KELUARGA BAHAGIA – Isi kandungan Khutbah
Jumaat Masjid Syaikh Yusof, Georgetown Penang, 28 Ogos 2015
Nabi sallallhu a’laihi wassallam bersabda "Sebaik-baik
kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah
orang yang paling baik terhadap keluargaku." (HR. Tirmizi). Orang yang
tidak bahagia maka dia sebenarnya ketandusan dan kemiskinan emosi dan perasaan.
TIGA perkara mewujudkan keluarga bahagia.
PERTAMA: Tunjukkan kasih sayang
Kita sayangkan keluarga kita, namun kita
tidak tunjukkan rasa sayang kita. Rasa sayang itu boleh ditunjukkan melalui
ucapan dan tindakan. Baginda Nabi sallallhu a’laihi wassallam pernah mengucapkan
kepada sahabat baginda dengan sabdanya “aku CINTAKAN kamu”. Nabi
sallallahu a’laihi wassalam juga mencium anak-anak baginda. Baginda Nabi bersabda,
"Man la Yarham, la Yurham.." (Hadis Riwayat Muslim), maksudnya,
barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.
KEDUA: Beri perhatian
Baginda Nabi sallallahu a’laihi wassallam
sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keluarga baginda. Walaupun
Baginda sibuk dengan urusan negara, perang dan urusan umat tetapi Baginda tetap
tidak mengabaikan keluarga Baginda. Pernah satu rombongan dari luar negara datang
berbincang dengan baginda Nabi, sewaktu berbincang datang anak Baginda
Saidatina Siti Fatimah lalu Baginda Nabi terus pergi menyambut anak Baginda.
Ini menunjukkan baginda nabi tidak mengabaikan dan sangat memberi perhatian
kepada keluarganya.
KETIGA: Memberi Penghargaan
Ucapkan terima kasih kepada ahli keluarga
dan meminta maaf jika kita melakukan kesalahan, jangan kita mencari kesalahan
mereka dan hanya melihat kepada kesalahan mereka tanpa menghargai kebaikan yang
mereka lakukan. Tunjukkan kepada keluarga bahawa kita menghargai kebaikan
mereka. Nabi sallallahu a’laihi wassalam bersabda “Tiga perkara yang siapa
memilikinya nescaya akan dilindungi Allah dan dilimpahkan rahmat iaitu orang
yang apabila diberi dia mengucapkan terima kasih, apabila dia berkuasa dia
memaafkan dan apabila dia marah dia menahannya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Kebahagiaan keluarga adalah seperti kita
hidup di dalam taman yang indah. Taman yang indah memerlukan kita bercucuk
tanam, menjaganya dan menghiasinya. Maka tanamlah kasih sayang, jagalah dengan
menyemai dan memupuk kebahagiaan serta hiasilah keluarga dengan nilai-nilai
yang baik.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment