Sunday, March 20, 2011

MENGENALI RIBA, ELAK DOSA BESAR.


Faham Maksud Riba
Dari segi bahasa merujuk kepada lebihan, pertambahan dan perkembangan. Menurut istilah para fuqaha, riba ialah kontrak melibatkan pertukaran suatu barang tertentu. Namun ketika kontrak itu dilaksanakan, tidak diketahui atau tidak dipastikan persamaan pertukaran barangan, tidak dapat dipastikan sukatan dan timbangan barangan. Atau berlaku kelewatan dalam penyerahan barangan.

Mengenali Barangan Ada Unsur Riba
Barangan dikhususkan kepada harta atau barangan yang terdapat unsur-unsur riba sahaja.

Terdapat enam (6) barangan yang berunsur riba.
1.Emas
2.Perak
3.Gandum
4.Barli
5.Tamar
6.Garam

Ini berdasarkan dari sabda Nabi s.a.w,
emas dengan emas adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, gandum dengan gandum adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, barli dengan barli adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil dan tamar dengan tamar adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil.”
[HR Bukhari dan Muslim]

Ayat “kecuali secara ambil dengan ambil” ialah bermaksud kedua-dua pihak melakukan pertukaran barangan dengan saling menghulurkan barang ketika berlakunya kontrak dan pembeli menerima barangan dalam majlis kontrak tersebut.

Apa yang Menyebabkan berlakunya Riba?
Kaedah menentukan barangan riba ialah mengkhususkan pada sebab (illah) yang menyebabkan sesuatu barangan itu menjadi riba. Oleh itu, barangan riba didalam hadis tidak mutlak kepada barangan itu sahaja, ia merangkumi semua barangn yang terdapat sebab(illah) yang sama.

Contohnya di dalam hadis menyatakan barangan riba adalah emas dan perak, ini menunjukkan secara khususnya sebab(illah) riba ialah barangan yang mempunyai unsur mata wang yang menjadi perantara kepada pertukaran membeli barangan jualan. Manakala gamdum, barli, tamar dan garam merupakan barangan makanan asas, ini menjadikan sebarang makanan yang menjadi makanan asasi sesuatu tempat boleh menjadi barangan riba.

Maka apabila sesuatu barangan ini menjadi barangan riba kerana terdapat penyebab menjadikan ia barangan riba, maka segala urusan dan pihak yang terlibat akan termasuk dalam riba.

Fahami Setiap jenis Riba
Riba terbahagi kepada empat(4) jenis seperti mana yang dibahagikan oleh para fuqaha. Tiga (3) jenis riba termasuk dalam kategori jual beli dan satu(1) jenis dalam kategori hutang.

1.Riba fadl
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis yang mempunyai unsur riba dan berlaku tambahan dari satu antara dua barangan jual beli.

i.Barangan jual beli terdapat unsur riba = garam ditukar dengan garam
ii.Berlaku pertukaran yang tidak sama timbangan(berlaku tambahan) = 10kg garam ditukarkan dengan 15kg garam.
iii.Kualiti antara barangan perlu sama dan berat timbangan perlu sama.

Rasulullah s.a.w bersabda,
jangan menjual emas dengan emas kecuali sama dengan sama dan jangan melebihkan satu atas yang lain.”
[H.R al-Bukhari dan Muslim]

2.Riba Nasi’ah
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis dan tidak sama jenis tetapi mempunyai unsur riba serta berlaku pertangguhan dalam pertukaran barang.

i.Barangan jual beli terdapat unsur riba = sama jenis atau dari jenis yang berlainan.
Contoh: emas ditukar dengan emas, atau emas ditukar dengan perak.
ii.Berlaku penangguhan dalam pertukaran/penyerahan barangan, pertukaran berlaku selepas tempoh sehari atau beberapa hari.

3.Riba yad
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis atau tidak sama jenis yang mempunyai unsur riba tetapi berlaku kelewatan dalam pertukaran barangan, iaitu pertukaran atau penyerahan barangan berlaku diluar majlis kontrak.

4.Riba Hutang
Riba hutang berlaku apabila melibatkan hutang. Apabila seseorang berhutang, ketika dia mahu melakukan pembayaran hutangnya, berlaku lebihan atau tambahan jumlah bayaran berbanding jumlah yang dipinjam.

Allah s.w.t berfirman,
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang Yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya Yang besar Yang kamu akan dapati kelak).”
[al-Baqarah: 278-280]

No comments: