Thursday, December 26, 2013

AKHLAK NABI SAW KETIKA MENERIMA TETAMU

Pada suatu ketika Rasulullah saw didatangi oleh tiga orang tetamu yang datang berjumpa dengan Nabi saw dengan ucapan “assalamu’alaikum warahmatullah”, tetapi Rasulullah saw mendiamkan diri. Kemudian sekali lagi mereka mengucapkan salam, “assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh”, Rasulullah tidak menjawabnya buat kali kedua, sehinggalah kali yang ketiga Rasulullah saw tetap tidak menjawab tetapi Baginda bertayammum terlebih dahulu kemudian baru menjawab salam.

Tindakan Baginda Nabi saw itu menimbulkan kemusykilan pada para Sahabat. Para Sahabat bertanya, “ya Rasulullah, kami memberi salam dan tuan tidak menjawabnya, adakah tuan marah kepada kami dan kami adalah ahli neraka”? Rasulullah saw menjawab “bukan begitu”, Rasul saw bersabda, “aku tidak ingin menjawab salam kecuali dalam keadaan suci”.

Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Baari bisyarah Sohih Bukhari menjelaskan makna yang pertama Nabi saw tidak menjawab salam tetamunya oleh kerana Nabi saw merasakan tidak sopan menjawab salam yang diberikan oleh tetamunya dalam keadaan Baginda tidak suci.

Dapat difahami juga bahawa Nabi saw bertayamum apabila ketiadaan air, dan Baginda bersuci adalah kerana Baginda tidak mahu menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan berwudhuk.

Sesungguhnya itulah akhlak Nabi saw yang dikhabarkan dalam Firman Allah swt, “wa innaka la’alaa khuluqin adzim” yang bermaksud, “kau sungguh berada di dalam akhlak yang agung”.  

Habib Munzir