Friday, November 8, 2013

ALLAH BERSAMA HAMBA YANG MENGINGAT DAN MENYEBUT NAMA-NYA



ALLAH BERSAMA HAMBA YANG MENGINGAT DAN MENYEBUT NAMA-NYA


قال رسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا مَعَ عَبْدِي حَيْثُمَا ذَكَرَنِي وَتَحَرَّكَتْ بِي شَفَتَاهُ
(صحيح البخاري)
Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis qudsi, Firman Allah: “Aku bersama hamba-Ku di waktu dia mengingati-Ku dan di waktu bergetar bibirnya menyebut nama-Ku”.
(Sohih Bukhari)
Waktu yang mulia dan agung adalah ketika mana kita dalam keadaan mendekatkan diri kepada Allah. Iaitu ketika menunaikan solat, berzikir, berpuasa, menunaikan zakat, bersedekah dan amalan-amalan soleh lainnya yang kita lakukan seperti menghadiri majlis-majlis zikir dan majlis ta’lim yang mana seluruh kemuliaan dan kesucian melimpah atas majlis-majlis seperti ini.

Perkahwinan antara suami dan isteri belum tentu dikurniakan anak, haiwan yang mengawan belum tentu bertelur, tumbuhan pula belum tentu tumbuh jika ditanam. Hakikatnya ada suatu ketentuan Illahi yang mengatur segala kehidupan dan mengatur setiap nafasku dan nafas kehidupan keseluruhannya.
Sesungguhnya manusia tidak memiliki dirinya sendiri dan manusia tidak mampu mencipta sel tubuhnya. Bagaimanakah manusia mampu menggerakkan setiap selnya yang berfungsi bagi menggerakkan jasad setiap hari.

Allah memberikan kita kehidupan dan ia merupakan pemberian yang tidak mampu diberikan oleh makhluk lain. Sebelum kita berzikir, alam semesta ini telah terlebih dahulu berzikir mengagungkan nama Allah namun kita tidak mampu mendengarnya. Rugilah manusia yang sibuk dengan dunianya sehingga melupakan Allah, andai tersingkap baginya keadaan saudara mara yang sedang bersemadi di alam barzakh sudah tentu dia akan terus dalam keadaan sujud sehingga meninggal.

Dalam mengulas maksud hadis di atas, Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Baari menjelaskan bahawa makna “bersama” itu bukan bererti Allah bersama secara Dzat-Nya, tetapi menunjukkan bahawa Allah sangat mencintai orang yang mengingat-Nya.

Mengingati Allah itu adalah bermula dengan hati, Nabi saw bersabda, “bergetar bibirnya menyebut Nama-Ku”. Hati mengingati Allah kerana perasaan rindu dan cinta kepada Allah hingga terzahir dibibir lalu mengucapkan dan meluahkan perasaan cinta dan rindu.

Hidup seharian manusia kini merasakan dan membicarakan rasa cinta sesama makhluk iaitu kepada kekasih, kepada anak, dan teman, tapi manusia merasa janggal membicarakan rasa cinta pada Allah. Sedangkan matlamat kita diciptakan adalah untuk menyembah hanya pada Allah.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (ad-zariat: 56)

Allah tidak memerlukan penghambaan kita, kita disuruh menyembah Allah kerana Allah mahu kita dekat dengan-Nya. Apabila kita dekat dengan Allah maka Allah akan menganugerahkan syurga kepada kita.

Cintailah Allah melebihi selainnya, jangan kita mencintai seseorang melebihi cinta kita pada Allah, makhluk semuanya akan meninggalkan kita namun Allah tetap sentiasa ada tanpa pengakhiran. Setiap kita mempunyai kekasih, keluarga, sahabat handai dan anak-anak, namun cinta Allah itu adalah teratas. Kadang-kadang kita lebih pedulikan perkara lain berbanding Allah, ada yang risaukan baju di ampaiannya dan kasutnya ketika sujud dalam solat.

 Washallallahu ala Sayyidina Muhammad Nabiyyil Ummiy wa Shohbihi wa Sallam

Sumber: Petikan dari tausiyah Habib Munzir


No comments: