Islam telah datang dengan menetapkan had
bilangan isteri yang boleh dikahwini, dan bukan datang dengan membiarkan suami
boleh berkahwin lebih tanpa had. Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam bersabda:
"Daripada Salim daripada bapanya, bahawa
Ghailan ibn Salamah as-Thaqafi memeluk Islam dan mempunyai sepuluh orang
isteri, maka Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam memerintahkan beliau memilih
empat orang sahaja.”
(Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, 2/13; dan Ibn
Majah dalam Musnadnya, 1/628)
Daripada hadis menjelaskan bahawa Islam menentukan
bilangan isteri yang boleh dikahwini dan tidak terdapat suruhan supaya seorang
itu berkahwin lagi. Ini kerana berpoligami itu bukan tujuan maksud perkahwinan,
tetapi ia dilakukan kerana kepentingan dan sebab-sebab tertentu. Firman Allah:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil
terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka
berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain):
dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara
isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah)
hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk
mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisa’: 3)
Firman Allah, “Maka berkahwinlah dengan
sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau
empat” perlu dihubungkan dengan ayat sebelumnya yang diungkapkan dalam bentuk
bersyarat iaitu, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan
yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka).” Demikian juga perlu dihubungkan
dengan ayat selepasnya yang mengikat keharusan berbilang isteri dengan syarat
berlaku adil. Firman Allah, “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil
(di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.”
(An-Nisa’: 3)
Sesungguhnya sistem berbilang isteri
merupakan suatu yang telah masyhur di kalangan orang Arab sebelum kedatangan
Islam, demikian juga di kalangan orang-orang Yahudi dan orang-orang Parsi.
Sejarah telah menjelaskan kepada kita mengenai raja-raja dan sultan yang telah
lalu, mereka membina rumah-rumah besar yang boleh memuatkan kadang-kadang
sehingga lebih daripada seribu orang, untuk menempatkan isteri-isteri dan
gundik-gundik. Kadang-kadang mereka menjadikannya sebagai hadiah kepada
raja-raja yang lain, kemudian mengambil wanita-wanita yang baru pula sebagai
ganti. Ini adalah seperti yang terdapat di dalam ajaran dan undang-undang
Yahudi hingga sekarang yang mengharuskan berbilang isteri, sedangkan tidak ada
sesiapa yang tergamak untuk menyerang mereka sama ada dari segi akidah, agama
dan ajaran mereka.
Yang anehnya, mereka menyerang sistem kekeluargaan
Islam yang membenarkan suami berkahwin sekali lagi dengan perempuan lain dalam
suasana dan keadaan tertentu dan membolehkan berbilang perempuan simpanan tanpa
had. Sedangkan perempuan simpanan sebenarnya tidak mendapat hak sebagai isteri.
Selain itu tindakan tersebut mengkhianati kaum wanita, mengugurkan haknya, dan mereka
tidak diiktiraf sebagai isteri, begitu juga anak-anak yang lahir tanpa nikah.
Maka perempuan itu sendirilah yang menanggung beban membayar kos penguguran
yang dilakukan sekiranya ingin mengugurkan kandungan, atau hidup tanpa suami
untuk membela anak-anak luar nikah. Jadi manakah yang lebih baik antara sistem
kekeluargaan Islam yang teratur itu dengan sistem yang mereka amalkan? Firman
Allah:
“Maka yang manakah di antara dua puak itu
yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"
(Al-An’am: 81)
Berbilang isteri yang diharuskan di Barat
ialah berbilang tanpa tanggungjawab, iaitu berbilang isteri yang tidak
mengambil apa-apa tanggungjawab kepada kaum wanita, malahan ia dijadikan hamba
oleh kaum lelaki dan menjalani hidup bersamanya tanpa hubungan rasmi. Mereka merampas
kehormatannya, kemudian dicampakkan keluar dari hati dan kehidupan mereka bila
sudah tidak diperlukan lagi, perlakuan sedemikian sering menyebabkan keluarganya
menghadapi penyakit kelamin yang bahaya, disamping anak-anak haram yang selalunya
tidak diiktiraf oleh mereka. Disebabkan banyaknya bilangan dan kajian yang
dilakukan, memadailah kita mengambil contoh dari negara Barat khasnya di Amerika
Syarikat, biarkan angka yang membuktikan:
Pada tahun 1980, seramai 1,553,000
pengguguran dilakukan, 30% daripadanya melibatkan wanita yang berumur di bawah
20 tahun, pihak polis pula melaporkan bahawa bilangan yang sebenar ialah lebih
tiga kali ganda ramainya.
Pada tahun 1982, 80% perceraian berlaku
dikalangan pasangan berkahwin dalam tempoh 15 tahun.
Pada tahun 1980-1990, di Amerika Syarikat
terdapat hampir sejuta wanita yang bekerja sebagi pelacur.
Pada tahun 1995, hasil pelacuran dan pengiklanannya
mencecah sebanyak 2,500 juta dollar seperti yang dilaporkan oleh “Kamus Wanita”
yang diterbitkan oleh Maahad ad-Dirasat ad-Dauliyah Haulal Mar’ah berpusat di
Madrid.
Seorang ahli sains bernama Tus menjelaskan, dengan
berkahwin lebih dari satu akan membolehkan anak-anak perempuan menjadi suri
rumahtangga. Peraturan memaksa lelaki Eropah hanya boleh berkahwin dengan
seorang wanita sahaja menjadikan anak-anak perempuan merempat dan memaksa
melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum lelaki. Berapa ramai dari
kalangan lelaki berkahwin yang mempunyai anak luar nikah, akhirnya menjadi
beban dan keaiban kepada masyarakat.
Seorang penulis lain berkata, “anak-anak
perempuan kita berperanan di dalam rumah sebagai pembantu rumahtangga adalah lebih
baik dan lebih ringan kesan buruknya daripada membenarkan mereka bekerja di
luar rumah. Kerana anak kita akan dicemari dengan pelbagai kegiatan yang tidak
sihat yang akan menghilangkan keindahan hidup selama-lamanya. Alangkah baiknya
jika negara kita adalah seperti negara-negara Islam yang mempunyai kesopanan, kehormatan
dan kesucian di mana pembantu rumah dan hamba sahya lebih menikmati kehidupan
yang selesa dan boleh bekerja seperti kanak-kanak yang berada di dalam rumah,
dengan ini ia tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam hidup.”
Annie Besant, pemimpin Theosophy antarabangsa
dalam bukunya “Agama-agama yang berkembang di India” mengatakan “Apabila kita
membuat penilaian dengan saksama, adil dan betul, jelas kepada kita bahawa
berbilang isteri dalam Islam yang dapat mengurus, melindungi, memberi pakaian
dan makan minum kepada isteri – adalah lebih baik dan lebih terhormat daripada
wanita-wanita Barat yang membenarkan kaum lelaki untuk mengambil peprempuan
bagi memuaskan nafsu syahwat, kemudian mencampakkannya begitu sahaja apabila
sudah tidak diperlukan lagi.”
Dari apa yang dibincangkan telah meyakinkan
kita bahawa sistem poligami atau pengharusan berkahwin lebih daripada seorang
isteri dalam keadaan dan suasana yang dibenarkan oleh syarak bukanlah sesuatu
yang ditolak oleh pemikir-pemikir Barat. Kita telah lihat bagaimana pengakuan sesetengah
daripada mereka.
Kesimpulannya, kami menegaskan bahawa Islam membenarkan
kaum lelaki berkahwin lebih daripada seorang isteri. Semuanya ini terdapat
hikmahnya sebagaimana yang telah dijelaskan. Keharusan itu pula adalah diikat
dengan syarat tertentu. Firman Allah:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil
terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka
berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain):
dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara
isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah)
hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.” (An-Nisa’: 3)
Di dalam ayat yang lain Allah SWT telah menerangkan
kepada kita tentang kepayahan untuk berlaku adil kepada wanita-wanita yang
dikahwini. Firman Allah SWT:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di
antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya);
oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri
yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung
(di awang-awang). (An-Nisa’: 129)
Kita juga telah melihat di dalam hadis Nabi
SAW, bahawa baginda tidak menyuruh dalam satu hadis pun sesiapa yang berkahwin
dengan seorang isteri hendaklah dia berkahwin lagi. Malahan hadis tersebut
menyatakan sebaliknya, iaitu sesiapa yang mempunyai ramai isteri hendaklah
diceraikan dan ditinggalkan dengan bilangan tertentu sahaja seperti yang telah
disebut di dalam hadis Salim yang telah meriwayat daripada bapanya, bahawa Ghailan
ibn Salamah ath-Thaqafi telah memeluk Islam sedangkan beliau mempunyai sepuluh
orang isteri, maka baginda bersabda kepadanya pilihlah empat orang sahaja. Riwayat
Ahmad dalam Al-Musnad, 2/13; dan Ibn majah dalam Sunannya, 1/628.
Dengan pencerahan di atas, persoalan ini telah
nampak jelas dan kekeliruan telah dapat diperbetulkan. Jelas di sini bahawa
berkahwin lebih daripada seorang isteri atau berpoligami berdasarkan peraturan
syariat Islam pada hakikatnya adalah satu penghormatan kepada kaum wanita. Ini
kerana sebagai seorang insan pandangannya mestilah luas dan menyeluruh. Memberi
tanggapan yang negatif kepada seorang perempuan yang akan dikahwini oleh seorang
lelaki bukan sesuatu yang adil, kerana yang akan dikahwini oleh seorang lelaki
itu adalah wanita juga. Syara’ telah memberikan penghormatan kepada wanita
dengan mengharuskan kaum lelaki mengahwini wanita yang lain untuk mengatasi
masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan masalah ekonomi. Marilah kita berdoa
kepada Allah SWT semoga memberikan pertunjuk dan hidayah mengenai urusan dunia dan
akhirat, hanya Allah sahaja tempat kita berdoa. Amin.
Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan
yang menganggu pemikiran’ - Sohibus
Samahah Dr. Ali Jumaah (Mufti Mesir), Majlis Agama Islam Negeri Johor
No comments:
Post a Comment