Monday, January 23, 2017

KEHEBATAN KITAB SOHIH AL-BUKHARI

Sebelum zaman Imam Al-Bukhari, kitab-kitab hadis masih bercampur, maka sukar untuk mengenal pasti status hadis kecuali setelah mengkajinya. Imam Al-Bukhari merupakan pelopor dalam pengumpulan ilmu hadis. Beliau telah membuat pengasingan hadis-hadis sohih dengan hadis yang lain melalui pendekatan yang berbeza berbanding ulama-ulama hadis lain. Beliau telah menyusun hadis-hadis sohih dalam kitab yang diberi nama Al-Jami’ Al-Musnad Al-Sohih Al-Mukhtasar Min Umuri Rasulillah SAW wa Sunnatihi wa Aiyamihi, yang bermaksud “Himpunan sanad yang sohih lagi padat mengenai hadis Rasulullah SAW, sunnah dan kehidupannya”.

Al-jami’ bermakna kitab ini menghimpunkan perkara-perkara berkaitan hukum, kelebihan-kelebihan, sastera dan sirah. Perkataan Sohih bermakna tidak terdapat di dalam kitab ini hadis-hadis yang lemah atau dhaif. Manakala perkataan Al-Musnad bermaksud sanad hadis didalamnya bersambung kepada para sahabat sehingga Nabi SAW sama ada dalam bentuk percakapan, ucapan, perbuatan dan pengakuan nabi SAW.

Pendorong Untuk Menyusun Hadis
Pendorong utama Imam Al-Bukhari menyusun kitab sohihnya adalah disebabkan oleh ungkapan  gurunya  bernama  Ishak  bin  Rahawih.  Beliau merupakan guru Imam Al-Bukhari dan seorang yang alim dalam ilmu hadis dan fikah. Ibn Rahawih pernah berkata kepada Imam Al-Bukhari, “alangkah eloknya jika kamu boleh kumpulkan hadis-hadis sohih Rasulullah SAW dalam satu kitab”.

Pendekatan Imam Al-Bukhari Mengarang Sohihnya
Imam Al-Bukhari sebelum beliau menulis sesuatu dalam kitab Al-Jami’ Al-Sohih, terlebih dahulu beliau akan mandi kemudian melakukan solat sunat dua rakaat. Beliau tidak memasukkan hadis ke dalam kitabnya kecuali setelah beliau solat Istikharah dua rakaat terlebih dahulu untuk meminta pertunjuk daripada Allah SWT.

Jangka Masa Penyusunan Kitab
Ketika Imam Al-Bukhari selesai menyusun kitabnya Al-Jami’ Al-Sohih, beliau telah membentangkan kitab itu kepada para Ulama termasuk Yahya bin Mu’in, Ali bin Al-Madini dan Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Al-Bukhari menyusun kitabnya selama 16 tahun bermula pada umurnya 23 tahun.

Imam Al-Bukhari Tidak Memasukkan Semua Hadis Sohih
Walaupun kitab Al-Jami’ Al-Bukhari dimuatkan semua hadis sohih namun Imam Al-Bukhari menyatakan bahawa masih banyak hadis-hadis sohih yang beliau tidak masukkan kerana beliau tidak mahu kitabnya menjadi terlalu besar. Begitu juga Imam Muslim, walau beliau hanya meriwayatkan hadis-hadis yang sohih sahaja dalam kitab Sohihnya namun beliau tidak mengatakan bahawa hadis-hadis yang tidak beliau riwayatkan dalam kitabnya itu merupakan hadis dhaif.

Tujuan Imam Al-Bukhari Dalam Sohihnya
Imam Al-Bukhari begitu iltizam dengan hadis yang sohih sahaja, beliau tidak memasukkan dalam kitabnya kecuali hanya hadis-hadis yang sohih sahaja. Oleh kerana itu beliau menamakan kitabnya sebagai Al-Jami’ Al-Sohih. Dalam kitab ini juga mengandungi persoalan fikah yang menekankan ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hukum, sirah dan tafsir dengan menghuraikan tentang hadis, fatwa para sahabat, tabi’in dan pendapat ulama tertentu, kemudian memasukkan matan hadis dan cara mendapatkannya dalam bab-bab kitabnya. Imam Al-Bukhari menumpukan usahanya untuk mengeluarkan pelbagai masalah daripada setiap hadis Rasulullah SAW. Oleh kerana itu kebanyakan pendapat ulama terkemuka mengatakan ianya sebagai fikah Imam Al-Bukhari.

Syarat Imam Al-Bukhari Dalam Kitab Sohihnya
Imam Al-Bukhari telah menetapkan suatu syarat bagi menentukan hadis yang diriwayatkan. Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari ialah setiap hadis mesti datang dari para sahabat yang masyhur serta sanad perawinya bersambung dan dipercayai. Jika seseorang sahabat itu mempunyai dua riwayat atau lebih maka ia lebih kuat, jika hanya mempunyai satu riwayat sahaja dan cara penentuannya betul, itu sudah memadai. Perawinya juga bukan orang yang mudallis iaitu mereka yang tidak mendengar sendiri dari orang yang mereka riwayatkan atau orang yang banyak melakukan kesilapan kerana umur yang sudah lanjut, buta atau kehilangan nukilannya atau orang yang sezaman dengannya tetapi dia tidak berjumpa dengannya.

Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari dalam sohihnya itu menunjukkan kitabnya berada ditahap yang paling tinggi dari segi kesahihan dan kepercayaan, pencarian menukil hadis sohih yang mantap, keprihatinan yang jitu oleh seorang mujtahid, amanah dari segi menukil nas dan perawi, seterusnya menetapkan syarat-syarat yang begitu ketat dalam bidang ini, dengan begitu kuat iltizamnya yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana penyusun dalam bidang ini.

Cara Penyusunan Kitabnya
Penelitian tentang urutan kitab dan bab-bab dalam Sohih Al-Bukhari menunjukkan ketelitian yang menakjubkan dalam menentukan kitab dan bab-bab di dalamnya, sehingga ia menjadi sebuah kitab yang sepadu, mantap dan lengkap, mengandungi simpulan yang tersusun untuk satu matlamat iaitu keindahan dan kesampurnaan. Al-Bukhari memulakan kitabnya dengan menekankan bagaimana permulaan turunnya wahyu. Dimulakan dengan demikian kerana ia sebagai sumber kebaikan, dengan wahyu berjalannya syariat   dan turunnya risalah.

Penyusunan Bab dan Riwayat Hidup Dalam Sohih Al-Bukhari
Dalam penyusunan kitabnya yang mengandungi bab-bab dan riwayat hidup itu merupakan sesuatu yang kompleks dan sukar difahami oleh kebanyakan pensyarah dan ahli-ahli hadis, sehingga pendekatan yang digunakannya itu tidak mampu dilakukan oleh bijak pandai di semua zaman oleh ulama yang hebat-hebat di mana-mana pun. Pengkaji hadis mengakui bahawa bab-bab dan riwayat hidup yang terkandung dalam Al-Jami’ Al-Sohih merupakan satu kajian yang amat mendalam dan memenuhi piawaian, sehingga ia menjadi lambang keistimewaan kitab ini berbanding dengan kitab-kitab yang serupa dengannya seperti Sohih Muslim, kerana ketinggian tahap kualiti dan kehebatan susunannya.

Huraian Al-Jami’ Al-Sohih
Kitab-kitab yang menghuraikan kitab Al-Jami’ Al-Sohih, antaranya:

1.         Kitab Fath Al-Bari bi Syarh Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Al-Islam Al-Hafiz Ahmad bin Ali Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Ahmad Al-Kannani Al-‘Asqolani Al-Masri Al-Syafi’i. Beliau dilahirkan di Mesir pada 13 Sya’ban pada tahun 773 Hijrah dan wafat pada 18 Zulhijjah tahun 852 Hijrah dan disemadikan di Kaherah. Kitab ini ditulis dengan tulisan tangan sebanyak 13 jilid. Pemerintah Al-Athraf meminta kepada Al-‘Asqolani untuk membuat salinan dan dibelinya dengan harga 300 dinar, dari situ kitab ini tersebar ke serata pelusuk dan rantau. Kitab ini terus mendapat sanjungan dari kalangan semua ulama hadis dari dahulu hingga masa kini dan kitab ini terus menjadi sandaran dan rujukan.

2.         Kitab ‘Umdatu Al-Qari fi Syarhi Al-Bukhari
Ditulis oleh Al- Syeikh Al-Allamah Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-‘Aini Al-Hanafi. Jangka masa beliau menyiapkan kitabnya itu mengambil masa selama 19 tahun.

3.      Irsyadu Al-Sari Ila Syarhi Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad Al-Khathib Al-Qastholani Al-Qahiri Al-Syafi’i (wafat pada tahun 922 Hijrah). Kitab ini merupakan ringkasan bagi syarah tFathul  Bari  dan Al-Umdah,  kitab  ini juga  terkenal  dengan  Al-Qastholani  sebagaimana  penulisnya. 

Kelebihan dan Pujian

Kitab Al-Jami’ Al-Sohih diperakui merupakan kitab yang paling sohih, hebat dan unggul sekali selepas Al-Quran dan diiktiraf oleh semua ulama hadis di semua tempat dan zaman. Kitab ini membuktikan bahawa Imam Bukhari mempunyai kecekapan, kehebatan dan kepakarannya yang tinggi.

Rujukan: Jabatan Mufti Johor; Dr. Taqiyuddin Al-Nadawi Al-Madzahiri

Friday, January 20, 2017

SOLAT MAGHRIB DI SURAU DALAM PASARAYA

1. IMAM perlu elak membaca surah yang panjang siap berlagu nahwan+bayati, berwirid panjang dan berzikir panjang seperti ustaz Abdullah Fahmi atau berdoa panjang seperti Syeikh Sudais.

2. MAKMUM perlu terus bangun dan beredar apabila sudah solat, cukup dengan hanya berzikir dan berdoa secara ringkas.

3. MAKMUM perlu pastikan waktu maghrib masih belum berakhir, nanti ada pula yang niat solat maghrib berimamkan solat isyak.

4. MAKMUM jangan pisahkan saf solat dengan barang yang dibeli, cuba letak di hadapan atau berbetulan di bawah perut ketika sujud.

5. MAKMUM please jangan biar jemaah lain beratur tunggu hang habis balas whatsap.

6. Cuba duduk secara IFTIRASY (seperti duduk pada tahiyat awal) apabila jumlah jemaah padat, jangan duduk secara tawarruk (duduk pada tahiyat akhir) nanti hampa terduduk atas kaki jemaah sebelah tambah jika kita berbadan besar, kang patah kaki beliau.


7. Bagi LELAKI, jangan lepak depan surau wanita kerana sudah tentu ada wanita yang sedang tukar pakaian, dalam surau pun nak skodeng?

Friday, January 13, 2017

MENGENALI IMAM AL-BUKHARI: TOKOH ULAMA HADIS


Imam Al-Bukhari ialah salah seorang tokoh ulama yang hidup pada awal kurun ketiga Hijriah. Beliau dilahirkan selepas solat Jumaat pada 13 Syawal tahun 194 Hijriah di Bukhara Khurasan dan wafat pada malam sabtu ketika solat Isyak di malam Aidilfitri, tahun 256 Hijriah. Dunia Islam ketika itu diperintah oleh Kerajaan Abasiyah dan Baghdad merupakan ibu kota pemerintahannya. Imam Al-Bukhari wafat pada zaman pemerintahan terakhir kerajaan Abasiah.

Pada zaman ini, ilmu-ilmu pengetahuan Islam berkembang pesat sehingga melahirkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan di dunia Islam khasnya di Baghdad sebagai kota ilmu. Berkembangnya mazhab fikah yang empat, perkembangan ilmu Al-Quran khasnya Ilmu Tafsir. Banyak kitab-kitab dikarang seperti Sirah Nabawi, Sejarah dan Perawi hadis.

Sebelum itu sudah terdapat terdapat beberapa kitab hadis yang penting telah disusun, antaranya Kitab Muatta’ oleh Imam Malik, Musnad oleh Imam Ahmad, Musannif oleh Abdul Razak dan lain-lain lagi. Hadis-hadis yang pelbagai ini telah dihimpunkan di dalam sebuah kitab. Namun, semasa Imam Al-Bukhari, beliau telah mengumpulkan di dalam sebuah kitab yang khusus hadis-hadis sohih sahaja (diakui betul ketulenan dan kesohihannya).

Pada zaman itu, terdapat ramai ulama-ulama yang menghafal hadis (Huffaz) dan tokoh-tokoh hadis terkenal seperti Ahmad bin Hanbal, Ali bin Al-Madini, Imam Muslim, Al-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Majah, Abu Daud, Abi Khatim, Abi Zar’ah Al-Raziyin, Ishak bin Rahawih dan lain-lain lagi. Pada zaman ini juga telah timbul isu mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk. Perkara ini telah dibangkitkan oleh golongan Mu’tazilah dan mereka telah dapat mempengaruhi Khalifah Ma’mun dan Al-Mu’tasim.

Keturunannya
Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ja’fi. Bapa Imam Al-Bukhari bernama Ismail merupakan seorang ulama terkenal yang pernah belajar daripada Hammad bin Zaid dan Imam Malik. Bapanya merupakan seorang yang alim, warak dan bertakwa. Oleh itu, Imam Al-Bukhari lahir dari keluarga seorang yang alim, kuat pegangan agama dan seorang yang warak.

Kelahiran Dan Perkembangannya
Imam Al-Bukhari dilahirkan selepas solat Jumaat pada 13 Syawal tahun 194 Hijriah di Perkampungan Bukhara. Bapanya telah wafat semasa beliau masih kecil, beliau dipelihara oleh ibunya. Imam Al- Bukhari semasa kecilnya telah mengalami buta matanya, ibunya telah bermimpi berjumpa dengan Nabi Ibrahim as, lalu berkata kepadanya: Wahai si ibu, Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu kerana banyaknya anda berdoa, lalu Allah pulihkan penglihatannya.

Keperibadiannya
Imam Al-Bukhari seorang yang kurus tubuhnya dan sederhana, tidak begitu tinggi dan tidak begitu rendah orangnya. Beliau seorang yang zuhud, mewarisi harta yang banyak peninggalan ayahnya, tetapi hartanya banyak disedekahkan. Beliau tidak banyak makan, begitu pemurah sehingga dikatakan beliau cukup hanya memakan dua atau tiga biji buah badam sahaja.

Beliau pernah berdoa kepada Allah semoga tidak menghisabnya sekiranya beliau ada mengumpat seseorang. Pada suatu hari ketika Al-Bukhari menunggang kenderaan pergi memanah, ketika itu beliau berada di sebuah tempat bernama Faribar, saat memanah anak panah Imam Al-Bukhari tersasar dan merosakkan barangan kepunyaan Hamid bin Al-Ahdhar, menginsafi bahawa beliau telah merosakkan harta kepunyaan orang lain, maka beliau segera mahu mengganti barangan tersebut, namun pemilik barang tersebut tidak mahu sebarang gantian, maka Imam Al-Bukhari merasa gembira dengan sikap Hamid tersebut lalu membaca sebanyak lima ratus hadis pada hari itu dan bersedekah sebanyak tiga ratus dirham.

Imam Al-Bukhari di setiap awal malam bulan Ramadan bersama dengan semua rakannya berkumpul bersama-sama untuk menunaikan solat. Pada setiap rakaat dibacanya dua puluh ayat sehinggalah khatam Al-Quran. Pada waktu sahur pula, beliau membaca separuh hingga satu pertiga Al-Quran dan dikhatamkan pada setiap tiga malam, kadang dikhatamkan pada setiap hari sekali dan ada kalanya dikhatamkan sewaktu hampir berbuka, beliau mengatakan: “Setiap kali khatam disitulah doa amat dimakbulkan”.

Dalam satu peristiwa Imam Al-Bukhari di sengat tebuan dari dalam bajunya ketika sedang solat. Apabila ditanya Imam Al-Bukhari berkata: “Aku sedang membaca surah yang memang aku ingin menghabiskannya.” Dalam peristiwa itu beliau telah disengat tabuan sebanyak tujuh belas kali.
Ketika dalam satu majlis Imam Al-Bukhari, terdapat seorang yang membuang kotoran yang tersangkut dijanggutnya lalu dibuangnya ke lantai. Kemudian Imam Al-Bukhari mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam satu bekas, selepas beliau keluar daripada masjid, beliau membuang kotoran tersebut, seolah-olah beliau mahu memelihara kesucian masjid daripada dicemari sebarang kotoran.

Kecekapannya Dalam Memanah
Imam Al-Bukhari telah mempelajari selok belok memanah dan memahirkannya. Beliau banyak memanah dengan menunggang kenderaan.

Pengembaraan Menuntut Ilmu
Imam Al-Bukhari telah menetap di kampung halamannya di Bukhara sehingga berumur enam belas tahun. Selepas itu beliau berangkat keluar negara menuntut ilmu. Bermula dengan menunaikan haji ke Baitullah al-Haram bersama ibu dan abangnya Ahmad. Selepas itu, Ibu dan abangnya kembali ke Bukhara, tetapi beliau tetap tinggal menuntut ilmu di Mekah. Dalam pengembaraan ini beliau menghabiskan umurnya dengan mengembara ke pusat-pusat ilmu di kebanyakan dunia Islam. Beliau bersusah payah, berpenat lelah dan mengharungi pelbagai cabaran dan halangan dalam usaha untuk mengumpulkan hadis Nabi dan menyebarkannya kepada umat Islam.

Mekah ketika itu merupakan pusat ilmuan di Hijaz. Dalam pada itu beliau pergi ke Madinah Al-Munawwarah beberapa kali. Di Haramain (Mekah dan Madinah) inilah beliau menyusun kitab dengan membuat himpunan hadis-hadis sohih dan pengenalannya.

Imam Al-Bukhari dalam usahanya untuk mengumpulkan hadis-hadis sohih, beliau telah menjelajah ke serata pelusuk rantau negara Islam. Beliau pergi ke Mesir, Jazirah (Syiria, Iraq dan Turki) sebanyak dua kali, ke Basrah empat kali dan menetap di Hijaz selama enam tahun, dan berapa kali pergi ke Kufah dan Baghdad bersama-sama ahli hadis. Al-Bukhari telah mengembara menemui ahli-ahli hadis di pelbagai ceruk rantau dan tempat.

Baghdad ketika zaman Imam Al-Bukhari merupakan gedung ilmu pengetahuan dan pusat para ulama. Beberapa kali beliau ke Baghdad, beliau tinggal bersama Imam Ahmad. Imam Al-Bukhari tidak banyak meriwayatkan daripada Imam Ahmad, kerana beliau dalam pengembaraannya banyak menemui guru-guru Imam Ahmad lalu mendapatkan ilmu terus melalui mereka. Imam Al-Bukhari banyak berhubung dengan Ali bin Al-Madini, seorang ahli hadis, ahli sejarah dan seorang penghafaz hadis pada zamannya, beliau banyak menulis kitab.

Gurunya
Imam Al-Bukhari telah mengembara ke pusat-pusat pengajian ilmu yang dipimpin oleh tokoh-tokoh ulama hadis di negara Islam. Beliau mengambil kesempatan daripada tokoh-tokoh ulama hadis yang amanah dan diiktiraf. Telah diriwayatkan bahawa beliau menulis sebanyak 1,080 tokoh yang kesemuanya merupakan ulama-ulama hadis.

Muridnya
Imam Al-Bukhari mempunyai ramai murid termasuklah Imam At-Tirmizi pengarang kitab Al-Jami’ Al-Kabir yang dinamakan dengan Sunan At-Tirmizi dan As-Syamail Al-Muhammadiah. Murid beliau yang lain ialah Imam An-Nasai, beliau ialah seorang imam, hafiz Al-Quran dan pengarang Al-Sunan. Imam Muslim bin Al-Hajjaj pengarang kitab Al-Jami’ Al-Sohih juga merupakan anak murid Imam Al-Bukari.

Mazhab Fikahnya
Imam Al-Bukhari terkenal sebagai bermazhab Syafi’ie, lantaran itu Imam Al-Subki mengklasifikasikan beliau dalam kelompok Mazhab Syafi’i. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Al-Fath al-Bari mengatakan bahawa Imam Al-Bukhari dalam perbincangan mengenai ilmu feqah kebiasaannya merujuk kepada Imam Syafi’i dan Abi ‘Ubaid. Walau bagaimana pun Ibn Al-Qaiyim mendakwa Al-Bukhari, Muslim, dan Abu Daud dari kalangan pengikut mazhab Ahmad Ahmad ibn Hanbal. Al-Syeikh Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi berpendapat bahawa Imam Al-Bukhari merupakan seorang mujtahid dan faqeh yang tersendiri sebagaimana kita dapat saksikan dalam kitabnya Sohih Al-Bukhari. Ketiadaan buku-buku fekah yang dikarang oleh Imam Al-Bukhari tidak bermakna beliau bukan seorang mujtahid.

Kehebatanya Dalam Bidang Hadis
Allah SWT telah mengurniakan kepada beliau hati yang bersinar, kuat hafalan, pemikiran yang tajam, dipandu dan dibimbing serta diilhamkan menjadi seorang penghafaz hadis. Kehebatannya mula menonjol ketika berumur sepuluh tahun. Kemudian beliau berguru dengan ramai ulama pada zamannya dan tokoh-tokoh di kampung halamannya. Pembelajaran ini ditambah dengan perbincangan dan membuat kajian. Ketika berumur enam belas tahun, beliau telah hafaz banyak kitab-kitab tokoh ulama terkenal; dan juga telah mempelajari pendapat ahli-ahli falsafah, asas dan pegangan mereka. Ketika umurnya sepuluh tahun, Imam Al-Bukhari telah mampu membetulkan kesalahan-kesalahan dalam ilmu hadith. Sewaktu beliau berumur enam belas tahun beliau telah menghafaz kitab Ibn Mubarak, Waqi’ dan telah mengetahui pendapat ahli-ahli falsafah dari kalangan mereka.

Imam Al-Bukhari dikurniakan oleh Allah SWT dengan hafazan yang mantap, ingatan yang kuat dan hebat yang tidak ada bandingan di kalangan penghafaz di zamannya. Kisah tentang cepat hafazan dan kuat ingatan beliau tersebar luas hingga sampai ke taraf mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Dikatakan beliau semasa kanak-kanak lagi telah menghafaz tujuh puluh ribu hadis yang bersambung perawinya dan berurutan. Diriwayatkan juga beliau boleh menghafaz apa yang terkandung di dalam kitab dengan sekali pandang sahaja. Imam Al-Bukhari juga sewaktu mendengar kuliah guru beliau menghafaz tanpa membuat sebarang catitan, ketika itu beliau masih kanak-kanak lagi.

Pada satu peristiwa, terdapat empat ratus orang pengkaji hadis yang berkampung selama tujuh hari ingin menguji kehebatan Imam Al-Bukhari dengan mengubah susunan dan menterbalikkan sanad hadis. Namun mereka tidak mampu untuk mengelirukan Imam Al-Bukhari walau sedikit pun sama ada dari segi sanad ataupun matan (teks hadis). Imam Al-Bukhari menjawab satu persatu dan membetulkan semua hadis yang telah diubah-ubah tersebut. Maka orang ramai pun mengiktiraf hafazan Imam Al-Bukhari dan mereka mengakui kehebatannya.

Imam Al-Bukhari bukan sahaja diiktiraf di kalangan ahli hadis sebagai seorang penghafaz hadis, malahan beliau mahir dalam ilmu sanad hadis sama ada hadis itu sohih atau pun dhaif, dan juga mengetahui keadaan perawi hadis dari segi kejujuran dan kewarakannya. Imam Al-Tirmizi berkata bahawa beliau tidak pernah melihat orang yang lebih alim dalam soal ilal (kecacatan sesuatu hadis) dan rijal (kejujuran seseorang perawi hadis) selain daripada Imam Al-Bukhari.
Diriwayatkan bahawa pada satu malam ketika bermusafir, Imam Al-Bukhari bangun sebanyak lima belas hingga dua puluh kali dalam satu malam. Setiap kali bangun, beliau membawa api ditangannya. Dengan menggunakan pelita itu beliau mengeluarkan hadis-hadis dan membuat penelitian mengenainya, kemudian beliau tidur semula. Imam Al-Bukhari berkata: “Aku tidak dapat tidur sebelum aku dapat membilang berapa banyak hadis yang telah dapat aku susun, rupa-rupanya telah tersusun sebanyak dua ratus ribu hadis.”

