Friday, May 27, 2016

HUKUM PINJAM MEMINJAM - QARD


Qard bermaksud memberikan harta kepada pihak yang memanfaatkan harta tersebut, pihak yang memanfaatkan harta tersebut akan mengembalikan semula gantian harta yang sama jenis dengannya.

Qard dari segi istilah (Syarak) bermaksud pemberian harta oleh seseorang kepada seseorang untuk dimanfaatkan oleh pihak penerima (penghutang) dan penerima bertanggungjawab mengembalikan harta yang sama nilai (mumathil) dengan harta yang diambilnya.

Para ulama sependapat bahawa hukum qard adalah harus berdasarkan dalil al-Quran, Sunnah dan ijmak. Firman Allah SWT:
“Siapakah orangnya yang(mahu) memberikan pinjaman kepada Allah SWT sebagai pinjaman yang baik supaya Allah SWT melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan Allah SWT menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” (al-Baqarah:245)


Istilah qard secara literal bermaksud pinjaman. Menurut ulama tafsir, istilah qard hasan (Pinjaman yang baik) dalam konteks ayat ini merujuk kepada perbuatan memberi infak ke jalan Allah SWT. Keharusan qard dalam erti kata pinjaman disandarkan kepada ayat ini berdasarkan makna zahir ayat tersebut kerana tidak mungkin Allah SWT membicarakan dan menyamakan sesuatu perkara yang dianjurkan seperti infak dengan sesuatu yang ditegah. Ini menunjukkan bahawa qard adalah harus.

SUMBER: Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Edisi kedua; Bank Negara Malaysia

No comments: