Friday, December 30, 2016

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KIRI


Mentaati Perintah dan Anjuran Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Perintah, anjuran atau larangan dari Rasulullah SAW pasti ada hikmahnya. Kita perlulah menghormati, tunduk dan patuh pada perintah Nabi SAW. Firman Allah Ta’ala: “Barangsiapa yang menta’ati Rasulullah, sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. (An-Nisa’:80)

Larangan Makan dan Minum Dengan Tangan Kiri
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menegah kita dari makan atau minum dengan menggunakan tangan kiri. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, bersabda: "Janganlah kamu makan dengan menggunakan tangan kiri, kerana syaitan makan dengan menggunakan tangan kiri." (HR. Muslim)

Anjuran Makan dan Minum Dengan Tangan kanan
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menganjurkan agar kita menggunakan tangan kanan untuk makan dan minum. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika seseorang diantara kamu makan, hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika dia minum maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dan minum dengan menggunakan  tangan kiri." (HR. Muslim)

Salamah bin umar Al-Aqwa meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki yang sedang makan bersebelahan dengan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dengan menggunakan tangan kirinya. Maka Rasulullah bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab, “Aku tidak boleh.” Baginda bersabda, “Semoga kamu tidak boleh?” padahal tidak ada yang mencegah dia makan dengan tangan kanan kecuali kerana sombong. Setelah itu tangannya tidak boleh diangkat sampai ke mulutnya.” (HR. Muslim)

Tegahan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri adalah supaya kita tidak meniru sifat syaitan, dan kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan anjuran Nabi sollallahu 'alaihi wasallam supaya menggunakan tangan kanan.

Sunnah Mengutamakan Yang Kanan
Dalam kebanyakan perkara Nabi sollallahu 'alaihi wasallam sangat suka dan mengutamakan yang kanan, sepertimana yang diriwayat oleh Sayyidah Aisyah Ra bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka melakukan sesuatu hal dengan memulakan dengan yang kanan. Demikian dalam kehidupan seharian Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dan juga dalam perkara berkaitan ibadat Nabi sollallahu 'alaihi wasallam akan mengutamakan yang kanan. Nabi sollallahu 'alaihi wasallam bersiwak dengan memulakan pada gigi yang sebelah kanan, apabila masuk masjid maka didahului kaki kanan, bersuci, menyisir rambut, bersalaman, mengucapkan salam di dalam solat, angkat tangan ke Hajar Aswad, dan memakai baju, semuanya didahului dengan yang kanan.

Allah Ta’ala Mengutamakan Yang Kanan
Didalam Al-Qur’an Allah ‘azzawajalla mengkhabarkan keutamaan yang kanan. Firman Allah Ta’ala: “(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.” (Al-Israa':71)

Firman Allah Ta’ala: “Maka ketika dia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat..” (Al-Qasas:30)

Firman Allah Ta’ala: “Iaitu goongan kanan; alangkah bahagianya keadaan golongan kanan itu?” (Al-Waaqi'ah:8

Firman Allah Ta’ala: “Maka (akan dikatakan kepadanya):" Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari golongan kanan". (Al-Waaqi'ah:91)

Golongan Kanan Adalah Ahli Syurga
Pihak sebelah kanan itu dinamakan Ashabul Yamin “penghuni tempat yang kanan”, dan pihak yang  kiri dinamakan Ashabussima “penghuni tempat yang kiri”. Penghuni tempat yang kanan itu adalah penghuni syurga dan penghuni tempat yang kiri itu ialah penghuni Neraka. Oleh sebab itu Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka kepada yang kanan kerana yang kanan ialah Ashabul Yamin iaitu penghuni syurga.

Bentuk Larangan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Apa yang aku larang maka jauhilah”. Larangan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam terbahagi kepada dua iaitu yang pertama larangan dengan maksud haram dan berdosa, dan yang kedua larangan dengan maksud makruh.

Contoh larangan yang menjadi haram dan berdosa ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dalam Riwayat Abu Daud: “Jangan kau siksa orang dengan api, kerana siksa dengan api ialah Hak Allah SWT”. Dan contoh larangan yang menjadi makruh adalah seperti dalam riwayat imam Baihaqi: “Jangan makan bawang yang masih mentah”.

Bentuk Suruhan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam pula terbahagi kepada dua iaitu yang pertama adalah dengan maksud Wajib dan yang kedua dengan maksud Sunnah. Contoh suruhan yang membawa maksud wajib ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “Lakukanlah bagi kamu ummatku 6 perkara, aku jamin kamu akan dimasukan ke syurga. Iaitu Solat, Zakat, menjaga amanah, menjaga kemaluan, menjaga perut dari makanan yang haram, menjaga lisan. Saya jamin kamu masuk surga, maka kerjakanlah”.

Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam yang membawa maksud Sunnah, ialah seperti sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “banyakan mengingati mati, maka Allah SWT akan hapuskan dosanya dan Allah SWT jadikan dirinya Ahli Zuhud di dunia”.

Hukum Makan dan Minum Menggunakan Tangan Kiri
Bagi larangan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri, larangan ini tidak sampai kepada hukum haram tetapi ia hanyalah makruh.

Oleh itu, apa yang Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suruh maka berusahalah kita untuk melakukannya. Makan dan minumlah menggunakan tangan kanan dan makan menggunakan tangan adalah lebih afdhol daripada menggunakan sudu atau garfu.

Wallahu’alam

Sumber: Majelisrasulullah.org 

Tuesday, December 27, 2016

HUKUM MENGUCAP ‘MERRY CHRISTMAS’ DAN MERAYAKANNYA


Habib Munzir menjelaskan bahawa mengucapkan selamat hari Krismas adalah tidak haram secara mutlak, tetapi kembali kepada niat seseorang. Jika niat seseorang mengucapkan selamat hari krismas itu adalah selamat hari lahirnya Nabi Isa bin Maryam, dengan keyakinan Nabi Isa adalah sebagai Rasullullah dan bukan dengan keyakinan sebagai anak Tuhan seperti kepercayaan orang Kristian, maka itu dibolehkan. Firman Allah SWT:

“Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali."

Diharamkan mengucapkan selamat hari Krismas jika niat untuk menghormati keyakinan orang Kristian yang berkeyakinan bahawa Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Seseorang yang mengucapkan selamat hari Krismas pada nasrani tidak bererti dia murtad dan kufur, kecuali jika ada pengakuan atas keyakinan triniti atau agama mereka.

Memuliakan agama lain seperti ingin mengeratkan hubungan dengan mereka agar mereka tertarik pada kebaikan agama islam maka hal ini menjadi khilaf para ulama, sebahagian ulama membolehkan dan sebahagian lain tetap mengharamkan.

Menurut Fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI), yang diharamkan adalah ikut bersama dalam upacara Krismas bersama orang nasrani.

Syeikh Wahbah Al Zuhaili pula berpendapat  tidak ada halangan dalam bersopan santun (mujamalah) dengan orang Nasrani, asalkan tidak bermaksud sebagai pengakuan atas (kebenaran) ideologi mereka.

Syeikh Mustafa Ahmad Zarqa’ juga berpendapat bahawa ucapan selamat kepada saudara-saudara Kristian dibolehkan. Beliau menyatakan bahawa ucapan selamat ini harus dibezakan dengan haramnya bersama merayakan secara langsung, seperti dengan menghadiri perayaan-perayaan Krismas.

Seorang muslim yang mengucapkan selamat hari Krismas kepada pemeluk Nasrani hukumnya boleh menurut majoriti ulama. Ucapan selamat ini perlu bagi umat Muslim yang memiliki jiran, teman kuliah/sekolah, rakan kerja, atau rakan perniagaan yang beragama Nasrani.

Para ulama berbeza pendapat atas sesuatu isu atau hokum adalah kerana tiada dalil yang bersifat sorih dan qath’ie. Seandainya ada ayat atau hadits sohih yang secara tegas menyebutkan larangan ucapan selamat seperti hari Krismas, sudah tentu semua ulama akan bersepakat atas pengharamannya. Namun, ia hanya merupakan ijtihad dan penafsiran dari nas yang bersifat mujmal, maka seandainya benar ijtihad itu, mujtahidnya akan mendapat 2 pahala. Dan seandainya salah, maka hanya dapat 1 pahala.

Wallahu a’lam


Thursday, December 15, 2016

BAGAIMANA GAJI DAN PENDAPATAN DIBELANJAKAN


Kemana Gaji dan Pendapatan Harus Dibelanjakan
Kepada siapa patut diberikan perbelanjaan kita? Mulakanlah pada diri sendiri, kemudian kepada tanggungan kita, kemudian kepada ibu bapa dan saudara mara, kemudian kepada orang miskin dan orang-orang lain yang memerlukan. Firman Allah: 

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”  (al-Isra': 26)

Rasullullah saw bersabda: “Mulakan (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Apa Perlu Dilakukan Jika Ada Lebihan Gaji dan Pendapatan?
Apakah yang perlu dilakukan jika ada perbelanjaan lebih? Maka belanja yang lebih itu sebaiknya disedekahkan kepada yang memerlukan. Firman Allah:

“Mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah apa-apa yang lebih dari keperluan (kamu).” (al-Baqarah: 219)

Pada Gaji dan Pendapatan Kita Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan
Apabila bersedekah jangan sedekah semua belanja yang dimiliki, perlu simpan untuk diri sendiri dan keluarga kerana diri dan keluarga juga memiliki hak yang perlu ditunaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada seorang laki-laki datang membawa emas sebesar telur. Kemudian dia berkata kepada Nabi: Ya Rasulullah! Ambillah ini sebagai sedekah, tetapi demi Allah saya tidak memiliki kecuali ini. Kemudian Rasulullah s.a.w. berpaling, tetapi dia berikan dari hadapan Nabi. Kemudian Nabi berkata: bawalah kemari, Nabi saw kelihatan marah dan kemudian diambilnya, kemudian dilemparkan yang jika ketul emas itu terkena sesiapa maka akan melukainya. Kemudian Rasulullah saw berkata: salah seorang di antara kamu datang kepadaku dengan membawa wangnya padahal dia tidak mempunyai kecuali itu, kemudian dia duduk menanti pemberian orang. Ketahuilah, bahwa sedekah itu dari lebihan harta. Ambillah ini, saya tidak memerlukannya." (Riwayat Abu Daud dan Hakim)

Jangan Membazir dan Kedekut
Apabila berbelanja jangan pula terlalu boros dan jangan pula terlalu bakhil, berbelanjalah pada kadar sederhana. Islam adalah agama pertengahan dan adil, oleh itu Islam melarang umatnya berbelanja secara berlebih-lebihan dan kedekut.. Firman Allah:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqan: 67)

Maksud Membazir dan Kedekut
Pembaziran adalah perbelanjaan secara berlebih-lebihan, manakala kedekut adalah dengan menyekat perbelanjaan pada perkara keperluan. Firman Allah:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (berlebih-lebihan).” (al-A'raf: 31)

Bentuk-Bentuk Pembaziran
Membazir berlaku apabila berbelanja pada perkara yang diharamkan Allah, seperti untuk membeli arak, dadah, dan sebagainya. Juga berbelanja pada perkara yang sia-sia dan tidak diperlukan. Termasuk dalam kategori membazir juga adalah berbelanja secara tidak terkawal sehingga tidak cukup untuk digunakan pada perkara keperluan. Yang terbaik ialah berada diantara berlebih-lebihan dan kikir. Terlebih berbelanja bererti boros, dan terlalu sedikit berbelanja bererti kikir. Syariat Islam adalah sederhana dalam semua hal. 

Sumber: Al-Halal wa Al-Haram Fil Islam; Syeikh Dr. al-Qaradawi

Friday, December 9, 2016

KHILAFAH ISLAMIYAH


Khilafah Bukan Keutamaan Kita
Daulah Islamiyah (negara Islam) tidak pernah dikenal dalam Islam, yang ada adalah khilafah Islamiyah. Islam adalah untuk dunia, bukan untuk indonesia, malaysia atau mana-mana negara. Waktu Rasullullah saw berkuasa di Madinah, Abdullah bin Ubay bin salul, (pemimpin munafik dan musuh islam) tetap menjadi pemimpin Madinah, Rasulullah saw tidak merebut kekuasaan darinya, Rasulullah saw membiarkan Ibn Ubay tetap memimpin Madinah, dan Abu Sufyan (sebelum masuk Islam) tetap memimpin Makkah. Rasulullah saw tidak pernah merebut kekuasaan dan jawatan, demikian ajaran Nabi saw kepada umatnya.

Kunci Perubahan
Keutamaan kita adalah pada mendidik masyarakat, bukan merampas kuasa dan jawatan. Sebagai contoh, di TV dan radio mengandungi pelbagai perkara yang munkar dan melalaikan, rancangan yang ditayangkan di TV dan radio adalah berdasarkan selera dan minat masyarakat. Maka, kunci utamanya adalah masyarakat, bukan pada TV, radio, pemerintahan, atau system kewangan. Dakwah Nabi Muhammad saw adalah bersifat rahmatan lil ‘alamiin iaitu dakwah untuk kesejahteraan masyarakat dan mengajaknya kepada al-Quran dan sunnah, inilah dakwah yang benar. 

Larangan Menggulingkan Pemerintah

Sabda Rasulullah saw: “Barang siapa yang ditindas oleh penguasanya maka hendaklah dia bersabar, sesiapa yang keluar dari perintah sultan (penguasa) sejengkal saja maka dia mati dalam keadaan jahiliyah” (Shahih Bukhari Bab Fitnah)

“Barangsiapa yang melihat kesalahan pada penguasanya dan dia tidak menyukainya maka hendaklah dia bersabar, sesiapa yang memisahkan diri dari kelompoknya lalu dia mati maka dia dalam keadaan jahiliyah” (Shahih Bukhari Bab Fitnah)

Berkata zubair bin Adiy ra: kami mendatangi Anas bin Malik mengadukan kekejian Hajjaj dan kejahatannya pada kami, maka berkata Anas ra: “Bersabarlah kamu, kerana tidak datang masa kecuali yang sesudahnya akan lebih buruk, sampai kamu akan menemui Tuhan kamu, ku dengar ini dari Nabi kamu (Muhammad saw)” (Shahih Bukhari Bab Fitnah). Sabda Rasulullah saw:

“Barangsiapa yang mengangkat senjata di antara kita (memerangi sesame sendiri) maka dia bukan dari golongan kita” (Shahih Bukhari Bab Fitnah)

“Janganlah kamu kembali kepada kekufuran setelah aku wafat dengan saling bunuh membunuh satu sama lain” (Shahih Bukhari Bab Fitnah)

“Barang siapa yang melihat pada penguasanya sesuatu yang tidak dia sukai dari kemungkaran hendaknya dia bersabar, tidaklah seseorang memisahkan diri dari jamaah muslimin lalu dia mati maka dia mati dengan keadaan jahilyah”  (Shahih Bukhari)

“Dengar dan patuhlah bagi seorang muslim selama dia tidak diperintah berbuat maksiat, bila dia diperintah berbuat maksiat maka tidak perlu dengar dan patuh” (Shahih Bukhari)

Khilafah pada ummatku hanya 30 tahun, kemudian kerajaan...” (HR Tirmidzi)

“…engkau tetap bersama jamaah kaum Muslimin dan Imam Mereka. Hudzaifah bertanya: bagaimana jika Kaum Muslimin tidak mempunyai jamaah dan pemimpin? Nabi saw menjawab: “Maka hindarilah seluruh kelompok-kelompok itu, walaupun engkau hanya menggigit pangkal pohon (untuk makan) sampai kamu mati.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Perhatikan! Setelah tidak ada sistem Khilafah adakah wajib mendirikan khilafah semula? Nabi saw menyuruh Hudzaifah untuk beruzlah ketika tiada pemimpin (khilafah), Nabi saw tidak berkata: Jika begitu, engkau harus mengusahakan berdirinya khilafah.

Tiada Pemberontakan Dalam Islam
Kesimpulannya, Rasulullah saw dan para Imam dan Muhaddits ahlussunnah waljamaah tidak ada dari mereka yang menyeru kepada pemberontakan, selagi pemimpin mereka muslim. Walau rakyat diperintah melakukan maksiat sekalipun mereka hanya disuruh untuk tidak taat pada perintah itu, jika yang diperintah selain dosa dan maksiat maka perlu ditaati,

Pada zaman para Imam sudah ada pemimpin yang zalim, malah pemimpin saat itu  berdiri dengan nama “KHALIFAH” namun mereka tetap melakukan kezaliman, diantaranya Hajjaj yang sering membantai dan menyeksa rakyatnya, namun ketika mereka mengadu hal kezaliman Hajjaj pada Anas ra, maka mereka disarankan supaya bersabar, bukan diperintahkan merebut Khilafah dengan alasan khalifah itu zalim.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan oleh setiap individu ialah berdakwah pada muslimin dalam keluarga, di tempat kerja, dalam masyarakat, maka perlahan-lahan kelak akan muncul ketua yang mencintai syariah dan Sunnah. Khilafah islamiyah bila ditegakkan secara paksa maka yang akan menolaknya adalah muslimin sendiri, mereka tidak mahu kehilangan apa yang mereka miliki dan cintai saat ini.

Sumber: http://majelisrasulullah.org

Tuesday, December 6, 2016

ASAS ILMU MAQASID SYARIAH


Maksud Maqasid Syariah
Maqasid Syariah bermaksud tujuan pensyariatan yang ingin dicapai oleh syarak berasaskan dalil-dalil kulliy untuk kemaslahatan umum. Allah S.W.T menjelaskan di dalam al-Quran bahawa perutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk kebaikan dan rahmat bagi sekalian alam, seperti dalam firmanNya:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya’: 107)

Maqasid Syariah bertindak sebagai parameter di dalam pensyariatan hukum-hakam dan ia merupakan unsur penting bagi mengaplikasi hukum syarak ke alam realiti dan kehidupan semasa. Imam al-Ghazali (505H) berkata: 

“Maqasid Syariah adalah kiblat para mujtahid, sesiapa yang menghadap ke arahnya nescaya dia telah menepati kebenaran”.


Maqasid Syariah juga mengurangkan jurang perselisihan pendapat di antara para ulama dalam penentuan hukum. Maqasid Syariah dalam ijtihad dan fatwa akan menambahkan keyakinan masyarakat umum terhadap risalah Islam yang hadir dengan menjaga maslahah (kebaikan) kepada umat manusia. Ulama telah bersepakat bahawa setiap dalil syariat Islam melalui sumber perundangan al-Quran dan al-Sunnah serta hukumnya mempunyai maqasid dan matlamat yang tertentu bertujuan menjaga kemaslahatan manusia di dunia hingga ke akhirat. 

Prinsip-prinsip Maqasid Syariah sudah ada di dalam kitab suci Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Begitu juga para sahabat, tab’ien dan para imam mazhab fiqh terus melaksanakan prinsip-prinsip ini di dalam mengeluarkan hukum dan fatwa. Imam Syafie (204H) telah menetapkan Maqasid Syariah sebagai rujukan utama dan beliau adalah orang pertama yang mempopularkan istilah Maqasid Syariah. Perbahasan Maqasid Syariah terus dibincangkan oleh para ulama Islam sehingga kedatangan Imam Syatibi (790H) yang banyak melakukan pembaharuan dalam perbahasan Maqasid Syariah secara khusus di dalam kitabnya Al-Muwafaqat. Imam Syatibi telah membahagikan Maqasid Syariah kepada empat pembahagian:
  1. Maqsid Ibtida’i
  2. Maqsid Ifhami
  3. Maqsid Taklifi
  4. Maqsid Ta’abbudi.

Maqsid Ibtida’i
Menjaga kemaslahatan dan kebaikan umatnya di dunia dan di akhirat adalah objektif paling utama. Maqasid merupakan titik tolak dalam semua pensyariatan hukum-hakam dan penurunan syariah. Antara kemaslahatan manusia di dunia adalah untuk hidup terjamin dengan nikmat agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Manakala kemaslahatan manusia di akhirat adalah untuk menikmati kejayaan, keredhaan, kenikmatan syurga dan keselamatan dari azab neraka.

Kemaslahatan yang dinyatakan ini meliputi semua bentuk kebaikan dan kepentingan yang dinikmati oleh manusia samada bentuk kebendaan atau kerohanian. Sebagai contoh, pensyariatan hukum zakat mempunyai maqasid dan kemaslahatan kepada pemberi dan penerima zakat. Hikmah yang tersirat pada pembayaran zakat itu pasti kembali kepada pengeluar zakat itu sendiri. Ini disebabkan, sewaktu seseorang itu menunaikan zakat dia secara tidak langsung dapat menyucikan jiwanya dari sifat kedekut dan tamak. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran al-Karim:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka. Serta berdoalah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.” (al-Taubah: 103)

Pembayaran zakat dapat menyucikan harta yang dimiliki dari aspek zahir dan batin. Apabila seseorang itu bersedekah daripada harta yang dimilikinya, maka ia melindunginya dari segala keburukan. Nyata Allah SWT akan menggandakan rezekinya dari sedekah yang dikeluarkannya ini. Dalam sebuah hadis Nabi SAW ada menjelaskan:

“Tidak berkurangan harta disebabkan bersedekah.” (H.R Muslim)

Selain itu, zakat juga merapatkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin. Golongan yang kaya dapat membantu golongan miskin, manakala golongan miskin pula tidak mempunyai sifat cemburu, dendam dan rasa rendah diri yang keterlaluan ataupun sifat dengki terhadap golongan yang kaya. Jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin ini boleh menggugat perpaduan dan kekuatan negara, dan mendorong kepada timbulnya gejala buruk seperti penggulingan kuasa dengan kebangkitan rakyat berpunca dari penindasan, penafian hak mereka, peningkatan kes samun, mencuri, rompak, pecah rumah, pecah amanah, gejala rasuah dan sebagainya.

Bantuan yang diberikan kepada anggota masyarakat yang memerlukan dapat membantu mereka untuk menjana modal perniagaan, pemprosesan dan pengeluaran lalu melahirkan usahawan yang dapat memberi manfaat kepada anggota masyarakat yang lain. Contoh lain yang boleh diaplikasikan dari prinsip Maqasid Syariah bahagian ini ialah pelaksanaan ujian HIV kepada bakal pengantin bagi mengelak kemudaratan lebih utama dari menjaga kemaslahatan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya. Serta penjagaan dari aspek nyawa dan keturunan lebih utama dari menjaga maslahat bebanan urusan perkahwinan pasangan. Justeru, ujian ini merupakan usaha untuk menghindari kemudaratan bakal pengantin.

Maqsid Ifhami
Maqsid Ifhami pula bermaksud bahawa penurunan syariat adalah untuk difahami. Al-Quran diturunkan dengan lisan arab supaya umat Islam dapat memahami isi kandungan wahyu yang diturunkan kepada mereka. Pemahaman syariat Islam adalah berdasarkan pemahaman lisan arab mengikut penggunaan yang mereka gunakan sebagai penyampaian maklumat. Oleh itu, al-Quran perlu difahami sepertimana yang difahami oleh orang arab pada zaman diturunkan wahyu. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Yusuf:2)

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan Bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka”. (Ibrahim:4)

Oleh kerana penggunaan al-Quran adalah dalam bahasa arab, maka ia perlu diikuti dalam istinbat dan istidlal mengikut cara orang arab memahami maknanya. Para ulama yang berijtihad dalam istinbat hukum syarak dari al-Quran dan al-Sunnah perlu mengetahui selok-belok penggunaan bahasa arab sepertimana yang digunakan dan difahami oleh kaum arab pada zaman diturunkan wahyu. Semakin tinggi pemahaman bahasa arab seseorang mujtahid itu, maka akan tinggilah juga pemahaman syariahnya. Terdapat banyak contoh yang boleh diaplikasikan dari prinsip ini dalam fatwa pada masakini, antaranya berkaitan poligami. Pendapat yang mendakwa bahawa Islam menghalalkan umatnya berpoligami dengan sembilan orang wanita dalam satu masa bersandarkan dalil al-Quran:

“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga dan empat.” (an-Nisa’:3)

Penggunaan bahasa arab bagi ayat ini tidak bermaksud sembilan orang, tetapi yang dimaksudkan ialah samada kamu kahwini dua orang atau tiga orang atau empat orang.

Dalam isu lemak babi, pendapat yang mengatakan bahawa lemak babi halal dimakan kerana Allah SWT hanya mengharamkan daging babi sahaja dengan bersandarkan dalil al-Quran:

“Diharamkan kepada kamu (makan) bangkai, darah dan daging babi.” (al-Maidah:3)

Dalam penggunaan bahasa arab makna daging adalah meliputi daging dan lemaknya sekali.

Berkaitan tudung kepala, pendapat yang mendakwa bahawa Islam tidak mengharamkan pendedahan rambut dan kepala wanita dengan bersandarkan dalil Al-Quran:

Ertinya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung mereka”. (al-Nur:31)

Mereka mengatakan di dalam ayat ini tiada disebut langsung pasal kepala. Mereka menterjemahkan ayat ini dengan maksud wanita diperintahkan untuk menutup dada mereka sahaja dan tidak diperintahkan untuk menutup kepala. Sebenarnya mereka tidak sedari bahawa di dalam bahasa arab makna khimar adalah bermaksud tudung yang menutupi kepala, rambut, telinga dan sebagainya. Untuk memahami teks al-Quran dengan betul, orang yang beristinbat mestilah menyelami dan mencari penggunaan istilah secara tepat di dalam bahasa Arab. Dia juga harus tahu bagaimana penggunaan istilah atau perkataan itu digunakan di dalam masyarakat Arab kerana al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab kepada masyarakat Arab di waktu itu.

Maqsid Taklifi
Maqsid Taklifi bererti penurunan syariat adalah untuk memberikan amanah bebanan yang mampu untuk dipikul. Semua bebanan syariat adalah mengikut kemampuan manusia yang boleh ditunaikan. Kerana Allah SWT tidak akan membebankan manusia dengan bebanan yang tidak mampu untuk dilaksanakan Prinsip Maqasid Syariah yang dinyatakan dalam Kaedah ini bermaksud: Pensyariatan tidak bertujuan untuk membebankan bebanan yang sangat memeritkan. Firman Allah SWT:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. (al-Baqarah:286)

“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”.(al-Baqarah:185)

Contoh yang boleh diaplikasikan dari prinsip ini antaranya penggunaan wang kertas: Pendapat yang mempertikaikan keharusan penggunaan wang kertas (fiat money) pada zaman ini dengan dakwaan syubhat riba dan inflasi. Melalui prinsip Maqasid Syariah dalam bahagian ini, penggunaan wang kertas pada zaman ini diharuskan atas dasar keperluan semasa yang tidak dapat dielakkan. Pengharaman wang kertas akan membebankan masyarakat dengan bebanan yang tidak mampu dipikul dalam aktiviti jual-beli dan muamalat seharian mereka kerana tiada matawang lain yang boleh menjadi ganti. Walaupun dinar emas dan dirham perak telah dipasarkan, namun matawang ini tidak dapat menampung segala keperluan aktiviti ekonomi masyarakat masakini kerana emas dan perak adalah sumber yang sangat terhad dan dimonopoli oleh golongan tertentu.

Wudhu’ ketika menunaikan ibadah haji: Kesukaran menjaga wudhuk dari terbatal yang dihadapi oleh jemaah haji, kerana ketika bertawaf mengelilingi kaabah akan berlaku sentuhan antara lelaki dan perempuan. Berdasarkan prinsip Maqasid Syariah ini, ulama Syafie memberikan kelonggaran hukum kepada jemaah haji yang sukar dan tidak dapat mengelakkan diri dari persentuhan antara lelaki dan perempuan.

Maqsid Ta’abbudi
Tujuan syarak adalah untuk manusia bernaung di bawah ajaran syariat dan bukan dengan mengikut kehendak hawa nafsu mereka. Tujuan pensyariatan hukum-hakam adalah untuk mengeluarkan manusia dari mengikut hawa nafsu sehingga menjadi hamba Allah. Pengabdian adalah mengikut apa yang diturunkan dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan tanpa pertikaian dan ikutan nafsu. Firman Allah SWT:

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya.” (Al-Mu’minun:71)

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (al-Zhariyat: 56)

Prinsip Maqasid Syariah di dalam bahagian ini bermaksud: Tujuan syarak dari penurunan syariat adalah untuk mengeluarkan manusia dari kehendak hawa nafsunya.  Contoh prinsip ini dalam fatwa, antaranya solat lima waktu: Pendapat yang mengharuskan solat dengan dihimpunkan sekali sehari untuk memberi peluang kepada orang Islam bekerja dengan tekun tanpa ganguan agar mereka dapat meningkatkan mutu dan kualiti kerja supaya mampu bersaing dengan orang bukan Islam. Pendapat ini jelas bertentangan dengan Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga maslahat manusia di dunia dan akhirat. Bahkan dengan mendirikan solat pada waktunya dapat memberi kekuatan rohani dan ketenangan jasmani kepada umat Islam, meningkatkan sifat integriti dan kejujuran dalam bekerja, mengajar untuk menjalankan tugas tepat pada waktunya serta mematuhi dan menepati arahan yang diberikan.

Ibadah puasa: Mereka yang mengharuskan berbuka puasa di bulan Ramadhan agar tidak menjejaskan pengeluaran produktiviti sesebuah negara yang merupakan jihad ekonomi yang lebih utama. Mereka menyangka orang yang berpuasa adalah orang tidak memiliki kekuatan dan daya ketahanan untuk bekerja. Pandangan ini tersasar dari pedoman Maqasid Syariah yang berlandaskan nas al-Quran dan al-Sunnah. Kerana dengan puasa yang sebenar, akan meningkatkan tahap ketakwaan umat Islam kepada Allah, sekaligus melahirkan umat yang jujur, amanah, ikhlas dan bersungguh dalam bekerja. Di samping itu, orang yang berpuasa dapat menyumbangkan waktu produktiviti dengan bekerja lebih kerana dikurangkan masa untuk makan pagi dan tengahari yang kadang-kala dihabiskan berjam-jam begitu sahaja tanpa bekerja. Puasa juga dapat mengurangkan kuantiti hisapan rokok dalam kalangan masyarakat, sekaligus meningkatkan kesihatan mereka.

Aktiviti riba: Fatwa yang menghalalkan pelaburan berasaskan riba. Pendapat ini menyatakan bahawa pembangunan ekonomi negara adalah salah satu kemaslahatan umum yang patut diutamakan walaupun dengan menggunakan konsep riba dalam pelaburan. Prinsip Islam tidak sampai ke tahap menghalalkan hukum yang jelas diharamkan, keharaman riba adalah untuk menjaga kemaslahatan umat sejagat kerana konsep riba mengandungi unsur-unsur penindasan dan kezaliman samada disedari ataupun tidak, samada diredhai ataupun tidak. Kerana Islam mengharamkan semua bentuk kezaliman dan penindasan walaupun yang membawa kemajuan kepada sesetengah pihak.

Pengharaman rokok: Terdapat golongan yang mengharuskan rokok walaupun para ulama masakini telah bersepakat bahawa merokok boleh mengakibatkan kemudharatan kepada manusia. Justeru, pengharaman rokok adalah bersesuaian dengan prinsip Maqasid yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia dan mengeluarkan mereka dari kehendak hawa nafsu.

Sumber: Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar: Asas Ilmu Maqasid Syariah Dan Perkembangannya


Tuesday, November 22, 2016

PENDAPAT DAN PESAN HABIB UMAR BERKAITAN DENGAN DEMONSTRASI




HARUS UNTUK BERDEMONTRASI
Telah sampai kepada kami pertanyaan dari masyarakat Indonesia, apakah patut turut serta berdemonstrasi atau tidak? Pada dasarnya segala sesuatu yang tidak dilarang oleh syariat dan tidak melanggar peraturan pemerintah, termasuk yang berlaku dalam urusan demonstrasi atau urusan lainnya, haruslah mengikut ketentuan syariat dan aturan pemerintah yang ada di negara tersebut. Namun janagan sampai memberi kesan negatif kepada agama dan negara yang akibatnya menimbulkan perpecahan serta permusuhan di antara sesama umat Islam.

DILAKUKAN SECARA AMAN
Dalam masalah ini, apa yang telah dijamin oleh undang-undang negara termasuk kebebasan masyarakat untuk menyampaikan aspirasi mereka, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang aman tanpa menimbulkan kehancuran dan kerosakan. Umat Islam wajib bersepakat untuk mengagungkan syiar-syiar Allah dan ayat-ayat-Nya, dan umat Islam berada dalam sebuah agama yang mengajar umatnya agar tidak mencaci sembahan orang kafir agar orang kafir tidak membalas dengan mencaci Allah Yang Maha Benar.

TIDAK BOLEH SALING MENCACI
Bagi mereka yang memutuskan untuk berdemonstrasi, mereka tidak boleh melakukan penganiayaan terhadap orang lain baik terhadap anak kecil mahupun orang dewasa. Mereka tidak boleh merosakkan sesuatu yang dilarang untuk dirosakkan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk mencaci orang-orang yang tidak turun berdemonstrasi dan orang yang tidak berdemonstrasi juga tidak dibolehkan mencaci orang yang berdemonstrasi.

TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN KEKERASAN
Dan hendaklah kedua-dua belah pihak menyedari bahawa mereka mempunyai prinsip dan landasan yang sama, hanya cara mengungkapkannya berbeza kerana memiliki pandangan dan pertimbangan yang berbeza. Demikian, tidak dibolehkan bagi pemerintah untuk mengekang kebebasan rakyatnya dalam menzahirkan aspirasi mereka dengan menggunakan kekerasan tanpa alasan yang benar atau menyakiti orang yang berdemonstrasi tersebut. Bagi mereka yang berdemonstrasi juga tidak boleh untuk saling menyakiti diantara mereka atau mencaci pihak pemerintah. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” (al-Baqarah: 190). Firman Allah SWT: "Dan tidak ada permusuhan kecuali terhadap orang orang yang zalim” (al-Baqarah: 193)

JAUHI KEBENCIAN DAN PERMUSUHAN
Dan kami sampaikan kepada mereka yang keluar berdemonstrasi, apabila demontrasi tersebut menimbulkan kebencian dan permusuhan diantara sesama umat Islam, serta cacian terhadap orang yang tidak berdemonstrasi dan berprasangka buruk terhadap agama mereka tanpa bukti nyata, maka lebih baik bagi kamu untuk tidak keluar berdemonstrasi demi menjaga kebaikan kaum Muslimin sehingga tidak menimbulkan keburukan. Kami sampaikan pula kepada mereka yang tidak turut berdemonstrasi apabila mereka mencaci orang-orang yang berdemonstrasi sehingga menimbulkan permusuhan, perpecahan dan pertengkaran (diantara kaum Muslimin), maka lebih baik bagi kalian untuk turut berdemonstrasi tanpa mencaci orang lain dan tidak menimbulkan kesan buruk.

TINDAKAN YANG BENAR DAN SELAMAT
Dan kami sampaikan kepada mereka yang turut berdemonstrasi dengan cara yang santun, aman dan tidak menimbulkan permusuhan dan penistaan, “Bagimu ijtihadmu dan niatmu, dan semua itu kembalinya kepada Allah SWT.” Kami sampaikan pula kepada mereka yang tidak turut berdemonstrasi dan tidak menjadi sebab timbulnya cacian, celaan dan perpecahan antara umat muslim, “Perbuatanmu sudah benar dan kau lebih dekat dengan keselamatan. Jangan lupa berdoa dengan penuh harap dan bersimpuh dihadapan Allah memohon kebaikan bagi umat dan negeri ini.”

MEMILIH PEMIMPIN
Dan apabila telah datang giliranmu untuk memilih pemimpin, hendaklah kamu tidak memilih pemimpin kecuali orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Ini kerana hak pilihanmu adalah amanah. Apabila jelas kepadamu bahawa diantara para calon ada orang yang bertakwa kepada Allah maka pilihlah dia. Namun apabila kau ragu, maka mintalah pendapat dari orang yang kau percayai dari orang-orang yang berilmu dan mempunyai rasa takut kepada Allah dan yang tidak memiliki sedikitpun kepentingan duniawi, agar dia mampu menunjukkan kepada kamu perkara yang lebih ringan diantara dua hal yang buruk tersebut. Atau pilihlah siapa yang lebih bermanfaat untuk kepentingan manusia. Namun jika masih samar bagimu hal itu maka tinggalkanlah semuanya. Inilah yang kami fahami dari ajaran Rasulullah, sahabat dan para tabi’in.

KEWAJIPAN ULAMA
Kepada pemerintah, parti atau rakyat, janganlah kamu menunggu dari kami untuk mengajak umat kepada kamu, kerana kami telah memiliki komitmen untuk tidak mengajak manusia kecuali kepada Allah semata-mata. Kami takut wajah kami akan dihitamkan apabila keluar ucapan dari kami yang bertujuan untuk mencari redha pemerintah, parti atau golongan manapun berbanding redha Allah. Sekali lagi, kami takut akan dihitamkan wajah kami kelak di hari kiamat. Dan inilah jalan ikutan kami, Nabi kami Muhammad SAW. “Katakanlah inilah jalanku, aku mengajak manusia kepada Allah.” (Yusuf: 108)

NASIHAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Kami mengajak semua parti dan pemerintah dan rakyat hanya kepada Allah. Bahkan kami sampaikan kepada orang-orang yang bukan muslim untuk gunakan akal dan fitrah kamu, dan janganlah kamu mendahulukan kepentingan pribadi di atas kepentingan bangsa dan negara. Seandainya kamu sangat menginginkan dunia, dan tamak dalam meraihnya, maka jangan sampai menyakiti orang lain dan menimbulkan kesan negatif pada masyarakat. Kami sampaikan bahwasannya kamu (bukan muslim) hidup di negeri yang majoriti muslim semenjak berabad lalu. Dan ini adalah suatu kehormatan bagi kamu hidup di antara mereka, baik kamu sedar atau tidak, maka hendaklah kamu melakukan muhasabah diri.

Dan apabila kamu orang-orang kafir berusaha mengalahkan Islam yang menjadi majoriti, dan merendahkan orang-orang yang beriman, maka kalian pasti akan dihinakan oleh Allah di dunia ini sebelum datangnya akhirat. Dan ini adalah tugas tokoh agama untuk mengajak semua kepada Allah semata-mata, dan Ulama bukanlah barang dagangan yang boleh dibeli dengan harga murah ataupun mahal.

BERHARAPLAH PADA REDHA ALLAH SWT
Apakah manusia yang menanggung amanah wahyu dan amanah cahaya kenabian akan tertipu oleh jabatan duniawi seperti ini? Maka manfaatkanlah oleh kamu keberkatan majlis ini dan tujukkanlah hati kamu kepada Dzat yang telah mengumpulkan kamu semua, sehingga tidaklah seseorang dari kamu pulang kecuali hanya mengharapkan redha Allah SWT. Kami menghadap kepada-Mu Ya Allah dalam keadaan merendahkan diri kami untuk urusan negeri ini dan penduduknya dari fitnah-fitnah dan musibah. Berikanlah kepada mereka kemenangan dalam menjunjung kebenaran, petunjuk dan sunnah Rasulullah SAW dan sebarkanlah agama Islam kepada semua penduduk negeri baik di timur maupun di barat, dan jauhkanlah kami dari keburukan orang-orang yang dipenuhi dengan hawa nafsu. Jadikan hawa nafsu kami mengikuti apa yang dibawa oleh Nabi-Mu.

Barang siapa yang ingin menukil (mengutip) pernyataan kami tentang hal ini, hendaknya ia menukilnya dengan lengkap. Sebab orang-orang yang dikuasai hawa nafsu sentiasa memutar belit ucapan para Ulama malah firman Allah juga, dengan menghapus sebahagian dan menambah sebagian yang lain. Tidak lain untuk menciptakan gambaran sesuai keinginan mereka demi mewujudkan tujuan mereka. Kami sampaikan kepada semua, janganlah menunggu dari kami untuk mengajak umat kepada kamu. Akan tetapi, nantikanlah kami untuk mengajak kamu semua kepada Allah. Dan kami mendoakan kepada kamu semua. kita semua adalah hamba Allah, sangat memerlukan kepada-Nya, dan hanya kepada Allah kita kembali. “Sesungguhnya hanya kepada Kami mereka kembali, kemudian Kami yang akan menghisab mereka.” (al-Ghoshiyah : 25-26)


Diterjemahkan dan edarkan resmi oleh Majelis Al-Wafa' bi 'Ahdillah, disunting oleh Izhar



Friday, November 18, 2016

PERMATA YANG HILANG DI BARAT


Akhlak, adab, moral atau etika akan mencantikkan apa sahaja, dan akan membuat orang kagum melihat akhlak atau adab itu ada padanya walaupun pada seekor monyet. Hebat kan dapat lihat monyet berkelakuan menyambut atau bersalaman dengan seseorang.

Oleh itu kita akan kagum melihat akhlak yang diajar oleh baginda Nabi sallahu alaihi wasalam ada pada orang barat. Orang barat apabila berjumpa mereka mudah untuk senyum dan menyapa seperti "Helo! Hai!", mereka mudah menghargai orang seperti "Thanks! I really appreciate it! Welcome! Anytime!", mereka akan memberi semangat seperti "You are amazing! You are awesome! You are smart!". Demikian Nabi SAW mengajar supaya terlebih dahulu menyapa dengan memberi salam, bersalaman dengan muka manis, memberi salam pada orang yang dikenali atau tidak dikenali, berterima kasih sebagai tanda syukur dan penghargaan, dan memberi motivasi kepada yang putus harapan seperti Allah bersama kamu, janji syurga dan pahala.

Pernah saya batuk atau bersin di depan seorang 'mat saleh' yang kebetulan ada berhampiran, lalu dia menyapa dengan berkata "are you okay sir?". Demikian juga Nabi SAW mengajarkan supaya mengucapkan "Alhamdulillah" apabila mendengar seseorang yang bersin. Pernah satu event saya bertugas mengedarkan air mineral kepada VIP yang sedang berbual, seorang Prof dari United Kingdom sebagai keynote speaker waktu itu menghentikan perbualan dengan semua VIP berkenaan lalu mengucapkan "thank you" kepada saya hanya kerana saya memberinya sebotol air mineral walaupun waktu itu dia dikelilingi VIP dan perbualan sedang rancak. Malangnya VIP Islam yang ada bersama dengannya tidak ambil peduli kehadiran saya dan menyambung kembali perbualan.

Perkara sebegini tidak kelihatan dalam masyarakat Islam walau setiap hari hal ini diajar oleh para Ustaz dan didapati di dalam kitab. Kadang lagak gayanya sombong, bermuka masam, tidak menyapa, buat hal sendiri, orang kemalangan depa ambil gambar dari pergi menolong, orang sedang buat kerja depa tengok saja sambil goyang kaki, tiada sens of humor, simpati, perhatian, senyum sinis, jeling hujung mata, tiada penghargaan dan penghormatan.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)


Tulisan ini dituju untuk saya juga... :)