ALLAH BERSAMA HAMBA YANG
MENGINGAT DAN MENYEBUT NAMA-NYA
قال رسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا مَعَ عَبْدِي حَيْثُمَا ذَكَرَنِي وَتَحَرَّكَتْ بِي شَفَتَاهُ
(صحيح البخاري)
Sabda Rasulullah saw dalam
sebuah hadis qudsi, Firman Allah: “Aku bersama hamba-Ku di waktu dia
mengingati-Ku dan di waktu bergetar bibirnya menyebut nama-Ku”.
(Sohih Bukhari)
Waktu yang mulia dan agung
adalah ketika mana kita dalam keadaan mendekatkan diri kepada Allah. Iaitu
ketika menunaikan solat, berzikir, berpuasa, menunaikan zakat, bersedekah dan
amalan-amalan soleh lainnya yang kita lakukan seperti menghadiri majlis-majlis
zikir dan majlis ta’lim yang mana seluruh kemuliaan dan kesucian melimpah atas
majlis-majlis seperti ini.
Perkahwinan antara suami
dan isteri belum tentu dikurniakan anak, haiwan yang mengawan belum tentu
bertelur, tumbuhan pula belum tentu tumbuh jika ditanam. Hakikatnya ada suatu
ketentuan Illahi yang mengatur segala kehidupan dan mengatur setiap nafasku dan
nafas kehidupan keseluruhannya.
Sesungguhnya manusia tidak
memiliki dirinya sendiri dan manusia tidak mampu mencipta sel tubuhnya. Bagaimanakah
manusia mampu menggerakkan setiap selnya yang berfungsi bagi menggerakkan jasad
setiap hari.
Allah memberikan kita
kehidupan dan ia merupakan pemberian yang tidak mampu diberikan oleh makhluk
lain. Sebelum kita berzikir, alam semesta ini telah terlebih dahulu berzikir
mengagungkan nama Allah namun kita tidak mampu mendengarnya. Rugilah manusia
yang sibuk dengan dunianya sehingga melupakan Allah, andai tersingkap baginya
keadaan saudara mara yang sedang bersemadi di alam barzakh sudah tentu dia akan
terus dalam keadaan sujud sehingga meninggal.
Dalam mengulas maksud
hadis di atas, Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul
Baari menjelaskan bahawa makna “bersama” itu bukan bererti Allah bersama secara
Dzat-Nya, tetapi menunjukkan bahawa Allah sangat mencintai orang yang
mengingat-Nya.
Mengingati Allah itu
adalah bermula dengan hati, Nabi saw bersabda, “bergetar bibirnya
menyebut Nama-Ku”. Hati mengingati Allah kerana perasaan rindu dan
cinta kepada Allah hingga terzahir dibibir lalu mengucapkan dan meluahkan
perasaan cinta dan rindu.
Hidup seharian manusia
kini merasakan dan membicarakan rasa cinta sesama makhluk iaitu kepada kekasih,
kepada anak, dan teman, tapi manusia merasa janggal membicarakan rasa cinta
pada Allah. Sedangkan matlamat kita diciptakan adalah untuk menyembah hanya
pada Allah.
“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (ad-zariat: 56)
Allah tidak memerlukan
penghambaan kita, kita disuruh menyembah Allah kerana Allah mahu kita dekat
dengan-Nya. Apabila kita dekat dengan Allah maka Allah akan menganugerahkan
syurga kepada kita.
Cintailah Allah melebihi
selainnya, jangan kita mencintai seseorang melebihi cinta kita pada Allah,
makhluk semuanya akan meninggalkan kita namun Allah tetap sentiasa ada tanpa
pengakhiran. Setiap kita mempunyai kekasih, keluarga, sahabat handai dan
anak-anak, namun cinta Allah itu adalah teratas. Kadang-kadang kita lebih
pedulikan perkara lain berbanding Allah, ada yang risaukan baju di ampaiannya
dan kasutnya ketika sujud dalam solat.
Washallallahu ala Sayyidina Muhammad Nabiyyil
Ummiy wa Shohbihi wa Sallam
Sumber: Petikan dari tausiyah Habib Munzir