Friday, May 27, 2016

HUKUM PINJAM MEMINJAM - QARD


Qard bermaksud memberikan harta kepada pihak yang memanfaatkan harta tersebut, pihak yang memanfaatkan harta tersebut akan mengembalikan semula gantian harta yang sama jenis dengannya.

Qard dari segi istilah (Syarak) bermaksud pemberian harta oleh seseorang kepada seseorang untuk dimanfaatkan oleh pihak penerima (penghutang) dan penerima bertanggungjawab mengembalikan harta yang sama nilai (mumathil) dengan harta yang diambilnya.

Para ulama sependapat bahawa hukum qard adalah harus berdasarkan dalil al-Quran, Sunnah dan ijmak. Firman Allah SWT:
“Siapakah orangnya yang(mahu) memberikan pinjaman kepada Allah SWT sebagai pinjaman yang baik supaya Allah SWT melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan Allah SWT menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” (al-Baqarah:245)


Istilah qard secara literal bermaksud pinjaman. Menurut ulama tafsir, istilah qard hasan (Pinjaman yang baik) dalam konteks ayat ini merujuk kepada perbuatan memberi infak ke jalan Allah SWT. Keharusan qard dalam erti kata pinjaman disandarkan kepada ayat ini berdasarkan makna zahir ayat tersebut kerana tidak mungkin Allah SWT membicarakan dan menyamakan sesuatu perkara yang dianjurkan seperti infak dengan sesuatu yang ditegah. Ini menunjukkan bahawa qard adalah harus.

SUMBER: Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Edisi kedua; Bank Negara Malaysia

Tuesday, May 10, 2016

NOTA AKIDAH - AYAT MUTASYABIHAT



Ayat-ayat al-Qur'an dan Ahadith ada yang muhkamat (jelas) dan mutasyabihat(samar). Samar di sini maksudnya ayat-ayat tersebut jika dibaca boleh membawa pelbagai makna dan pelbagai kefahaman yang tidak tepat, bahayanya di sini adalah kefahaman itu membawa kepada persamaan Allah ta'ala dengan makhluk maka ayat-ayat tersebut perlu diteliti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang menepati penggunaan bahasa Arab agar maksud ayat-ayat al-Quran dan Ahadith tidak saling bertentangan dan memberi kefahaman yang salah sehingga menyamakan Allah dengan makhluk. 

Contoh ayat mutasyabihat ialah "...tangan Allah di atas tangan-tangan mereka." (Al-Fath: 10). Tangan di sini adalah terjemah sahaja, dalam bahasa arab 'Yad' boleh mengandungi pelbagai makna, oleh itu ayat ini perlu ditakwil supaya ia tidak bercanggah dengan dasar akidah.

Ayat mutasyabihat perlu ditakwil. Takwil ada dua cara, pertama dengan kaedah penerangan dan dalil. Kedua dengan memalingkan makna ayat dari zahirnya kemudian serahkan makna yang dikehendaki pada Allah ta'ala.

Takwil menjadi wajib jika pemahaman seseorang boleh membawa kepada pemahaman yang menjisimkan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk.


Dua kaedah dalam menafsirkan ayat mutasyabihat:

Kaedah tafwidh ma’a tanzih

Madzhab ini mengambil zahir lafaz dan menyerahkan maknanya kepada Allah swt, dengan i’tiqad tanzih (mensucikan Allah dari segala penyerupaan). Ditanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal masalah hadis sifat, dia berkata "Kita percaya dengan hal itu, dan membenarkannya tanpa bertanyakannya bagaimana, dan tanpa makna". Kaedah inilah yang juga di pegang oleh Imam Abu hanifah.

Kaedah takwil
Kaedah ini melakukan takwil dan menafsirkan makna yang sesuai dengan keesaan dan keagungan Allah swt, dan kaedah ini arjah (lebih baik untuk diikuti) kerana terdapat penjelasan dan menghilangkan awhaam (khayalan dan syak wasangka) pada muslimin umumnya. Sebagaimana Imam Syafie, Imam Bukhari, Imam Nawawi dan lain-lain.


Monday, May 9, 2016

MANUSIA SENTIASA DIUJI



عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من يُرد الله به خيرًا، يُصبه منه) رواه البخاري

Ertinya: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah (mendapat) kebaikan, maka dia akan diuji.” (HR Bukhari)

Hadis ini berbicara tentang kesabaran, kerana kita  diberi ujian adalah untuk kita sabra atas ujian itu. Dan bagi orang yang sabar akan dicintai dan diberi  pahala oleh Allah SWT.

Kehidupan orang beriman di dunia ini tidak akan sunyi dari ujian dan cubaan, semakin hebat ujian yang dihadapi oleh seorang muslim, semakin hebat musibah yang menimpanya maka semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Mengapa Rasulullah SAW mengatakan “Allah akan memberikan kebaikan” sedangkan ujian pastinya tidak disukai dan kadang kala ia amat memeritkan? 

Ulama membahagikan kebaikan bagi orang yang diberi musibah/ujian itu kepada 3 :
1. Dia mendapatkan keampunan dosa dari Allah SWT, semakin bertambah ujian maka dirinya semakin bersih dari dosa.
2.  Saat diuji biasanya kita akan lebih mengingati Allah SWT, rasa pengharapan pada Allah lebih kuat, rasa tawakkal lebih tinggi, kita akan lebih kerap berdoa dan menjadikan kita lebih khusyuk dalam berbidat.
3.   Allah mengangkat darjatnya.

Sepanjang kehidupan kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Ada orang diuji penyakit yang menyerang pada tubuh badannya, ada pula yang diuji hati dan fikirannya, ada orang diuji dengan kesempitan kewangan dan hartanya, ada juga yang diuji dengan kehilangan orang yang dia cintai. Firman Allah subhanahu wata’ala:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Ertinya : “kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit Ketakutan, kelaparan, Kekurangan dalam hartanya/miskin, kekurangan dalam jiwanya, kekurangan dalam buah-buahan. Maka khabar gembira bagi orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah:155)

Musibah yang menimpa orang-orang yang beriman itu adalah ujian dari Allah, manakala ujian ke atas orang kafir adalah seksa/azab dari Allah. Sehebat mana pun seseorang tidak akan terlepas dari ujian, dan Rasulullah saw manusia terhebat pun tetap diuji.Firman Allah ta'ala:

وَ بَشِّرِ الصَّابِرِيْنَ

Ertinya : “Dan berbahagialah bagi orang-orang yang bersabar”. (Al – Baqarah:155)]

Firman Allah Ta’ala: “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa kepada mereka suatu musibah, mereka berkata sesungguhnya kita dari Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kita semua akan kembali. Mereka akan dikurniakan anugerah-anugerah dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat petunjuk”. (Al-Baqarah:156-157)


Orang-orang yang bahagia itu ialah orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata: “innalillahi wainna ilaihi rojiun (kami ini milik Allah SWT tiada daya dan upaya dan hanya kepadaNyalah kami kembali)”. Setiap orang pasti ditimpa musibah, sama ada rajin beribadah atau malas beribadah. Dan beza antara orang yang kuat ibadahnya ialah imannya lebih mantap maka ujian yang dihadapi tidak menggugat imannya malah ia menjadi penguat iman dan menjadi jambatan penghubung untuk selalu berdoa kepada Allah SWT.

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org/ 


Wednesday, May 4, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT MA'NAWIYAH


Sifat ma'nawiyah adalah sifat hal/ahwal/keadaan yang melazimi sifat Ma'ani iaitu kesan perbuatan dari sifat Ma'ani. Contoh, sifat Qudrah (pekuasa) adalah sifat Ma'ani, dengan adanya sifat Qudrah ini maka Allah ta'ala sentiasa berkuasa (sifat Ma'nawiyah) mencipta alam ini. Dan sifat hayah (Pehidup) Allah keadaan hidup. Sifat Ma'nawiyah wujud di sebabkan adanya sifat Ma'ani.

Sifat ini sabit mengikut jalan al-Maturidiyah manakala al-Asya'irah menafikan sifat keadaan, namun kedua mazhab ini bersepakat bahawa sifat kesempurnaan adalah wajib bagi Allah.