Monday, May 27, 2013

ANTARA DOA DAN TAKDIR

Definisi Doa
Menurut Ibn Manzur, doa bermaksud al-Istighazhah iaitu memohon pertolongan dan perlindungan. Doa hanya dipohon kepada Allah Ta’ala sebagai jalinan penghubung antara hamba dan Penciptanya sebagai tanda pengabdian diri.

Menurut Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam syarah Jauharah at-Tauhid, doa merupakan permohonan kepada Allah Ta’ala bagi memperkenankan suatu hajat. Doa mampu memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup atau yang sudah meninggal. Doa juga mampu memberi mudarat jika mendoakan bencana dan kecelakaan walaupun doa itu datangnya dari orang kafir. Ini berdasarkan hadisNabi saw dari Anas r.a:

doa orang yang teraniaya itu dimakbulkan walaupun dia seorang yang kafir.”

Namun, doa orang kafir bagi memohon keringanan azab dan keselamatan di hari Kiamat kelak tidaklah dimakbulkan berdasarkan firman Allah Ta’ala:

“Dan tidaklah doa orang-orang kafir itu kecuali dalam kesesatan.”

Antara Doa dan Taqdir
Hakim telah mensahihkan sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

Bala bencana itu benar-benar akan turun dan doa akan menjumpainya maka kedua-duanya saling mengubati satu sama lain sehingga hari kiamat.”

Sabda Nabi SAW:

“Tiada yang boleh mengubah Qadha’ Tuhan, kecuali dengan berdoa, dan tiada yang boleh menambah umur, kecuali dengan beramal kebajikan.”

Doa mampu memberi kesan pada Qadha’ Mubram iaitu ketentuan atau takdir Allah yang sudah pasti. Juga pada Qadha’ Muallaq iaitu takdir Allah yang dikaitkan dengan sesuatu.
Namun bukan semua takdirnya Allah terkait dengan doa, mungkin sahaja di disebabkan oleh perkara lain sebagai contoh sedekah yang dilakukan atau perkara kebaikan lainnya yang telah kita lakukan.

Pada Qadha’ Mubram, doa tidak mampu mengangkatnya. Namun Allah yang Maha Bijaksana mampu menjadikan takdir itu berubah bentuknya disebabkan oleh doa. Sebagai contoh, batu yang besar terjatuh menghala kearah kita namun disebabkan doa maka batu itu hancur menjadi pasir halus. Nabi SAW bersabda:

“Doa itu member manfaat terhadap sesuatu bencana yang sudah turun dan yang belum turun.”


Berdoa telah Sabit dalam al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak
Telah sabit dari al-Quran dan Sunnah akan suruhan dan anjuran berdoa. Allah berfirman:

“Dan jika hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang berdoa jika dia berdoa kepada-Ku.”

Allah berfirman dalam surah al-A’raf:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu Dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” 
[al-A’raf: 55-56]

Baginda Nabi SAW telah banyak berdoa sebagai contoh sewaktu perang badar. Telah ijmak(sepakat) para Ulamak Salaf dan Khalaf sabitnya berdoa. Nabi SAW bersabda:

“Doa itu adalah ibadah” dan “doa itu ialah senjata orang Mukmin”

Doa Akan dimakbulkan
Ada riwayatNabi SAW telah bersabda:

“Tiada seorang yang memohon kepada Allah Ta’ala, melainkan akan dikabulkan. Samaada Allah menyegerakan pemberian apa yang dipohon, atau Allah menolak daripadanya suatu bencana dari apa yang dipohon, atau Allah menyimpanya untuk diberikan pada hari Akhirat kelak berupa suatu yang lebih utama dan lebih sempurna dari apa yang dipohon didunia.”

Dan Allah berfirman:

“berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankannya.”

Oleh itu sentiasalah berdoa disaat senang dan susah. Jika masih tidak dimakbulkan janganlah berputus asa kerana ada perkara dan rancangan Allah Ta’ala yang kita tidak tahu, ada kebaikan dan manfaat yang tersembunyi. Maka teruslah berdoa dan menyerahkan kepada pentadbiran Allah yang Maha Bijaksana.

Syarat-syarat doa dimakbulkan
1.    Memakan makanan yang halal.
2.    Meyakini doa akan dimakbulkan.
3.    Hatinya khusyuk dalam berdoa.
4.    Tidak berdoa perkara-perkara yang boleh membawa kepada dosa dan maksiat.
5.    Tidak berdoa pada suatu yang mustahil.
6.    Berdoa dengan doa daripa al-Quran dan dari Nabi SAW.

Adab-adab berdoa
1.    Berdoa pada waktu-waktu mustajab doa seperti waktu sujud dan ketika azan.
2.    Berwuduk dan mendirikan solat
3.    Menghadap kearah kiblat
4.    Mengangkat tangan kearah langit
5.    Menginsafi dan mengaku dosa yang dilakukan.
6.    Ikhlas
7.    Memulakan dan menutup doa dengan pujian kepada Allah serta solawat keatas Nabi SAW.
8.    Bersungguh-sungguh memohon dengan penuh keazaman.
9.    Banyakan berdoa diwaktu senang.

Ada riwayat yang menyebut:

“Allah Ta’ala itu Pemalu, Pemurah, merasa malu untuk menolak permohonanhamba-Nya apabila hamba mengangkat tangan memohon kepadanya.”

Antara nikmat yang besar Allah Ta’ala kurniakan kepada hambanya ialah doa. Allah memerintahkan supaya sentiasa berdoa, Allah akan murka kepada hamba-hamba-Nya yang tidak mahu berdoa, sebagai sabda Nabi SAW:

“siapa yang tidak memohon sesuatu kepadaTuhan, nescaya Dia akan murka kepadanya.”


Sumber: Jauharah at-Tauhid, an-Nashoih ad-Dinniyah walwashoya al-Imaniyyah, SoalJawab A-Z Tasawuf, 40 Kisah Motivasi AjaibnyaDoa,

Wednesday, May 15, 2013

USAHA DAN TAWAKAL ADALAH BERIRINGAN



Sesetengah pihak melebihkan usaha daripada bertawakal iaitu dengan maksud kuatnya berusaha dari bertawakal seperti berusaha melakukan pekerjaan atau berniaga bagi mendapatkan hasil dan keuntungan dengan membandingkan tindakan untuk berusaha mencari ubat merawat penyakit dan untuk kesihatan badan.

Satu pihak lagi pula melebihkan tawakal berbanding usaha kerana menyandarkan diri kepada Allah SWT itu adalah lebih utama dari bergantung harap kepada yang lain. Ini demikian kerana pada tawakal itu dapat meninggalkan perkara-perkara yang akan menyibukkan diri daripada pengabdian/beribadat kepada Allah SWT.

Terdapat kalam Ulamak yang mengungkapkan,
“barangsiapa yang mengukuhkan jiwanya kepada Allah SWT, maka Allah akan mencukupkan baginya bekalan dan menganugerahkan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Salman al-Khawwash berkata, “bagaimana seseorang akan bergantung harap pada seseorang sedangkan dia mengetahui Tuhannya adalah Yang Maha Kaya lagi Terpuji.”

Keseimbangan dari kedua-dua pendapat ini bolehlah disimpulkan bahawa melebihkan usaha dari tawakal  atau melebihkan tawakal dari usaha adalah bergantung keadaan seseorang.
Seseorang yang hidupnya dalam keadaan susah namun dia mampu untuk bersabar, tidak mudah marah dan tidak pula meminta-minta bantuan orang lain, maka pada dirinya melebihkan tawakal itu adalah lebih utama. Ini adalah kerana pada dirinya terdapat mujahadah an-nafsi (perjuangan diri) dalam meninggalkan nafsu syahwat, kelazatan dunia dan kesabaran dari apa yang berlaku.

Maka jika seseorang dalam keadaan susah dan dirinya adalah sebaliknya iaitu tidak mampu menahan marah dan bersabar, melebihkan usaha dari tawakal adalah lebih utama. Ini kerana, kemarahan dan tiadanya sabar pada dirinya boleh membawa kepada perkara keburukan dan mudarat.

Apa yang lebih tepat mengikut jumhur Ulamak(majority Ulama) adalah dengan menetapkan tawakal itu dalam setiap usaha yang dilakukan. Usaha dan tawakal itu bergerak secara beriringan dan berdampingan antara satu dengan yang lain.

Hakikat tawakal itu adalah menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada pentadbiran dan perancangan Allah Ta’ala, perpegang teguh dengannya dan meyakini bahawa segala urusan yang dilakukan adalah dari Allah Ta’ala, untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala dan seterusnya kita akan kembali kepada-Nya.

Hati secara bulat meyakini bahawa semua perkara terserah kepada Allah dan setiap suatu berada dalam genggamannya. Tiada mudarat atau manfaat, tiada pemberi dan yang menahan melainkan Allah Ta’ala. Keadaan hati akan merasa aman dan tenang dengan janji-janji dan jaminan Allah sehingga hatinya tidak merasa goncang tatkala ditimpa kesusahan atau kecelakaan.

Berkata Imam al-Ghazali:
“menyediakan bekal dalam perjalanan bagi menolong orang Muslim adalah lebih utama. Dan yang paling utama ialah meninggalkannya bagi orang yang bersendirian serta kuat hatinya yang mana bekal itu hanya akan menyibukan dirinya dari beribadat kepada Allah Ta’ala. Al-Mustofa SAW dan para Sohabatnya serta salaf as-Soleh membawa bekal dengan niat kebaikan, bukan kerana hatinya condong kepada bekal itu berbanding kepada Allah Ta’ala. Berapa ramai yang membawa bekal sedang hatinya bersama Allah dan berapa ramai orang meninggalkan bekal sedangkan hatinya bersama bekal itu.”

Surur Muhkamat: 13 Mei 2013.23:31pm
Sumber: Jauharah at-Tauhid, hikam ibnu Atho’ilah al-Sakandari