Monday, January 20, 2014

JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH


Telah bersabda Nabiyyuna Muhammad Saw dalam Sohih Bukhari,

“ada di antara manusia yang beramal dengan amalan ahli neraka hampir sepanjang hidupnya sehingga jarak di antara dia dan neraka hanya satu jengkal sahaja”. 

Satu jengkal merujuk kepada umur seseorang, sepanjang hidupnya beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah umurnya hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi untuk menemui ajal dan seterusnya masuk ke dalam neraka. Tetapi dengan kehendak Illahi maka dia bertaubat dan berubah dengan beramal dengan amalan ahli syurga, kemudiannya dia dimasukan ke dalam syurga.

Nabi saw bersabda lagi, “terdapat satu kelompok manusia yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dan syurga tinggal satu hasta sahaja, lalu didahului oleh ketentuan Allah, lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka dan akhirnya dia masuk neraka”.
(HR. Bukhari)

Persoalan yang timbul, untuk apa beribadah? apa gunanya meninggalkan dosa jika semuanya telah ditentukan oleh Allah Jalla Wa‘Alla?. Ulamak telah menghuraikan maksud hadis ini dengan makna tandzir (peringatan) li shalihin al mutakabbir. Hadis ini mempunyai dua makna, pertama ia membawa khabar gembira dan harapan bagi hamba yang melakukan banyak dosa sehingga jaraknya seperti satu jengkal saja dari api neraka. Namun demikian Allah yang Maha Pengampun masih menerima taubat hamba-Nya sehingga membolehkan dia masuk ke dalam syurga.

Hadis ini mengajar kita supaya Janganlah berputus asa dari Rahmat Allah, kerana Allah mampu membolak-balikkan keadaan. Allah telah berfirman dalam hadis qudsi, ”ana ‘inda dzhanni ‘abdiy biy” yang bermaksud Aku bersama dengan sangkaan hamba-Ku.

Seorang hamba siang dan malam bergelumang dengan dosa, siang dan malam tidak pernah terlintas untuk melakukan kebaikan dalam fikirannya, tiba-tiba dia terlihat atau terdengar sesuatu yang baik, dengan izin Allah dia berubah kepada kebaikan dengan sekelip mata.

Keadaan yang sama berlaku kepada para sahabat Nabi, sebelumnya mereka orang yang kejam kemudian berubah menjadi ahlul sujud, menjadi orang yang tangannya sentiasa menadah tangan berdoa dan menjadi orang yang khusyuk.

Begitu juga bagi orang yang banyak beramal, andai mereka beribadat sehingga jarak antara mereka dan syurga hanya sejengkal namun mungkin sahaja mereka masuk ke dalam neraka. Ini adalah peringatan supaya jangan sombong dengan amalan yang dilakukan. Mungkin dengan kesombongan itu mendorong kepada kejahatan dan akhirnya meninggal dalam keburukan.

Allah Swt berfirman,

“wahai manusia berhati-hati dan bersedialah kerana akan datang hari kiamat kepadamu, Sang Pencipta alam semesta yang mencipta dari tiada, yang menghamparkan permukaan bumi dari tiada, yang membentangkan angkasa sebagai lambang keindahan-Nya dari tiada, mengatakan bahawa akan datang hari kehancuran. Sebagaimana ini semua ada dari tiada, ini semua akan berubah menjadi tiada kerana ini semua Milik-Ku”.


Nukilan Habib Munzir

No comments: