benda ini adalah batu namun Allah memerintahkan kita untuk memuliakannya dengan thawaf pada Ka’bah, mengusap Rukun Yamani, mencium Hajar Aswad, solat di belakang Maqam Ibrahim, dan wukuf untuk berdoa dekat dengan Mustajar, pintu Ka’bah dan Multazam. Tindakan tersebut tidak bererti kita beribadah kepada selain Allah dan meyakini pengaruh, manfaat, dan bahaya berasal dari selain-Nya. Semua hal ini tidak akan terjadi kecuali dari Allah Subhanahu wata’ala. Perbezaan antara status Khaliq dan makhluq adalah garis pemisah antara kufur dan iman. Jika kedua-dua status ini dicampurkan boleh menyebabkan seseorang menjadi kafir, Wal ‘iyadz billah.

Kedua-dua status Khaliq dan makhluq memiliki hak-hak spesifik. Namun, Nabi Salla Allahu a’lahi wasallam mempunyai sifat-sifat eksklusif yang membezakan Baginda dengan manusia biasa dan menjadikan kedudukan Baginda lebih tinggi dari manusia biasa. Dengan menetapkan sifat-sifat khusus untuk Nabi Salla Allahu a’lahi wasallam tidak menyebabkan terjadinya campur aduk antara status Khaliq dan makhluq serta tidak mengangkat status Nabi sehingga menyamai status ketuhanan.

Sanjungan dan pujian kepada Baginda Nabi Salla Allahu a’lahi wasallam selagi tidak melampaui batas sehingga menyamakan sifat Nabi dengan sifat-sifat khusus ketuhanan iaitu memberi manfaat dan bahaya secara independen (di luar kehendak Allah), kekuasaan yang sempurna dan komprehensif, menciptakan, memiliki, mengatur, satu-satunya yang memiliki kesempurnaan, keagungan dan kesucian dan satu-satunya yang berhak untuk disembah dengan bentuk, cara dan tingkatan tertentu. Seandainya yang dianggap melampaui batas adalah berlebihan dalam mencintai, taat dan keterikatan dengan Baginda Nabi maka hal ini adalah sikap yang terpuji dan dianjurkan.


Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki

Tuesday, December 29, 2015

ORANG ISLAM YANG BERSYAHADAH ADALAH SELAMAT NYAWA DAN DIRINYA DARI DIPERANGI

Sesungguhnya memerangi sesama orang Islam adalah tindakan kufur jika menganggap tindakan tersebut sebagai halal.

Diriwayatkan bahawa ketika Saiyidina Khalid ibn Walid radhi Allahu a’nhu bersama pasukannya menuju kepada Bani Jadzimah untuk mengajak mereka memeluk Islam, telah berlaku peristiwa di mana Khalid ibn Walid mengarahkan supaya tawanan mereka dibunuh. Maka Banu Sulaim membunuh tawanan mereka. Namun kaum Muhajirin dan Ansar menolak perintah ini. Mereka malah melepaskan para tawanan. Ketika tindakan Khalid ini sampai kepada Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam, baginda Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam bersabda, “Ya Allah, saya tidak bertanggung jawab atas tindakan Khalid.” Baginda mengulang ucapan ini sebanyak dua kali.

Begitu juga peristiwa yang dialami oleh Saiyidina Usamah ibn Zaid berdasarkan hadits yang diriwayatkan al- Bukhari dari Abi Dzibyan. Abi Dzibyan berkata, “Saya mendengar Usamah ibn Zaid berkata, “Rasulullah Salla Allahu a’laihi wasallam mengirim kami ke desa al-Huraqah. Kemudian kami menyerang mereka di waktu pagi dan telah mengalahkan mereka. Saya dan seorang lelaki Ansar mengejar seorang lelaki bani Dzibyan. Ketika kami berdua mengepungnya tiba-tiba dia mengucapkan, “La Ilaaha illallah”. Ucapan lelaki ini membuat temanku orang Anshor membatalkan niatnya untuk membunuh lelaki tersebut namun saya telah menikamnya dan diapun mati. Ketika kami kembali ke Madinah, Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam telah mendengar pengkhabaran tentang tindakan pembunuhan yang saya lakukan. Baginda pun berkata, “ Wahai Usamah! Mengapa engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan “Laa Ilaaha illallah?!” “Dia hanya berpura-pura,” Jawabku. Nabi mengucapkan pertanyaannya berulang-ulang sampai-sampai saya berharap baru masuk Islam pada hari tersebut.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah Salla Allahu a’laihi wasallam berkata kepada Usamah, “Mengapa tidak engkau robek saja hatinya agar kamu tahu apakah dia berpura-pura atau tidak?”. Saiyidina Usamah berkata “Mulai saat itu saya tidak akan pernah lagi membunuh sesiapapun yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah”.

Saiyidina Ali radhi Allahu a’nhu pernah ditanya mengenai kelompok-kelompok yang menentangnya, “Apakah mereka kafir?”, “Tidak, mereka adalah orang yang menjauhi kekufuran,” jawab saiyidina Ali. “Apakah mereka kaum munafik?”. “Bukan, orang-orang munafik mengingat Allah hanya sesaat sedang mereka sentiasa mengingati Allah”. “jika demikian siapakah mereka?”. Saiyidina Ali menjawab, “Mereka adalah kaum yang terkena fitnah yang mengakibatkan mereka buta dan tuli”.


Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki

Saturday, December 19, 2015

PERSOALAN TENTANG MAZHAB





Tidak Bermazhab?
Bagi yang tidak mahu bermazhab dengan mazhab muktabar yang empat maka amalannya terdedah kepada amalan bid'ah yang sesat, tertolak dan berdosa. Ini kerana amalannya akan menjadi campur aduk dan bertindih antara pendapat-pendapat imam mazhab di mana para imam mazhab sepakat tidak mengiktiraf sahnya amalan itu.BJauhi golongan yang mengajak kepada merujuk directly kepada al-Quran dan hadith dan meninggalkan mazhab.


Bertukar-tukar / berpindah Mazhab?

Menurut pendapat yang asoh dalam Mazhab Syafie', orang awam wajib mengikuti mazhab tertentu dari mazhab muktabar. Dan dibolehkan / harus berpindah mazhab ke mazhab lain sama ada pada masalah tertentu atau untuk selamanya dengan berpandukan pada adab-adab tertentu supaya tidak rosak amalan yang dikerjakan.

Talfiq?
Talfiq ialah mencampuradukkan beberapa pendapat mazhab sehingga mewujudkan konsep / amalan baru yang tidak diiktiraf oleh mana-mana mazhab yang muktabar. Contohnya, seseorang yang berwudhuk dengan menyapu kepala mengikut cara mazhab Syafie', kemudiannya dia menyentuh anjing dan menganggapnya suci dengan mengikut pendapat mazhab Maliki, setrusnya dia melaksanakan solat dengan wudhuk tadi, maka sepakat kedua-dua imam mazhab berpendapat solatnya dikira tidak sah.


Tatabbu' al-Rukhas?

Tindakan mencari-cari hukum / masalah yang paling ringan diantara mazhab untuk tujuan bermudah-mudah melakukan amalan. Perbuatan ini adalah dilarang kepada orang awam kerana risiko berlakunya pertindihan hukum daripada dua ijtihad. Ini kerana orang awam tidak mencapai tahap ilmu yang cukup bagi memahami dan membanding-bandingkan dalil.


Friday, November 13, 2015

POLIGAMI DALAM ISLAM


Islam telah datang dengan menetapkan had bilangan isteri yang boleh dikahwini, dan bukan datang dengan membiarkan suami boleh berkahwin lebih tanpa had. Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam bersabda:

"Daripada Salim daripada bapanya, bahawa Ghailan ibn Salamah as-Thaqafi memeluk Islam dan mempunyai sepuluh orang isteri, maka Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam memerintahkan beliau memilih empat orang sahaja.”
(Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, 2/13; dan Ibn Majah dalam Musnadnya, 1/628)

Daripada hadis menjelaskan bahawa Islam menentukan bilangan isteri yang boleh dikahwini dan tidak terdapat suruhan supaya seorang itu berkahwin lagi. Ini kerana berpoligami itu bukan tujuan maksud perkahwinan, tetapi ia dilakukan kerana kepentingan dan sebab-sebab tertentu. Firman Allah:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisa’: 3)

Firman Allah, “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat” perlu dihubungkan dengan ayat sebelumnya yang diungkapkan dalam bentuk bersyarat iaitu, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka).” Demikian juga perlu dihubungkan dengan ayat selepasnya yang mengikat keharusan berbilang isteri dengan syarat berlaku adil. Firman Allah, “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.” (An-Nisa’: 3)

Sesungguhnya sistem berbilang isteri merupakan suatu yang telah masyhur di kalangan orang Arab sebelum kedatangan Islam, demikian juga di kalangan orang-orang Yahudi dan orang-orang Parsi. Sejarah telah menjelaskan kepada kita mengenai raja-raja dan sultan yang telah lalu, mereka membina rumah-rumah besar yang boleh memuatkan kadang-kadang sehingga lebih daripada seribu orang, untuk menempatkan isteri-isteri dan gundik-gundik. Kadang-kadang mereka menjadikannya sebagai hadiah kepada raja-raja yang lain, kemudian mengambil wanita-wanita yang baru pula sebagai ganti. Ini adalah seperti yang terdapat di dalam ajaran dan undang-undang Yahudi hingga sekarang yang mengharuskan berbilang isteri, sedangkan tidak ada sesiapa yang tergamak untuk menyerang mereka sama ada dari segi akidah, agama dan ajaran mereka.

Yang anehnya, mereka menyerang sistem kekeluargaan Islam yang membenarkan suami berkahwin sekali lagi dengan perempuan lain dalam suasana dan keadaan tertentu dan membolehkan berbilang perempuan simpanan tanpa had. Sedangkan perempuan simpanan sebenarnya tidak mendapat hak sebagai isteri. Selain itu tindakan tersebut mengkhianati kaum wanita, mengugurkan haknya, dan mereka tidak diiktiraf sebagai isteri, begitu juga anak-anak yang lahir tanpa nikah. Maka perempuan itu sendirilah yang menanggung beban membayar kos penguguran yang dilakukan sekiranya ingin mengugurkan kandungan, atau hidup tanpa suami untuk membela anak-anak luar nikah. Jadi manakah yang lebih baik antara sistem kekeluargaan Islam yang teratur itu dengan sistem yang mereka amalkan? Firman Allah:
“Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?" (Al-An’am: 81)

Berbilang isteri yang diharuskan di Barat ialah berbilang tanpa tanggungjawab, iaitu berbilang isteri yang tidak mengambil apa-apa tanggungjawab kepada kaum wanita, malahan ia dijadikan hamba oleh kaum lelaki dan menjalani hidup bersamanya tanpa hubungan rasmi. Mereka merampas kehormatannya, kemudian dicampakkan keluar dari hati dan kehidupan mereka bila sudah tidak diperlukan lagi, perlakuan sedemikian sering menyebabkan keluarganya menghadapi penyakit kelamin yang bahaya, disamping anak-anak haram yang selalunya tidak diiktiraf oleh mereka. Disebabkan banyaknya bilangan dan kajian yang dilakukan, memadailah kita mengambil contoh dari negara Barat khasnya di Amerika Syarikat, biarkan angka yang membuktikan:

Pada tahun 1980, seramai 1,553,000 pengguguran dilakukan, 30% daripadanya melibatkan wanita yang berumur di bawah 20 tahun, pihak polis pula melaporkan bahawa bilangan yang sebenar ialah lebih tiga kali ganda ramainya.

Pada tahun 1982, 80% perceraian berlaku dikalangan pasangan berkahwin dalam tempoh 15 tahun.

Pada tahun 1980-1990, di Amerika Syarikat terdapat hampir sejuta wanita yang bekerja sebagi pelacur.

Pada tahun 1995, hasil pelacuran dan pengiklanannya mencecah sebanyak 2,500 juta dollar seperti yang dilaporkan oleh “Kamus Wanita” yang diterbitkan oleh Maahad ad-Dirasat ad-Dauliyah Haulal Mar’ah berpusat di Madrid.

Seorang ahli sains bernama Tus menjelaskan, dengan berkahwin lebih dari satu akan membolehkan anak-anak perempuan menjadi suri rumahtangga. Peraturan memaksa lelaki Eropah hanya boleh berkahwin dengan seorang wanita sahaja menjadikan anak-anak perempuan merempat dan memaksa melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum lelaki. Berapa ramai dari kalangan lelaki berkahwin yang mempunyai anak luar nikah, akhirnya menjadi beban dan keaiban kepada masyarakat.

Seorang penulis lain berkata, “anak-anak perempuan kita berperanan di dalam rumah sebagai pembantu rumahtangga adalah lebih baik dan lebih ringan kesan buruknya daripada membenarkan mereka bekerja di luar rumah. Kerana anak kita akan dicemari dengan pelbagai kegiatan yang tidak sihat yang akan menghilangkan keindahan hidup selama-lamanya. Alangkah baiknya jika negara kita adalah seperti negara-negara Islam yang mempunyai kesopanan, kehormatan dan kesucian di mana pembantu rumah dan hamba sahya lebih menikmati kehidupan yang selesa dan boleh bekerja seperti kanak-kanak yang berada di dalam rumah, dengan ini ia tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam hidup.”

Annie Besant, pemimpin Theosophy antarabangsa dalam bukunya “Agama-agama yang berkembang di India” mengatakan “Apabila kita membuat penilaian dengan saksama, adil dan betul, jelas kepada kita bahawa berbilang isteri dalam Islam yang dapat mengurus, melindungi, memberi pakaian dan makan minum kepada isteri – adalah lebih baik dan lebih terhormat daripada wanita-wanita Barat yang membenarkan kaum lelaki untuk mengambil peprempuan bagi memuaskan nafsu syahwat, kemudian mencampakkannya begitu sahaja apabila sudah tidak diperlukan lagi.”

Dari apa yang dibincangkan telah meyakinkan kita bahawa sistem poligami atau pengharusan berkahwin lebih daripada seorang isteri dalam keadaan dan suasana yang dibenarkan oleh syarak bukanlah sesuatu yang ditolak oleh pemikir-pemikir Barat. Kita telah lihat bagaimana pengakuan sesetengah daripada mereka.

Kesimpulannya, kami menegaskan bahawa Islam membenarkan kaum lelaki berkahwin lebih daripada seorang isteri. Semuanya ini terdapat hikmahnya sebagaimana yang telah dijelaskan. Keharusan itu pula adalah diikat dengan syarat tertentu. Firman Allah:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.” (An-Nisa’: 3)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT telah menerangkan kepada kita tentang kepayahan untuk berlaku adil kepada wanita-wanita yang dikahwini. Firman Allah SWT:

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang). (An-Nisa’: 129)

Kita juga telah melihat di dalam hadis Nabi SAW, bahawa baginda tidak menyuruh dalam satu hadis pun sesiapa yang berkahwin dengan seorang isteri hendaklah dia berkahwin lagi. Malahan hadis tersebut menyatakan sebaliknya, iaitu sesiapa yang mempunyai ramai isteri hendaklah diceraikan dan ditinggalkan dengan bilangan tertentu sahaja seperti yang telah disebut di dalam hadis Salim yang telah meriwayat daripada bapanya, bahawa Ghailan ibn Salamah ath-Thaqafi telah memeluk Islam sedangkan beliau mempunyai sepuluh orang isteri, maka baginda bersabda kepadanya pilihlah empat orang sahaja. Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad, 2/13; dan Ibn majah dalam Sunannya, 1/628.

Dengan pencerahan di atas, persoalan ini telah nampak jelas dan kekeliruan telah dapat diperbetulkan. Jelas di sini bahawa berkahwin lebih daripada seorang isteri atau berpoligami berdasarkan peraturan syariat Islam pada hakikatnya adalah satu penghormatan kepada kaum wanita. Ini kerana sebagai seorang insan pandangannya mestilah luas dan menyeluruh. Memberi tanggapan yang negatif kepada seorang perempuan yang akan dikahwini oleh seorang lelaki bukan sesuatu yang adil, kerana yang akan dikahwini oleh seorang lelaki itu adalah wanita juga. Syara’ telah memberikan penghormatan kepada wanita dengan mengharuskan kaum lelaki mengahwini wanita yang lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan masalah ekonomi. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga memberikan pertunjuk dan hidayah mengenai urusan dunia dan akhirat, hanya Allah sahaja tempat kita berdoa. Amin.

Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan yang menganggu pemikiran’ -  Sohibus Samahah Dr. Ali Jumaah (Mufti Mesir), Majlis Agama Islam Negeri Johor


Monday, November 9, 2015

KEWAJIPAN MEMULIAKAN DAN MENCINTAI AHLUL BAIT


Gambar: al-Habib Ali al-Jufri

Ahlul Bait Nabi salla Allahu a’laihi wassalam termasuklah keluarga sayyidina Ali, keluarga sayyidina Ja’far bin Abu Thalib, Keluarga sayyidina ‘Uqail bin Abu Thalib dan keluarga sayyidina al-Abbas.

Golongan Ahlul Bait mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam berasaskan nas-nas daripada Quran dan Sunah. Sebahagian ulama memperuntukkan bab khusus dalam kitab yang mereka karang mengenai kelebihan Ahlul Bait seperti Imam Ibnu Hajar dan Imam as-Suyuthi dalam kitabnya Ihya’ul Mayt fi Fadha’il Ahlil Bait. Sebahagiannya pula menulis kitab khusus mengenai kelebihan Ahlul Bait. Dalam mazhab Syafie, selawat ke atas keluarga Nabi salla Allahu a’laihi wassalam adalah sunah pada tahiyat akhir dan setengah pula mengatakannya sebagai wajib.

Kedudukan Ahlul Bait seperti yang disebutkan di atas adalah merupakan satu kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan umum di kalangan Ahlus Sunah. Oleh yang demikian persoalan mengenai kedudukan Ahlul Bait ini tidak pernah dibangkitkan selama ini. Para Ulamak mengatakan bahawa mencintai Ahlul Bait itu termasuk dalam bab usul Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berasaskan daripada kitab-kitab lughah yang muktabar jelas bahawa “Ahlul Bait” bagi seseorang dalam Bahasa Arab bermaksud isteri, anak, menantu dan orang yang sama keturunan dengannya.

Menurut Ibnu Hajar, ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan kelebihan Ahlul Bait, kerana Allah menyatakan secara khusus keinginan membersihkan mereka daripada dosa atau syak dalam perkara-perkara berkaitan iman, dan juga membersihkan mereka daripada akhlak yang keji. Setengah riwayat mengatakan maksudnya ialah mengharamkan mereka daripada api neraka iaitu dengan ilham daripada Allah kepada mereka untuk bertaubat dan mengekalkan amal soleh.

Dalam sunah Rasulullah salla Allahu a’laihi wassalam terdapat hadis-hadis yang menyatakan kewajipan mengasihi Ahlul Bait dan menjaga kepentingan mereka. Nabi salla Allahu a’laihi wassalam bersabda:
Sesiapa yang kasih kepada Allah pasti dia kasih kepada Al-Quran, sesiapa yang kasih kepada Al-Quran pasti dia mengasihi aku, barangsiapa yang mengasihi aku, pasti dia mengasihi sahabat-sahabat dan kaum kerabatku”. (H.R al-Dailami)

“Kasihlah akan Allah kerana segala nikmat yang dikurniakan kepada kamu, kasihilah aku kerana kasihkan Allah, dan kasihilah keluargaku kerana kasihkan aku.” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim)

“Orang yang paling tetap perjalanannya di atas (titian di hari Kiamat) ialah orang yang paling kasih kepada Ahlul Bait aku dan sahabat-sahabatku”.

“Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara, mencitai Nabimu, mencintai Ahli Baitku dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan at-Tabarani)

Berasaskan nas-nas di atas para ulama Ahlus Sunah sependapat mengatakan bahawa kewajipan umat Islam terhadap Ahlul Bait ialah menaruh rasa kasih sayang terhadap mereka, menjaga kepentingan serta berbuat baik terhadap mereka. Inilah ajaran dan pegangan Ahlus Sunah tentang Ahlul Bait. Saidina Abu Bakar mengatakan :
“Sesungguhnya menghubungkan kerabat Rasulullah s.a.w lebih aku kasihi daripada kerabat aku sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Qadi ‘Iyadh berkata:
“Hadis –hadis yang lalu menunjukkan wajib mengasihi Ahlul Bait dan haram yang sangat berat jika membenci mereka”. Ini juga adalah pendapat Baihaqi, Baghawi dan lain-lain, malah imam Syafie telah menyatakan dengan jelas tentang hukum ini dengan katanya:
“Wahai Ahlul Bait Rasulullah! Sesungguhnya kasihkan kamu adalah fardu yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran”.

Imam Syafie sangat terkenal dengan kecenderungan dan kasihnya kepada keturunan Saidina Ali r.a sehingga beliau dituduh sebagai Syiah atau Rafidhah. Menjawab tuduhan tersebut, beliau dengan tegas menyatakan:
“Sekiranya kasihkan keluarga Muhammad salla Allahu a’laihi wassalam itu sebagai Rafidhah, maka biarlah jin dan manusia menyaksikan bahawa saya seorang Rafidhah”. (Riwayat Muslim)


Sumber: “Ahlul Bait Menurut Pandangan Sunah dan Syiah”; Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan The (Matan Mufti Wilayah Persekutuan). “Khilafiah: Persoalan & Penjelasan”; Muhadir bin Haji Joll.

Saturday, September 12, 2015

RINGKASAN BAB QURBAN



Pengertian
Sembelihan binatang pada Hari raya Qurban (Aidil Adha) bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.

Hukum
Asalnya adalah sunat muakkad namun boleh menjadi wajib jika seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaanya yang memenuhi syarat qurban untuk dijadikan qurban atau dia berazam untuk melakukan qurban.  

Orang yang dituntut melakukan qurban
Orang yang dituntut melakukan qurban mestilah Islam, baligh dan berakal (mukalaf) serta berkemampuan.

Binatang Qurban
Qurban hanya sah dengan unta, lembu dan kambing. Binatang paling afdhol ialah unta, diikuti lembu dan kemudian kambing. Harus melakukan qurban seekor unta atau lembu untuk tujuh orang (dibahagi kepada tujuh orang).

Syarat binatang qurban
Umur unta hendaklah disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala umur bagi kambing biri-biri telah masuk tahun kedua dan telah tanggal gigi hadapannya walaupun umurnya belum cukup setahun. Binatang qurban tersebut mestilah tidak cacat (Terlalu kurus, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinga).


Waktu Melakukan Qurban
Waktu qurban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Qurban sehingga terbenamnya matahari pada hari terakhir hari tasyriq iaitu pada 13 Zulhijjah. Waktu paling afdhol ialah selepas selesai solat hari raya.

Agihan Daging Qurban
Bagi qurban yang sunat harus bagi orang yang melakukan qurban untuk makan daging qurbannya dengan syarat sebahagiannya perlu disedekahkan. Afdhol baginya memakan sedikit dan memaksimumkan bahagian untuk sedekah.

Harus untuknya untuk makan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada orang fakir dan 1/3 bahagian dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran walaupun mereka kaya.

Daging yang dihadiahkan tidak boleh dijual manakala daging yang disedekahkan boleh dilakukan apa sahaja keatasnya kerana telah menjadi haknya.

Tidak harus menjual kulit binatang qurban atau dijadikan upah, namun boleh jika disedekahkan atau gunakan untuk dirinya sendiri.

Bagi qurban yang wajib, orang yang melakukan qurban tidak harus memakannya atau diberikan kepada orang yang di bawah tanggungngannya. Jika termakan maka perlu digantinya dengan bayaran.

Sunat bagi orang yang hendak melakukan qurban dengan tidak menghilangkan bulu dan kuku di badannya bermula dari 1 Zulhijjah sehingga binatang qurbannya disembelih.

Sunat bagi orang yang hendak melakukan qurban dengan menyembelih sendiri binatang qurban, jika tidak mampu maka sunat menyaksikan qurbannya disembelih.

Sunat melakukan sembelihan di kawasan lapang berhampiran tempat orang berkumpul melakukan solat sunat hari raya.


Sumber: al-Fiqh al-Manhaji ala al-Mazhab al-Imam al-Syafie’, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, JAKIM

Friday, August 28, 2015

KELUARGA BAHAGIA


KELUARGA BAHAGIA – Isi kandungan Khutbah Jumaat Masjid Syaikh Yusof, Georgetown Penang, 28 Ogos 2015

Nabi sallallhu a’laihi wassallam bersabda "Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku." (HR. Tirmizi). Orang yang tidak bahagia maka dia sebenarnya ketandusan dan kemiskinan emosi dan perasaan. TIGA perkara mewujudkan keluarga bahagia.

PERTAMA: Tunjukkan kasih sayang

Kita sayangkan keluarga kita, namun kita tidak tunjukkan rasa sayang kita. Rasa sayang itu boleh ditunjukkan melalui ucapan dan tindakan. Baginda Nabi sallallhu a’laihi wassallam pernah mengucapkan kepada sahabat baginda dengan sabdanya “aku CINTAKAN kamu”. Nabi sallallahu a’laihi wassalam juga mencium anak-anak baginda. Baginda Nabi bersabda, "Man la Yarham, la Yurham.." (Hadis Riwayat Muslim), maksudnya, barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.

KEDUA: Beri perhatian

Baginda Nabi sallallahu a’laihi wassallam sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keluarga baginda. Walaupun Baginda sibuk dengan urusan negara, perang dan urusan umat tetapi Baginda tetap tidak mengabaikan keluarga Baginda. Pernah satu rombongan dari luar negara datang berbincang dengan baginda Nabi, sewaktu berbincang datang anak Baginda Saidatina Siti Fatimah lalu Baginda Nabi terus pergi menyambut anak Baginda. Ini menunjukkan baginda nabi tidak mengabaikan dan sangat memberi perhatian kepada keluarganya.

KETIGA: Memberi Penghargaan

Ucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan meminta maaf jika kita melakukan kesalahan, jangan kita mencari kesalahan mereka dan hanya melihat kepada kesalahan mereka tanpa menghargai kebaikan yang mereka lakukan. Tunjukkan kepada keluarga bahawa kita menghargai kebaikan mereka. Nabi sallallahu a’laihi wassalam bersabda “Tiga perkara yang siapa memilikinya nescaya akan dilindungi Allah dan dilimpahkan rahmat iaitu orang yang apabila diberi dia mengucapkan terima kasih, apabila dia berkuasa dia memaafkan dan apabila dia marah dia menahannya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Kebahagiaan keluarga adalah seperti kita hidup di dalam taman yang indah. Taman yang indah memerlukan kita bercucuk tanam, menjaganya dan menghiasinya. Maka tanamlah kasih sayang, jagalah dengan menyemai dan memupuk kebahagiaan serta hiasilah keluarga dengan nilai-nilai yang baik.

Wallahu a’lam


Saturday, August 15, 2015

ULASAN USTAZ AZHAR IDRUS BERKAITAN BID'AH


MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bida’ah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bida’ah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bida’ah terbahagi kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk membahagikan bida’ah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, kenduri tahlil dll.

Malah mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bida’ah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bida’ah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.


DI ANTARA BIDA'AH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata:

“Bermazhab ini adalah bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.”

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi:

“Kita amat gembira menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun sebaliknya.”

(Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bida’ah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).



BIDA’AHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bida’ah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

“Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Nahl: ayat 43).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya...”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.”
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).


Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:

“Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin...”
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).


Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:

“Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.”
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bid’aah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti kenduri tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis 'setiap bida’ah adalah sesat' tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika amalan-amalan seperti itu adalah bida’ah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu ahli bida’ah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.”
(Riwayat muslim).


PERINGATAN PENTING

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bida’ah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini.

Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membida’ahkan golongan tersebut.

Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama. [Wallohu 'Aklam]

-By: Ustaz Azhar Idrus ( Original )

-Fanpage facebook-