Wednesday, January 20, 2016

PRAKTIK SYARIAT ISLAM: ANTARA HAKIKAT DAN SEMANGAT



Pelaksanaan syariat Islam bukan khusus hanya pada pelaksanaan hukum hudud sebagai hukuman kepada pelaku jenayah. Syariat itu ialah apa yang berkaitan dengan akidah dan pandangan secara menyeluruh bahawa alam ini merupakan makhluk yang dijadikan oleh penciptanya iaitu Allah SWT. Manusia itu dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum syara’ bagi menggambarkan perlakuannya, tanggungjawab ini datang melalui wahyu yang dibawa oleh para rasul dan diturunkan kitab-kitab kepadanya.

Persoalan hudud mengandungi dua sudut.
Pertama: Iaitu mengi’tiqadkan kebenaran hukum dalam menangani jenayah dan tidak mengandungi kezaliman pada diri dan tidak dianggap sebagai hukuman yang ganas.

Kedua: Hukum syara’ telah meletakkan syarat-syarat, kaedah dan aturcara dalam melaksanakan hudud tersebut. Pelaksanaan hukum hudud dengan tidak memenuhi kriteria dianggap sebagai terkeluar daripada kehendak syariah.

Pelaksanaan hukum hudud bukan suatu cara membalas dendam, tetapi sebagai membenteras jenayah sebelum ianya berlaku. Syara’ juga lebih mementingkan dan mendahulukan kemaafan, pengampunan dan melindungi pelakunya berbanding melaksanakan hukuman, terdapat nas yang banyak mengenai perkara tersebut.

Syara’ menggariskan kaedah tertentu untuk melaksanakannya, sebagai contoh ialah keharusan menarik balik ikrar bagi jenayah yang dilakukan dan seumpamanya berdasarkan sabda Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam yang bermaksud: “Elakkanlah hukuman hudud jika terdapat syubahat.” (H.R. Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan al-Baihaqi)Sabda Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam yang bermaksud: “Tersalah dalam memaafkan itu lebih baik daripada tersalah dalam menghukum.” (H.R. at-Tirmizi dan al-Hakim)

Zaman ini adalah zaman yang secara umumnya mengecualikan pelaksanaan hukum ini. Ini kerana zaman ini dianggap sebagai zaman dharurat yang menimbulkan keraguan, fitnah dan dianggap sebagai zaman jahiliah. Keadaan ini, memberi kesan dalam pelaksanaan hukum syara’. Keadaan yang darurat membolehkan perkara yang dilarang dilakukan sekalipun sekiranya ianya menyeluruh dan berterusan, justeru itu mereka membolehkan mengebumikan mayat di dalam perigi sedangkan ia bercanggah dengan syariat.

Berlakunya syubhat mengharuskan hukuman hudud ditangguhkan, sebagaimana dilakukan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab radhi Allahu ‘anhu. pada tahun kemarau di mana syubhat itu telah menjadi lumrah dan menyebabkan hilangnya syarat-syarat syara’ untuk melaksanakan hukuman hudud. Imam Al-Juwaini telah menerangkan di dalam kitabnya ‘Al-Ghayyasi’ mengenai keadaan zaman kejahilan dan menghuraikan perkara ini secara terperinci bahawa ketika ketiadaan para mujtahid atau orang yang alim tentang syariat dan sumber-sumber syara’, maka apakah yang akan dilakukan oleh manusia? Dalam hubungan ini ulama usul fekah seperti Ar-Razi dalam kitab Al-Mahshul menamakan dalam kitab mereka dengan ‘nasakh aqli’ iaitu hukum hilangnya tempat untuk melaksanakan suruhan.

Akal tidak boleh menghapuskan hukum-hukum yang kekal dengan kesepakatan ijma’ ummah, tetapi hukum tidak dapat dilaksanakan jika hilang tempatnya. Umpamanya wuduk, membasuh tangan hingga ke siku itu sebagai rukun, jika sekiranya tangannya terpotong, maka tidak dapat dilaksanakan membasuh tangan dan dianggap mustahil. Untuk sampai kepada pelaksanaan hukum syara’ dan hukum yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wata’ala, maka wajib bagi kita melihat kepada realiti yang ada. Terdapat di dalam kitab ‘Sya’abil Iman’ tentang nasihat keluarga Nabi Daud Alaihissalam. yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih berkata: “Wajib ke atas orang yang berakal mengetahui keadaan zaman dia berada, menahan lidahnya dari berkata-kata perkara yang tidak berfaedah, dan berfikir apabila melakukan sesuatu pekerjaan. (H.R al-Baihaqi)

Ulama fekah menjelaskan bahawa hukum-hukum itu berubah dengan perubahan individu, keadaan, tempat dan zaman, jika sekiranya ia dibina berdasarkan kepada adat(uruf). Mengikut kaedah fekah: “Darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang”. Ini diambil daripada firman Allah: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah: 173)

Sebagai contoh, hukum seseorang individu yang normal yang boleh berfikir berbeza dengan individu yang tidak boleh berfikir. Keadaan yang empat ini iaitu masa, tempat, individu dan keadaan, adalah yang diterangkan oleh Al-Qarafi sebagai keadaan yang membawa perubahan yang wajib diambil kira ketika hendak melaksanakan hukum. Sebagaimana maklum bahawa kehidupan semalam tidak semestinya sama pada hari ini dan kehidupan hari ini tidak semestinya sama dengan hari esok. Ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti peralatan komunikasi, pengangkutan, peralatan dan ciptaan, bertambahnya bilangan manusia dan pertumbuhan ilmu.

Dengan melihat realiti keadaan diseluruh dunia terutama negara-negara Islam dapat dilihat bahawa pelaksanaan hukum hudud sukar dan sentiasa ada syubhah. Ini berdasarkan pengalaman negara-negara Islam masa kini dalam melaksanakan hukum hudud. Kita dapati Negara Saudi telah melaksanakan hukum hudud melalui hukum syara’ secara langsung tanpa mempunyai rang undang-undang dalam bentuk kanun keseksaan undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang di Saudi mengenai hudud ini berterusan. Tidak terdapat suara atau laungan yang mendorong untuk membatalkan, memberhentikan dan menggantungkannya. Sekalipun di sana terdapat suara-suara dari penentang system politik yang menyeru supaya memberhentikan tindakan yang dilakukan dan menyifatkan peraturan tersebut tidak adil kerana melanggar hak asasi manusia.

Keadaan di Pakistan, Sudan, salah sebuah negeri di Nigeria dan salah sebuah negeri di Malaysia dan Iran yang menetapkan pelaksanaan hukum hudud syariyah. Hukum ini telah dihentikan pelaksanaannya di Pakistan dan digantung pelaksanaannya di Sudan, di Iran dan Malaysia. manakala di wilayah Nigeria pula dilaksanakan dalam bentuk yang tidak sempurna. Kebanyakan negara-negara tersebut mengamalkan sistem ta’zir sebagai ganti daripada pelaksanaan hukum hudud, kecuali jenayah yang menyebabkan hukuman mati.

Baki negara Islam yang bilangannya sebanyak 56 buah negara daripada 196 buah negara di seluruh dunia mendiamkan diri tentang undang-undang hudud. Oleh itu, pandangan untuk persoalan ini ialah bahawa zaman ini merupakan zaman syubhat yang menyeluruh. Nabi SAW bersabda: “Elakkanlah hudud bila berlaku syubhat.” (H.R Ibnu Majah dan Ibnu Abi Syaibah). Sebagaimana yang dikira sah saksi dari segi syara’ dalam mensabitkan jenayah yang dikenakan hukuman hudud sesungguhnya telah tiada sejak dulu lagi.

Penyiasatan secara terperinci sehingga dapat dijatuhkan hukum hudud bukanlah dari metodologi hukum syariah. Contohnya, Maiz datang sendiri menemui Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam mengakui apa yang dilakukan, maka Nabi memalingkan muka baginda kerana mengingkari dakwaannya itu sebanyak empat kali. Kemudian baginda merujuk kepada keluarganya kerana berkemungkinan mereka menyaksikan yang Maiz ini kurang akalnya atau gila, kemudian baginda mencarikan untuk Maiz jalan keluar dari hukuman ini. Apabila dia kembali menarik balik pengakuan semasa dijalankan hudud, Rasulullah Salla Allahu ‘alaihi wasalam bersabda kepada Umar r.a: “Hendaklah engkau lepaskan dia.”

Berdasarkan peristiwa ini, maka para ulama menghukumkan harus menarik balik pengakuan selagi ia berkaitan dengan hak Allah Subhanahu wata’ala dan bukan berkaitan dengan hak manusia. Ini sebagaimana Nabi Salla Allahu ‘alaihi wasalam tidak menanyakannya tentang pihak kedua yang melakukan jenayah iaitu pihak wanita, dan tidak dilakukan soal-siasat terhadapnya untuk melengkapkan siasatan.

Dalil-dalil mengenai hudud sebagaimana yang disebutkan itu pada asasnya menjelaskan bahawa dosa yang dilakukan itu adalah dosa besar sehingga menyebabkan perlu dikenakan hukuman hudud. Ia juga menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut sebagaimana firman Allah SWT: “Dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hamba-Nya: Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hamba-Ku!" (Az-Zumar: 16)

Hukuman hudud dapat disempurnakan dalam keadaan ini dengan kepekaan masyarakat yang menyeluruh yang lahir dari ilmu pengetahuan yang tepat tentang beratnya dosa yang dilakukan itu dan memulaukan mereka yang menghebahkan atau bermegah dengan pelakuan tersebut. Sebagaimana syara’ membuka pintu taubat dan menyuruh supaya menutup atau merahsiakan perbuatan tersebut seperti yang dijelaskan dengan banyak ayat di dalam al-Quran dan hadis. Wallahu a’lam.


Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan yang menganggu pemikiran’; Syeikh Dr. Ali Jumaat 

Thursday, January 7, 2016

BAGINDA NABI MUHAMMAD SALLA ALLAHU A’LAIHI WASALLAM BUKAN MANUSIA BIASA


Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam adalah manusia biasa, Baginda mengalami apa yang dialami manusia umumnya seperti sifat-sifat yang ada pada manusia lainnya. Baginda juga boleh jatuh sakit namun sakit yang dialami tidak mengurangkan kedudukan Baginda, tidak menjadi hina dan tidak menyebabkan Baginda dijauhi masyarakat.

Seperti manusia biasa lainnya Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam juga tidak mampu memberi manfaat, bahaya, mematikan dan menghidupkan kecuali dengan izin dan kehendak Allah. Firman Allah yang ertinya : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".(al-A`raaf :188)

Baginda juga telah menyebarkan risalah, menyampaikan amanah, menyedarkan ummat, menghilangkan kesedihan dan berjihad fii sabilillah sehingga Baginda pulang ke hadrat Allah dalam keadaan redha dan mendapat keredhaan, seperti yang digambarkan dalam firman Allah, ertinya: Sesungguhnya kamu akan mati dan Sesungguhnya mereka akan mati (pula).” 
(Az-Zumar:30).

Kehambaan adalah sifat Baginda yang paling mulia. Kerana itu Baginda membanggakannya dan berkata : “Saya hanyalah seorang hamba”. Allah sifatkan Baginda dengan kehambaan namun dengan kedudukan tertinggi, firman Allah : Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Al-Israa : 1).

Firman Allah yang lain : "Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadah), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya."
(Al.-Jinn:19)

Baginda adalah manusia namun berbeza dengan manusia biasa. Baginda memiliki perbezaan yang tidak mungkin disamakan dengan manusia biasa. Sebagaimana penilaian Baginda tentang dirinya : Aku tidak sama dengan kalian. Sesungguhnya aku bermalam di sisi Allah diberi kekuatan sebagaimana orang yang makan dan minum”.

Maka jelaslah bahawa status kemanusian Baginda wajib disertai dengan sifat-sifat yang membezakannya dengan manusia umumnya. Keistimewaan ini bukan hanya diberikan khusus pada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam sahaja namun juga diberikan pada rasul-rasul yang lain.



Penilaian ke atas para rasul jika dinilai hanya seperti manusia biasa tanpa membezakan keistimewaan yang ada pada mereka adalah merupakan penilaian jahiliyah yang musyrik. Dalam Al-Qur’an terdapat banyak dalil mengenai masalah ini. Diantaranya adalah ucapan kaum Nuh terhadap Nabi Nuh dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya: “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti Kami, dan Kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara Kami yang cepat percaya saja, dan Kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun ke atas Kami, bahkan Kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta". ( Hud : 27).

Ucapan kaum Nabi Musa dan Nabi Harun terhadap mereka berdua dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya : “Dan mereka berkata: Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?" (Al-Mu’minuun : 47 )

Ucapan kaum Tsamud kepada Nabi mereka Soleh dalam peristiwa yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya, : “Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; Maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar". (Asy-Syu’araa’ : 154).

Ucapan Penduduk Aikah kepada Nabi mereka Syu’aib dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya : “Mereka berkata: "Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir. Dan kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti Kami, dan Sesungguhnya Kami yakin bahawa kamu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta”. (Asy-Syu’araa’ : 186).

Ucapan kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam yang memandang Baginda semata-mata sebagai manusia dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka: ”Dan mereka berkata: "Mengapa Rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang Malaikat agar Malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?” (Al-Furqaan : 7)

Nabi telah mengkhabarkan status dirinya  yang mempunyai sifat-sifat luhur dan hal-hal yang melampauai kebiasaan yang menjadikan Baginda berbeza dengan manusia lain. Sabda Baginda dalam sebuah hadits shahih : “Kedua mataku terpejam namun hatiku tetap terjaga”.

Baginda bersabda: “Saya mampu melihat kalian dari belakangku sebagaimana melihatmu dari depan”.

 Baginda bersabda: “Saya dianugerahkan pintu-pintu gudang dunia”.

Meskipun telah wafat, Rasulullah tetap hidup dalam bentuk kehidupan barzakh yang sempurna. Baginda mampu mendengar perkataan, membalas salam dan solawat orang yang bersolawat kepada Baginda. Amal perbuatan ummat disampaikan ole Allah kepada Baginda hingga Baginda berbahagia atas perbuatan orang-orang yang baik dan beristighfar terhadap orang-orang yang melakukan dosa. Allah juga mengharamkan bumi untuk memakan jasadnya. Jasad Nabi terlindungi dari hal-hal yang bersifat merosak dan dari apa pun yang berada dalam tanah.

Dari Aus ibn Aus R.A , ia berkata , “Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
Salah satu hari yang paling utama adalah hari Jum’at, pada hari itu Adam diciptakan dan wafat, Israfil meniup sangkakala dan matinya seluruh makhluk. Maka perbanyakkanlah bersalawat untukku pada hari Jum’at. Kerana salawat kalian disampaikan kepadaku”. Wahai Rasulullah, bagaimana shalawat kami sampai kepadamu padahal tubuhmu telah hancur?” tanya para sahabat. Jawab Rasulullah:“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan bumi untuk memakan jasad para Nabi.”. ( HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam kitab shahihnya serta Al-Hakim yang menilai hadits ini shahih ).

Berkaitan hal ini, Al-Hafizh Jalaluddin As-Suyuthi menyusun sebuah risalah khusus yang berjudul ‘Inbaa’ul Adzkiyaa’ bi Hayaatil Anbiyaa’.

Dari ibnu Mas’ud Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
Hidupku lebih baik buat kalian. Kalian berbicara dan aku berbicara kepada kalian. Dan jika aku meninggal dunia maka kewafatanku lebih baik buat kalian. Amal perbuatan kalian disampaikan kepadaku. Jika aku melihat amal baik aku memuji Allah dan jika aku melihat amal buruk aku beristighfar buat kalian”. Al-Haitsami berkata, “Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Bazzaar dan para perawinya sesuai dengan standar perawi hadits sahih.

Dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam, Baginda bersabda : “Tidak ada seorang pun yang memberi salam kepadaku kecuali Allah mengembalikan nyawaku hingga aku membalas salamnya”. (HR. Ahmad dan Abu Dawud).

Sebagian ulama menafsirkan hadith di atas dengan mengembalikan kemampuan berbicara Baginda.

Dari ‘Ammar ibn Yaasir, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : …tidak ada seorang pun hingga hari kiamat yang menyampaikan salawat untukku kecuali malaikat itu menyampaikan kepadaku namanya dan nama ayahnya ; ini adalah si fulan anak si fulan yang telah menyampaikan salawat untukmu”.

Dari Al-Bazzaar dan Abu al-Syaikh ibn Hibban, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya terdapat malaikat Allah yang telah diberikan semua nama makhluk oleh Allah. Malaikat itu berdiri di atas kuburanku jika aku meninggal. Maka tidak ada seorang pun yang menyampaikan salawat kepadaku kecuali si malaikat berkata, “Wahai Muhammad! fulan bin fulan telah menyampaikan salawat untukmu”. Rasulullah berkata, “Rabb Tabaraka wa Ta’ala merahmatinya. Untuk satu shalawat dibalas 10 rahmat”.


Meskipun Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam telah wafat namun keutamaan, kedudukan dan darjatnya di sisi Allah tetap abadi. Mereka yang beriman tidak akan ragu akan fakta ini. Kerana itu, bertawassul kepada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam pada dasarnya kembali kepada keyakinan dengan meyakini Baginda dicintai dan dimuliakan Allah serta keimanan kepada Baginda serta risalahnya. Dan tawassul bukanlah bererti beribadah kepada Nabi Salla Allahu A’laihi Wasallam. Kerana Baginda betapa tinggi darjat dan kedudukannya tetaplah seorang makhluk yang tidak mampu menolak bahaya dan memberi manfaat tanpa izin Allah. Allah SWT berfirman yang ertinya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahawa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". (Al-Kahfi : 110)

Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki