Monday, April 2, 2012

SIAPA MAHRAM DAN BUKAN MAHRAM BAGI KITA?

Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini. Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram. 

Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu. Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya. 

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebabsebab yang tertentu: 
Pertama: Mahram kerana keturunan. 
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan.
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan. 

Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut: 
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa. 
4. Adik beradik perempuan sebapa. 
5. Adik beradik perempuan seibu. 
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan). 

Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagai mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: Maksudnya: 

“Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.” (Hadis riwayat Muslim) 

Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa ayat 23. 

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut: 
1. Emak mertua. 
2. Anak menantu. 
3. Emak tiri. 
4. Anak tiri. 

Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah. Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram. 

Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram 
Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa) 
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak) 
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan. 
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan. 
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri) 
6. Kakak ipar. 
7. Adik ipar perempuan. 

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak) 
2. Sepupu bapa. 
3. Sepupu emak. 

Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah. 

Sumber: Fatwa kerajaan Negara Brunei

Monday, March 26, 2012

ULAMAK TERKENAL DUNIA KINI DI MALAYSIA



Habib Ali Zainal Abidin Bin Abdul rahman Al Jufri




Beliau ialah Habib Ali Zainal Abidin Bin Abdul rahman Al Jufri, seorang Ulamak keturunan Nabi Muhammad SAW, beraliran sufi asya'irah dan bermazhab syafie. Sangat terkenal di seluruh dunia dengan penyampaian ilmu yang memukau, kalam yang indah dan tersusun. Ilmunya dapat dilihat dari akhlak dan percakapan beliau.


Maklumat tentang Majlis:-

Ceramahnya di dalam Bahasa Arab akan diterjemahkan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid di dalam bahasa melayu.





Tarikh: 7 April 2012 (Sabtu)
Masa : 8.00am - 11.00am
Tempat: Main Hall, CAC, International Islamic University Malaysia (IIUM)

Wednesday, March 14, 2012

BENARKAH IMAM AL-BUKHARI BERAMAL DENGAN HADIS DHAIF?



Oleh : Ustaz Umar Muhammad Noor

Tulisan ini dilihami oleh persoalan yang diajukan kepada saya: adakah Imam Al-Bukhari beramal dengan hadis dhaif? Soalan ini berlaku apabila sekumpulan orang menegaskan bahawa Al-Bukhari melarang (ada yang berkata: mengharamkan) beramal dengan hadis daif. Pendapat seperti ini memang bukan baru, namun dibina di atas andaian yang belum pernah diuji kesahihannya.[1] Saya berminat membahas perkara ini bukan untuk membela atau membantah mana-mana pihak, akan tetapi untuk menjelaskan salah satu metode ulama mutaqaddimin yang seringkali samar sehingga terbuka untuk kesalahfahaman.

Untuk menjawab soalan ini, saya mengajak anda untuk merujuk Sahih Al-Bukhari sendiri sambil menyadari bahawa kitab ini bukan sekedar “kumpulan hadis-hadis sahih” belaka. Jika begitu, sungguh sia-sia Al-Bukhari menghabiskan 16 tahun daripada usianya hanya untuk membuat sebuah kitab yang hanya mengumpulkan hadis-hadis sahih tanpa menjelaskan kandungan hukum dan pengajaran yang terdapat di dalamnya. Siapa yang membaca kitab ini dengan teliti akan melihat bahawa kitab ini sebuah maha karya ilmu hadis yang sangat kaya dengan pelbagai ilmu, terutama fiqh dan ijtihad. Oleh itu, untuk menjawab soalan ini, saya mengajak kita semua melihat sendiri praktik amali beliau dalam berhujah agar jelas bagi kita adakah beliau berhujah dengan hadis dhaif ataukah tidak?

Fiqh Al-Bukhari dan Hadis Muallaq

Para ulama berkata: “ فقه البخاري في تراجمه ” (Fiqah Al-Bukhari terdapat di dalam tajuk-tajuk babnya).[2] Oleh itu, jika kita hendak mengkaji praktik ijtihad Al-Bukhari, maka kita mesti fokuskan pandangan kita kepada tajuk-tajuk bab yang terdapat di dalam kitab ini.
Dan siapa yang mengkaji tajuk-tajuk ini akan mendapati bahawa hujah fiqh Al-Bukhari sedikitnya terdiri dari dua bentuk hadis: hadis-hadis muallaq yang terdapat di awal bab dan hadis-hadis sahih yang terdapat dalam kandungan bab. Hadis-hadis kategori kedua, yakni yang diletakkan dalam kandungan bab, merupakan hadis-hadis inti yang dijamin kesahihannnya oleh Imam Al-Bukhari, oleh itu terkeluar daripada kajian saya kali ini. Saya hanya akan mengkaji hadis-hadis muallaq yang, menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tidak semuanya sahih, malah terdapat hadis-hadis lemah padanya.[3]

Apabila mengkaji hadis-hadis muallaq ini, kita mesti sadar bahawa tidak semuanya disebutkan Al-Bukhari sebagai hujah. Sebahagiannya malah disebutkan untuk membantah hujah pihak lain dengan menyebutkan ‘illah yang terdapat di dalam hadis ini. Maka, saya akan mencoba melihat dengan hati-hati setiap hadis muallaq dhaif yang disebutkan Al-Bukhari, lalu memastikan apakah beliau berhujah dengannya ataukah tidak? Untuk mengelak subjektifiti, sekaligus meluruskan pemahaman saya yang lemah, saya selalu merujuk pendapat Ibn Hajar berkenaan setiap hadis yang saya sebutkan. Sebab beliau, menurut saya, merupakan ulama yang paling pakar dalam kajian hadis-hadis muallaq ini.[4]

Temuan

Kajian singkat saya menunjukkan bahawa Al-Bukhari sangat teliti memilih hujah-hujahnya. Sedapat mungkin beliau berhujah hanya dengan hadis-hadis yang sahih, namun begitu beliau tidak menutup pintu untuk beramal dengan hadis daif jika terdapat aspek-aspek eksternal (قرائن خارجية) tertentu yang menyokongnya. Beliau menggunakan hadis-hadis dhaif seperti ini bukan hanya dalam fadail a’mal, bahkan dalam beberapa permasalahan hukum. Namun nisbah hadis-hadis seperti ini sangat sedikit dibandingkan hadis-hadis sahih yang beliau gunakan.
Tulisan ini terlalu sempit untuk menghuraikan semua temuan saya, sebahagiannyapun mungkin terbuka untuk bantahan dan penafsiran lain daripada pihak yang tidak setuju. Oleh itu, saya hanya akan menyebutkan beberapa perkara yang menurut saya sangat jelas dalam membuktikan kesimpulan dan rumusan saya tadi.

1. Al-Bukhari beramal dengan hadis daif apabila kandungan hadis itu disokong oleh pelbagai hadis-hadis lain yang serupa dengannya.

Contohnya ucapan Al-Bukhari dalam kitab Al-Zakat:

وَقَالَ طَاوُس : قَالَ مُعَاذ لِأَهْلِ الْيَمَنِ ائْتُونِى بِعَرْضٍ ثِيَابٍ خَمِيصٍ أَوْ لَبِيسٍ فِى الصَّدَقَةِ ، مَكَانَ الشَّعِيرِ وَالذُّرَةِ أَهْوَنُ عَلَيْكُمْ ، وَخَيْرٌ لأَصْحَابِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم بِالْمَدِينَةِ .

Dan berkata Tawus: Berkata Muadz kepada Ahli Yaman: “Berikan kepadaku pakaian yang lebar untuk zakat, sebagai ganti daripada gandum dan jagung, perkara itu lebih ringan untukmu dan lebih baik bagi sahabat-sahabat Nabi Saw di Madinah.”
Hadis ini beliau sebutkan untuk menyokong pendapat beliau berkenaan dengan kebolehan mengambil barang-barang lain selain emas dan perak sebagai zakat. Pendapat ini selari dengan mazhab Hanafi. Berkata Ibn Rusyaid: “Al-Bukhari sepakat dengan Hanafiah dalam masalah ini meski beliau seringkali berbeza pandangan dengan mereka. Dalil yang membawa beliau kepada sikap ini.”[5]

Jika kita kaji, sanad hadis ini sebenarnya munqati (terputus), Tawus bin Kisan tidak berjumpa dengan Muadz bin Jabal. Berkata Ibn Hajar:

هَذَا التَّعْلِيق صَحِيحُ الْإِسْنَادِ إِلَى طَاوُس ، لَكِنَّ طَاوُسًا لَمْ يَسْمَعْ مِنْ مُعَاذ فَهُوَ مُنْقَطِع ، فَلَا يُغْتَرُّ بِقَوْلِ مَنْ قَالَ ذَكَرَهُ الْبُخَارِيّ بِالتَّعْلِيقِ الْجَازِمِ فَهُوَ صَحِيحٌ عِنْدَهُ لِأَنَّ ذَلِكَ لَا يُفِيدُ إِلَّا الصِّحَّة إِلَى مَنْ عُلِّقَ عَنْهُ ، وَأَمَّا بَاقِي الْإِسْنَادِ فَلَا ، إِلَّا أَنَّ إِيرَادَهُ لَهُ فِي مَعْرِضِ الِاحْتِجَاجِ بِهِ يَقْتَضِي قُوَّتَهُ عِنْدَهُ ، وَكَأَنَّهُ عَضَّدَهُ عِنْدَهُ الْأَحَادِيثُ الَّتِي ذَكَرَهَا فِي الْبَابِ .

Ta’liq ini sahih sanadnya kepada Tawus, akan tetapi Tawus tidak mendengar daripada Muadz, jadi ia munqati. Maka janganlah tertipu dengan ucapan orang yang berkata bahawa Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat jazm bermakna hadis ini sahih di sisinya, sebab perkara ini hanya menunjukkan kesahihan hingga kepada orang yang dita’liq (yakni Tawus), adapun baki sanadnya tidak (sahih). Akan tetapi, beliau menyebutkan hadis ini untuk hujah menunjukkan kuatnya hadis ini di sisinya.Mungkin menurut beliau (kandungan) hadis ini disokong oleh hadis-hadis yang beliau sebutkan dalam bab ini.[6]

Sebelumnya, hadis ini juga dihukumkan munqati oleh Imam Al-Syafii, namun beliau menerima kandungannya karena beliau percaya Tawus benar-benar mengetahui perkara ini. Berkata Al-Syafii: “Tawus mengetahui perkara Muadz meskipun beliau tidak berjumpa dengannya karena beliau berjumpa ramai dengan murid-murid Muadz di Yaman setahuku.”[7]

2. Al-Bukhari Beramal dengan hadis dhaif apabila kandungan hadis tersebut bersesuaian dengan amal yang disepakati seluruh ulama.

Berkata Al-Bukhari:

وَيُذْكَر أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْل الْوَصِيَّة
Disebutkan bahawa Nabi Saw menetapkan bahawa hutang (mesti dibayar) sebelum wasiat.

Al-Bukhari menyebutkan hadis ini untuk menyokong pendapatnya bahawa membayar hutang orang yang meninggal dunia mesti didahulukan daripada melaksanakan wasiatnya. Meski hadis ini lemah sanadnya, namun beliau berhujah dengannya karena aspek lain yang meliputi hadis ini, iaitu para ulama bersepakat mengamalkan hadis ini.
Berkata Al-Hafiz Ibn Hajar:

هَذَا طَرَف مِنْ حَدِيث أَخْرَجَهُ أَحْمَد وَالتِّرْمِذِيّ وَغَيْرهمَا مِنْ طَرِيق الْحَارِث وَهُوَ الْأَعْوَر عَنْ عَلِيّ بْن أَبِي طَالِب قَالَ : " قَضَى مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ الدَّيْن قَبْل الْوَصِيَّة ، وَأَنْتُمْ تَقْرَءُونَ الْوَصِيَّة قَبْل الدَّيْن " لَفْظ أَحْمَد وَهُوَ إِسْنَاد ضَعِيف ، لَكِنْ قَالَ التِّرْمِذِيّ : إِنَّ الْعَمَل عَلَيْهِ عِنْد أَهْل الْعِلْم ، وَكَأَنَّ الْبُخَارِيّ اِعْتَمَدَ عَلَيْهِ لِاعْتِضَادِهِ بِالِاتِّفَاقِ عَلَى مُقْتَضَاهُ ، وَإِلَّا فَلَمْ تَجْرِ عَادَته أَنْ يُورِد الضَّعِيف فِي مَقَام الِاحْتِجَاج بِهِ ، وَقَدْ أَوْرَدَ فِي الْبَاب مَا يُعَضِّدهُ أَيْضًا

Ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Tirmidzi dan lain-lain, dari jalan Harith Al-A’war, dari Ali bin Abi Talib: “Muhammad Saw telah menetapkan bahawa hutang sebelum wasiat, namun kamu membacanya wasiat sebelum hutang.” Demikian lafaz Ahmad. Ia adalah sanad yang lemah, akan tetapi Al-Tirmidzi berkata bahawa amal berlaku atas hadis ini menurut para ahli ilmu.Seolah-olah Al-Bukhari berpegang dengan hadis ini karena sokongan kesepakatan (ulama) akan isinya. Jika tidak, bukan kebiasaan beliau menyebutkan hadis dhaif dengan tujuan berhujah. Beliau juga menyebutkan di dalam bab ini, perkara-perkara yang menyokongnya.[8]
Menarik ucapan Ibn Hajar bahawa bukan kebiasaan Al-Bukhari berhujah dengan hadis dhaif, namun beliau kadangkala melakukannya jika memenuhi syarat-syarat tertentu sebagaimana kesimpulan saya di atas. Ini juga menyokong kesimpulan bahawa Al-Bukhari tidak pernah melarang beramal dengan hadis dhaif, malah kadang melakukannya sebagaimana sikap jumhur fuqaha.

3. Al-Bukhari terkadang beramal dengan hadis dhaif apabila kandungannya menjelaskan atau menafsirkan kandungan hadis lain.
Misalnya, berkata Al-Bukhari:

وَيُذْكَر عَنْ أَبِي حَسَّان عَنْ اِبْن عَبَّاس أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَزُور الْبَيْت أَيَّام مِنًى

“Disebutkan daripada Abu Hassan dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw berziarah (maksudnya: melakukan tawaf ziarah/ifadah) pada hari-hari Mina.”

Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tujuan Al-Bukhari menyebutkan hadis ini adalah untuk menghimpun dua riwayat yang saling bertentangan, yakni riwayat Ibn Umar dan Jabir yang menceritakan bahawa Nabi Saw melakukan tawaf ifadah pada siang hari, dan riwayat Abu Zubeir dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw melakukan tawaf itu pada malam hari. Riwayat Abu Hassan ini menghimpun kedua hadis ini dan menyimpulkan bahawa Nabi Saw melakukan kedua-duanya (tawaf pada siang dan malam hari) sebab baginda tawaf berkali-kali selama mabit di Mina.

Berkata Ibn Hajar: “Maka yang dimaksudkan dalam hadis Jabir dan Ibn Umar adalah hari pertama. Dan hadis Ibn Abbas untuk hari-hari (Mina) yang lain.”[9] Beliau juga berkata: “Terdapat hadis mursal yang menyokong riwayat Abu Hassan ini. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dari Ibn Uyainah: telah memberitahuku Ibn Tawus dari bapanya: bahawa Nabi Saw bertawaf setiap malam.”[10]

Jadi, jelaslah bahawa Al-Bukhari berhujah dengan hadis ini dalam sebuah masalah hukum. Padahal, jika kita perhatikan sanad hadis ini, ianya cukup lemah. Guru-gurunya, seperti Ibn Al-Madini dan Ahmad bin Hanbal, mengingkari hadis ini karena tidak ada yang meriwayatkannya dari Qatadah melainkan Hisyam. Agaknya, pandangan Al-Bukhari tentang hadis ini pun tidak jauh beza dengan kedua gurunya. Berkata Ibn Hajar:[11]

وإنَّما مَرَّضَه البُخاريُّ لِشِدَّةِ غَرابَتِهِ

Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat tamrid karena sangat munkarnya.
Pendapat Jumhur

Demikian sedikit temuan yang boleh saya kongsikan pada kali ini, tentu sahaja kajian ini sebenarnya lebih luas daripada ini, karena kesempitan tempat. Boleh disimpulkan bahawa Al-Bukhari tidak melarang, apalagi mengharamkan, beramal dengan hadis dhaif jika kandungannya disokong oleh pelbagai aspek eksternal yang menguatkannya. Paling tidak, itulah yang dipahami oleh Al-Hafiz Ibn Hajar apabila mensyarahkan hadis-hadis muallaq tersebut di atas.

Pendirian Al-Bukhari ini samasekali tidak merendahkan darjat beliau sebagai ahli hadis yang paling unggul, malah menunjukkan ketinggian darjat beliau dalam hadis dan fiqh sekaligus. Sebab sikap yang beliau tunjukkan ini tidak lain adalah pendapat majoriti ulama dari kalangan ahli hadis dan ahli fiqh dari kalangan ulama tabiin, juga guru-guru Al-Bukhari, rekan-rekannya, dan murid-muridnya, dan sebahagian besar ulama pada hari ini.

Kenyataan ini sekaligus menyadarkan kita untuk selalu melihat para ulama secara objektif dan bukan melalui mata subjektifiti yang hanya menginginkan mereka berperilaku selari dengan pemahaman dan kemahuan kita. Semoga Allah memberikan kebijaksanaan kepada kita semua dalam melihat kebenaran. Wallahu a’lam bissawab.

[1] Pendapat sedemikian pernah disebutkan oleh Syeikh Al-Qasimi dalam “Qawaíd Al-Tahdith” hal. 113. Beliau berkata: “Yang zahir, mazhab Al-Bukhari dan Muslim seperti itu (yakni tidak beramal dengan dhaif secara mutlak. Menunjukkan perkara itu adalah syarat Al-Bukhari dalam Sahih-nya …”
[2] Muqaddimah Fath Al-Bari hal.17.
[3] Sila kaji perbahasan panjang lebar tentang perkara ini yang disebutkan Ibn Hajar dalam Muqaddimah Fath Al-Bari, hal.24 dan seterusnya.
[4] Kitab beliau bertajuk Taghliq Al-Ta’liq membuktikan perkara itu. Sejauh pengetahuan saya tidak ada kitab yang membahas hadis-hadis muallaq Sahih Al-Bukhari selengkap kitab ini.
[5] Fath Al-Bari 3/392.
[6] Ibid 3/393.
[7] Al-Um 2/12.
[8] Fath Al-Bari 5/462.
[9] Fath Al-Bari 3/716.
[10] Ibid. 3/717.
[11] Taghliq Al-Ta’liq

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2012/03/imam-al-bukhari-beramal-dengan-hadis.html

Sunday, February 5, 2012

Biografi Al-Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid


Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 12 April 1974, selepas solat Jumaat di Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia. Beliau anak ke-2 dari 6 adik-beradik (4 lelaki dan 2 perempuan). Beliau daripada keluarga sederhana yang hidup di sebuah perkampungan yang didiami oleh ramai para ulama' dan terdapat juga beberapa buah pondok pesantren di situ.

Sewaktu membesar, beliau berguru dengan:

Ustadz Hasan Baharom
Ustadz Soleh Bal As'ad
Ustadz Abdul Hamid
Ustadz Soleh Bin Agil
Ustadz Ahmad Barakwan
Ustadz Husin Bin Abu Bakar
dan ramai lagi para asatizah. Beliau berguru dengan kesemuanya berbagai-bagai kitab dalam bidang agama.

Pada usia beliau 21 tahun, dengan restu Ayahanda, Al Habib Abu Bakar bin Salim Al Hamid, dan Bonda, beliau pergi ke Hadhramaut, Yemen untuk meneruskan pengajian. Di Hadhramaut, beliau berguru dengan:

Al Habib Umar bin Hafidz (pemimpin Dar Al Mustafa)
Al Habib Ali Masyhur
Al Habib Salim As Syatiri
Al Habib Hasan As Syatiri
Al Habib Abdullah Bin Syihab
Al Habib Abdul Qadir Jailani Al Masyhur
Al Habib Abdullah bin Syeikh Al Idrus
Syeikh Fadal Ba Fadal
Al Habib Musa Al Kazim As Saqqaf
Syeikh Umar Husain Al Khatib
Syeikh Umar Abu Bakar Al Khatib
Al Habib Ali Abdul Rahman Al Jufri

Beliau juga adalah antara anak murid Al Habib Umar bin Hafidz yang pertama di Dar Al Mustafa. Bakat semulajadi beliau sebagai seorang pendakwah mula diasah oleh Al Habib Umar bin Hafidz.

Selepas pengajian beliau di Hadhramaut, Yemen, beliau pergi ke Mesir pula. Selama 5 tahun di Universiti Al Azhar, beliau terus berguru mendalami ilmu-ilmu agama dengan:

1. Dr. Abdul Badi' Abu Hashim
2. Dr. Saad Jawish
3. Dr. Ali Jum'ah
4. Dr. Muhammad Jibril

Di sini juga beliau, seiring dengan belajar, telah terus mengasah kemahiran berdakwah beliau dengan mengajar dan mendidik pelajar-pelajar dari pelbagai kaum dan bangsa.

Setelah menerima ijazah (degree) dalam jurusan 'Islamic Legislation and Law' dari Universiti Al Azhar, beliau meneruskan kembara ilmunya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, beliau bernikah dan sejak itu, beliau serta isteri telah dianugerahkan dengan 3 orang puteri.

Setelah selesai kuliahnya di peringkat Sarjana (Masters), beliau sekarang sedang giat berusaha menyempurnakan Doktor Falsafah (PhD) beliau dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri, pengasas Darul Murtadza berpindah ke Kota Tinggi, Johor. Oleh kerana itu, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri telah memohon Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid untuk mengambil alih.


Alhamdulillah, sejak dari itu, Darul Murtadza telah berkembang dari awalnya sebagai pengajian di rumah Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dengan jemaah 10 – 20 orang ke sekarang, di Surau Al Hidayah (AU3) dengan jemaah yang makin bertambah.

Latarbelakang pendidikan dan pembangunan diri Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang dinamik dan menyeluruh, diregukan dengan bakat semulajadi dan kemahiran berdakwah yang telah diasah dan dibentuk oleh guru-guru beliau, menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan sahaja dikenali dengan kehebatan beliau di medan ilmu dan dakwah, tetapi juga sama dikenali kerana akhlak dan adab beliau yang mulia.

Sumber : http://www.darulmurtadza.com/

Thursday, February 2, 2012

PERINGATAN MAULID NABI SAW - BAH 3 (Pandangan Para Imam)


1. Berkata Imam Al Hafidh Ibn Hajar Al Asqalaniy rahimahullah:
Telah jelas dan kuat riwayat yang sampai padaku dari shahihain bahawa Nabi saw datang ke Madinah dan bertemu dengan Yahudi yang berpuasa hari asyura (10 Muharram), maka Rasulullah saw bertanya lalu mereka berkata: “hari ini hari ditenggelamkannya Fir’aun dan Allah menyelamatkan Musa, maka kami berpuasa sebagai tanda syukur pada Allah swt,

Maka bersabda Rasul saw: “kita lebih berhak atas Musa as dari kalian”, maka diambillah darinya perbuatan bersyukur atas anugerah yang diberikan pada suatu hari tertentu setiap tahunnya, dan tanda syukur kepada Allah boleh dilakukan dengan pelbagai cara, seperti sujud syukur, puasa, sedekah, membaca Al-Qur’an, maka nikmat apalagi yang melebihi kebangkitan Nabi ini? Firman Allah swt :

“SUNGGUH ALLAH TELAH MEMBERIKAN ANUGERAH PADA ORANG-ORANG MUKMININ KETIKA DIBANGKITKANNYA RASUL DARI MEREKA” (Al-Imran: 164)

2. Pendapat Imam Al Hafidh Jalaluddin Assuyuthi rahimahullah :
Telah jelas padaku bahawa telah muncul riwayat Baihaqi bahawa Rasulullah saw berakikah untuk dirinya setelah beliau saw menjadi Nabi (Ahaditsul mukhtarah hadis no.1832 dengan sanad shahih dan Sunan Imam Baihaqi Alkubra Juz 9 hal.300). Dan telah diriwayatkan bahawa telah berakikah untuk Baginda saw oleh Abdul muttalib saat usia Baginda saw berusia 7 tahun, dan akikah tidak mungkin dilakukan dua kali, maka jelaslah bahawa akikah Baginda saw yang kedua atas dirinya adalah sebagai tanda syukur Baginda saw kepada Allah swt yang telah membangkitkan Baginda saw sebagai Rahmatan lil’aalamiin dan membawa Syariah utk ummatnya.

Maka sebaiknya bagi kita juga untuk menunjukkan tasyakkuran dengan Maulid Baginda saw dengan mengumpulkan sahabat handai dan saudara saudara, menjamu dengan makanan-makanan dan yang serupa dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan kebahagiaan. Bahkan Imam Assuyuthiy mengarang sebuah buku khusus mengenai perayaan maulid dengan nama: “Husnulmaqshad fii ‘amalilmaulid”.

3. Pendapat Imam Al hafidh Abu Syaamah rahimahullah (Guru imam Nawawi) :
Merupakan Bid’ah hasanah yang mulia dizaman kita ini adalah perbuatan yang dibuat setiap tahunnya di hari kelahiran Rasulullah saw dengan banyak bersedekah, kegembiraan, menjamu para fuqara, dan memuliakan Rasulullah saw serta membangkitkan rasa cinta pada Baginda saw, dan rasa syukur kepada Allah dengan kelahiran Nabi saw.

4. Pendapat Imamul Qurra’ Alhafidh Syamsuddin Aljazriy rahimahullah dalam kitabnya ‘Urif bitta’rif Maulidissyariif :
Telah diriwayatkan Abu Lahab diperlihatkan dalam mimpi dan ditanya bagaimana keadaanmu? Dia menjawab: “Di neraka, tapi aku mendapat keringanan setiap malam isnin, itu semua sebab aku membebaskan hambaku Tsuwaibah dengan rasa gembira atas kelahiran Nabi saw dan karana Tsuwaibah menyusuinya (saw).” (shahih Bukhari).

Abu Lahab adalah Kafir dengan Al-qur’an mengatakannya tempatnya di neraka, namun dia mendapat keringanan disebabkan rasa gembira dengan kelahiran Nabi saw. Dengan sifat keadilan Allah swt, maka bagaimana dengan kita sebagai orang Islam ummat Muhammad saw atas kegembiraan dan cara kita gambarkan kegembiraan atas kelahiran Nabi saw?,

5. Pendapat Imam Al Hafidh Syamsuddin bin Nashiruddin Addimasyqiy dalam kitabnya Mauridusshaadiy fii maulidil Haadiy :
Serupa dengan ucapan Imamul Qurra’ Alhafidh Syamsuddin Aljuzri, iaitu menukil hadits Abu Lahab.

6. Pendapat Imam Al Hafidh Assakhawiy dalam kitab Sirah Al Halabiyah
Berkata beliau: ”Tidak dilaksanakan maulid oleh salaf hingga abad ke tiga, tapi dilaksanakan setelahnya, dan tetap melaksanakannya umat islam di seluruh pelusuk dunia dan bersedekah pada malamnya dengan berbagai macam sedekah dan memperhatikan pembacaan maulid, dan berlimpah terhadap mereka keberkahan yang sangat besar”.

7. Imam Al hafidh Ibn Abidin rahimahullah
Dalam syarahnya maulid ibn hajar berkata : ”ketahuilah salah satu bid’ah hasanah adalah pelaksanaan maulid di bulan kelahiran nabi saw”

8. Imam Al Hafidh Ibnul Jauzi rahimahullah
Dengan karangan maulidnya yang terkenal ”al aruus” juga beliau berkata tentang pembacaan maulid, ”Sesungguhnya membawa keselamatan tahun itu, dan berita gembira dengan tercapai semua maksud dan keinginan bagi siapa yang membacanya serta merayakannya”.

9. Imam Al Hafidh Al Qasthalaniy rahimahullah
Dalam kitabnya Al Mawahibulla dunniyyah juz 1 hal 148 cetakan al maktab al islami berkata: ”Maka Allah akan menurunkan rahmat Nya kpd orang yang menjadikan hari kelahiran Nabi saw sebagai hari yang besar”.

10. Imam Al hafidh Al Muhaddis Abulkhattab Umar bin Ali bin Muhammad yang terkenal dengan Ibn Dihyah alkalbi
Dengan karangan maulidnya yang bernama ”Attanwir fi maulid basyir an nadzir”

11. Imam Al Hafidh Al Muhaddits Syamsuddin Muhammad bin Abdullah Aljuzri
Dengan maulidnya ”urfu at ta’rif bi maulid assyarif”

12. Imam al Hafidh Ibn Katsir
Yang karangan kitab maulidnya dikenal dengan nama: ”maulid ibn katsir”

13. Imam Al Hafidh Al ’Iraqy
Dengan maulidnya ”maurid al hana fi maulid assana”.

14. Imam Al Hafidh Nasruddin Addimasyqiy
Telah mengarang beberapa maulid: Jaami’ al astar fi maulid nabi al mukhtar 3 jilid, Al lafad arra’iq fi maulid khair al khalaiq, Maurud asshadi fi maulid al hadi.

15. Imam assyakhawiy
Dengan maulidnya al fajr al ulwi fi maulid an nabawi.

16. Al allamah al faqih Ali zainal Abidin As syamhudi
Dengan maulidnya al mawarid al haniah fi maulid khairil bariyyah

17. Al Imam Hafidz Wajihuddin Abdurrahman bin Ali bin Muhammad As syaibaniy yang terkenal dengan ibn diba’
Dengan maulidnya addiba’i.

18. Imam ibn hajar al haitsami
Dengan maulidnya itmam anni’mah alal alam bi maulid syayidi waladu adam.

19. Imam Ibrahim Baajuri
Mengarang hasyiah atas maulid ibn hajar dengan nama tuhfa al basyar ala maulid ibn

20. Al Allamah Ali Al Qari’
Dengan maulidnya maurud arrowi fi maulid nabawi

21. Al Allamah al Muhaddits Ja’far bin Hasan Al barzanji
Dengan maulidnya yang terkenal maulid barzanji

23. Al Imam Al Muhaddis Muhammad bin Jakfar al Kattani
Dengan maulid Al yaman wal is’ad bi maulid khair al ibad

24. Al Allamah Syeikh Yusuf bin ismail An Nabhaniy
Dengan maulid jawahir an nadmu al badi’ fi maulid as syafi’

25. Imam Ibrahim Assyaibaniy
Dengan maulid al maulid mustofa adnaani

26. Imam Abdulghaniy Annanablisiy
Dengan maulid Al Alam Al Ahmadi fi maulid muhammadi”

27. Syihabuddin Al Halwani
Dengan maulid fath al latif fi syarah maulid assyarif

28. Imam Ahmad bin Muhammad Addimyati
Dengan maulid Al Kaukab al azhar alal ‘iqdu al jauhar fi maulid nadi al azhar

29. Asyeikh Ali Attanthowiy
Dengan maulid nur as shofa’ fi maulid al mustofa

30. As syeikh Muhammad Al maghribi
Dengan maulid at tajaliat al khifiah fi maulid khoir al bariah. 

Tiada satupun para Muhadditsin dan para Imam yang menentang dan melarang hal ini. Adapun mengenai beberapa pernyataan pada Imam dan Muhadditsin yang menentang maulid sebagaimana disampaikan oleh kalangan anti maulid, maka mereka ternyata hanya menggunting dan memotong ucapan para Imam itu, dengan kelicikan yang jelas-jelas meniru kelicikan para misionaris dalam menghancurkan Islam.

Sumber: Meniti Kesempurnaan Imam, Habib Munzir al-Musawa