Saturday, April 23, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT MA'ANI


Ma'ani berasal dari perkataan makna/maksud. Sifat Ma'ani dapat difahami dalam fikiran. Contoh sifat Ma'ani pada manusia ialah mendengar, dapat difahami mendengar itu dengan telinga. Mendengar itu adalah sifat Ma'ani. Sifat Ma'ani wujud dan sabit pada Zat Allah sejak azalli.

Dalam menghurai sifat Ma'ani ni saya menggunakan kaedah Tuan Guru HJ Soleh Musa pondok sik seperti yang beliau ambil dari Guru beliau iaitu Pak Dak Eil al-Fathoni dalam kitab Bakuroh al-Amani, maka akan sedikit berbeza dengan apa yang kta belajar di sekolah dan dalam buku-buku sekolah atau kitab-kitab jawi yang lain.

Sebagai contoh di sek dahulu kita belajar bahawa sifat Allah adalah berkata, mengikut kaedah Tuan Guru Hj Soleh beliau menggunakan perkataan pekata, pehidup, pelihat dan pedengar dengan imbuhan 'pe'. Kaedah penterjemahan ini menggunakan terjemahan kepada sifat dengan makna ismi bukan makna masdari berdasarkan alasan “barang yang menunjuk di atas zat”dan makna masdari itu menunjuk di atas perbuatan dan perbuatan itu setengah dari al-umur al-i’tibari (perkara yang difahami dan lebih kepada tiada).

1. QUDRAH (Maha Kuasa/pekuasa)
Qudrah dari segi bahasa bermaksud kekuatan /kemampuan. Kebiasaan orang kampung sebut 'ada kudrat'. Sifat Qudrah Allah wujud pada Zat Allah sejak azalli, bermaksud Qudrah adalah sifat dan ia bukan zat (diri) Allah ta'ala. Dgn sifat Qudrah Allah dapat mencipta sesuatu atau meniadakannya sesuai dengan iradat (kehendak)-Nya. Firman Allah ta'ala : "Dan tiada suatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit atau di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. " (Al-Fatir : 44)

2. IRADAH (Pekehendak)
Maksud dari segi bahasa ialah kehendak, mahu, ingin. Sifat Iradah sabit pada zat Allah sejak azalli. Apa yang ditakdirkn adalah dari kehendak Allah sama ada takdir yang baik dan jugak takdir yang buruk.

Kehendak berbeza dengan arahan, ada perkara Allah kehendaki lalu Allah memerintahknnya, ada perkara Allah kehendak tapi Allah tidak memerintahknnya. Contoh Allah tidak arahkan seseorang untuk jadi kafir tapi Allah kehendak dia jadi kafir. Iradah Allah hanya pada perkara harus sahaja. Contoh Allah kehendak kanak-kanak kecil mati atau trus hidup. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya perkataan kami terhadap sesuatu apabila kami mengkehendakinya kami hanya mengatakan kepadanya "kun"(jadilah), maka jadilah ia. " (an-Nahl:40)

3. ILMU (Pengetahu)

Ilmu Allah wujud pada azali dan meliputi setiap perkara yangg wajib, harus dan mustahil. Ilmu Allah tidak memerlukan usaha seperti belajar atau membaca dan tiada satu pun yang terlindung dari ilmu Allah ta'ala. Usaha untuk mendapatkan ilmu seperti belajar adalah sifat makhluk yang bersifat baharu di mana dulu jahil berubah mnjadi mengetahui. Firman Allah ta'ala: "Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan. " (Al-A'raf: 89)

Firman Allah ta'ala: “Dan Allah memiliki kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” (Al-An’aam:59)

Firman Allah ta'ala: "..Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.." (al-Baqarah: 255).

4. HAYAH (Pehidup)
Hidup Allah kerana Zat-Nya, hidup manusia kerana roh. Bukti Allah ada sifat Pehidup adalah adanya sifat Qudrah. Sifat Pehidup Allah sabit sejak azali. Firman Allah ta'ala: "Tiada Tuhan melainkan Dia yang Hidup kekal dan berterusan mengurus makhluk-Nya " (Ali 'imran: 2)

Firman Allah ta'ala: "Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya." (al-Baqarah: 255).


5. KALAM (Pekata)
Pekata Allah Ta’ala iaitu sifat yang sedia adanya pada zat-Nya yang tiada berhuruf dan tiada bersuara tiada terdahulu dan tiada kemudian. Sekiranya Allah tidak bersifat dengan sifat kalam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu. Bisu itu sifat kekurangan maka adalah mustahil Allah bersifat dengan kekurangan wajiblah kita percaya Dia bersifat dengan kesempurnaan.

Lafaz al-Qur'an yang kita baca adalah kalam Allah dalam bentuk lafaz. Boleh dikatakan al-Qur'an yang dicetak itu baharu (makhluk) jika untuk mengajar, tetapi jika di tempat awam maka haram mengatakannya begitu.

kalam Allah terbahagi kepada dua: 

Pertamanya ialah Kalam Allah yang nafsi. Inilah kalam Allah yang tidak berhuruf dan bersuara dan merupakan kalam yang hakiki. Sifat Kalam ini sentiasa ada bagi Allah dan tidak pernah berpindah dari zat Allah kerana ia merupakan sifat Allah yang qadim lagi azali dan bukannya makhluk.

Keduanya ialah Kalam Allah yang lafzi. Iaitu kalam Allah yang tersurat di dalam mushaf, berhuruf dan bersuara dan yang dituturkan oleh malaikat Jibril kepada nabi Muhammad saw.

Kalam Allah yang nafsi itulah kalam-Nya yang hakiki yang tidak berhuruf dan tidak bersuara.Selama-lamanya bagi Allah dan tidak berpindah kepada yang lain. Al-Quran itu disebut kalam Allah kerana ianya menunjukkan kepada makna kalam Allah yang hakiki yang ada pada zat Allah yang mana Al-Quran itu berasal daripada kalam Allah yang nafsi yang hakiki itu, dan malaikat Jibril memahaminya daripada Allah hal keadaannya tidak berhuruf dan bersuara.

Firman Allah ta'ala: "Dan Allah telah berbicara kepada Musa secara langsung (tanpa perantaraan). " (al-Nisa': 164)

6. SAMA' (Pedengar)
Sifat yang azali pada Zat Allah ta'ala. Tugas sifat ini adalah meliputi semua yang wujud sama ada yang jelas atau tersembunyi, yang bersuara atau tidak. Sifat Pedengar Allah tidak sama dengan makhluk, sifat mendengar makhluk adalah dibatas oleh jarak dan boleh dihalang oleh sesuatu dari didengari. Sifat mendengar makhluk adalah dengan adanya gelombang pada urat dalam telinga yang sampai padanya gelombang suara.

Firman Allah ta'ala: "Aku Maha mendengar dan Maha Melihat " (Thaha: 46)

7. BASOR (Pelihat)
Sifat pelihat adalah azali pada Zat Allah ta'ala, Allah Maha melihat setiap sesuatu yang wujud, sama ada yang jelas atau tersmbunyi. Sifat Pelihat Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk melihat melalui perantara bola mata, perlukan cahaya dan serba Kelemahan. Sifat Pelihat Allah tidak dibatasi dengan jarak atau terhijab dengan sesuatu dan sifat Pelihat Allah tidak memerlukan anggota untuk melihat.

Firman Allah ta'ala: "...Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat " (As-Syura: 11)

Thursday, April 21, 2016

JANGANLAH MARAH



عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله عَنْهُ أنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَ آلِهِ وَسَلَّم قَالَ :لَيْسَ الشَدِيْدُ  بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيْدُ الَّذِيْ يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ 
(متفق عليه)

Ertinya: Dari Abu Hurairah radhiyallahu a’nhu, Rasulullah sollallahu a’laihi wa alihi wasalam bersabda “Bukanlah orang yang kuat itu  orang yang dapat mengalahkan orang lain, akan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan hawa nafsunya ketika dia marah” (Muttafaqun ‘Alaih)

أنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَ آلِهِ وَسَلَّم قَالَ :لَيْسَ الشَدِيْدُ بِالصُّرَعَةِ

Rasulullah sollallahu a’laihi wasalam bersabda : “Bukanlah orang yang kuat itu ialah orang dapat mengalahkan orang lain…” Maksud ayat ini adalah orang yang kuat dan hebat itu bukan orang yang menang dalam berdebat, menang dalam beradu tenaga atau menang dalam pertarungan.

إِنَّمَا الشَّدِيْدُ
“…akan tetapi orang yang kuat, orang yang hebat itu adalah…”

الَّذِيْ يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
“…Yang mampu menahan emosinya ketika marah…”

Dapat difahami dari hadis ini bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang mempunyai fizikal yang kuat dan besar atau kekuatan fizikal yang luar biasa, tetapi orang yang hebat ialah orang yang menang dalam berperang dengan dirinya sendiri dalam menahan hawa nafsunya ketika marah. Ini kerana, melawan hawa nafsu dan menahan emosi itu sangat sulit, apatah lagi ketika usia yang masih muda.

Diriwayatkan dari Sulaiman bin Surd rodhiyallahu a’nhu: Sewaktu saya bersama Rasulullah sollallahu a’laihi wasalam, tiba-tiba ada dua orang bergaduh dan saling mencela dan memaki sehingga kelihatan merah wajah mereka dan tegang urat leher mereka. Lalu Rasulullah bersabda: “Sungguh aku mengetahui satu kalimat yang seandainya diucapkan akan menghilangkan marahnya iaitu audzu billahi minasy syaithaanir rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk)”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang tidak mampu menahan hawa nafsu dan marahnya bukan disebabkan menjaga hak Allah subhanahu wata’ala bererti dia telah memenangkan hawa nafsu syaitan dan iblis. Dengan bacaan Audzubillahi minassyaitonirojim maka akan mengingatkan kita kepada Allah, membuatkan hati merasa insaf, membenteng diri dari hasutan syaitan iblis dan juga hasutan manusia yang berperangai syaitan. Firman Allah Ta’ala:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
Ertinya: “yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia” (An-Nas: 5)

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Ertinya : “Dari golongan Jin dan Manusia” (An-Nas ayat: 6)


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ ، قَالَ : " لَا تَغْضَبْ ". فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : " لَا تَغْضَبْ ".
 (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu bahawa ada seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi sallallahu a’laihi wasalam: “Berilah aku wasiat”. Baginda menjawab, “Janganlah engkau marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang kali, dan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengulang jawapan yang sama dengan bersabda: “Janganlah engkau marah!” (HR al-Bukhari)

Setiap dari kita mempunyai rasa marah, namun setiap dari kita juga mampu untuk mengawal rasa marah. Ulama telah mengajar kita kaedah mendidik diri dari menjadi seorang yang cepat marah iaitu dengan cara seperti berikut:
1. Pemaaf
2. Attawadu’ - Merendah diri
3. Alhayya’ - Mempunyai sifat malu
4. Sentiasa ukir senyuman di muka/wajah
5. Bersifat santun apabila berdepan dengan orang

Namun jika diri sudah mulai merasa marah dan kita berada dalam keadaan tidak terkawal maka apa yang perlu dibuat bagi mengawal rasa marah itu adalah dengan segera mengucapkan auzubillahi minassyaitonirrajim, mengingatkan diri bahawa tiada keuntungan dari tindakan marah tersebut malah ia hanya memburukkan keadaan. 

Jika masih ada rasa marah maka ubahlah kedudukan diri iaitu jika sedang berdiri maka segera duduk atau terus beredar dan mengambil wudhu’. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa Allah subhanahu wa ta’ala yang telah takdirkan setiap apa yang berlaku dan akan ada hikmah disebaliknya, semoga hati kita menjadi tenang dan mampu menahan rasa marah dan emosi. Amiin.

Habib Alwi Bin Abdurahman Al Habsyi

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org/




Tuesday, April 19, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT NAFSIYYAH DAN SALBIYYAH


SIFAT NAFSIYYAH

Adalah sifat yang menetapkan adanya zat (diri) Allah ta'ala semata-mata tanpa ada sebarang tambahan pada zat Allah ta'ala. Sifat ini hanya ada satu iaitu sifat wujud Allah.

Adanya alam ini adalah dalil wujudnya Tuhan yang mencipta iaitu Allah ta'ala. Alam ini bersifat dengan sifat yang baharu (berubah-rubah, dahulu tiada sekarang ada) membuktikan Allah menciptakan alam ini dari tiada kepada ada, menciptakan perkembangan dan perubahan alam ini peringkat demi peringkat. 

Sifat Wujud Allah adalah wajib bermaksud sifat ini wajib ada dan mustahil tiada sifat wujud, malah jika alam ini tiada pun Allah tetap wujud tanpa ada permulaan.

Wujud Allah tidak memerlukan sesuatu yang membantu-Nya untuk wujud seperti memerlukan tempat, udara, graviti, atau kerusi. Ini kerana jika Allah memerlukan bantuan yang lain untuk wujud maka Allah bersifat dengan sifat yang lemah iaitu memerlukan bantuan. Allah tidak memerlukan bantuan sesuatu malah Allah-lah Maha memberi pertolongan.


Firman Allah ta'ala: ”Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia beristawa di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam”.( Al-A’râf: 54).

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa makhluk ciptaan-Nya mengalami perubahan berperingkat dan Dia-lah yang mencipta alam ini.


SIFAT SALBIYYAH
Sifat salbiyyah tidak tetap dan tida ada pada Zat, perbahasan sifat ini hanya menolak sifat-sifat yang tidak patut dan layak kepada Zat-Nya Allah ta'ala. Sifat Salbiyyah adalah sifat yang tertelok/ternafi segala sifat-sifat yang tidak layak dan tidak patut bagi Allah ta'ala, sebab Allah Maha sempurna dan tidak memiliki sedikit pun kekurangan.


1. SIFAT QIDAM  (tiada awal bagi kewujudan Allah ta'ala).
Dalilnya ialah jika Allah tidak bersifat dengan sifat Qidam bermaksud wujud Allah ada permulaan, adanya permulaan pula bermakna ada pencipta lain yang mencipta Allah yang mana sifat ini sama seperti sifat makhluk lainya, maka ada Allah juga diciptakan dari tiada kepada ada, ini adalah mustahil bagi Allah ta'ala yang Maha Menguasai alam ini.


Firman Allah ta'ala: “Dialah yang Awal dan yang Akhir, yang Lahir dan yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” (Al Hadiid:3)


2. BAQA (Tiada akhir bagi kewujudan Allah ta'ala)
Dalilnya ialah jika Allah tidak bersifat dengan Baqa maka akan ada pengakhiran atau bianasa pada suatu hari nanti, maka mustahil Allah bersifat dengan sifat binasa/musnah malah Allah tiada bagi-Nya tempoh masa tertentu, tiada batasan waktu dan tidak memerlukan masa untuk membatu kewujudan-Nya.

Bagi Allah ta'ala tiada akhir bermaksud kewujudan Allah adalah kekal tanpa ada had atau tempoh waktu tertentu walau alam ini musnah semuanya. 

Firman Allah: "...Manakala Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan tetap kekal. " (ar-Rahman: 26-27)


Firman Allah: "Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya kamu dikembalikan.” (al-Qashash: 88).


3. MUKHALAFATUHU LIL HAWADITH (Bersalahan Allah dengan yang baharu)
Semua makhluk yang telah diciptakan dan seluruh alam ini bersifat baharu yang berlaku dan terkesan dengan perubahan. Segala yang terlihat oleh mata dan yang tergambar/terlintas dalam fikiran atau bayangan adalah berlawanan dan tidak sama dengan Allah ta'ala.


Mukhalafatu Lil Hawadith ( Berbeda dengan yang baharu ) adalah sifat yang menolak adanya persamaan Zat, Sifat dan Perbuatan Allah dengan Zat, sifat dan perbuatan baharu, dengan makna lain Allah tidak seperti makhluknya.

Firman Allah SWT : "Dan tiada sesuatu pun yang sama dengan Dia (Allah)" (al-Ikhlas: 4)


Firman Allah SWT : "Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS. As-Syura : 11).


4. QIAMUHU BINAFSIHI (berdiri Allah dengan diri-Nya sendiri) 
Berdiri di sini dengan maksud wujud. Wujud Allah tanpa perlu bantuan, pertolongan atau kerjasama. Allah tidak perlukan zat (diri) selain-Nya untuk wujud. 

Allah tidak memerlukan tempoh masa, waktu, Allah tidak memerlukan graviti atau udara untuk wujud. 
Firman Allah SWT : "Sesungguhnya Allah ta'ala benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan yang lain) dari semesta alam " (al-Ankabut:6)



5. WAHDANIAH (Esa/Tunggal/tidak berbilang)
Esa Allah pada zat(diri)-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya tanpa ada persamaan dan bandingan dengan sesuatu pun yang lain.

Zat Allah tidak seperti jisim dan jirim yang tersusun dari gabungan unsur sehingga membentuk seperti ada anggota badan.

Jika Allah ada dua atau tiga (berbilang) maka tidak tercipta alam ini kerana akan ada perselisihan, akan ada satu Tuhan yang lebih kuat dari Tuhan kedua dan akan berlaku kuasa yang berasingan, ini adalah mustahil bagi Allah.

Firman Allah SWT : "Jika ada di langit dan bumi Tuhan-Tuhan selain Allah nescaya rosaklah langit dan bumi " (al-Anbiya':22) 

Wednesday, April 13, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT ALLAH TA'ALA


Sifat Allah terlalu banyak tidak terhitung. Namun hanya ada 20 sifat yang wajib dipelajari setelah dikaji secara mendalam oleh ribuan ulama sejak ratusan tahun yang dipelopori oleh Imam Abu Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Sifat 20 terbahagi kepada empat (4) bahagian.
1. Sifat Nafsiyiah
2. Sifat Salbiyiah
3. Sifat Ma'ani
4. Sifat Ma'nawiyah.

Sifat Nafsiyah ada 1 sahaja iaitu sifat wujud Allah ta'ala.

Sifat Salbiyiah ada 5:
1. Qidam
2. Baqa
3. Mukhalafatuhu lil hawadith
4. Qiyamuhu binafsihi
5. Wahdahniyah

Sifat Ma'ani ada 7:
1. Qudrah
2. Iradah
3. Ilmu
4. Hayah
5. Sama'
6. Basar
7. Kalam

Sifat Ma'nawiyah ada 7:
1. Qadirun
2. Muridun
3. Ilmun
4. Hayyun
5. Sami'un
6. Basirun
7. Mutakallim


Tuesday, April 12, 2016

NOTA AKIDAH - CARA MENGENAL ALLAH, IMAN DAN ISLAM



WAJIB MENGENAL ALLAH TA'ALA
Awal agama adalah makrifah (mengenal) Allah

Wajib makrifah dan cukup syarat dengan hanya taklid (yakin tanpa tahu dalil) akan sahnya Iman. Mengenal Allah itu dengan mengenal sifat-sifat Allah, bukan mengenal zat (diri) Allah ini krn tiada siapa dpt mengenal zat Allah.


"Janganlah kamu berfikir tentang Zat Allah tp berfikirlah tentang ciptaan Allah. " (HR. Abu Nu'aim)


CARA MENGENAL ALLAH TA'ALA
Mengenal Allah ta'ala adalah dengan cara berfikir, mengkaji, melihat ciptaan alam ini bermula dengan melihat ciptaan pada diri sendiri kemudian ciptaan di langit dan bumi.

Maksud melihat ialah mendapatkan sesuatu melalui mata.

Maksud berfikir ialah gerakan jiwa pada suatu yang dapat difahami.

Terciptanya alam ini adalah dalil/bukti akal bahawa ada Pencipta yang Maha Agong iaitu Allah ta'ala.


ALAM SEMESTA
Alam ini telah diciptakan tanpa ada contoh sebelumnya, bermakna sebelumnya ia tiada dan kemudian wujud dan akan binasa pada suatu hari nanti, maka sifatnya adalah baharu (berubah-rubah). Alam ini sifatnya jirim dan jisim dan boleh binasa/musnah, bagi setiap perkara yang boleh berubah dan boleh musnah bermakna adanya Pencipta baginya iaitu Allah ta'ala yang bersifat sedia ada tanpa ada permulaan dan pengakhiran(Qidam) serta tidak akan binasa (Baqa).


IMAN
Iman adalah membenarkan, mempercayai, meyakini ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw di hati kemudian menzahirkannya dengan ucapan dan amalan.

Menzahirkan dengan ucapan adalah dengan mengucapkan kalimah syahadah kecuali bagi orang yang bisu. Orang yang bisu boleh guna bahasa isyarat untuk menzahirkan keimanannya.

Sah iman anak-anak orang Islam tanpa mengucap, dan bagi anak-anak orang kafir (secara keturunan) disyaratkan mengucap.


IMAN MENINGKAT DAN BERKURANG
Iman boleh meningkat dan berkurang disebabkan oleh amalan. Amalan menyempurnakan iman. Jika iman tidak berubah maka iman orang soleh adalah sama dengan iman pelaku maksiat, ini adalah mustahil. Manakala Iman malaikat tidak berubah. Yang berubah-rubah adlh iman manusia dan jin.


ISLAM
Maksud Islam ialah patuh, taat, tunduk. Iaitu taat dan patuh pada semua ajaran Nabi saw. Islam berbeza dengan iman tetapi ia saling melazimi iaitu tanda keimanan adalah dengan Islam dan tanda Islam adalah dengan keimanan. Islam itu menyatakan / menzahirkan keimanan.

Iman tanpa Islam: Iman tanpa Islam menjadikan seseorang fasik sebagai contoh orang yang beriman tetapi tidak menunaikan solat.

Islam tanpa iman: Islam tanpa iman menjadikan seseorang tergolong dalam golongan munafik iaitu orang yang zahirnya Islam tetapi hatinya kufur, sebagai contoh dapat lihat seseorang itu menunaikan solat tetapi hatinya tidak beriman.