Wednesday, May 15, 2013

USAHA DAN TAWAKAL ADALAH BERIRINGAN



Sesetengah pihak melebihkan usaha daripada bertawakal iaitu dengan maksud kuatnya berusaha dari bertawakal seperti berusaha melakukan pekerjaan atau berniaga bagi mendapatkan hasil dan keuntungan dengan membandingkan tindakan untuk berusaha mencari ubat merawat penyakit dan untuk kesihatan badan.

Satu pihak lagi pula melebihkan tawakal berbanding usaha kerana menyandarkan diri kepada Allah SWT itu adalah lebih utama dari bergantung harap kepada yang lain. Ini demikian kerana pada tawakal itu dapat meninggalkan perkara-perkara yang akan menyibukkan diri daripada pengabdian/beribadat kepada Allah SWT.

Terdapat kalam Ulamak yang mengungkapkan,
“barangsiapa yang mengukuhkan jiwanya kepada Allah SWT, maka Allah akan mencukupkan baginya bekalan dan menganugerahkan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Salman al-Khawwash berkata, “bagaimana seseorang akan bergantung harap pada seseorang sedangkan dia mengetahui Tuhannya adalah Yang Maha Kaya lagi Terpuji.”

Keseimbangan dari kedua-dua pendapat ini bolehlah disimpulkan bahawa melebihkan usaha dari tawakal  atau melebihkan tawakal dari usaha adalah bergantung keadaan seseorang.
Seseorang yang hidupnya dalam keadaan susah namun dia mampu untuk bersabar, tidak mudah marah dan tidak pula meminta-minta bantuan orang lain, maka pada dirinya melebihkan tawakal itu adalah lebih utama. Ini adalah kerana pada dirinya terdapat mujahadah an-nafsi (perjuangan diri) dalam meninggalkan nafsu syahwat, kelazatan dunia dan kesabaran dari apa yang berlaku.

Maka jika seseorang dalam keadaan susah dan dirinya adalah sebaliknya iaitu tidak mampu menahan marah dan bersabar, melebihkan usaha dari tawakal adalah lebih utama. Ini kerana, kemarahan dan tiadanya sabar pada dirinya boleh membawa kepada perkara keburukan dan mudarat.

Apa yang lebih tepat mengikut jumhur Ulamak(majority Ulama) adalah dengan menetapkan tawakal itu dalam setiap usaha yang dilakukan. Usaha dan tawakal itu bergerak secara beriringan dan berdampingan antara satu dengan yang lain.

Hakikat tawakal itu adalah menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada pentadbiran dan perancangan Allah Ta’ala, perpegang teguh dengannya dan meyakini bahawa segala urusan yang dilakukan adalah dari Allah Ta’ala, untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala dan seterusnya kita akan kembali kepada-Nya.

Hati secara bulat meyakini bahawa semua perkara terserah kepada Allah dan setiap suatu berada dalam genggamannya. Tiada mudarat atau manfaat, tiada pemberi dan yang menahan melainkan Allah Ta’ala. Keadaan hati akan merasa aman dan tenang dengan janji-janji dan jaminan Allah sehingga hatinya tidak merasa goncang tatkala ditimpa kesusahan atau kecelakaan.

Berkata Imam al-Ghazali:
“menyediakan bekal dalam perjalanan bagi menolong orang Muslim adalah lebih utama. Dan yang paling utama ialah meninggalkannya bagi orang yang bersendirian serta kuat hatinya yang mana bekal itu hanya akan menyibukan dirinya dari beribadat kepada Allah Ta’ala. Al-Mustofa SAW dan para Sohabatnya serta salaf as-Soleh membawa bekal dengan niat kebaikan, bukan kerana hatinya condong kepada bekal itu berbanding kepada Allah Ta’ala. Berapa ramai yang membawa bekal sedang hatinya bersama Allah dan berapa ramai orang meninggalkan bekal sedangkan hatinya bersama bekal itu.”

Surur Muhkamat: 13 Mei 2013.23:31pm
Sumber: Jauharah at-Tauhid, hikam ibnu Atho’ilah al-Sakandari

No comments: