Saya melihat
pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bida’ah
tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya
ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili
mengenai persolalan bida’ah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua
orang Islam.
Namun perlulah
difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bida’ah terbahagi kepada
hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama
dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama
ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah
bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri
seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.
Jika kita perhatikan
secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk
membahagikan bida’ah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau
mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik
seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan
solat, kenduri tahlil dll.
Malah mereka
menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa
sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut
memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah
sunat.
Jadi bolehlah kita
simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan
perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak
besetuju bahawa bida’ah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang
baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi
bida’ah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.
DI ANTARA BIDA'AH PADA
MASA KINI
Mendakwa boleh
berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk
bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam
syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid
bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh
Rasulullah S.A.W.
Mereka mendakwa
bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada
syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri
sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah.
Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin
menghancurkan Islam.
Syeikh Dr. Muhammad
Said Ramadhan al-Buthi berkata:
“Bermazhab ini adalah
bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat
cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab
tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak
bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai
taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk
mengikutnya sepanjang masa.”
Syeikh Dr. Muhammad
Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi:
“Kita amat gembira
menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada
golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan
Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka
pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana
pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak
kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para
imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun
sebaliknya.”
(Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bida’ah
Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).
BIDA’AHKAH AMALAN
KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?
Pada masa kini
terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap
perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah
wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bida’ah lagi sesat. Mereka berkata
demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari
sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam
al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa)
bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami
dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.
Firman Allah Taala
bermaksud:
“Maka hendaklah kamu
bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Nahl: ayat
43).
Sabda Rasulullah
S.A.W. bermaksud:
“Sebaik-baik manusia
kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang
mengikutnya...”
(Riwayat Bukhari dan
Muslim).
Sabda Rasulullah
S.A.W. bermaksud:
“Sahabat-sahabat aku
seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu
mendapat hidayah.”
(Riwayat al-Darqutni,
al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).
Sabda Rasullah S.A.W.
bermaksud:
“Ke atas kamu
sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin...”
(Riwayat Adu Daud dan
al-Tarmizi).
Sabda Rasullah S.A.W.
bermaksud:
“Turutilah
orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.”
(Riwayat al-Tarmizi
dan Ahmad).
Sabda Rasulullah
S.A.W. bermaksud:
“Sesungguhnya ulama
adalah pewaris para nabi.”
(Riwayat Ahmad,
al-Tarmizi dan Abu Daud).
Sepatutnya persoalan
yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam
tidaklah boleh dikatakan sebagai bid’aah lagi sesat terhadap sekiranya
seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di
dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti kenduri tahlil,
bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin
pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai,
sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.
Permasalah seperti
inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis 'setiap bida’ah adalah
sesat' tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu.
Jika amalan-amalan seperti itu adalah bida’ah yang menyesatkan maka sudah
pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala
amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau
berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam.
Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan
seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua
keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi
syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada
pengaharaman sesuatu amalan itu.
Kemungkinan besar
golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum
mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang
untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah
akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam
masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah
rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu
ahli bida’ah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.
Sabda Rasulullah
S.A.W. bermaksud:
“Mana-mana orang yang
berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya
kecuali engkau kembali ke atasnya.”
(Riwayat muslim).
PERINGATAN PENTING
Kaedah Fiqhiyah
menyatakan bermaksud tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di
kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang
disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Kitab: Al-Asybah Wa
al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin
Al-Sayuti).
Maksud kaedah ini secara
lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bida’ah
lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat
dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya
jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menceburi
lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini.
Mereka dengan
sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang
berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan
mengkafirkan, memfasiqkan dan membida’ahkan golongan tersebut.
Malah mereka hanya
menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja
sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada
ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan
negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama. [Wallohu 'Aklam]
-By: Ustaz Azhar Idrus ( Original )
-Fanpage facebook-
No comments:
Post a Comment