Wednesday, January 20, 2016

PRAKTIK SYARIAT ISLAM: ANTARA HAKIKAT DAN SEMANGAT



Pelaksanaan syariat Islam bukan khusus hanya pada pelaksanaan hukum hudud sebagai hukuman kepada pelaku jenayah. Syariat itu ialah apa yang berkaitan dengan akidah dan pandangan secara menyeluruh bahawa alam ini merupakan makhluk yang dijadikan oleh penciptanya iaitu Allah SWT. Manusia itu dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum syara’ bagi menggambarkan perlakuannya, tanggungjawab ini datang melalui wahyu yang dibawa oleh para rasul dan diturunkan kitab-kitab kepadanya.

Persoalan hudud mengandungi dua sudut.
Pertama: Iaitu mengi’tiqadkan kebenaran hukum dalam menangani jenayah dan tidak mengandungi kezaliman pada diri dan tidak dianggap sebagai hukuman yang ganas.

Kedua: Hukum syara’ telah meletakkan syarat-syarat, kaedah dan aturcara dalam melaksanakan hudud tersebut. Pelaksanaan hukum hudud dengan tidak memenuhi kriteria dianggap sebagai terkeluar daripada kehendak syariah.

Pelaksanaan hukum hudud bukan suatu cara membalas dendam, tetapi sebagai membenteras jenayah sebelum ianya berlaku. Syara’ juga lebih mementingkan dan mendahulukan kemaafan, pengampunan dan melindungi pelakunya berbanding melaksanakan hukuman, terdapat nas yang banyak mengenai perkara tersebut.

Syara’ menggariskan kaedah tertentu untuk melaksanakannya, sebagai contoh ialah keharusan menarik balik ikrar bagi jenayah yang dilakukan dan seumpamanya berdasarkan sabda Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam yang bermaksud: “Elakkanlah hukuman hudud jika terdapat syubahat.” (H.R. Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan al-Baihaqi)Sabda Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam yang bermaksud: “Tersalah dalam memaafkan itu lebih baik daripada tersalah dalam menghukum.” (H.R. at-Tirmizi dan al-Hakim)

Zaman ini adalah zaman yang secara umumnya mengecualikan pelaksanaan hukum ini. Ini kerana zaman ini dianggap sebagai zaman dharurat yang menimbulkan keraguan, fitnah dan dianggap sebagai zaman jahiliah. Keadaan ini, memberi kesan dalam pelaksanaan hukum syara’. Keadaan yang darurat membolehkan perkara yang dilarang dilakukan sekalipun sekiranya ianya menyeluruh dan berterusan, justeru itu mereka membolehkan mengebumikan mayat di dalam perigi sedangkan ia bercanggah dengan syariat.

Berlakunya syubhat mengharuskan hukuman hudud ditangguhkan, sebagaimana dilakukan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab radhi Allahu ‘anhu. pada tahun kemarau di mana syubhat itu telah menjadi lumrah dan menyebabkan hilangnya syarat-syarat syara’ untuk melaksanakan hukuman hudud. Imam Al-Juwaini telah menerangkan di dalam kitabnya ‘Al-Ghayyasi’ mengenai keadaan zaman kejahilan dan menghuraikan perkara ini secara terperinci bahawa ketika ketiadaan para mujtahid atau orang yang alim tentang syariat dan sumber-sumber syara’, maka apakah yang akan dilakukan oleh manusia? Dalam hubungan ini ulama usul fekah seperti Ar-Razi dalam kitab Al-Mahshul menamakan dalam kitab mereka dengan ‘nasakh aqli’ iaitu hukum hilangnya tempat untuk melaksanakan suruhan.

Akal tidak boleh menghapuskan hukum-hukum yang kekal dengan kesepakatan ijma’ ummah, tetapi hukum tidak dapat dilaksanakan jika hilang tempatnya. Umpamanya wuduk, membasuh tangan hingga ke siku itu sebagai rukun, jika sekiranya tangannya terpotong, maka tidak dapat dilaksanakan membasuh tangan dan dianggap mustahil. Untuk sampai kepada pelaksanaan hukum syara’ dan hukum yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wata’ala, maka wajib bagi kita melihat kepada realiti yang ada. Terdapat di dalam kitab ‘Sya’abil Iman’ tentang nasihat keluarga Nabi Daud Alaihissalam. yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih berkata: “Wajib ke atas orang yang berakal mengetahui keadaan zaman dia berada, menahan lidahnya dari berkata-kata perkara yang tidak berfaedah, dan berfikir apabila melakukan sesuatu pekerjaan. (H.R al-Baihaqi)

Ulama fekah menjelaskan bahawa hukum-hukum itu berubah dengan perubahan individu, keadaan, tempat dan zaman, jika sekiranya ia dibina berdasarkan kepada adat(uruf). Mengikut kaedah fekah: “Darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang”. Ini diambil daripada firman Allah: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah: 173)

Sebagai contoh, hukum seseorang individu yang normal yang boleh berfikir berbeza dengan individu yang tidak boleh berfikir. Keadaan yang empat ini iaitu masa, tempat, individu dan keadaan, adalah yang diterangkan oleh Al-Qarafi sebagai keadaan yang membawa perubahan yang wajib diambil kira ketika hendak melaksanakan hukum. Sebagaimana maklum bahawa kehidupan semalam tidak semestinya sama pada hari ini dan kehidupan hari ini tidak semestinya sama dengan hari esok. Ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti peralatan komunikasi, pengangkutan, peralatan dan ciptaan, bertambahnya bilangan manusia dan pertumbuhan ilmu.

Dengan melihat realiti keadaan diseluruh dunia terutama negara-negara Islam dapat dilihat bahawa pelaksanaan hukum hudud sukar dan sentiasa ada syubhah. Ini berdasarkan pengalaman negara-negara Islam masa kini dalam melaksanakan hukum hudud. Kita dapati Negara Saudi telah melaksanakan hukum hudud melalui hukum syara’ secara langsung tanpa mempunyai rang undang-undang dalam bentuk kanun keseksaan undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang di Saudi mengenai hudud ini berterusan. Tidak terdapat suara atau laungan yang mendorong untuk membatalkan, memberhentikan dan menggantungkannya. Sekalipun di sana terdapat suara-suara dari penentang system politik yang menyeru supaya memberhentikan tindakan yang dilakukan dan menyifatkan peraturan tersebut tidak adil kerana melanggar hak asasi manusia.

Keadaan di Pakistan, Sudan, salah sebuah negeri di Nigeria dan salah sebuah negeri di Malaysia dan Iran yang menetapkan pelaksanaan hukum hudud syariyah. Hukum ini telah dihentikan pelaksanaannya di Pakistan dan digantung pelaksanaannya di Sudan, di Iran dan Malaysia. manakala di wilayah Nigeria pula dilaksanakan dalam bentuk yang tidak sempurna. Kebanyakan negara-negara tersebut mengamalkan sistem ta’zir sebagai ganti daripada pelaksanaan hukum hudud, kecuali jenayah yang menyebabkan hukuman mati.

Baki negara Islam yang bilangannya sebanyak 56 buah negara daripada 196 buah negara di seluruh dunia mendiamkan diri tentang undang-undang hudud. Oleh itu, pandangan untuk persoalan ini ialah bahawa zaman ini merupakan zaman syubhat yang menyeluruh. Nabi SAW bersabda: “Elakkanlah hudud bila berlaku syubhat.” (H.R Ibnu Majah dan Ibnu Abi Syaibah). Sebagaimana yang dikira sah saksi dari segi syara’ dalam mensabitkan jenayah yang dikenakan hukuman hudud sesungguhnya telah tiada sejak dulu lagi.

Penyiasatan secara terperinci sehingga dapat dijatuhkan hukum hudud bukanlah dari metodologi hukum syariah. Contohnya, Maiz datang sendiri menemui Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam mengakui apa yang dilakukan, maka Nabi memalingkan muka baginda kerana mengingkari dakwaannya itu sebanyak empat kali. Kemudian baginda merujuk kepada keluarganya kerana berkemungkinan mereka menyaksikan yang Maiz ini kurang akalnya atau gila, kemudian baginda mencarikan untuk Maiz jalan keluar dari hukuman ini. Apabila dia kembali menarik balik pengakuan semasa dijalankan hudud, Rasulullah Salla Allahu ‘alaihi wasalam bersabda kepada Umar r.a: “Hendaklah engkau lepaskan dia.”

Berdasarkan peristiwa ini, maka para ulama menghukumkan harus menarik balik pengakuan selagi ia berkaitan dengan hak Allah Subhanahu wata’ala dan bukan berkaitan dengan hak manusia. Ini sebagaimana Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam tidak menanyakannya tentang pihak kedua yang melakukan jenayah iaitu pihak wanita, dan tidak dilakukan soal-siasat terhadapnya untuk melengkapkan siasatan.

Dalil-dalil mengenai hudud sebagaimana yang disebutkan itu pada asasnya menjelaskan bahawa dosa yang dilakukan itu adalah dosa besar sehingga menyebabkan perlu dikenakan hukuman hudud. Ia juga menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut sebagaimana firman Allah SWT: “Dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hamba-Nya: Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hamba-Ku!" (Az-Zumar: 16)

Hukuman hudud dapat disempurnakan dalam keadaan ini dengan kepekaan masyarakat yang menyeluruh yang lahir dari ilmu pengetahuan yang tepat tentang beratnya dosa yang dilakukan itu dan memulaukan mereka yang menghebahkan atau bermegah dengan pelakuan tersebut. Sebagaimana syara’ membuka pintu taubat dan menyuruh supaya menutup atau merahsiakan perbuatan tersebut seperti yang dijelaskan dengan banyak ayat di dalam al-Quran dan hadis. Wallahu a’lam.


Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan yang menganggu pemikiran’; Syeikh Dr. Ali Jumaat 

No comments: