Friday, April 20, 2012

KELUHAN HATI KITA....AL-QURAN MENJAWAB...








Kita selalu merungut setiap hari dengan apa yang berlaku ke atas diri kita, seolah-olah kitalah yang paling teruk dan malang di atas muka bumi ini...kita lebih suka mengimpikan yang indah dan hebat serta suka berangan dan bercita-cita tinggi sedangkan Nabi saw sudah mengingatkan supaya jangan terlalu berangan-angan….akibatnya hati kita menjadi buta tidak dapat melihat nikmat yang begitu banyak di sekeliling kita…

Sebenarnya apa yang hati kita rungutkan dan tertanya-tanya pelbagai hal telah dijawab oleh Allah Ta’ala di dalam al-Quran al-Karim….


KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB

“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

“Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahui-Nya tentang orang-orang Yang berdusta.”

Al-ankabuut: 2-3


KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IMPIKAN?
QURAN MENJAWAB

“…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Al-baqarah: 216


KITA BERTANYA: KENAPA SEBERAT INI UJIAN YANG PERLU DIHADAPI?
QURAN MENJAWAB

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya…".

Al-Baqarah: 286


KITA BERTANYA: KENAPA SEMUA INI BERLAKU? TERTEKANNYA AKU…..
QURAN MENJAWAB

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.”

Al-Imran: 139


KITA BERTANYA; BAGAIMANA AKU NAK TERUS MENGHADAPI SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk,”

“(Iaitu) mereka Yang percaya Dengan yakin Bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan Bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

Al-Baqarah: 44-46


KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.”

At-Taubah: 111


KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA NAK AKU HARAPKAN?
QURAN MENJAWAB

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."

At-Taubah: 129

Sumber : http://pusatdakwahkedah.blogspot.com/











Wednesday, April 18, 2012

Biografi Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz



Nasab

Nasab beliau yang mulia ialah al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abd-Allah bin Abi Bakr bin‘Aidrus bin al-Hussain bin al-Shaikh Abi Bakr bin Salim bin ‘Abd-Allah bin ‘Abd-al-Rahman bin ‘Abd-Allah bin al-Shaikh ‘Abd-al-Rahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Daweela bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Sahib al-Mirbat bin ‘Ali Khali‘ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidallah bin al-Imam al-Muhajir to Allah Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidi bin Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussain cucu Nabi, putera kepada pasangan ‘Ali bin Abu Talib dan Fatimah al-Zahra puteri Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa alihi wa sohbihi wasallam



Kehidupan

Beliau dilahirkan sebelum waktu fajar hari Isnin, 4 Muharram 1383 H bersamaan 27 Mei 1963M di Kota Tarim, Hadramaut, salah satu kota tertua di Yaman yang menjadi sangat terkenal di seluruh dunia dengan ramainya para ilmuwan dan para alim ulama yang dihasilkan dari kota ini selama berabad-abad lamanya. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang memiliki tradisi keilmuan Islam dan kejujuran moral dengan ayahnya yang merupakan seorang pejuang syahid yang terkenal, ahli intelektual, penda'wah yang ulung, iaitu Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Shaikh Abu Bakr bin Salim yang juga merupakan Mufti Kota Tarim al-Ghanna.

Demikian juga kedua-dua datuk beliau, al-Habib Salim bin Hafiz dan al-Habib Hafiz bin Abd-Allah yang juga merupakan para intelektual Islam yang sangat dihormati kaum 'ulama dan intelektual Muslim pada zamannya. Allah seakan-akan telah menyediakan kondisi dan persekitaran yang sesuai bagi al-Habib ‘Umar melalui hubungannya dengan para intelektual muslim di sekitarnya serta kemuliaan yang muncul daripada kalangan keluarganya sendiri dan lingkungan masyarakat di mana beliau dibesarkan.





Beliau telah mampu menghafal Al Qur’an pada usia yang sangat muda dan beliau juga menghafal banyak teks dan matan dalam ilmu Fiqh, Hadith, Bahasa Arab dan berbagai-bagai lagi cabang ilmu lain. Beliau turut serta dalam halaqah ilmu yang dikendalikan oleh ramai ulama-ulama tradisional seperti al-Shaikh Muhammad bin ‘Alawi bin Shihab, al-Shaikh Fadl Baa Fadl dan juga para ulama lain yang mengajar di Ribat, Tarim yang terkenal itu. Maka beliau pun mempelajari ilmu-ilmu agama dan kerohanian dari ayahnya yang meninggal syahid, al-Habib Muhammad bin Salim, yang daripadanya beliau dapatkan cinta dan perhatian yang mendalam pada da'wah dan bimbingan keagamaan mengikut cara yang dikehendaki Allah SWT. Ayahnya begitu memperhatikan al-Habib ‘Umar sewaktu kecil yang sentiasa berada di sisi ayahnya di dalam halaqah ilmu dan zikir.

Satu ketika berlaku peristiwa tragis saat al-Habib ‘Umar sedang menemani ayahnya untuk menunaikan solat Jum‘at, ayahnya diculik oleh golongan komunis, dan beliau yang masih kecil ketika itu pulang bersendirian ke rumahnya dengan masih membawa syal (kain berupa selendang) milik ayahnya, dan sejak saat itu ayahnya tidak lagi kelihatan. Ini menyebabkan beliau menganggap bahwa tanggung jawab untuk meneruskan pekerjaan yang dilakukan ayahnya iaitu dalam bidang da‘wah disampaikan melalui syal ayahnya, ibarat sebuah bendera perjuangan yang diberikan kepadanya sebelum ayahnya mati syahid. Sejak itu, dengan bendera tersebut yang dikibarkannya tinggi-tinggi, ia memulakan secara bersemangat perjalanan penuh perjuangan, mengumpulkan orang-orang, membentuk majlis-majlis ilmu dan berda’wah. Perjuangan dan usahanya yang gigih demi meneruskan perjuangan ayahnya mula membuahkan hasil. Kelas-kelas mulai dibuka bagi golongan muda mahupun orang-orang tua di masjid-masjid setempat di mana ditawarkan pelbagai peluang untuk menghafal Al Qur’an dan untuk belajar ilmu-ilmu agama.


Sesungguhnya al-Habib ‘Umar ialah seorang ulama' yang benar-benar memahami kitab suci al-Quran sehingga ia telah diberikan sesuatu kurnia yang khusus daripada Allah, meskipun ketika usianya yang masih muda. Namun hal ini mula menyebabkan timbulnya kekhuatiran akan keselamatannya dan akhirnya diputuskan supaya beliau dihantar ke kota al-Bayda’ yang terletak di tempat yang disebut Yaman Utara. Ini menjadikannya jauh dari jangkauan mereka yang berniat jahat ingin mencelakakan beliau.


Di sana bermula babak baru yang penting dalam perkembangan ilmu beliau. Dengan memasuki sekolah Ribat di al-Bayda’ beliau mula belajar ilmu-ilmu tradisional dibawah bimbingan mereka yang ahli iaitu al-Habib Muhammad bin ‘Abd-Allah al-Haddar, semoga Allah mengampuninya, dan juga dibawah bimbingan seorang 'alim mazhab Shafi‘i al-Habib Zain bin Sumait, semoga Allah melindunginya. Janji beliau terpenuhi ketika akhirnya beliau diangkat sebagai seorang guru tak lama kemudian. Beliau terus melanjutkan perjuangannya yang tak mengenal erti lelah dalam bidang da‘wah.

Kali ini tempatnya adalah al-Bayda’ dan kota-kota serta desa-desa disekitarnya. Tiada satu pun yang tertinggal dalam usahanya untuk memperkenalkan kembali cinta kasih Allah dan Rasul-Nya s.a.w dalam hati manusia seluruhnya. Kelas-kelas dan majlis didirikan, pengajaran dimulakan dan masyarakat dibimbing. Usaha beliau yang demikian gigih menyebabkan dirinya sentiasa kekurangan tidur dan istirehat. Namun usaha beliau mula menunjukkan hasil yang besar apabila manusia tersentuh dengan ajaran yang disampaikan beliau, terutamanya para pemuda yang sebelum itu terjerumus dalam kehidupan yang kosong dan sia-sia, namun kini telah mengalami perubahan mendalam hingga mereka akhirnya sedar bahawa hidup ini memiliki tujuan, mereka bangga dengan indentiti baru mereka sebagai Muslim, mengenakan serban dan selendang (rida') sebagai cara pakaian umat Islam dan mula menumpukan perhatian mereka demi meraih sifat-sifat luhur dan pekerti mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.




Sejak saat itu, sekelompok besar masyarakat yang telah terkesan dengan da'wah beliau mula berkumpul mengelilingi beliau dan membantunya dalam perjuangan da‘wah di bermacam-macam kota, baik besar maupun kecil di Yaman Utara. Pada masa ini, beliau mula mengunjungi banyak tempat mahupun masyarakat di seluruh Yaman, mulai dari kota Ta'iz di utara, untuk belajar ilmu daripada mufti Ta‘iz al-Habib Ibrahim bin Aqil bin Yahya yang mula menaruh perhatian dan kasih-sayang yang besar terhadap beliau sebagaimana yang didapatkan daripada Shaikh al-Habib Muhammad al-Haddar sehingga guru beliau itu menawarkan puterinya untuk dinikahi setelah menyaksikan bahwa dalam diri beliau terdapat sifat-sifat kejujuran dan kepintaran yang luar biasa.

Tak lama kemudian, beliau melakukan pengembaraan yang melelahkan untuk menunaikan ibadah Haji di Makkah dan menziarahi makam Rasulullah SAW di Kota Madinah. Dalam perjalanannya ke tanah Hijaz, beliau dikurniakan kesempatan untuk mempelajari beberapa kitab daripada para ulama yang terkenal di sana, terutama daripada al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf yang telah menyaksikan bahawa di dalam diri al-Habib ‘Umar, terdapat semangat pemuda yang penuh kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW dan seorang yang bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ilmu dan keadilan kepada umat manusia, sehingga beliau benar-benar dicintai al-Habib Abdul Qadir selaku salah-seorang gurunya yang utama. Beliau turut dikurniakan kesempatan untuk menimba ilmu dan mendapatkan bimbingan daripada kedua-dua simbol keadilan di Hijaz, yakni al-Habib Ahmed Mashur al-Haddad dan al-Habib 'Attas al-Habashi.




Sejak itulah nama al-Habib Umar bin Hafiz mula tersebar luas disebabkan kegigihan usaha beliau dalam menyeru manusia kepada agama Islam dan memperbaharui ajaran-ajaran awal yang tradisional. Namun kepopularan dan kemasyhuran yang besar ini tidak sedikit pun mengurangkan usaha pengajaran beliau, bahkan sebaliknya. Tiada waktu yang terbuang sia-sia, setiap saat dipenuhi dengan mengingati Allah dalam pelbagai manifestasi dan cara, dalam pelbagai situasi dan lokasi yang berbeza. Perhatiannya yang mendalam dalam usaha menyuburkan keimanan terutamanya terhadap mereka yang berada di sampingnya, telah menjadi salah satu dari perilaku beliau yang paling dilihat jelas sehingga membuat nama beliau tersebar luas bahkan hingga sampai ke seantero dunia masa kini.


Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-

1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.

Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.

Al-Allamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Karya


Di samping seorang pendakwah, Habib Umar juga seorang penulis yang produktif. Karya-karyanya tidak terhad kepada ilmu Fiqh sahaja, bahkan beliau juga mengarang beberapa kitab Tasawuf dan Maulid. Kitab yang ditulis antara lain:

• Dhiya'ul Lami' (Maulid Nabi Muhammad SAW)
• Dhakhira Musyarofah (Fiqh)
• Muhtar Ahadits (Hadits)
• Nurul Iman (Aqidah)
• Durul Asas (Nahu)
• Khulasah Madad an-Nabawi (Zikir)
• Tsaqafatul Khatib (Panduan Khutbah)


Sumber: http://www.darulmurtadza.com

Monday, April 16, 2012

TERUS MELANGKAH MENERUSKAN PERJALANAN




Kemana Hidup Ini Hendak Dipandu?
Apa tujuan kita hidup sebenarnya? Ibu bapa tentunya ingin melihat seluruh kehidupan anak-anaknya hidup dengan gembira, jauh dari kesusahan dan sedaya upaya melengkapkan mereka dengan pelbagai keperluan. Matlamatnya adalah supaya mereka kelak menjadi seorang yang Berjaya dalam hidup, mempunyai pekerjaan yang baik, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri, berkahwin, mempunyai anak dan seterusnya. Secara umumnya, semua orang kebanyakkannya inginkan semua ini dalam kehidupan mereka.

Tercapaikah Apa Yang Di impikan?
Namun begitu, bukan semua yang kita impikan menjadi kenyataan, kadang kala kita perlu melalui pelbagai halangan dan cabaran sebelum mencapainya. Apa yang kita impikan saat ini adalah tidak mustahil bagi kita untuk mencapainya di masa hadapan. Kita tidak tahu apa yang akan kita miliki di masa depan. Kita yakin rezeki itu pasti ada di sediakan oleh Allah untuk setiap manusia malah untuk semut di dalam lubang dan ikan di laut pun punya rezekinya sendiri. Cuma kita tidak tahu bagaimanakah bentuk rezeki yang akan di perolehi itu.

Benteng antara kita dan impian kita adalah usaha. Ada orang usahanya sedikit tapi kejayaannya menakjubkan, pastinya Allah menolongnya. Ada orang pulak yang usahanya terlampau hebat tapi tiada kejayaan di capai hingga kini. Bukankah usaha itu tangga kejayaan? Ya, betul, tapi kejayaan itu pelbagai bentuk, mungkin kerana usaha yang keras itulah merupakan faktor kita Berjaya sekarang.

Berbeza dengan orang yang tidak berusaha, dia tidak akan mendapat apa-apa. Ya betul dia jugak sudah bekerja dan berkahwin, tapi itu adalah kerana usahanya kearah itu, yang saya maksudkan ialah orang yang ada matlamat yang sama dengan kita tapi dia tidak berusaha atau usahanya separuh jalan.

Sia-siakah Usaha Selama Ini.
Kita akan merasakan sesuatu itu sia-sia dan tidak bermanfaat kerana ia tidak beri manfaat kepada kita, dan kita tidak merasakan ia bernilai. Percayalah, dalam keadaan tertentu suatu masa kelak ia akan berguna untuk kita, apabila ia membantu kita saat itu barulah kita akan merasakan ia bernilai dan tidak sia-sia. Mungkin saja, oleh kerana kita pernah belajar berenang sewaktu kecil dahulu, ia telah menyelamatkan diri kita atau sahabat kita dari lemas, oleh kerana kita pernah ambil kursus menjahit dahulu kita telah dibayar gaji tinggi sekarang, siapa tahukan? Jadi, kita jangan tidak melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu perkara kerana kita tidak tahu yang mana satukah mampu memberi manfaat kepada kita di masa depan.

Kenapa Selalu Doa tapi Tetap Gagal.
Kadang hairan melihat orang lain tidaklah sebaik mana malah sangat tidak pedulikan agama tapi senang ja dapat pelbagai rezeki. Adakah kita tidak disayangi oleh Allah? Atau Allah terlepas pandang kita? Ikhlaslah dalam beribadat dan berdoa, Allah akan menyayangi diri kita. Bukan Allah tidak tahu apa yang kita nakkan, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, kerana Allah lebih kenali diri kita berbanding kita sendiri.

Orang yang tidak pedulikan agama pun berjaya bagaimana pulak? Orang kafir pun berjaya kita tak lihat? Kadang orang Islam yang jahat dapat pelbagai kemudahan adalah sebagai istidraj dari Allah, dan sangat benarlah apa yang berlaku ke atas kita adalah ujian. Tidak pernahkah kita menghadapi ujian? Fikirkan, telah banyak ujian kita sudah hadapi, yakinlah ujian ini juga kita mampu hadapi.

Di samping itu sangat perlu bagi kita muhasabah diri, mungkin doa kita tidak dimakbulkan kerana tidak memenuhi syarat bagi doa itu dimakbulkan. Antaranya ialah mungkin apa yang kita makan adalah dari sumber yang tidak halal, atau masih ada dosa yang menjadi hijab doa itu. Selain itu, kita perlu jaga adab berdoa, berdoa pada waktu mustajab doa seperti sewaktu sujud, selepas sembahyang fardhu, sewaktu hujan turun dan lain-lain, dan seterusnya kita perlulah khusyuk dan ikhlas berdoa, istiqomah dalam berdoa sesungguhnya Allah suka hambanya yang meminta-minta kepada-Nya.

Mengapa Terpaksa Lalui Semua Ini?
Ingatlah, setiap orang ada jalannya sendiri, punya cerita dan sejarah berbeza. Ada orang yang berjaya hari ini tetapi tumbang keesokkan harinya. Ada orang yang dahulunya susah tetapi sekarang hidup senang, ada orang yang hidupnya dari dahulu lagi senang tetapi hatinya tidak bahagia dan pelbagai lagi cerita setiap manusia ini. Jangan ingat kita ini orang yang paling susah atau malang, kerana kita masih ada nikmat dan kelebihan yang belum tentu ada pada semua orang. Cuma bagaimana kita menganggap ia penting sahaja yang akan mempengaruhi perasaan dan jiwa kita.

Cuba lihat sekeliling kita, ramainya orang yang menginginkan pelbagai nikmat dunia, ini adalah kerana dia menganggap nikmat dunia itu penting baginya. Maka dia berusaha mendapatkannya dan sedih dan kecewa bila gagal. Namun bagi sesetengah orang, cukup baginya dapat hidup dalam keadaan beragama, rumah yang selesa dan bersederhana tanpa sebarang masalah, maka dia merasa cukup dengannya tanpa bersedih jika tidak memiliki nikmat dunia yang lain.

Ada ke Orang yang Tak Mahukan Harta Benda?
Tentulah ada, orang begini bukannya menolak harta benda dan memisahkan dunia dari hidupnya, tapi dunianya hanya di tangan bukan di hati. Maksudnya dia tidak rasa akan kesibukan mencari nikmat dunia, dia tidak berasa kecewa dan hampa tidak mendapat sesuatu nikmat dunia, dan apabila dia mendapat nikmat dunia dia akan bersyukur? Ini adalah kerana prinsip hidupnya yang dia pegang, iaitu dia bersifat dgn qana’ah(berasa cukup dengan apa yang ada dalam nikmat dunia), yakin akan takdir Allah, rezeki Allah dan jodoh dari Allah.

Wednesday, April 4, 2012

LARANGAN BERSALAM DENGAN BUKAN MAHRAM


Dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah ini jelas sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata:


“Dan tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)


Dalam sebuah hadis yang lain lagi, diriwayatkan oleh Malik, an- Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu:


Maksudnya: “Daripada Muhammad bin Al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘at (pengakuan ta‘at setia) dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak- anak kami, tidak menipu dan tidak ingkar kepada Tuan hamba di dalam kebaikan.”


Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya.” Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami dari diri kami sendiri. Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.”
(Hadis riwayat Malik, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad)


Dari hadis-hadis yang telah disebutkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram. Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isterinya, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan pada waktu membai‘ah (menerima pengakuan taat setia) daripada mereka.


Maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bersalaman dengan para perempuan pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, ini menunjukkan bahawa bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah pada keadaan-keadaan atau perjumpaan-perjumpaan biasa adalah terlebih-lebih utama dilarang.

Oleh kerana itu, kita perlulah memerhati dengan teliti dan berhatihati dengan siapa kita boleh bersalaman dan dengan siapa kita dilarang untuk bersalaman, kerana apa yang kita dapati dan kita lihat di kalangan masyarakat kita, ramai yang bersalaman dengan orang-orang yang disangkanya boleh bersalaman, akan tetapi sebenarnya ia adalah dilarang (haram).


Ancaman bersalaman atau berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah ini ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Thabarani dan al-Baihaqi iaitu:


Maksudnya: “Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.”
(Hadis riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi)


Bayangkanlah bagaimana seseorang ditusuk atau dicucuk kepalanya dengan sebatang jarum, tentulah amat sakit, dan kesakitan itu terlebih baik baginya dari dia melakukan dosa menyentuh perempuan ajnabiyyah. Ini membayangkan kepada kita betapa besarnya dosa akibat perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh itu.


Adapun hikmat kenapa kita diharamkan untuk bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, antaranya bahawa perempuan itu adalah sebesar-besar fitnah atau dengan kata lain, fitnah yang paling memudaratkan terhadap lelaki seperti boleh merangsang syahwat dan menarik perhatian. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:


Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku, fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada fitnah kaum perempuan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, kita diharamkan melihat batas-batas yang diharamkan dilihat bagi perempuan-perempuan yang bukan mahram, kerana mereka boleh merangsang syahwat, mendatangkan fitnah dan menarik hati untuk terpaut kepada mereka.


Bertolak dari sini, dapatlah kita tanggapi bahawa larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu merupakan jaminan keselamatan bagi kita daripada fitnah. Maka wajiblah bagi kita menjauhi perkara yang berbahaya itu.

Sebagai kesimpulan, tidak semua kalangan ahli keluarga kita boleh bersalaman atau berjabat tangan dengan mereka sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Dengan adanya pengetahuan mengenai batasan bersalaman atau berjabat tangan sesama ahli keluarga yang bukan dikategorikan sebagai mahram kerana perkahwinan ataupun mahram kerana keturunan, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak terjadi perlanggaran batasan-batasan yang telah ditentukan dalam hukum syara‘.

Sumber: Fatwa Kerajaan Mufti Negara Brunei Darussalam











Monday, April 2, 2012

SIAPA MAHRAM DAN BUKAN MAHRAM BAGI KITA?

Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini. Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram. 

Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu. Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya. 

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebabsebab yang tertentu: 
Pertama: Mahram kerana keturunan. 
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan.
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan. 

Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut: 
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa. 
4. Adik beradik perempuan sebapa. 
5. Adik beradik perempuan seibu. 
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan). 

Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagai mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: Maksudnya: 

Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.” (Hadis riwayat Muslim) 

Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa ayat 23. 

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut: 
1. Emak mertua. 
2. Anak menantu. 
3. Emak tiri. 
4. Anak tiri. 

Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah. Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram. 

Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram 
Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa) 
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak) 
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan. 
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan. 
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri) 
6. Kakak ipar. 
7. Adik ipar perempuan. 

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak) 
2. Sepupu bapa. 
3. Sepupu emak. 

Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah. 

Sumber: Fatwa kerajaan Negara Brunei