Saat detik-detik terakhir sebelum kita memejamkan
mata untuk tidur di malam hari, cubalah kita merenung seketika sejarah yang
tercipta sewaktu kita dilahirkan. Bermulanya kehidupan kita sebagai manusia di
muka bumi ini, kehidupan kita penuh dengan pembelajaran untuk kebelangsungan
hidup kita sehinggalah sekarang. Bermula dari belajar merangkak, kemudian
berdiri, seterusnya berjalan dan sekarang kita mampu untuk berlari dan
melompat.
Tanpa melalui proses belajar mana mungkin kita mampu melakukan
pelbagai aktiviti seperti sekarang ini. Ilmu yang kita perolehi telah membentuk
diri kita pada hari ini, Alhamdulillah. Renungkan mengapa kita dilahirkan dan
diciptakan oleh Allah SWT, Allah berfirman dalam surah Ali-Imran:
“kamu (Wahai
umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang
daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Ali- Imran,2: 110)
Berusahalah untuk memahami dan mengetahui akan
kepentingan ilmu pengetahuan. Untuk mengurus diri perlukan ilmu, untuk
menggunakan kenderaan perlukan ilmu, untuk memandu di jalan raya perlukan ilmu,
dan segalanya perlukan ilmu. Inilah alasan paling kukuh betapa ilmu itu perlu
dituntut.
Ilmu itu pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu
ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang tidak bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat itu
ialah ilmu yang akan memberi kebaikkan kepada diri sendiri dan kepada orang
lain. Dimana ilmu yang tidak bermanfaat itu adalah ilmu yang akan memberi kesan
buruk kepada diri sendiri dan kepada orang lain.
Namun, sesuatu ilmu hanya
dapat diketahui adakah ia bermanfaat atau tidak adalah selepas ilmu itu
diamalkan, iaitu bergantung kepada kearah mana ilmu itu dipandu. Jika ia
diarahkan kepada kebaikan maka ia akan menjadi perkara kebaikkan, dan
sebaliknya jika ia digunakan kearah keburukan. Ilmu yang bermanfaat atau tidak
juga dapat diketahui dengan mengetahui akan apa yang lahir dari tindakan atau
perbuatan yang kita lakukan
Untuk mendapatkan ilmu itu perlu ada usaha, mana
mungkin kita mendapat sesuatu tanpa ada usaha. Untuk pergi ke suatu tempat
perlu ada usaha dari kaki melangkah, malah jika tempatnya jauh kita akan merasa
penat dan sakit kaki. Begitu perumpamaan untuk mendapatkan ilmu.
Usaha itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh
dan semangat yang menggunung, namun mungkin saja semangat itu lama-kelamaan
akan pudar menghilang dengan ujian yang dihadapi. Ujian itu dalam bentuk ajakan
rakan, hiburan, suasana dan lain-lainnya. Kita perlu ada ketegasan dalam
menghadapi setiap ujian, bertegas dalam mencapai matlamat dan perancangan yang
kita rancangkan.
Jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh keadaan
sekeliling, namun biar kita yang menjadi pengaruh pada keadaan sekeliling. Jangan
kita terpengaruh dengan keburukan tetapi kita perlu mempengaruhi orang lain
melakukan kebaikan. Penuhi masa kita dengan perkara kebaikan dan dekatkan diri
kita dengan perkara-perkara kebaikkan.
Dalam menuntut ilmu kita perlu sentiasa pergi ke
majlis ilmu, berkawan dengan orang-orang yang berilmu, penuhi masa dengan
buku-buku dan melakukan perkara kebaikan secara istiqomah seperti membaca
al-Quran, berzikir dan sebagainya.
Diusia remaja terutamanya proses mengenal diri
adalah sangat penting, ini kerana ia akan menjadi tanda aras untuk penetapan
matlamat hidup, cita-cita dan membentuk siapa diri kita pada masa depan.
Cubalah memahami diri, membina keperibadian diri, mengetahui kelebihan diri,
membangunkan diri dengan menambah ilmu dan kemahiran sehingga kelak diri kita
menjadi individu yang matang dalam menghadapi arus kehidupan.