Dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah ini jelas sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata:
“Dan tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadis yang lain lagi, diriwayatkan oleh Malik, an- Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu:
Maksudnya: “Daripada Muhammad bin Al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘at (pengakuan ta‘at setia) dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak- anak kami, tidak menipu dan tidak ingkar kepada Tuan hamba di dalam kebaikan.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya.” Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami dari diri kami sendiri. Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.”
(Hadis riwayat Malik, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad)
Dari hadis-hadis yang telah disebutkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram. Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isterinya, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan pada waktu membai‘ah (menerima pengakuan taat setia) daripada mereka.
Maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bersalaman dengan para perempuan pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, ini menunjukkan bahawa bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah pada keadaan-keadaan atau perjumpaan-perjumpaan biasa adalah terlebih-lebih utama dilarang.
Oleh kerana itu, kita perlulah memerhati dengan teliti dan berhatihati dengan siapa kita boleh bersalaman dan dengan siapa kita dilarang untuk bersalaman, kerana apa yang kita dapati dan kita lihat di kalangan masyarakat kita, ramai yang bersalaman dengan orang-orang yang disangkanya boleh bersalaman, akan tetapi sebenarnya ia adalah dilarang (haram).
Ancaman bersalaman atau berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah ini ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Thabarani dan al-Baihaqi iaitu:
Maksudnya: “Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.”
(Hadis riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi)
Bayangkanlah bagaimana seseorang ditusuk atau dicucuk kepalanya dengan sebatang jarum, tentulah amat sakit, dan kesakitan itu terlebih baik baginya dari dia melakukan dosa menyentuh perempuan ajnabiyyah. Ini membayangkan kepada kita betapa besarnya dosa akibat perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh itu.
Adapun hikmat kenapa kita diharamkan untuk bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, antaranya bahawa perempuan itu adalah sebesar-besar fitnah atau dengan kata lain, fitnah yang paling memudaratkan terhadap lelaki seperti boleh merangsang syahwat dan menarik perhatian. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku, fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada fitnah kaum perempuan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana itu, kita diharamkan melihat batas-batas yang diharamkan dilihat bagi perempuan-perempuan yang bukan mahram, kerana mereka boleh merangsang syahwat, mendatangkan fitnah dan menarik hati untuk terpaut kepada mereka.
Bertolak dari sini, dapatlah kita tanggapi bahawa larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu merupakan jaminan keselamatan bagi kita daripada fitnah. Maka wajiblah bagi kita menjauhi perkara yang berbahaya itu.
Sebagai kesimpulan, tidak semua kalangan ahli keluarga kita boleh bersalaman atau berjabat tangan dengan mereka sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Dengan adanya pengetahuan mengenai batasan bersalaman atau berjabat tangan sesama ahli keluarga yang bukan dikategorikan sebagai mahram kerana perkahwinan ataupun mahram kerana keturunan, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak terjadi perlanggaran batasan-batasan yang telah ditentukan dalam hukum syara‘.
Sumber: Fatwa Kerajaan Mufti Negara Brunei Darussalam
No comments:
Post a Comment