Imam Al-Bukhari sangat cintakan Rasulullah SAW dan begitu tekun mengumpulkan hadis, beliau menghadapi segala cabaran dan halangan, sanggup berlapar dan bersusah payah demi mengumpulkan hadis, seolah-olah menjadi darah daging atau hidup dan matinya untuk hadis.

Beliau Difitnah
Imam Al-Bukhari pernah difitnah bahawa Imam Al-Bukhari berkata Al-Quran itu makhluk, maka diadakan satu perhimpunan mengenainya. Apabila Imam Al-Bukhari hadir ke perhimpunan itu, salah seorang bertanya mengenai Al-Quran, sama ada ia makhluk atau bukan makhluk? Imam Al-Bukhari tidak menjawab, apabila ditanya sebanyak tiga kali, Imam Al- Bukhari menjawab: “Al-Quran itu adalah kalam Allah bukan makhluk, perbuatan hamba adalah makhluk dan menyoal mengenainya dianggap bid’ah. Pergerakan mereka, suara mereka, tulisan mereka kesemuanya adalah makhluk. Ada pun Al-Quran yang kekal di dalam mushaf dan yang menyentuh jiwa itu adalah kalam Allah bukan makhluk.”

Kewafatannya
Imam Al-Bukhari akhirnya keluar daripada Al-Naisabur kembali ke negara asalnya Bukhara, di sana beliau disambut oleh penduduk Bukhara dengan sambutan yang meriah sekali. Beliau berada di sana mengajar hadis di masjid Bukhara, lalu diminta oleh raja Bukhara bernama Khalid bin Ahmad supaya Imam Al- Bukhari datang ke istana untuk mengajar kitab kepada anak-anaknya, tetapi Imam Al-Bukhari menolak titah tersebut dengan alasan beliau tidak mahu mengajar hadis hanya kepada golongan tertentu sahaja akibatnya Imam Al-Bukhari dihalau daripada negeri itu dan kemudiannya beliau dihukum penjara.

Apabila Imam Al-Bukhari keluar dari Bukhara, penduduk Samarkand telah mengutus surat untuk meminta beliau tinggal di negeri mereka, lalu Imam Al-Bukhari menuju ke sana. Dalam perjalanan beliau menetap beberapa hari di sebuah kampung, lalu beliau dihidapi penyakit yang menyebabkan penduduk Samarkand mengutus orang untuk membawa Imam Al-Bukhari tinggal di sana. Sebelum wafat beliau berdoa: “Ya Allah, aku merasa begitu sempit rasanya dunia ini, jemputlah aku menemui-Mu ya Allah”, lalu Imam Al-Bukhari wafat pada bulan itu juga. Beliau wafat pada malam Sabtu ketika solat Isyak di malam Aidilfitri, jenazahnya disemadikan selepas solat Zohor semasa umurnya enam puluh dua (62) tahun kurang tiga belas (13) hari.
Dikatakan bahawa tanah perkuburannya mengeluarkan bauan yang harum semerbak bagaikan bau kasturi, ini berlanjutan beberapa hari, menyebabkan orang ramai datang menziarahi kuburnya beberapa hari untuk mengambil tanah sehingga kuburnya menjadi seakan berlubang.

Pengiktirafan Ulama Sezaman Tentang Hafazan dan Sanjungan Terhadapnya
Al-Hafiz menceritakan daripada Al-Khatib dengan sanadnya daripada Abdul Wahid bin Adam, beliau menceritakan: “Aku bermimpi melihat Nabi SAW bersama-sama dengan sekumpulan para sahabatnya sedang duduk di suatu tempat, aku mengucap salam kepada baginda dan dijawabnya salamku itu. Aku bertanya kepada baginda Kenapa duduk di sini ya Rasulullah? Sabda baginda: “Aku menunggu Muhammad bin Ismail (Imam Al-Bukhari)”. Dia menjelaskan lagi, setelah beberapa hari sampailah berita kematiannya kepadaku, bila aku selidiki, rupa-rupanya beliau wafat pada malam aku bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW itu.”

Al-Qastolani pula menjelaskan: “Apabila ada tanda-tanda tertentu selepas beliau wafat, para penentangnya telah pergi ke kuburnya lalu menzahirkan penyesalan dan bertaubat kembali kepada Allah SWT.”

Manakala Al-Firbari berkata: “Aku bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW, baginda bertanya kepadaku: Apa yang kamu mahukan? Aku menjawab: Aku mahukan Muhammad bin Ismail, baginda bersabda lagi: Kirimkan salamku kepadanya.”

Imam Al-Bukhari hidup sezaman dengan ramai tokoh-tokoh dan ulama-ulama terkenal seluruh dunia Islam. Imam Al-Bukhari telah diuji kemudian mendapat pengiktirafan dari semua ulama pada zamannya, mereka mengetahui Imam Al-Bukhari mengatasi mereka dari segi hafazan dan kefahamannya lalu diberikan pujian dan sanjungan.

Abu Amru Al-Khaffaf Ahmad bin Nasr bin Ibrahim Al-Naisaburi berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang seperti Imam Al-Bukhari, beliau lebih mengetahui tentang hadis daripada Ahmad, Ishak dan lainnya begitu jauh perbezaannya.”

Muhammad bin Basyar bin Uthman bin Daud bin Kisan Al-Abdi Al-Basri, guru kepada Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, beliau berkata bahawa Imam Al-Bukhari merupakan seorang yang paling alim di zamannya.

Ahmad bin Hanbal mendakwa: “Tidak ada penduduk Khurasan yang mengembara keluar negeri seperti Muhammad bin Ismail (Imam Al-Bukhari).”

Abu Bakar bin Khuzaimah seorang pemimpin ulama berkata: “Tidak ada di muka bumi ini seorangpun yang lebih alim dalam ilmu hadis selain daripada Imam Al-Bukhari.”

Al-Hakim meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Imam Muslim pengarang Hadis Sohih datang ke Bukhara maka dikucupnya di dahinya, Imam Muslim berkata: “Biarkanlah aku mencium kedua kakimu wahai guru yang mendidikku dan penghulu dan pentashih hadis.”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Sekiranya dibukakan pintu puji-pujian ke atasnya kepada mereka yang terkemudian daripada zamanya, nescaya tidak cukup kertas untuk menulisnya, dan banyak jiwa yang terkorban kerananya, kerana ia bagaikan laut yang tidak bertepi.”

Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Tahzib mengatakan: “Ungkapan Ini sebagai penghargaan mengenai peribadi dan sifatnya, kesempurnaan peribadinya bagaikan permata yang aku tujukan kepadanya kerana dia dikenal dan diketahui umum. Puji-pujian kepadanya tidak terhingga kerana terkeluar daripada kebiasaan iaitu mencakup pelbagai bidang seperti hafazan dan dirayah (pengetahuan mengenai hadis), ijtihadnya untuk mendapatkan hadis, periwayat, sumbangan bakti, manfaat yang diperolehi, kewarakan, kezuhudan, pemerhatian dan ketekunan, kesungguhan, kemantapan dan kemurahan, perkembangan dan kemuliaan dan lain-lain bentuk kemuliaan yang dimilikinya.”


Rujukan: Jabatan Mufti Johor; Dr. Taqiyuddin Al-Nadawi Al-Madzahiri

Thursday, January 12, 2017

MENJEMPUT KEBAIKAN


Kebaikan Adalah Dari Allah Ta’ala
Setiap hari kita berharap dan berdoa agar kita memperolehi kebaikan, namun ada sebahagian dari kita salah dalam cara menjemput kebaikan itu. Sebahagian orang manjemput kebaikan dengan cara memaksimumkan pendapatannya, ada yang mengumpul harta sebanyaknya, dan ada yang membeli insuran atau menabung sebagai jaminan. Namun kita sering terlupa bahawa kebaikan yang diharapkan itu hanyalah dari Allah Ta'ala, bukan dari harta, pangkat, duit atau skim perlindungan.

Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad)…Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja mempunyai segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” (Ali Imran: 26)

Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah dari sisi Allah". (an-Nisa’: 78)

Oleh itu, cara menjemput kebaikan hanyalah dengan cara yang diajar oleh Allah Ta'ala iaitu dengan memastikan cara atau kaedah itu adalah patuh Shariah. Mengharapkan kebaikan itu datang dari makhluk dan bukannya Allah Ta'ala hanya akan membuat kita kecewa dan berputus asa, sesungguhnya Pencipta kita lebih tahu kebaikan yang terbaik untuk ciptaan-Nya.

Bagaimana Mendapat Kebaikan?
Islam telah mengajar cara menjemput kebaikan, iaitu dengan cara menuntut ilmu dan memahami agama Islam. 

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang Allah kehendak beroleh kebaikan kepadanya, maka Allah akan berikan kepadanya kefahaman di dalam urusan agama." (Riwayat al- Bukhari)

Firman Allah Ta’ala: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (al-Baqarah: 269)

Kebaikan Hilang Apabila Diangkatnya Ilmu
Di akhir zaman kelak, Allah Ta’ala akan datangkan kiamat dan kerosakan di bumi dengan mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama, maka bumi akan diurus oleh orang jahil lalu berlakulah kerosakan. 

Rasulullah saw bersabda: "Diantara tanda terjadinya hari kiamat ialah diangkat ilmu, kejahilan berleluasa, ramainya orang yang meminum arak, dan zina dilakukan secara terang-terangan." (HR Muslim)

Rasulullah saw bersabda: “'Allah Azza wa Jalla mengangkat ilmu agama bukan dengan cara mencabutnya dari hati umat manusia. Tetapi Allah akan mengangkat ilmu agama dengan mencabut nyawa para ulama, sehingga tidak ada seorang ulama pun yang akan tinggal. Kemudian akan dilantik orang yang jahil sebagai pemimpin. Apabila mereka, para pemimpin jahil itu diminta memberikan fatwa, maka mereka akan berfatwa tanpa berlandaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (HR Muslim)

Ilmu Agama Memberi Kebaikan
Kefahaman dalam agama akan memandu kita dalam melakukan aktiviti harian. Aktiviti patuh Shariah berdasarkan kefahaman agama akan menjemput kebaikan datang kepada kita. Ini kerana agama itu mencegah kita dari melakukan kejahatan, keburukan, kemudaratan, menjaga maslahat, dan memandu kita agar sentiasa selamat di dunia dan akhirat. Semakin banyak kefahaman agama yang kita praktikkan dalam aktiviti harian kita maka semakin banyak kebaikan yang kita perolehi.

Agama juga membentuk pemikiran yang berprinsip dan berwawasan, membantu membuat keputusan, membantu membuat penilaian dan membuat pertimbangan dalam bertindak. Kebaikan dari ilmu itu umpama air hujan yang menghidupkan tumbuhan segar. 

Nabi saw bersabda: "Perumpamaan aku diutuskan oleh Allah Ta’ala menyampaikan petunjuk dan ilmu  bagaikan hujan yang jatuh ke bumi. Diantaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air, maka tumbuhlah padang rumput yang subur.” (HR Muslim)

Agama juga mengajar merawat hati, mengawal hati dan membersihkan hati maka emosi dan semangat kita akan turut terjaga. Oleh itu kita sentiasa dalam keadaan selamat, tenang, selesa, gembira dan bermotivasi, bukankah ini merupakan kebaikan yang mahu dikecapi setiap manusia? Agama juga memberi kita panduan dalam semua hal termasuk bagaimana bergaul, menyelesaikan masalah harian, dari masalah peribadi sehingga masalah negara, dari masalah dunia sehingga masalah akhirat. Kesemuanya telah diberi panduan, tinggal saja untuk kita ambil dan dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Berusaha Mendaptkan Ilmu dan Kefahaman Agama
Kita tidak dilahirkan bersama dengan kefahaman agama, kefahaman agama itu diperolehi melalui proses ilmu. Mungkin aktiviti harian kita adalah patuh Shariah kerana kita dilahirkan dalam komuniti yang mengamalkan ajaran Islam dan amalan Islam telah menjadi budaya masyarakat sekeliling. Namun kefahaman di dada adalah tidak sama dengan apa yang telah menjadi budaya dan kebiasaan, dengan kefahaman agama seseorang akan menjadi anjal dalam mengaplikasikan Shariat mengikut perubahan tempat, suasana dan keadaan. Manakala bagi orang yang terbiasa dengan budaya hidup, dia sukar untuk bersikap anjal dan sukar mengadaptasi perubahan.

Kefahaman agama perlu diusahakan untuk mendapatkannya, dengan mengambilnya dari ulama supaya ilmu yang diperolehi adalah mendekati kebenaran dan juga mendapat kefahaman yang sahih sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dan yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Abdullah bin Yahya bin Abu Katsir berkata, “aku mendengar Ayahku berkata; "Ilmu tidak diperolehi dengan beristirehat"

Ulama akan menunjukkan jalan dan kaedah yang betul dalam memperoleh ilmu agama, bermula dari sumber pertama iaitu al-Quran dan Assunnah, seterusnya memperkenalkan kepada kitab-kitab yang muktabar yang membahaskan ilmu agama dengan mengambil kira sumber sekunder seperti ijmak, qias, istihsan dan sebagainya selain sumber primer iaitu al-Quran dan Assunnah. Ulama juga akan mengajar kita tentang adab belajar termasuk tahap-tahap dalam mempelajari ilmu, adab ketika belajar, adab dengan guru dan juga adab dalam mengamalkan dan menyampaikan ilmu.

Berusaha Ikut Kemampuan
Fitrah manusia mempunyai keupayaan akal dan tahap pemahaman yang berbeza-beza, bukan semua penuntut ilmu itu menjadi ulama, ada menjadi pakar dalam bidang tertentu, ada yang menjadi pelaksana dan ada yang hanya menjadi penuntut ilmu. Namun bagi seseorang yang tidak mampu menjadi ulama dia mampu menjadi ahli ‘abid (ahli ibadah), jika tidak mampu sekurangnya ilmu itu menjaganya dari kecelakaan dan ilmu itu akan tetap memberinya kebaikan.

Firman Allah Ta’ala: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (al-Baqarah: 286)

Kebaikan Di Dunia Dan Akhirat
Benarlah sabda Nabi SAW di atas bahawa kebaikan itu diperolehi melalui kefahaman dalam agama, kebaikan tersebut bukan sahaja diperolehi di dunia malah juga di akhirat. Patuh shariah itu merupakan penyebab kita tenteram di alam barzakh, di padang mahsyar dan dimasukan ke syurga. 

Rasulullah saw bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa'at baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya." (HR Muslim)

Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke surga baginya.” (HR Muslim)

Kefahaman agama itu mendekatkan kita kepada Allah Ta’ala, menjemput rahmat Allah kepada kita, meningkatkan iman kita dan menjadikan amalan kita diterima oleh Allah Ta’ala. dapat kita simpulkan bahawa faham dalam urusan agama itu akan memberi kita banyak kebaikan dari segi pemikiran, emosi, perlakuan, hubungan sosial dan aktiviti harian.

Firman Allah Ta’ala: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (al-Baqarah: 157)