Monday, April 16, 2012

TERUS MELANGKAH MENERUSKAN PERJALANAN




Kemana Hidup Ini Hendak Dipandu?
Apa tujuan kita hidup sebenarnya? Ibu bapa tentunya ingin melihat seluruh kehidupan anak-anaknya hidup dengan gembira, jauh dari kesusahan dan sedaya upaya melengkapkan mereka dengan pelbagai keperluan. Matlamatnya adalah supaya mereka kelak menjadi seorang yang Berjaya dalam hidup, mempunyai pekerjaan yang baik, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri, berkahwin, mempunyai anak dan seterusnya. Secara umumnya, semua orang kebanyakkannya inginkan semua ini dalam kehidupan mereka.

Tercapaikah Apa Yang Di impikan?
Namun begitu, bukan semua yang kita impikan menjadi kenyataan, kadang kala kita perlu melalui pelbagai halangan dan cabaran sebelum mencapainya. Apa yang kita impikan saat ini adalah tidak mustahil bagi kita untuk mencapainya di masa hadapan. Kita tidak tahu apa yang akan kita miliki di masa depan. Kita yakin rezeki itu pasti ada di sediakan oleh Allah untuk setiap manusia malah untuk semut di dalam lubang dan ikan di laut pun punya rezekinya sendiri. Cuma kita tidak tahu bagaimanakah bentuk rezeki yang akan di perolehi itu.

Benteng antara kita dan impian kita adalah usaha. Ada orang usahanya sedikit tapi kejayaannya menakjubkan, pastinya Allah menolongnya. Ada orang pulak yang usahanya terlampau hebat tapi tiada kejayaan di capai hingga kini. Bukankah usaha itu tangga kejayaan? Ya, betul, tapi kejayaan itu pelbagai bentuk, mungkin kerana usaha yang keras itulah merupakan faktor kita Berjaya sekarang.

Berbeza dengan orang yang tidak berusaha, dia tidak akan mendapat apa-apa. Ya betul dia jugak sudah bekerja dan berkahwin, tapi itu adalah kerana usahanya kearah itu, yang saya maksudkan ialah orang yang ada matlamat yang sama dengan kita tapi dia tidak berusaha atau usahanya separuh jalan.

Sia-siakah Usaha Selama Ini.
Kita akan merasakan sesuatu itu sia-sia dan tidak bermanfaat kerana ia tidak beri manfaat kepada kita, dan kita tidak merasakan ia bernilai. Percayalah, dalam keadaan tertentu suatu masa kelak ia akan berguna untuk kita, apabila ia membantu kita saat itu barulah kita akan merasakan ia bernilai dan tidak sia-sia. Mungkin saja, oleh kerana kita pernah belajar berenang sewaktu kecil dahulu, ia telah menyelamatkan diri kita atau sahabat kita dari lemas, oleh kerana kita pernah ambil kursus menjahit dahulu kita telah dibayar gaji tinggi sekarang, siapa tahukan? Jadi, kita jangan tidak melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu perkara kerana kita tidak tahu yang mana satukah mampu memberi manfaat kepada kita di masa depan.

Kenapa Selalu Doa tapi Tetap Gagal.
Kadang hairan melihat orang lain tidaklah sebaik mana malah sangat tidak pedulikan agama tapi senang ja dapat pelbagai rezeki. Adakah kita tidak disayangi oleh Allah? Atau Allah terlepas pandang kita? Ikhlaslah dalam beribadat dan berdoa, Allah akan menyayangi diri kita. Bukan Allah tidak tahu apa yang kita nakkan, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, kerana Allah lebih kenali diri kita berbanding kita sendiri.

Orang yang tidak pedulikan agama pun berjaya bagaimana pulak? Orang kafir pun berjaya kita tak lihat? Kadang orang Islam yang jahat dapat pelbagai kemudahan adalah sebagai istidraj dari Allah, dan sangat benarlah apa yang berlaku ke atas kita adalah ujian. Tidak pernahkah kita menghadapi ujian? Fikirkan, telah banyak ujian kita sudah hadapi, yakinlah ujian ini juga kita mampu hadapi.

Di samping itu sangat perlu bagi kita muhasabah diri, mungkin doa kita tidak dimakbulkan kerana tidak memenuhi syarat bagi doa itu dimakbulkan. Antaranya ialah mungkin apa yang kita makan adalah dari sumber yang tidak halal, atau masih ada dosa yang menjadi hijab doa itu. Selain itu, kita perlu jaga adab berdoa, berdoa pada waktu mustajab doa seperti sewaktu sujud, selepas sembahyang fardhu, sewaktu hujan turun dan lain-lain, dan seterusnya kita perlulah khusyuk dan ikhlas berdoa, istiqomah dalam berdoa sesungguhnya Allah suka hambanya yang meminta-minta kepada-Nya.

Mengapa Terpaksa Lalui Semua Ini?
Ingatlah, setiap orang ada jalannya sendiri, punya cerita dan sejarah berbeza. Ada orang yang berjaya hari ini tetapi tumbang keesokkan harinya. Ada orang yang dahulunya susah tetapi sekarang hidup senang, ada orang yang hidupnya dari dahulu lagi senang tetapi hatinya tidak bahagia dan pelbagai lagi cerita setiap manusia ini. Jangan ingat kita ini orang yang paling susah atau malang, kerana kita masih ada nikmat dan kelebihan yang belum tentu ada pada semua orang. Cuma bagaimana kita menganggap ia penting sahaja yang akan mempengaruhi perasaan dan jiwa kita.

Cuba lihat sekeliling kita, ramainya orang yang menginginkan pelbagai nikmat dunia, ini adalah kerana dia menganggap nikmat dunia itu penting baginya. Maka dia berusaha mendapatkannya dan sedih dan kecewa bila gagal. Namun bagi sesetengah orang, cukup baginya dapat hidup dalam keadaan beragama, rumah yang selesa dan bersederhana tanpa sebarang masalah, maka dia merasa cukup dengannya tanpa bersedih jika tidak memiliki nikmat dunia yang lain.

Ada ke Orang yang Tak Mahukan Harta Benda?
Tentulah ada, orang begini bukannya menolak harta benda dan memisahkan dunia dari hidupnya, tapi dunianya hanya di tangan bukan di hati. Maksudnya dia tidak rasa akan kesibukan mencari nikmat dunia, dia tidak berasa kecewa dan hampa tidak mendapat sesuatu nikmat dunia, dan apabila dia mendapat nikmat dunia dia akan bersyukur? Ini adalah kerana prinsip hidupnya yang dia pegang, iaitu dia bersifat dgn qana’ah(berasa cukup dengan apa yang ada dalam nikmat dunia), yakin akan takdir Allah, rezeki Allah dan jodoh dari Allah.

No comments: