Monday, November 14, 2011

HAID NIFAS DAN ISTIHADHOH BUKU TERBARU KELUARAN TELAGA BIRU - SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI


Solat itu adalah kewajipan kepada semua umat Islam. Namun ada ketikanya, sebahagian muslimah mempunyai cuti khas yang tersendiri yang diwajibkan mengasingkan diri daripada melakukan ibadah solat.

Ia jelas dengan permasalahan haid, nifas dan intifadah yang sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan wanita.

Permasalahan-permasalahan ini melibatkan hukum-hakam yang telah termaktub untuk golongan wanita yang menghadapinya.

Para muslimah seharusnya mengetahuinya berikutan ia mempunyai hubungan langsung dengan menentukan kesahihan dan kerosakan amal ibadat.

Ketahuilah bahawa haid termasuk dalam bab fiqah yang agak sulit apatah lagi yang berkaitan dengan mutahayyirah yang telah menimbulkan kemusykilan dalam kalangan ulama-ulama ternama untuk menyelesaikannya.

Oleh itu, para pentahkikan dalam kalangan fuqaha telah memberikan perhatian terhadapnya. Antara petikan ayat al-Quran yang menerangkan mengenai haid yang harus diketahui untuk tujuan menjaga diri dan tuntutannya dalam menyucikan diri daripada kotoran seperti firman bermaksud: "Mereka bertanyakan kepadamu tentang haid, katakanlah haid ialah satu kotoran, maka jauhilah wanita-wanita pada waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka (jangan menyetubuhi) sebelum mereka suci (sudah habis haid dan sudah mandi wajib), apabila mereka telah suci maka datangilah mereka pada tempat yang diperintahkan oleh Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah 2: 222 )

Dalam proses menyucikan diri, hukum-hakam dan perkara-perkara yang melibatkan persoalan sahnya ibadat muslimah tersebut wajib diambil kira dan diketahui melalui ilmu yang dituntut bagi memberi keyakinan dan kesahihan terhadap ibadat dan amalan yang dilakukan.

Imam Nawawi telah mengumpulkan persoalan mengenai haid dalam kitabnya Syarh al-Muhazzab, satu jilid besar yang mencakupi persoalan berkaitan dengannya.

Beliau menyebut dalam kitab itu, seperti yang diketahui bahawa haid merupakan persoalan yang kerap kali diulang-ulang dan membuahkan hukum-hakam yang sangat banyak seperti hukum taharah, sembahyang, membaca al-Quran, talak, khulu', ila', idah, istibra' dan sebagainya.

Oleh itu, setiap umat Islam wajib mengetahui dan mengambil perhatian dan memperoleh penyelesaian kepada persoalan-persoalan yang berbagai-bagai bentuk serta mentahkikkan supaya dia sentiasa mempunyai pedoman dalam urusannya.

Berikutan daripada persoalan-persoalan tersebut, Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki telah meringkaskan daripada kitab-kitab fiqah ahli ulamak dan imam-imam terdahulu kepada sebuah buku yang bertajuk Darah-darah Haid, Nifas dan Istihadhah yang dikeluarkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd.

Beliau telah mengumpul dan menyusun persoalan-persoalan, perselisihan pendapat, bentuk-bentuk pandangan dan perbandingan antara mazhab tanpa melakukan pentarjihan kecuali sedikit sahaja.

Dalam buku ini juga, terdapat pengenalan istilah-istilah yang digunakan dalam Fiqah Imam Syafi'i. Contohnya adalah seperti Azhar, Mashur, Asah, Sahih, Wajah, Mazhab, Nas, Jadid dan Qadim. Asah dan Sahih merupakan fatwa yang lahir daripada ulama-ulama Syafi'i.

Buku ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terhimpunnya perselisihan pendapat antara empat mazhab yang ada iaitu mazhab Hanafi, Hambali, Syafi'i dan Maliki.

Keempat-empat mazhab ini banyak membicarakan dan menerangkan hukum-hakam mengenai masalah haid, nifas dan istihadhah berserta persoalan-persoalan yang dihadapi oleh setiap muslimah.

Ia mengandungi huraian yang berkaitan mengenai haid, hukum-hakam berkaitan haid, istihadhah dan hukum-hakamnya, Mutahayyirah yang menggariskan keadaan-keadaan yang terlibat dan ringkasan hukumnya, bab nifas serta hukum-hakamnya dan permasalahan-permasalahan haid yang berlaku.

Melalui buku yang dikeluarkan ini, para muslimah dapat menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan dalam menghadapi saat-saat yang telah ditetapkan dapat dijalani dengan yakin dan penuh ketaqwaan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

No comments: