Friday, January 26, 2018

ISTERI YANG DIREDHAI



عن أمّ سلمة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه و آله و سلم أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
(رواه الترمذي وقال حديث حسن)

Dari Ummu Salamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Wanita yang meninggal dunia, dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka dia akan masuk syurga” (HR Tirmidzi, berkata Tirmidzi hadith hasan)

SIAPAKAH UMMU SALAMAH?
Hadith ini diriwayatkan oleh seorang wanita yang dipanggil Ummu Salamah. Ummu Salamah adalah Ummahatul Mukminin, iaitu salah seorang isteri Rasulullah SAW. Nama sebenar beliau ialah Hindun binti Abu Umayyah Al-Quraisy Al-Makhzumiyyah. Beliau diberi gelaran Ummu Salamah kerana beliau mempunyai anak lelaki yang bernama Salamah.

Beliau bernikah dengan Rasulullah SAW setelah 4 tahun menjadi janda kerana kematian suami. Ummu Salamah merupakan antara isteri Rasulullah yang  cantik. Ummu salamah juga adalah salah seorang isteri Rasulullah SAW yang pernah melihat malaikat Jibril bentuk rupa manusia.  Beliau meninggal dunia pada tahun 62 Hijrah pada usia 90 tahun. Beliau banyak meriwayatkan Hadith, jumlah hadith yang diriwayatkan beliau adalah lebih kurang 378 hadith.

WANITA YANG TAAT PADA SUAMI DAN TAAT PADA ALLAH
Rasulullah SAW bersabda bahawa para wanita dan isteri yang mempunyai suami, kemudian wanita atau isteri tadi meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya maka wanita itu akan dimasukan ke dalam syurga. Namun ini bukan bermakna wanita berkenaan masuk syurga cukup hanya dengan redha suaminya, ia tetap terikat dengan syariat iaitu wanita berkenaan tetap melakukan perkara yang diwajibkan ke atasnya. Ini bermakna wanita tadi bukan hanya taat pada suaminya, dia juga taat pada Allah dan ketaatan pada Allah itulah lebih utama.

HARUS BAGI ALLAH MEMASUKKAN SIAPA SAHAJA KE SYURGA
Namun boleh sahaja Allah untuk memasukan siapa saja ke dalam syurga tanpa di hisab, itu haknya Allah, kehendak Allah dan ia harus bagi Allah. Mungkin maksud hadith ini sama seperti peristiwa yang berlaku pada 313 orang ahli perang Badar dan peristiwa Saiyidina Uthman yang menginfakkan hartanya untuk perang khandak, di mana 313 orang yang menyertai perang Badar itu diampunkan semua dosa-dosa mereka yang akan datang, demikian Rasulullah SAW bersabda kepada Saiyidina Uthman setelah Uthman menginfakkan hartanya, “lakukanlah apa sahaja yang kamu suka.”

REDHANYA ALLAH ADA PADA REDHANYA SUAMI
Hadith ini juga boleh difahami bahawa redhanya Allah itu adalah pada redhanya suami, bermakna wanita itu seorang yang taat sehingga suaminya redha kepadanya lalu menjadi sebab wanita tadi dimasukan ke syurga. Jika wanita yang buruk akhlaknya dan menderhakai suaminya sehingga suaminya tidak redha kepadanya maka ia menjadi sebab dia diseksa di neraka.  
    
Dalam riwayat Imam Baihaqi Rasulullah SAW berkata pada seorang wanita: “bagaimana hubungan kamu dengan suami kamu? Bagaimana tingkah laku kamu dengan suami kamu? Perhatikan wahai isteri, suami kamu itu adalah syurga dan neraka kamu.”

Dalam hadith riwayat al-Hakim Sayyidah Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak yang paling besar untuk para wanita?” Baginda menjawab, “hak yang paling besar bagi wanita ialah suaminya.”

Dalam hadith riwayat Imam Ibnu Majah dan Imam At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “sekiranya dibolehkan manusia sujud kepada makhluk maka akan aku perintahkan para isteri untuk sujud kepada suami mereka.”  

Rasulullah SAW bersabda bahawa baginda melihat neraka dan ramai penghuni neraka adalah dari kalangan perempuan. Perempuan paling ramai di neraka adalah disebabkan oleh mereka tidak berterima kasih kepada keluarga atau suami dan mereka tidak pernah berterima kasih kepada Allah atas apa yang telah Allah anugerahkan dalam Rumah Tangga.

Seorang perempuan bernama Asma’ binti Yazid Al-Anshoriyyah. Dalam riwayat Imam Bazzar datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Adakah hanya lelaki yang mendapat keutamaan jihad?” Rasulullah SAW  bersabda: “ketaatan kepada suami dan menunaikan hak-hak suami itu menyamai pahala ibadah semuanya. Tetapi sedikit sekali perempuan yang mengamalkannya.”

SUMBER: Majelisrasulullah.org, Kitab Qutuful Falihin, Hadits yang ke 65.


Monday, January 15, 2018

BERSANGKA BAIK PADA ISTERI


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه و آله و سلم (لَا يَفْرَكُ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً، إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ(أوقال (غَيْرَهُ) رواه مسلم
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Janganlah seseorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika dia tidak menyukai suatu kelakuan/perangai yang ada pada wanita (isterinya), maka hendaklah dia melihat sisi lain yang dia redhai.” (HR Imam Muslim)

Rasulullah SAW mengajarkan agar kita tidak melihat isteri kita dari sisi negatif sedangkan setiap manusia dari kalangan lelaki dan perempuan pasti ada sisi positifnya. Jika seorang suami itu hanya melihat perkara yang buruk di matanya, lama kelamaan ia akan mendorong suami melakukan tindakan negatif. Oleh itu, suami yang memandang negatif kepada isterinya akan lebih mudah memarahi dan memukul isterinya.

Tanggungjawab seorang isteri itu ialah berkhidmat kepada suaminya dan mengurus anak-anak, manakala tanggungjawab seorang suami pula adalah lebih besar, iaitu mengurus isteri, mengurus anak-anak dan mengurus ibu-bapa. Keutamaan tanggungjawab bagi perempuan ialah suaminya, dan keutamaan bagi suami ialah ibunya.

Siapa sahaja tidak kira suami atau isteri pasti melakukan kesilapan. Oleh demikian, jika berlaku perselisihan dan pergaduhan, siapa yang benar dan siapa yang salah? Orang yang benar itu ialah orang yang bertaubat dari kesalahannya, dan orang yang salah pula ialah orang yang hanya melihat keburukan pasangannya.

Allah SWT menyuruh para suami agar menggauli isteri-isteri mereka dengan cara yang baik, iaitu melayani isteri dengan sabar. Ulama berkata, memandang isteri dengan pandangan positif dan pandangan cinta akan menutup kekurangan yang ada pada isteri, dan memandang isteri dengan pandangan negatif akan membuka kekurangan dan kecacatan.
Dalam satu hadith menceritakan bahawa Nabi SAW pada suatu hari pulang ke rumah dalam keadaan letih, tubuhnya kotor dengan darah, dan debu, namun sebaik sahaja baginda masuk ke rumahnya, Nabi SAW akan mengukirkan senyuman.

Sumber: Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz; Habib Alwi bin Abdurrahman Al-Habsyi


Sunday, December 17, 2017

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT MASALAH SESAMA MUSLIM




عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله قال: الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال وكالقائم لا يفتر و كالصائم لا يفطر الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال و كالقائم الذي لا يفتر و كالصائم الذي لا يفطر (متفق عليه)

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Orang yang mengurus janda dan mengurus orang miskin sama (pahala) seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” Dan sepertinya baginda bersabda: “Orang yang selalu solat sepanjang malam tidak pernah letih dan seperti orang yang berpuasa tidak pernah berbuka (setiap hari).” (Muttafaqun ‘Alaih)

قال (Rasulullah bersabda) الساعي (orang yang mengurus) على الأرملة و المسكين (mengurus janda dan orang msikin) كالمجاهد في سبيل الله (adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah) و أحسبه قال (dan sepertinya baginda bersabda) وكالقائم لا يفتر (seperti orang yang bertahajud tanpa jemu dan penat setiap malam) و كالصائم (dan seperti orang yang berpuasa ) لا يفطر (tidak pernah berbuka).

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT URUSAN MUSLIM
Dalam hadith ini Rasulullah SAW menceritakan kelebihan orang Islam yang peduli dan prihatin dalam hal berkaitan masalah dan keperluan sesama muslim, terutama golongan fakir miskin. Dalam Hadith ini Rasulullah SAW menyamakan pahala orang yang mengurus, orang yang menolong, dan orang yang memerhati keperluan janda dan orang miskin akan memperolehi pahala sama seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT, seperti orang yang melakukan tahajud tidak kenal penat dan seperti orang yang berpuasa sepanjang masa.

Hanya dengan mengurus keperluan, membantu, menyelesaikan masalah, menjaga kehormatan dan melindungi janda dan orang miskin, seseorang itu akan mendapat pahala berjihad di jalan Allah, mendapat pahala tahajud dan mendapatkan pahala puasa sepanjang masa.

IBADAH KHUSUS DAN IBADAH UMUM
Semua amal soleh di nilai sebagai ibadah oleh Allah SWT. Ibadah tidak terhad hanya kepada ibadah khusus seperti tahajjud, bertasbih, solawat, membaca al-Qur’an, solat qobliyah ba’diyah, dhuha, witir, tasbih, taubat, hajat, dan istikharah sahaja, malah memberi makan kepada binatang, memberikan pertolongan kepada wanita janda dan orang miskin juga ada nilai pahalanya.

MAKSUD الساعي
Berdasarkan Hadith ini, perkara  pertama yang keluar dari lisan Rasulullah SAW ialah الساعي على الأرملة و المسكين  iaitu orang yang memerhati, orang yang ambil peduli, orang yang menghulurkan pertolongan, melindungi, membantu, dan mengurus janda dan juga orang miskin. Perkataan  الساعي dalam hadith bukan merujuk kepada orang yang memberi duit atau mengeluarkan belanja, ini kerana sebahagian orang tidak mempunyai kemampuan membantu dari segi kewangan namun dia mampu menolong dari segi tenaga. Perkataan الساعي  memberi maksud pertolongan dari segi ilmu, idea, atau memberi makanan.

MAKSUD الأرملة
Perkataan الأرملة bermaksud janda, iaitu seorang perempuan yang suaminya meninggal dunia. Pada zaman dahulu wanita yang kematian suami bukan hanya hilang tempat bergantung malah dia akan hilang punca pendapatan, makanan, keperluan untuk anak-anak dan lain-lain keperluan. Dalam keadaan begini sudah tentu jiwanya lemah, memerlukan keperluan dan bantuan bagi meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya.

MAKSUD ORANG MISKIN
Imam Nawawi berkata bahawa orang miskin itu ialah seseorang yang mencari nafkah tetapi apa yang dia perolehi tidak mencukupkan keperluannya. Mengambil berat terhadap orang miskin adalah tanda kita mencintai mereka, dan dengan mencintai mereka bermaksud kita telah mencontohi baginda Nabi SAW dan membenci mereka bererti kita tidak mengikuti akhlak Rasulullah, ini kerana Rasulullah sangat mencintai orang Miskin sehingga Nabi SAW berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan miskin dan kelak di hari kiamat Nabi SAW berdoa agar dibangkitkan bersama dengan orang-orang miskin.

MUSLIM ITU BERSAUDARA
Muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara, mereka seperti satu jasad. Jika salah satu organ dalam jasad kita sakit maka seluruh jasad akan merasa sakit. Oleh itu, jika ada Muslim yang mengemis dan hidup melarat, hati kita pasti akan merasa kasihan dan hancur.
Dalam sebuah Hadith riwayat Muslim, orang miskin yang mulia itu ialah orang miskin yang tidak mengemis walaupun dia sangat memerlukan. Namun kerap kali orang yang jahil menganggap orang yang tidak mengemis ini adalah orang yang kaya dan sombong kerana tidak mahu meminta-minta. Allah berfirman di dalam al-Qur’an:

يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
Maksudnya: “Orang-orang yang bodoh menganggap orang-orang yang miskin seperti orang kaya kerana mereka miskin tetapi tidak pernah mengemis.”

Berbeza dengan orang yang berakal, mereka melihat orang Miskin dari aspek pakaiannya, kehidupan sehariannya dan rumahnya, orang yang berakal itu cukup hanya dengan melihat isyarat atau tanda.

Rasulullah SAW bersabda: كالمجاهد في سبيل الله (seperti orang yang berjihad di jalan Allah). Bahkan kata Nabi SAW, seperti orang yang tahajjud tidak pernah berhenti, seperti orang yang berpuasa tak putus-putus. Bukan semua dari kita mampu untuk berjihad di jalan Allah, melakukan tahajjud setiap malam, dan berpuasa setiap hari, akan tetapi melalui Allah memberi jalan kemudahan untuk mendapatkan pahala Jihad, pahala Tahjjud, dan pahala puasa iaitu dengan mengambil perhatian urusan Janda dan orang Miskin.

Nabi Muhammad Saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Thabrani: “Mengurus dan mengambil berat, menghulurkan pertolongan dan membantu saudaraku yang Muslim itu lebih aku sukai berbanding beritikaf di Masjid selama sebulan.”

Sumber: Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz



Monday, August 28, 2017

ISLAM AGAMA YANG MUDAH




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن عائشة رضي الله عنها قالت:إن كان رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم ليدع العمل وهو يحب أن يعمل به خشية أن يعمل به الناس فيفرض عليهم   
(متفق عليه)

Dari Aisyah isteri baginda Nabi Muhammad SAW, Ummul Mukminin RA berkata: “Jika Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan padahal baginda suka mengamalkannya, ini kerana baginda bimbang manusia yang mengamalkannya kemudian diwajibkan ke atas mereka (Muttafaqun ‘Alaih)

Sesungguhnya, baginda SAW meninggalkan amal perbuatan, iaitu amalan ibadah sunah (bukan ibadah yang wajib) padahal Nabi SAW itu sangat suka untuk sentiasa melakukan amalan sunnah di depan sahabatnya agar di contohi.

Mengapa Nabi SAW bertindak metinggalkannya? Tindakan Nabi SAW ini adalah kerana  خشية (bimbang) أن يعمل به الناس (amalan itu nanti dilakukan oleh manusia) para sahabat melakukannya secara beramai-ramai lalu فيفرض عليهم (diwajibkan ke atas mereka) amalan itu oleh Allah SWT. Nabi SAW bimbang amalan itu nanti kemudiannya menjadi beban kepada ummatnya.

Hadith ini menggambarkan kelembut hati Rasulullah SAW, Nabi SAW bimbang kelak kita tidak mampu melakukan amalan yang wajib dan berdosa jika meninggalkannya. Nabi SAW meninggalkan dari melakukannya di hadapan sahabat, tetapi Nabi SAW tetap melakukannya secara sendirian di rumah. Contohnya solat sunat dhuha dan tarawih, jika solat wajib Nabi SAW akan pergi melakukannya di Masjid.

Oleh sebab itu Nabi SAW hanya melakukan solat sunat tarawih bersama sahabat di masjid hanya pada malam-malam awal ramadhan dan kemudiannya Nabi SAW tidak ke Masjid kerana Nabi SAW bimbang jika Nabi SAW berterusan mengimami solat tarawih setiap malam pada bulan ramadhan, kelak solat sunat tarawih diwajibkan. Nabi SAW bersabda: “Aku bimbang solat-solat malam menjadi wajib ke atas kamu dan nanti kamu tidak mampu menjalankannya dan menjadi beban makanya aku tidak keluar pergi ke Masjid”.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Tidaklah-Ku utus kau wahai Muhammad melainkan menjadi manusia pembawa rahmat bagi alam semesta”.

Nabi SAW meninggalkan sesuatu amalan bukan kerana Nabi SAW tidak suka, merasa malas atau kerana bosan melakukan amalan tersebut. Nabi SAW adalah orang yang paling suka beribadah. Nabi SAW sentiasa ingin bermunajat dan menjaga hubungan baginda dengan Allah. Nabi SAW tidak makan bawang kerana tidak mahu mulut Nabi SAW berbau ketika bermunajat kepada Allah. Nabi SAW bersabda: “Aku setiap detik bermunajat pada Allah, jadi aku tidak mahu mulut ini bau”.

Dalam Sohih Bukhari Nabi SAW bersabda: “Agama Islam itu mudah”. Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.

Nabi SAW bersabda: “Seandainya aku tidak bimbang kamu dibebani dengan siwak (memberus gigi) maka pasti aku wajibkan kamu semuanya untuk bersiwak setiap kali hendak solat”.

Dalam sohih Bukhari, Nabi SAW bersabda: “Aku ingin memanjangkan solat, tiba-tiba aku mendengar tangisan anak kecil. Maka aku ringkaskan solatku. Aku bimbang panjangnya solat menjadi beban kepada orang tua dan ibu yang ikut solat berjemaah.

Sumber: majelisrasulullah.com, Habib Alwi bin Abdurrahman Al-Habsy, Qutuful Falihin, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz



Thursday, April 20, 2017

SEBAIK-BAIK JIHAD


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله و سلم قال (أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر) رواه أبو داود والترمذي و قال حديث حسن

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik jihad ialah menyatakan 
(perkataan yang adil (benar) dihadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Muncul Dari Iman Yang Mantap
Seseorang yang mempunyai keimanan yang mantap akan mempunyai keberanian untuk menyampaikan perkataan yang benar di hadapan seorang pemimpin atau penguasa yang zalim. Keyakinan dan keberanian ini ada di dalam hatinya kerana dia telah menjual dirinya untuk Allah dan dia lebih mengutamakan hak Allah berbanding hak dirinya. Firman Allah SWT:


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan" 
(balasan) bahawa bagi mereka syurga." (At-Taubah: 111)

Amar Ma’ruf Nahi Munkar 
Menyatakan kebenaran adalah termasuk dalam Amar ma’ruf nahi munkar, oleh itu ia juga adalah salah satu dari bentuk jihad. Mengajak orang lain untuk beramal soleh dan melarang dari melakukan kemungkaran juga akan mendapatkan pahala jihad. Dan Amar Ma’ruf Nahi Munkar di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih afdhol kerana ia memberi impak yang lebih kuat, dan juga kerana berdepan dengan risiko dan mudharat.

Lakukan Dengan Berhikmah
Namun, cara menyatakan kebenaran itu mestilah dengan berhikmah. Nasihat secara individu,  bertemu mata dan melakukannya secara rahsia adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Allah Swt berfirman:


“Serulah kepada manusia pada jalan Allah dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pelajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik dengan cara yang paling baik.” (an-Nahl: 125) "...Dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik." (an-Nahl: 126)

kaedah ini di ajarkan oleh Nabi SAW dan juga para Nabi terdahulu. Nabi Allah Musa dan adiknya Nabi Allah Harun menyampaikan dakwah, mencegah kemungkaran dan kezaliman Firaun yang merupakan seorang raja yang paling zalim. Namun demikian Allah menyuruh Nabi Musa agar menyeru secara hikmah. Firman Allah SWT:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya(Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut” (Taaha:44)

Menasihati secara sembunyi maka ia adalah nasihat yang benar dan secara tidak langsung menghormati dan menghargai orang yang dinasihatinya itu. Menegur secara terang-terangan bererti dia telah menghina orang yang mahu dinasihatinya”

Jihad Paling Afdhol Bukannya Dengan Perang
Dalam riwayat Imam Nasai: Suatu ketika saat hampir terjadinya peperangan ada seorang menghampiri Rasulullah lalu bertanya, "wahai Rasululullah, apakah jihad yang paling afdhal? Rasulullah SAW menjawab: "Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim."


Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa jihad yang paling utama bukannya perang, ini kerana soalan sahabat dan jawapan Nabi S.A.W ini adalah saat hampir bermulanya peperangan namun Nabi saw tidak menjawab perang sebagai jihad yang paling afdhol.

Pelbagai Bentuk Jihad
Jihad mempunyai pelbagai bentuk, antaranya ialah bangun malam untuk bertahajjud, puasa sunat, dan membantu orang tua. Setelah perang tamat Nabi  SAW bersabda: 

"kita baru pulang dari medan perang yang kecil menuju jihad yang besar. Lalu sahabat bertanya apakah jihad yang besar? Nabi SAW menjawab: "Jihad melawan hawa nafsu." (HR Al-Baihaqi)


أَفْضَلُ الْجِهَادِ أَنْ يُجَاهَدَ الرَّجُلُ نَفْسَهَ وَ هَوَاهُ

".Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad berjuang melawan dirinya dan hawa nafsunya" (HR Abu Nu’aim dan ad-Daimal)

Daripada Abu Said al-Khudri RA, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama? jawab Baginda SAW, “Iaitu orang Mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri di jalan Allah”. Lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapakah lagi? Baginda menjawab, “yang mengasingkan dirinya di lereng-lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhan-Nya". Dalam satu riwayat yang lain, "...iaitu orang yang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan diri) daripada orang yang melakukan kejahatannya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dapat kita fahami bahawa melawan nafsu dan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk bertaqwa kepada Allah SWT serta membelanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah juga termasuk dalam kategori jihad.

Menyatakan kebenaran Dengan Cara Demontrasi
Dalam hal berkaitan demontrasi ada 3 pandangan. Pertama adalah pandangan Imam ibnu Abbas dan Imam ibnu Mas’ud. Mereka berpendapat bahawa menyampaikan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim menjadi afdhol jika merasa aman dan terhindar dari mudharat.


Keduanya ialah pandangan Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnul Khattab dan Imam Ibnu Ka’ab, mereka berpendapat bahawa wajib meluruskan kemungkaran dengan apa cara sekali pun.

Dan pendapat yang ketiga ialah cukup dengan mengingkari kemungkaran pemimpin yang zalim dengan hati dan berdoa.

Pertimbangkan Kesannya
Dalam Al-Qur’an ada menceritakan tentang Ashabul Ukhdud (Raja Zalim yang membuat parit), rakyatnya menyampaikan kebenaran di depan sang Raja yang zalim dalam keadaan mereka yakin mereka akan di bunuh. Akhirnya mereka dibunuh dengan  dicampakkan ke dalam parit yang berapi.

Dalam surah Al-Kahfi, diceritakan tentang Ashabul Kahfi. Mereka juga menentang Raja yang zalim dan kemudian melarikan diri dan ditidurkan oleh Allah di dalam sebuah gua.

Dakwah mempunyai pelbagai cara, ketika kita menyampaikan  kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim, terlebih dahulu pertimbangkan kesannya sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi