Gambar: al-Habib Ali al-Jufri
Ahlul Bait Nabi salla Allahu a’laihi wassalam termasuklah keluarga
sayyidina Ali, keluarga sayyidina Ja’far bin Abu Thalib, Keluarga sayyidina ‘Uqail
bin Abu Thalib dan keluarga sayyidina al-Abbas.
Golongan Ahlul Bait mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam
berasaskan nas-nas daripada Quran dan Sunah. Sebahagian ulama memperuntukkan
bab khusus dalam kitab yang mereka karang mengenai kelebihan Ahlul Bait seperti
Imam Ibnu Hajar dan Imam as-Suyuthi dalam kitabnya Ihya’ul Mayt fi Fadha’il
Ahlil Bait. Sebahagiannya pula menulis kitab khusus mengenai kelebihan Ahlul
Bait. Dalam mazhab Syafie, selawat ke atas keluarga Nabi salla Allahu a’laihi
wassalam adalah sunah pada tahiyat akhir dan setengah
pula mengatakannya sebagai wajib.
Kedudukan Ahlul Bait seperti yang disebutkan di atas adalah
merupakan satu kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan umum di kalangan
Ahlus Sunah. Oleh yang demikian persoalan mengenai kedudukan Ahlul Bait ini
tidak pernah dibangkitkan selama ini. Para Ulamak mengatakan bahawa mencintai
Ahlul Bait itu termasuk dalam bab usul Ahli Sunnah wal Jamaah.
Berasaskan daripada kitab-kitab lughah yang muktabar jelas bahawa
“Ahlul Bait” bagi seseorang dalam Bahasa Arab bermaksud isteri, anak, menantu
dan orang yang sama keturunan dengannya.
Menurut Ibnu Hajar, ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan kelebihan
Ahlul Bait, kerana Allah menyatakan secara khusus keinginan membersihkan mereka
daripada dosa atau syak dalam perkara-perkara berkaitan iman, dan juga
membersihkan mereka daripada akhlak yang keji. Setengah riwayat mengatakan
maksudnya ialah mengharamkan mereka daripada api neraka iaitu dengan ilham
daripada Allah kepada mereka untuk bertaubat dan mengekalkan amal soleh.
Dalam sunah Rasulullah salla Allahu a’laihi wassalam terdapat
hadis-hadis yang menyatakan kewajipan mengasihi Ahlul Bait dan menjaga
kepentingan mereka. Nabi salla Allahu a’laihi wassalam bersabda:
“Sesiapa yang
kasih kepada Allah pasti dia kasih kepada Al-Quran, sesiapa yang kasih kepada
Al-Quran pasti dia mengasihi aku, barangsiapa yang mengasihi aku, pasti dia
mengasihi sahabat-sahabat dan kaum kerabatku”. (H.R al-Dailami)
“Kasihlah akan Allah kerana segala nikmat yang dikurniakan kepada
kamu, kasihilah aku kerana kasihkan Allah, dan kasihilah keluargaku kerana
kasihkan aku.” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim)
“Orang yang paling tetap perjalanannya di atas (titian di
hari Kiamat) ialah orang yang paling kasih kepada Ahlul Bait aku dan
sahabat-sahabatku”.
“Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara, mencitai Nabimu,
mencintai Ahli Baitku dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Munzir, Ibnu Abi
Hatim dan at-Tabarani)
Berasaskan nas-nas di atas para ulama Ahlus Sunah sependapat
mengatakan bahawa kewajipan umat Islam terhadap Ahlul Bait ialah menaruh rasa
kasih sayang terhadap mereka, menjaga kepentingan serta berbuat baik terhadap
mereka. Inilah ajaran dan pegangan Ahlus Sunah tentang Ahlul Bait. Saidina Abu
Bakar mengatakan :
“Sesungguhnya menghubungkan kerabat Rasulullah s.a.w lebih aku
kasihi daripada kerabat aku sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)
Qadi ‘Iyadh berkata:
“Hadis –hadis yang lalu menunjukkan wajib mengasihi Ahlul Bait dan
haram yang sangat berat jika membenci mereka”. Ini juga adalah pendapat
Baihaqi, Baghawi dan lain-lain, malah imam Syafie telah menyatakan dengan jelas
tentang hukum ini dengan katanya:
“Wahai Ahlul Bait Rasulullah! Sesungguhnya kasihkan kamu adalah
fardu yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran”.
Imam Syafie sangat terkenal dengan kecenderungan dan kasihnya
kepada keturunan Saidina Ali r.a sehingga beliau dituduh sebagai Syiah atau
Rafidhah. Menjawab tuduhan tersebut, beliau dengan tegas menyatakan:
“Sekiranya kasihkan keluarga Muhammad salla Allahu a’laihi wassalam
itu sebagai Rafidhah, maka biarlah jin dan manusia menyaksikan bahawa saya
seorang Rafidhah”. (Riwayat Muslim)
Sumber: “Ahlul Bait Menurut Pandangan Sunah dan Syiah”; Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan The (Matan Mufti Wilayah Persekutuan).
“Khilafiah: Persoalan & Penjelasan”; Muhadir bin Haji Joll.
1 comment:
Assalaamualaikum wbt
Alhamdulillaah jzkk atas perkongsian ilmu mohon share dalam pelbagai cara
Moga diterima sebagai amal soleh Aamiin Allahumma Aamiin
Post a Comment