Telah bersabda Nabiyyuna
Muhammad Saw dalam Sohih Bukhari,
“ada di antara manusia
yang beramal dengan amalan ahli neraka hampir sepanjang hidupnya sehingga jarak
di antara dia dan neraka hanya satu jengkal sahaja”.
Satu jengkal merujuk
kepada umur seseorang, sepanjang hidupnya beramal dengan amalan ahli neraka
sehinggalah umurnya hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi untuk menemui ajal
dan seterusnya masuk ke dalam neraka. Tetapi dengan kehendak Illahi maka
dia bertaubat dan berubah dengan beramal dengan amalan ahli syurga, kemudiannya
dia dimasukan ke dalam syurga.
Nabi saw bersabda lagi, “terdapat
satu kelompok manusia yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak
antara dia dan syurga tinggal satu hasta sahaja, lalu didahului oleh ketentuan
Allah, lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka dan akhirnya dia masuk
neraka”.
(HR. Bukhari)
Persoalan yang timbul,
untuk apa beribadah? apa gunanya meninggalkan dosa jika semuanya telah
ditentukan oleh Allah Jalla Wa‘Alla?. Ulamak telah menghuraikan maksud hadis
ini dengan makna tandzir (peringatan) li shalihin al mutakabbir. Hadis ini mempunyai
dua makna, pertama ia membawa khabar gembira dan harapan bagi hamba yang
melakukan banyak dosa sehingga jaraknya seperti satu jengkal saja dari api
neraka. Namun demikian Allah yang Maha Pengampun masih menerima taubat
hamba-Nya sehingga membolehkan dia masuk ke dalam syurga.
Hadis ini mengajar kita
supaya Janganlah berputus asa dari Rahmat Allah, kerana Allah mampu membolak-balikkan
keadaan. Allah telah berfirman dalam hadis qudsi, ”ana ‘inda dzhanni ‘abdiy
biy” yang bermaksud Aku bersama dengan sangkaan hamba-Ku.
Seorang hamba siang dan
malam bergelumang dengan dosa, siang dan malam tidak pernah terlintas untuk
melakukan kebaikan dalam fikirannya, tiba-tiba dia terlihat atau terdengar sesuatu
yang baik, dengan izin Allah dia berubah kepada kebaikan dengan sekelip mata.
Keadaan yang sama berlaku
kepada para sahabat Nabi, sebelumnya mereka orang yang kejam kemudian berubah menjadi
ahlul sujud, menjadi orang yang tangannya sentiasa menadah tangan berdoa dan
menjadi orang yang khusyuk.
Begitu juga bagi orang
yang banyak beramal, andai mereka beribadat sehingga jarak antara mereka dan
syurga hanya sejengkal namun mungkin sahaja mereka masuk ke dalam neraka. Ini
adalah peringatan supaya jangan sombong dengan amalan yang dilakukan. Mungkin
dengan kesombongan itu mendorong kepada kejahatan dan akhirnya meninggal dalam
keburukan.
“wahai manusia berhati-hati dan bersedialah kerana akan datang hari kiamat kepadamu, Sang Pencipta alam semesta yang mencipta dari tiada, yang menghamparkan permukaan bumi dari tiada, yang membentangkan angkasa sebagai lambang keindahan-Nya dari tiada, mengatakan bahawa akan datang hari kehancuran. Sebagaimana ini semua ada dari tiada, ini semua akan berubah menjadi tiada kerana ini semua Milik-Ku”.
Nukilan Habib Munzir