Thursday, April 21, 2016

JANGANLAH MARAH



عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله عَنْهُ أنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَ آلِهِ وَسَلَّم قَالَ :لَيْسَ الشَدِيْدُ  بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيْدُ الَّذِيْ يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ 
(متفق عليه)

Ertinya: Dari Abu Hurairah radhiyallahu a’nhu, Rasulullah sollallahu a’laihi wa alihi wasalam bersabda “Bukanlah orang yang kuat itu  orang yang dapat mengalahkan orang lain, akan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan hawa nafsunya ketika dia marah” (Muttafaqun ‘Alaih)

أنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَ آلِهِ وَسَلَّم قَالَ :لَيْسَ الشَدِيْدُ بِالصُّرَعَةِ

Rasulullah sollallahu a’laihi wasalam bersabda : “Bukanlah orang yang kuat itu ialah orang dapat mengalahkan orang lain…” Maksud ayat ini adalah orang yang kuat dan hebat itu bukan orang yang menang dalam berdebat, menang dalam beradu tenaga atau menang dalam pertarungan.

إِنَّمَا الشَّدِيْدُ
“…akan tetapi orang yang kuat, orang yang hebat itu adalah…”

الَّذِيْ يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
“…Yang mampu menahan emosinya ketika marah…”

Dapat difahami dari hadis ini bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang mempunyai fizikal yang kuat dan besar atau kekuatan fizikal yang luar biasa, tetapi orang yang hebat ialah orang yang menang dalam berperang dengan dirinya sendiri dalam menahan hawa nafsunya ketika marah. Ini kerana, melawan hawa nafsu dan menahan emosi itu sangat sulit, apatah lagi ketika usia yang masih muda.

Diriwayatkan dari Sulaiman bin Surd rodhiyallahu a’nhu: Sewaktu saya bersama Rasulullah sollallahu a’laihi wasalam, tiba-tiba ada dua orang bergaduh dan saling mencela dan memaki sehingga kelihatan merah wajah mereka dan tegang urat leher mereka. Lalu Rasulullah bersabda: “Sungguh aku mengetahui satu kalimat yang seandainya diucapkan akan menghilangkan marahnya iaitu audzu billahi minasy syaithaanir rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk)”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang tidak mampu menahan hawa nafsu dan marahnya bukan disebabkan menjaga hak Allah subhanahu wata’ala bererti dia telah memenangkan hawa nafsu syaitan dan iblis. Dengan bacaan Audzubillahi minassyaitonirojim maka akan mengingatkan kita kepada Allah, membuatkan hati merasa insaf, membenteng diri dari hasutan syaitan iblis dan juga hasutan manusia yang berperangai syaitan. Firman Allah Ta’ala:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
Ertinya: “yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia” (An-Nas: 5)

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Ertinya : “Dari golongan Jin dan Manusia” (An-Nas ayat: 6)


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ ، قَالَ : " لَا تَغْضَبْ ". فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : " لَا تَغْضَبْ ".
 (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu bahawa ada seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi sallallahu a’laihi wasalam: “Berilah aku wasiat”. Baginda menjawab, “Janganlah engkau marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang kali, dan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengulang jawapan yang sama dengan bersabda: “Janganlah engkau marah!” (HR al-Bukhari)

Setiap dari kita mempunyai rasa marah, namun setiap dari kita juga mampu untuk mengawal rasa marah. Ulama telah mengajar kita kaedah mendidik diri dari menjadi seorang yang cepat marah iaitu dengan cara seperti berikut:
1. Pemaaf
2. Attawadu’ - Merendah diri
3. Alhayya’ - Mempunyai sifat malu
4. Sentiasa ukir senyuman di muka/wajah
5. Bersifat santun apabila berdepan dengan orang

Namun jika diri sudah mulai merasa marah dan kita berada dalam keadaan tidak terkawal maka apa yang perlu dibuat bagi mengawal rasa marah itu adalah dengan segera mengucapkan auzubillahi minassyaitonirrajim, mengingatkan diri bahawa tiada keuntungan dari tindakan marah tersebut malah ia hanya memburukkan keadaan. 

Jika masih ada rasa marah maka ubahlah kedudukan diri iaitu jika sedang berdiri maka segera duduk atau terus beredar dan mengambil wudhu’. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa Allah subhanahu wa ta’ala yang telah takdirkan setiap apa yang berlaku dan akan ada hikmah disebaliknya, semoga hati kita menjadi tenang dan mampu menahan rasa marah dan emosi. Amiin.

Habib Alwi Bin Abdurahman Al Habsyi

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org/




No comments: